Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, July 27, 2015

Mudahnya kita dibeli

7:58 AM Posted by RIDHUAN TEE 16 comments
(Sinar Harian, 27.7.15)

Melayu dalam parti ultra kiasu mahukan orang Melayu bertolak ansur supaya isu sekolah vernakular tidak dibangkitkan lagi. Biarkan ia beroperasi bebas tanpa gangguan. Manakala golongan liberal Melayu mahukan Bahasa Inggeris (BI) digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah. Hebat sungguh Melayu. Bangsa lain sibuk mempertahankan dan mempromosikan bahasa ibunda mereka. Manakala, bangsa Melayu tidak yakin dengan bahasa sendiri.

Apakah kedudukan BM selaku bahasa kebangsaan dalam perlembagaan? Siapakah yang akan memperjuangkan bahasa anak watan ini? Siapa pula yang akan memastikan semua rakyat boleh bertutur dan faham BM? Tidak mustahil BM dan bangsanya bersekali akan merempat di bumi sendiri suatu masa nanti.

Amat bodohlah saya jika menolak kepentingan BI sebagai bahasa antarabangsa. Tetapi janganlah sampai BM dianaktirikan. Apatah lagi tidak merasakan ianya penting. Biarlah tidak tahu bertutur BM tak apa, asalnya boleh berbahasa BI dan ibunda yang lain. Inilah pemikiran liberal Melayu.

Masuklah hari ini ke syarikat GLC kerajaan, boleh dikatakan bahasa Melayu langsung tidak didaulat. BM hanya ada pada tanda pintu sahaja iaitu KELUAR. Hak lain semua telah diinggeriskan.

Apa sudah jadi dengan Bank Bumiputera yang sudah bertukar nama? Apakah agenda bumiputera masih diutamakan? Berapa ramai bumiputera berada di dalamnya membuat keputusan? Teringat saya kepada saudara Dato’ Henry S. Barlow, yang masih kekal menjadi ahli lembaga pengarah GLC Sime Darby.

Sebuah LGC hasil usaha ahli keluarganya dahulu. Barlow tidak pernah lupa agenda bumiputera dalam Sime Darby, walaupun setelah sekian lama negara merdeka. Inilah orang putih yang tidak pernah lupa sejarah. Kenapa tidak ramai rakyat Malaysia yang telah dibantu kerajaan dan telah berjaya tidak seperti Barlow? Kenapa mereka menjadi ultra kiasu setelah berjaya? Lupa diri? Lupa bangsa? Lupa agama? Jati diri entah ke mana?

Paling kurang, belajarlah dari ultra kiasu. Misalnya, selepas insiden Plaza Low Yat. Hari ini mereka sibuk hendak mengadakan sambutan Hari Raya. Sedangkan sambutan ini tidak ada kaitan langsung dengan mereka. Lagipun ia perayaan ibadah umat Islam. Saya tidak kata salah, tetapi pelik.

Bayangkan selepas ini orang Melayu jadi hos sambutan Tahun Baharu Cina. Kenapa tiba-tiba ultra kiasu mahu lakukan perkara terbalik di Low Yat? Apa muslihat di sebalik? Nampak sangat ultra kiasu hanya mementing agenda peribadi mereka akibat perniagaan terjejas gara-gara insiden yang terjadi.

Sekalipun anak muda Melayu itu yang bersalah. Insiden ini sepatutnya membuka mata kita. Antara agenda perut, bangsa dan negara. Mana lebih utama?

Pada saya, tidak perlu diadakan sambutan hari raya di sana. Berikan wang tersebut kepada kami untuk kami membuat kajian secara akademik. Apakah di sebalik insiden tersebut dan punca-puncanya? Saya pasti, ahli akademik akan dapat memberikan jawapan yang tulus dan amat berguna kepada kerajaan, bukan hipokrit. Mahu menutupi bara yang sentiasa menyala, tidak pernah padam. Menunggu masa untuk meledak.

Saya amat mengharapkan orang Melayu tidak boleh dijual beli dengan juadah air siap, lemang dan ketupat. Hina sungguh umat Islam, jika mereka boleh dicairkan hanya dengan jamuan makan.

Jika mereka ikhlas, sudah sekian lama ianya dilakukan. Kenapa begitu beriya-iya hendaklah melakukannya di Low Yat pada kali ini, tidak di tempat lain? 

Nampak sangat selama ini, orang Melayu menjadi alat untuk mereka menjana dan mengaut keuntungan sebanyak mungkin. Inilah akibatnya apabila kita hanya menjadi pengguna bukan pengeluar.

Tidak hairan jika kita sentiasa menjadi mangsa, makan bihun kotor, patin babi dan makanan lain bercampur dengan bahan haram. Akibatnya, hati menjadi hitam. Kita salah, ultra kiasu betul.

Ramai rakan saya acap kali tertipu membeli belah di sana. Harga tidaklah semurah mana. Tetapi plaza tersebut telah berjaya mengaburi mata kita semua. Kadang kala kos baik pulih alat yang dibeli, sudah melebihi harga jualan alat tersebut.

Dahulu, apabila saya dedahkan penipuan ini, satu dunia mengutuk saya. Kononnya saya sanggup memburukkan bangsa sendiri. Sehingga repot polis dibuat. Saya hanya berkata benar. Itu sahaja. Apakah berkata benar itu salah?

Sebenarnya kuasa boikot kita amat besar, jika kita pandai menggunakannya. Tetapi agak malang, jika kita mudah dibeli dengan segelas air sirap.

Mengimbau kembali bantuan ultra kiasu kepada surau masjid ketika bulan puasa. Molek sungguh ultra kiasu ini berpakaian Melayu, berselendang menyampaikan bantuan RM2000. Sehingga ada yang mengusik “Amoi pakai baju kurung sangat comel”.

Saya tidak nafikan akulturasi ini amat baik dan patut digalakkan. Tetapi mengenali ultra kiasu, semua ini hipokrit. Pada masa sama, merekalah menentang etika berpakaian.
Jika mereka hormat kepada negara, perlembagaan dan rukun negara, sudah tentu mereka akan sentiasa mengenakan cara hidup bersopan, bertatasusila dan berbudaya. Ini tidak, mereka pejuang tegar hak asasi manusia, sehingga menenggelamkan identiti negara tercinta ini.

Apakah orang sebegini boleh dipercayai? Apakah jamuan hari raya yang mereka hoskan itu benar-benar ikhlas atau sekadar mahu menjaga perut? Hina sungguh kita jika mudah tergoda!





Tuesday, July 21, 2015

Harapan Baharu Malaysia Baharu?

7:39 PM Posted by RIDHUAN TEE 17 comments
(Sinar Harian, 20.7.15)

Mutakhir ini ini serang demi serangan dilakukan terhadap PM, termasuk isteri dan ahli keluarganya oleh ultra kiasu. Bukan sahaja dari dalam, malah luar negara. Mulanya saya sangka perkara itu biasa-biasa sahaja. Tetapi sudah sampai ke peringkat menghancurkan negara. Jika tidak suka sekalipun, PRU 14 sudah tidak lama, rakyat boleh menghakimi.

Kita mengharapkan PM mempunyai daya tahan dalam menghadapi masalah ini. Jika benar, pertahankanlah. Jika tidak, buatlah sesuatu yang terbaik untuk rakyat. Berani kerana benar.

Pas juga tidak ketinggalan, serangan psywar dan pysop ultra kiasu cauvinis terhadap Pas tanpa henti, sehingga tercungap-sungap Pas untuk menangkisnya. Ultra kiasu amat yakin dengan berbuat demikian, kemenangan lebih besar akan dicapai dalam PRU 14 akan datang. Sudah tentu Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi, adalah petunjuk awalnya.

Sebab itu, mereka begitu nekad menolak Pas, bagi memenangi hati pengundi di Sarawak. Manakala, kumpulan serpihan Pas, G18, terhegeh-hegeh menagih simpati ultra kiasu, kononnya bagi memenuhi Gerakan Harapan Baharu rakyat Malaysia. Apakah benar bahawa rakyat Malaysia mahukan perubahan baharu tersebut? Atau rakyat Malaysia begitu teruja dengan tindakan Pas yang begitu tegas dan bersangka baik?

Selaku rakyat yang kerdil, saya begitu terharu akan tindakan Musyidul Am dan Presiden Pas, masih bersangka baik terlebih dahulu terhadap Perdana Menteri, seterusnya dibalas oleh PM dengan ucapan terima kasih kerana mempercayainya.

Inilah sifat ulama dan negarawan. Bersangka baik dahulu. Ini tidak, asyik bersangka buruk dan berniat jahat seperti ultra kiasu. Dalam Islam, malahan demokrasi sekalipun, seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Selama ini, ultra kiasu cauvinis amat bertuhankan demokrasi, kenapa dalam isu ini mereka mahu menjadi hakim tanpa mahu menunggu mahkamah dan pasukan penyiasat? Nampak sangat perancangan busuk mereka untuk mengaburi mata rakyat.

Saban hari ultra kiasu menempelak dengan kata sinis dan tajam kepada Perdana Menteri, seolah-olah semua tuduhan itu betul. Sedangkan ia belum dibuktikan. Saya juga ditempelak kerana bersikap senyap terhadap dakwaan kepada PM.

Jawapannya saya, saya bukan Tuhan. Kita ada badan yang berotoriti, serahkan kepada mereka. Masalah timbul apabila ultra kiasu tidak mempercayai badan otoriti ini. Semua kerajaan buat tidak betul, mereka sahaja yang betul.

Begitu juga tuduhan terhadap Pas, mengatakan bahawa Pas sudah berubah, tidak seperti dahulu, zaman Allahyarham Presiden Pas sebelum ini seperti Fadzil Noor dan Nik Aziz. Jika mereka masih hidup, sudah tentu, keadaan jauh berbeza. Alllahyarham pasti tidak setuju dengan tindakan Pas hari ini. Persoalan saya, sejak bila orang sebegini boleh meramal dan membaca pemikiran orang yang telah mati?

Saya tidak yakin jika bekas pemimpin Pas ini masih hidup mereka akan bersekongkol dengan ultra kiasu, termasuk seperti yang didakwa anak mereka? Jika benar sekalipun dakwaan itu, adakah salah bekerjasama dengan saudara seIslam? Saya sendiri akan memilih saudara seIslam daripada ultra kiasu yang terang lagi bersuluh, memusuhi Islam.

Ingatan saya kepada ultra kiasu dan kumpulan harapan baharu, rakyat hari ini sudah bijak. Tidak perlulah mengingatkan Pas bahawa politik hari ini sudah berubah, berbeza berbanding masa lalu.

Mengenali barisan kepemimpinan Pas yang baharu. Mereka tidak jahil walaupun ramai ulama di situ. Mungkin yang jahil kumpulan serpihan ini yang merasakan dirinya kuat. Tubuhlah parti baharu. Harapan baharu? Malaysia baharu? Kita tengok siapa yang lebih kuat. Bertandinglah, berapa undi yang boleh diperolehi?

Saya amat teruja untuk melihat parti baharu era baharu ini. Apakah bentuk pembaharuan yang ingin dibawa? Sejauhmana sokongan yang akan diperolehi oleh mereka? Bolehkah Islam didaulatkan dalam parti yang anti-Islam.

Masih teringat rakan-rakan saya yang cenderung kepada Islam, berada dalam PKR. Ke mana mereka? Semua telah dipetiaiskan. Tak ke mana nak perjuangkan Islam dalam agenda parti yang tidak mahukan Islam. Nasib yang sama juga akan dialami oleh bekas ulama muda Pas yang menyertai PKR baru-baru ini.

Mungkin Pas akan lemah di beberapa kawasan, terutama kawasan yang majoriti Melayu tidak besar, tetapi setakat ini, Pas semakin kuat di Kelantan dan Terengganu, jika pendekatan berhikmah terus digunakan. Manakala, parti baharu harapan baharu akan terkubur selepas berakhirnya PRU 14 nanti. Saya tidak nampak mereka boleh menang, kecuali laluan diberikan oleh ultra kiasu untuk bertanding di kawasan majoriti mereka (Cina). Adakah ia boleh berlaku? Sama-sama kita nantikan.

Mengenali ultra kiasu sekian lama, saya tidak nampak mereka mahu berkongsi, seperti mana ultra kiasu Singapura. Teringat mendiang profesor yang mengajar saya dahulu, juga mengajar lama di Universiti Singapura, Dr. Chandran Jushurun. Katanya, ultra kiasu tidak akan berkongsi sedikitpun walau dengan rakan baiknya sekalipun. Mereka akan makan kesemuanya tanpa rasa terhutang budi. Itulah ultra kiasu.


Monday, July 13, 2015

Jangan jadi hipokrit

9:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 17 comments
Sinar Harian 13.7.15
 
Tidak semena-mena bekas Presiden Majlis Beguam melatah, dengan membuat kenyataan media, mahukan saya disekat daripada bersuara, kerana terlalu perkauman katanya. Beliau menggesa Sinar Harian, agar berhenti kolum mingguan  saya. Siapa nenek kebayan ini untuk berbuat demikian? Jika orang lain boleh berkata apa yang mereka suka, kenapa saya tidak boleh? Ini zaman media terbukalah!Sila buat kajian mendalam siapa lebih yang lebih rasisnya sebenarnya? Saya atau ultra kiasu?

Apabila kita mempertahankan hak kepada yang berhak, maka itu dikatakan rasis. Apabila ultra kiasu bercakap apa sahaja tentang hak mereka. Itu dalam kategori hak asasi manusia. Pemikiran rimba apakah ini?

Jika nak tahu pemikiran saya, marilah berdebat. Jangan buat tuduhan melulu. Saya hanya berkata benar. Jika saya perkauman sekalipun, itu lebih baik daripada memperjuangkan hak asasi tanpa had sehingga mahu menghalalkan LGBT  dalam negara beridentitikan Islam. Kenapa pula peguam sebegini boleh diberikan ruang bercakap, saya pula tidak boleh? Apakah agama yang beliau anuti menghalalkan semua ini?

Malaysia tetap Malaysia. Tidak ada Malaysia baharu seperti yang beliau canangkan, seolah ada Malaysia versi lama. Versi Malaysia lama macam mana? Talibankah? Apakah versi Malaysia baharu, perlu menjadi seliberal-liberalnya, tanpa ada jati diri tempatan, yang disebut payung anak watan atau Malay Canopy. Malaysia tidak boleh lari berindentitikan Islam dan Melayu sampai bila-bila. Jika ada percubaan untuk meliberalkannya, pasti ada orang yang akan bangkit menentang.

Inilah sejarah sistem kenegaraan Melayunya. Jika mahukan kebebasan tanpa had, bukan di sini. Negaraku tidak boleh dicemari oleh unsur-unsur yang boleh mengundang murka Allah. Nanti bergegar rumah peguam itu jika berlaku gempa bumi.

Kenyataan saya mengenai bercawat masuk ke rumah ibadat tidak ada langsung dalam tulisan saya di Sinar Harian. Tetapi kenyataan saya yang diambil oleh laman Web Isma, dan seterusnya dipetik oleh laman sosial ultra kiasu. Nyata sekali peguam ini tidak membuat penyelidikan, tetapi tuduhan semborono. Jangan jadi lawyer buruk.

Kenapa tidak pertikaikan parti-parti politik perkauman yang nyata memperjuangkan kaum mereka yang lebih ekstrem, seperti Malaysian Malaysia. Kenapa saya sebagai individu yang menjadi sasaran? Hebat sungguh saya, walaupun selama ini saya sangka diri saya sungguh kerdil?

Biar saya jelaskan kenapa LGBT lebih bahaya dari perjuangan saya yang dikatakan perkauman. Perkara tersebut bercanggah dengan Perlembagaan dan Rukun Negara. Kenyataan saya mengenai bercawat ke rumah ibadat, kerana ultra kiasu tidak pernah percaya kepada etika berpakaian ketika berurusan dengan premis kerajaan. Mereka mahukan jadikan pejabat kerajaan seperti rumahnya. Mana boleh.

Ahli parlimen ultra kiasu dengan bangga memuatkan gambar sekumpulan orang Iban berpakaian tradisi membuat persembahan di gereja dalam laman FBnya, sebagai menyahut cabaran saya sebelum ini. Dia sangka dia hebat.

Akhirnya, gambar yang dimuatkan itu, makan tuan. Pengguna FB mengutuk beliau seolah-olah melabelkan begitulah cara orang Iban berpakaian ketika berurusan dengan pejabat kerajaan. Sedangkan, pakaian tradisi tersebut hanya dipakai ketika pertunjukan sahaja. Orang Iban tetap berpakaian sopan ketika berurusan dengan pejabat kerajaan. Ternyata orang Iban lebih bertamadun.

Saya amat memahami kehidupan orang Iban kerana penyelia tesis kedoktoran saya adalah Profesor Iban yang bersifat terbuka dan kuat keIbanannya. Malah, saya memuji orang Iban kerana bangga dengan pakaian dan jati dirinya.

Bukan seperti segelintir pemimpin ultra kiasu, mata sepet, rambut hitam lurus, berlagak menggunakan nama orang putih dan mewarnakan rambutnya. Kemudian lupa diri, bertindak lebih orang putih dari orang putih. Belajarlah daripada bangsa Iban dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang penuh identiti. Mungkin sebab itulah beliau tidak dibenarkan masuk ke Sarawak sama seperti saya.

Pejabat kerajaan adalah tempat urusan rasmi. Sama seperti mahkamah. Adakah mereka yang berada di mahkamah, termasuk peguam tersebut boleh berpakaian sesuka hati. Ada etikanya. Kenapa tidak memakai pakaian tradisi masuk ke mahkamah?

Masih ingat lagi ahli parlimen ultra kiasu yang saya sebut di atas, memakai baju-T belang-belang menghadiri sidang parlimen sehingga ditegur oleh ahli parlimen BN. Kita yang bukan ahli parlimen, ketika membuat lawatan ke parlimen, dikenakan peraturan berpakaian yang begitu ketat, paling kurang bertali leher. Kenapa ahli parlimen yang sepatutnya menjadi contoh memakai baju-T? Peliknya, tidak ramai yang sensitif. 

Kenapa peguam ultra tersebut dan ultra kiasu yang lain begitu berpakaian sopan ketika menghadap dan menerima anugerah pangkat dan kebesaran daripada Sultan? Bila nak dapat sesuatu, seperti pangkat dan harta, sanggup buat apa sahaja. Tetapi dalam hal lain, tidak pula. Nampak sangat hipokrit. Adakah orang sebegini boleh dipercayai?

Pada saya, kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada desakan perlu adanya etika berpakaian. Saya tidak kisah sangat jika ia berlaku di tempat awam. Malah di setengah tempat, mereka boleh bertelanjangpun. Tetapi hormatlah institusi formal seperti pejabat kerajaan.

 

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA

 

Monday, July 06, 2015

Antara Prinsip dan Kuasa

5:16 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
Antara prinsip dan kuasa (Sinar Harian, 6.7.15)

Teruja dengan pendapat seorang ahli akademik, yang mengingatkan Pas supaya jangan melibatkan diri dalam politik jika tidak mahu berkongsi kuasa. Masuk sahaja tarekat atau silat. Pendapat ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bergelar ‘pakar sejarah’.  

Tidak dinafikan kongsi kuasa adalah salah satu elemen politik. Tetapi tidak semua dalam politik, boleh berkongsi kuasa. Politik bukan soal kuasa dan menubuh kerajaan semata-mata. Politik adalah juga soal prinsip atau privasi. Kadangkala bersendirian lebih baik dari berdua. Matlamat tidak menghalalkan cara. Jangan kerana terlalu berahikan kuasa, sehingga tergadai segala.

Sejak awal lagi, Pas menegaskan bahawa matlamat mereka bukan hanya Putrajaya. Politik hanya alat, bukan matlamat. Jika ditakdirkan tidak ke Putrajaya, cukuplah di Kelantan sahaja. Tanpa Kelantan pun, Pas redha. Apa yang penting, mencari redha Allah, bukan murka Allah. Pastikan apa jua yang dilakukan boleh membawa kita ke syurga.

Sejarah membuktikan bahawa Pas berbeza dengan parti politik lain. Pas mahukan Islam. Tidak, bagi ultra kiasu, sama ada yang Melayu atau bukan Melayu. Mereka hanya bertuhankan kuasa, mahu membebaskan tokoh tertentu dan membalas dendam terhadap Umno. Sebab itu, mereka tidak  kisah walaupun matlamat menghalalkan cara.

Pas keluar dari BN 1978 juga adalah kerana prinsip. Nyatakan sekali ahli akademik tersebut masih tidak mengenali Pas. Pas tidak ada masalah berkongsi kuasa dengan parti lain, tetapi bukan dengan ultra kiasu. Ultra kiasu tidak pernah bersetuju perjuangan Islam Pas. Mereka rapat dengan Pas pun kerana tiada pilihan.

Adalah menjadi hak Pas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang lebih cenderung aspirasinya. Orang lain tidak berhak mengarahkan Pas buat ini dan itu.

Mengambil contoh Turki dan Tunisia sebagai contoh kongsi kuasa adalah tidak sesuai. Kebanyakan negara di dunia bercorak sebangsa, berbanding Malaysia, berbilang bangsa dengan majoriti (Islam-60%)-minoriti (bukan Islam-40%) tidak besar. Kedudukan Islam dan umatnya akan tergugat jika umat Islam terus berpecah.

Justeru, Pas amat matang dalam menentukan siapakah yang benar-benar boleh menjadi kawan dan siapakah lawan sebenar? Tidak menjadi masalah berkongsi kuasa dengan bukan Islam, selagi mana Islam tidak diperkudakan.

Saya bukanlah orang Pas, tetapi selaku pengkaji, pada saya tindakan Pas itu betul. Asalkan Pas ada justifikasikannya. Seperti yang saya sebut minggu lalu, pasti ulama Pas memohon petunjuk Allah, seperti solat sunat isytikarah dalam membuat keputusan. Bukan macam parti lain, main terjah sahaja, ikut akal. Ya, dalam politik perlu ada strategi, tetapi pada masa sama, jangan lupa pohon petunjuk dan redha Allah.

Saya tidak pasti G18 dan G25. Kadangkala kita ini nama sahaja Islam, nak tengok sekali-sekala solat jarang sekali. Maka bolehkah orang sebegini dipilih sebagai pemimpin? Sebab itu, dalam Islam, bila berpolitik, perlu ada syarat, bukan semborono, sekalipun kemenangan semakin hampir.

Apa guna menang, jika Islam terkubur, pribumi hancur? Saya masih berpegang kepada prinsip dalam sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu, pembuat keputusan mestilah di kalangan orang Islam, tanpa menganiaya bukan Islam.

Bukan Islam masih boleh memegang tampok kuasa tertentu, tetapi perjuangan Malaysian Malaysia mesti digugurkan. Ya, Malaysia untuk orang Malaysia, tetapi mesti berpandukan kepada perlembagaan. 

Memang, tuntutan bersatu atau kongsi kuasa memang menjadi galakan Islam. Namun, setelah beberapa kali cuba dan cuba, tidak boleh juga, maka ketika itu perpisahan dibenarkan oleh syarak. Ada kalanya kita perlu bertegas dan berkeras. Jangan asyik jadi pak turut.

Islam tersebar melalui dua cara, hikmah dan juga ketegasan, seperti kenyataan adakah Islam tidak disebarkan melalui mata pedang? Ya, benar ada kalanya Islam tidak disebarkan melalui mata pedang. Tetapi dengan hikmah. Namun, dalam keadaan tertentu, fakta menunjukkan, Islam juga disebarkan melalui mata pedang. Jika tidak, bagaimana Islam boleh berkembang ke merata dunia. Islam akan dimusnahkan oleh musuh.

Apabila sesuatu keadaan itu membahayakan Islam, maka tidak salah ketegasan boleh digunakan, bukan setakat memutuskan hubungan, termasuk juga berperang. Tetapi ada adab-adabnya.

Misalnya, dalam perang, Islam mahukan kita menjaga beberapa perkara, jangan aniaya wanita, orang tua, kanak-kanak, rumah ibadat dan alam sekitar. Berperang hanya dengan musuh.  Bukan mereka yang tidak bersalah, termasuk bukan Islam.

Hari ini musuh telah menyerlahkan belang dan kemerbahayaannya. Adakah memutuskan hubungan dengan ultra kiasu soal tarekat atau silat? Apakah tindakan Pas tidak cerdik? Yang tidak cerdik itu adalah kalangan ‘orang luar’ yang tidak faham sejarah.

Kita diajar, apabila berada dalam dilema, mana satu nak dipilih antara dua. Maka, ketika itu pohonlah petunjuk Allah. Saya agak petunjuk yang telah diberikan oleh Allah kepada pucuk pimpinan Pas adalah, utamakan saudara seIslam dari musuh kafir ultra kiasu.


Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA