Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, November 24, 2014

PAU 2014 - MUHASABAH BUAT UMNO

9:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments


Sinar Harian, 24.11.14
 
Wahai UMNO, masa berjalan begitu pantas. Kini, kamu sudah memasuki PAU ke-65. Masa yang cukup lama, setelah memenangi PRU demi PRU. Menunggu kelangsungan PRU 14, itupun jika menang.

Ingatlah pesanan Konfucius ini, pertama, jika mahu menjadi pemimpin, pertamanya, jaga rumahtangga, anak isteri dengan baik, boleh menjadi contoh, sebab orang memerhatikan kamu. Kedua, nak pastikan rumahtangga itu menjadi baik, pastikan diri sendiri berakhlak mulia dan boleh diteladani, sebab kebaikan rumahtangga bermula dari diri kita. Ketiga, nak pastikan diri sendiri menjadi baik, pastikan hati itu bersih. Keempat, nak pastikan hati itu bersih, asasnya adalah sifat ikhlas.

Persoalan saya, adakah orang UMNO ada sifat seperti itu? Adakah kita  benar-benar mengutamakan rakyat? Terangkatkah memartabatkan agama, bangsa dan negara selama berkuasa? Tepuk dada tanya iman. Saya tidak nafikan ada, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki.

Wahai UMNO, contohilah pemimpin terdahulu, sanggup berkorban jiwa raga. Mahatma Gandhi, seorang pemimpin agong India, sentiasa menaiki keretapi kelas ketiga untuk bertemu rakyat. Apabila ditanya; “kenapa selaku pemimpin besar, menaiki keretapi kelas ketiga, bukan pertama?. Gandhi menjawab: aku memilih kelas ketiga, sebab tidak ada kelas empat”.

Menurut Gandhi, pemimpin yang berdosa adalah pemimpin politik yang tidak berprinsip. Mahu kaya, tetapi malas bekerja. Akhirnya, mengamalkan rasuah. Mahukan agama, tetapi tidak mahu berkorban.

Masih adakah pemimpin seperti Gandhi hari ini? Wahai UMNO! bukan maksud saya selepas ini, kita berpakaian compang-camping atau menjadi papa kedana. Apa yang tersirat dan tersurat, pemimpin mesti bersama rakyat dan menyelami hati nurani rakyat. Susah senang dirasai bersama.

Jangan sampai ada pemimpin yang terlampau kaya, sehingga ada rakyat yang terlampau miskin. Hari ini, seolah-olah kelihatan berlaku. Ada yang berlagak dengan rumah dan kereta besar. Anak-anak dihantar ke sekolah swasta dan luar negara.

Menjadi pemimpin atau ketua bahagian (cawangan) seolah-olah tiket untuk menjadi kaya. Maka, berlaku pertandingan merebut jawatan. Bagi mengekalkan dan memenangi jawatan tersebut, berbagai perkara akan dilakukan, termasuk merasuah. Akhirnya, kita ajar rakyat hidup memberi dan menerima rasuah. Tidak takutkah kita dengan api neraka?

Pemimpin dipilih bukan kerana akhlak dan daya intelektualnya, tetapi pemimpin dipilih berasaskan berapa banyak habuan yang diberi.

Wahai UMNO, kita sudah tidak ada masa lagi. Bangunlah sekarang sebelum terlambat. Telitilah menasihat ini. Pertama, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Pastikan diri kita boleh menjadi teladan. Kewujudan kita amat disegani dan dihormati. Pemergian kita nanti akan ditangisi. Jawatan itu amanah, ada perkiraan dunia dan akhirat. Orang pertama yang akan dihisab adalah pemimpin. Adakah kita memimpin rakyat ke jalan takwa?

Kedua, tegurlah pemimpin, termasuk raja, jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, secara berhikmah. Jangan hipokrit. Jangan bodek mereka. Itu menempah kecelakaan. Rasulullah dan 4 Khalifah kita juga ditegur rakyat. Ingatlah, kita semua manusia biasa, bukan Nabi.

Ketiga, perangi rasuah habis-habisan. Jangan menikam sesama sendiri kerana kita bersaudara. Tolak pemimpin yang mengamalkan rasuah. Rasuah hanya akan menjahanamkan kita.

Keempat, pertahankan hak kepada yang berhak demi pembangunan negara bangsa tercinta, bersumberkan perlembagaan. Agenda kebangsaan mesti diperkasakan, tanpa rasa takut kepada ugutan ultra kiasu.  

Kelima, marilah kita bersama-sama membawa negara ini menuju keredhaan dan keampunan Allah. Jangan undang kemurkaan Allah dengan berbuat dosa dan maksiat.

Akhirnya, marilah kita hayati pesanan Dato' Onn Jaafar, YDP UMNO, ketika PAU 1, 1946. Nasib Melayu hanyalah akan dapat diperkekalkan dengan kesatuan hati sesama mereka.

Meskipun sesama kita berlainan fikiran dan fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita. Kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu.

Marilah kita tunjukkan, hanya dengan persatuan di antara kita, akan lahir satu bangsa yang hebat, boleh berdiri di atas tapak kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar, mengatasi bangsa lain. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita. Marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar. Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang berani menghadapi bahaya dengan bersatu hati (Mac 1946).

Ketika PAU ke-2(1950), Dato’ Onn secara sukarela mengundurkan diri dari takhta kuasa. Beliau meminta supaya dirinya tidak dicalonkan sebagai YDP bagi sesi 1951/52. Nyata sekali Dato’ Onn tidak mengejar dunia. Kuasa bukan segala-galanya bagi beliau. Bukan seperti kita hari ini, kalau boleh mahu mati di takhta kuasa. Bangunlah wahai UMNO sebelum terlambat!

Monday, November 17, 2014

Cara Memartabatkan BM di SJK

8:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments


(Sinar Harian 17.11.14)

Saya ucapkan tahniah atas inisiatif MCA yang telah menubuhkan sebuah jawatan kuasa bertujuan membuat kajian, bagi memandai anak-anak SJKC menguasai Bahasa Kebangsaan (BM).

Jangan lupa masukkan pakar bahasa dan linguistik, terutama dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Begitu juga di UKM, tempat presiden MCA hari ini belajar suatu masa dahulu. Jangan asyik fokus dan ambil ahli akademik UTAR sahaja.

Saya menawarkan diri, jika sudi. Begitu juga pakar lain seperti, Profesor Teo Kok Siong. Sebelum itu, izinkan membuat beberapa cadangan.

Pertama, tambahkan waktu BM seperti mana yang telah diarahkan oleh kerajaan dan ditentang hebat oleh Dong Zong dan Jiao Zong (DJZ) serta MCA sendiri.

Sejak dahulu, kerajaan cadangkan agar BM diajar 240 minit seminggu di SJKC. Tetapi tidak pernah dipersetuji dan tidak dilaksanakan. Mereka hanya mahukan 180 minit sahaja. Atas alasan, jika ditambahkan waktu BM, maka mata pelajaran lain akan terjejas. Murid SJKC tidak dapat menguasai Bahasa Cina (BC) dengan baik.

Kenapa tidak mahu bersusah sedikit untuk masa depan negara? Pada saya, 240 minit tidak cukup. Gandakan kepada 600 minit seminggu yakni 2 jam setiap hari.

Kedua, guru yang mengajar BM tidak perlu disyaratkan mesti mendapat  kredit dalam BC peringkat SPM. Interaksi amat penting dalam menguasai BM. Jika pekerja Bangladesh boleh menguasai BM dalam masa yang singkat ketika berada di negara ini, kenapa tidak rakyat negara tercinta ini? BM adalah bahasa paling mudah di dunia berbanding bahasa lain.

Ketiga, beberapa subjek lain seperti sejarah juga hendaklah diajar dalam BM, bukan dalam bahasa ibunda (BC). SJKC tidak wajar beroperasi penuh kecinaan, dalam sebuah negara yang meletakkan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita tidak perlu menjadi terlampau kecinaan. Cukuplah sekadar boleh bertutur dan berinteraksi dengan baik.

Subjek sejarah yang hanya menekankan sumbangan orang Cina sahaja seperti yang mahu diperkenalkan oleh MCA, tidak sepatutnya diadakan. Alasannya supaya orang Cina tidak lupa akar. Bentuk akar bagaimana yang hendak diingati?  

Rakyat Sabah dan Sarawak, tidak pernah hilang akar dan jati diri kaum mereka meskipun mereka tidak ada sekolah berasaskan kaum. Saya amat bimbang, jika cadangan MCA ini diluluskan, selepas ini semua kaum di Sabah dan Sarawak meminta pula supaya sejarah pemimpin kaum mereka yang tidak kurang pentingnya dalam sejarah untuk ditonjolkan.

Apakah sumbangan pejuang seperti Mat Salleh, Rentap, Antanum, Sharif Masahor dan ramai lagi di Sabah dan Sarawak, tidak sehebat bekas pemimpin MCA?

Keempat, selama ini, silibus BM di SJKC/T berbeza dengan silibus SK. BM di SJKC/T dimudahkan sedikit kerana tidak mahu membebankan mereka. Itupun masih ramai yang gagal. Jika ramaipun yang berjaya, kebanyakan menghafal, bukan dengan kefahaman yang sebenar.

Bukti menunjukkan, ramai yang mendapat keputusan yang baik dalam BM ketika PMR dan SPM, tetapi bila tiba bab lisan atau kemunikasi, berlaku sebaliknya. Puncanya mungkin disebabkan ketika di sekolah rendah, silibus BM dimudahkan. Pertuturan BM dicampuradukkan dengan bahasa ibunda.

Justeru, sudah sampai masanya silibus BM diseragamkan di semua sekolah. Tidak kira di SJKC atau SK. Jika MCA hendak memastikan anak-anak tidak lupa akar, kenapa tidak boleh bersusah sedikit dalam mengakar agenda negara.

Kelima, pimpinan NGO pendidikan Cina seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong hendaklah dirombak. Mereka yang terlalu chauvinis dan perkauman hendaklah ditukar kepada yang lebih liberal dan mementingkan agenda negara.

Keenam, jika MCA benar-benar bersungguh-sungguh mahukan murid-murid SJKC pandai dalam BM, saya cadangkan agar menyokong terlebih dahulu inisiatif yang telah dirancangkan oleh Kementerian Pendidikan sejak dahulu lagi untuk memandaikan murid-murid SJKC.

MCA perlu fokus dalam hal ini. Perjuangan MCA akan diingati dan dihargai jika perancangan ini berjaya. MCA tidak perlu membuang masa mencampuri hal ehwal agama Islam, seperti isu memakai tudung di kalangan para pekerja wanita di negeri Kelantan. Itu hak mereka. MCA tidak perlu gatal mulut dan gatal tangan. Jaga kain sendiri, kerana kain sendiri juga berserabut.

Akhirnya, saya masih beranggapan bahawa sekolah satu aliran adalah yang terbaik untuk kita semua. Jika tidak dapat dilaksanakan, jadikan semua sekolah menjadi Sekolah Wawasan (SW) yang menempatkan semua pelajar dalam satu bumbung.

Untuk makluman, sehingga kini, kerajaan telah menempatkan hampir 40 ribu guru terlatih di SJKC. Sebanyak RM 2 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru dan operasi-operasi mengurus di SJKC di seluruh negara. Daripada hampir 2000 SJKC, sebanyak 455 mempunyai kurang daripada 150 murid. Itupun kerajaan terus bantu.  Peliknya, arahan kerajaan masih diabaikan?


Monday, November 10, 2014

Beza antara Sekolah Agama dan SJK

3:28 PM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments


(Sinar Harian 10.11.14)

Saya cuba mengelakkan untuk menggunakan istilah ultra kiasu setelah dinasihati oleh rakan seperjuangan, kerana ada yang beranggapan saya merujuk kepada semua orang Cina. Wal hal tidak. Tetapi, mutakhir ini serangan demi serangan mereka keterlaluan. Tidak berlapik dalam berbicara.  

Ultra kiasu mempersoalkan kedudukan Sekolah Agama (SA) yang terdiri dari murid beragama Islam sahaja, juga bersifat perkauman sama seperti Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Pertama, jawapan saya, SA tidak perkauman dan tidak rasis kerana operasinya dibenarkan oleh perlembagaan, dan telah dipersetujui oleh semua kaum. Malah kewujudan institusi agama (Melayu) yang lain juga tidak rasis, seperti UiTM, JAKIM, Majlis Agama, Jabatan Agama dan banyak perkara lain berkaitan Islam.

Kedudukan Islam bukan sahaja hanya terkandung dalam Perkara 3, tetapi ia juga harus dibaca bersekali dengan Perkara 8, 11, 12, 121, 150 dan kedudukan Yang di Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam. Bukti ini menunjukkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia mempunyai kedudukan keistimewaan berbanding yang lain.

Melalui kuasa perlembagaan inilah, Seksyen 36 dan 37 Akta Pelajaran 1961 digubal dan mewajibkan mana-mana sekolah yang menerima bantuan kerajaan supaya memperuntukkan pengajaran agama Islam dengan syarat jumlah pelajar di sekolah itu tidak kurang daripada lima belas orang. Semua perbelanjaan bagi pengajaran itu dibiayai oleh kumpulan wang yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan (Mohd Salleh Abas 1985).

Fakta ini menunjukkan Islam, diberikan keistimewaan berbanding agama lain meskipun perlembagaan turut menjamin hak kebebasan beragama. Dana awam boleh digunakan untuk pembangunan syiar Islam.

Bukan Islam di Malaysia amat bernasib baik, kerana kerajaan menyediakan peruntukan untuk pembangunan SJK dan juga rumah ibadat, walaupun tidak disebut dalam perlembagaan. Inilah toleransi dan keadilan yang tidak ada tolok bandingnya.

Perlu diingatkan, lebih dari 15 buah negara di dunia menjunjung agama dalam perlembagaan negara masing-masing, mengikut siapakah yang menjadi majoriti (Kristian, Islam atau Buddha). Antara negara Kristian adalah Ireland (Perkara 6), Norway (Perkara 1), Denmark (Perkara 3), Sepanyol (Perkara 6), Argentina (Perkara 2), Bolivia (Perkara 3), Panama (Perkara 36), dan Paraguay (Perkara 3). Manakala, negara Islam ialah Afghanistan (Perkara 1), Iran (Perkara 1), Iraq (Perkara 13), Jordan (Perkara 2) dan Syria (Perkara 3) dan negara Buddha ialah Thailand (Perkara 7). Kesemua negara ini memberikan keistimewaan kepada agama mereka. Jadi, apa masalahnya?

Kedua, kesemua pelajar sekolah agama boleh menulis dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu (BM) dengan baik. Majoriti mereka lulus BM dalam peperiksaan.

Cuba ultra kiasu kaji berapa ramai pelajar SJK yang gagal dalam BM dan langsung tidak boleh berkomunikasi dalam BM, sehingga kelas peralihan (remove class) terpaksa diwujudkan bagi membantu.

Mana dalam ada dunia ini satu sistem yang menyediakan kelas khas untuk mereka yang buta bahasa kebangsaan, kecuali Malaysia? Hargai usaha kerajaan ini.

Ketiga, dahulu SA kebanyakan dibangunkan oleh rakyat atau umat Islam, termasuk dana bantuannya. Ia dikenali sebagai SA Rakyat (SAR). Sekolah agama bantuan penuh kerajaan tidak banyak, berbanding bilangan SJK berganda-ganda bilangannya yang dibantu sepenuhnya oleh kerajaan hari ini.

Itupun SJK tidak mahu mengikut arahan kerajaan supaya ditambahkan waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek BM. Sebarang cubaan untuk memandaikan murid-murid SJK dalam BM ditentang kerana takut penguasaan bahasa ibunda terjejas.

Keempat, saya adalah kalangan anak Cina pada usia belasan tahun yang mengikuti kelas agama dan mengambilnya dalam peperiksaan. Sepanjang P&P yang berlaku, ustaz atau ustazah tidak pernah tanamkan kebencian kepada kaum lain (bukan Islam), kerana Islam tidak membenarkan.

Kelima, SA menggunakan bahasa pengantar BM, sedangkan SJK menggunakan bahasa asing (ibunda). Sudah tentu tahap kesayangan murid terhadap bahasa berbeza. Murid SJK lebih sayang bahasa ibunda dari bahasa kebangsaan. Mungkin di sini wujud tuduhan perkauman itu.

Keenam, bagi membuktikan perkara di atas, apa kata kita anjurkan debat atau syarahan atau hari interaksi antara SA dan SJK. Kita lihat, siapa yang akan lebih mudah berinteraksi dan bergaul. Saya amat yakin murid-murid SJK akan memencilkan diri, kerana mereka ada masalah komunikasi dalam BM.

Ketujuh,  mungkin kepada sesetengah kaum, agama itu tidak penting. Tetapi tidak kepada umat Islam. SA bertujuan untuk mendalamkan pengetahuan umat Islam terhadap Islam. Mudah-mudahan dengan ajaran tersebut, mereka akan menjadi semakin baik dan bertoleransi. Sejarah membuktikan, penerimaan orang Melayu terhadap bukan Melayu yang datang berhijrah, sangat tinggi, disebabkan oleh pengajaran dan kefahaman mereka terhadap Islam. Sebab itu mereka dilayan dengan baik kerana tuntutan agama.

Kesimpulannya, jika ditakdirkan orang Melayu tidak faham Islam ketika mana penghijrahan itu berlaku, apakah kita ada seperti hari ini? Justeru, berpada-padalah bila bercakap. Ingatlah, melalui kefahaman Islam itulah yang menjadi kita boleh hidup selesa dan kaya raya di sini.

Monday, November 03, 2014

Contohi dan ikutilah Brunei

9:03 AM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments
Sinar Harian, 3 November 2014



Minggu lalu saya berada di Brunei, mengisi Majlis Ilmu 2014, undangan Jabatan Perdana Menteri Brunei, membentangkan kertas kerja bertajuk manfaatkan sains martabatkan Islam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Sultan Brunei, bertemakan sains dan teknologi pemangkin pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup ummah.

Ucapan Baginda Sultan penuh dengan penegasan dalam melaksanakan Islam tanpa menolak kepentingan sains dan teknologi. Sains dan teknologi akan terus diperkasakan menjadikan Brunei negara maju 2035.  

Selepas perasmian, Mufti Brunei memberi ucaputama dan Sultan turut berada sama dan begitu khusyuk mendengar. Saya tersangat ingin perkara itu berlaku di Malaysia.

Ucapan Mufti begitu bernas dan tegas di hadapan pemimpin tertinggi negara itu. Sains dan teknologi mesti berpandukan iman dan taqwa. Secara tegas dan berani ucapan itu dituju oleh pemimpin negara. Soal syurga, neraka dan balasan akhirat dibangkitkan jika pemimpin tidak melaksanakan tanggungjawabnya. 

Walaupun fokus utama mengenai kepentingan institusi sedekah, tetapi isinya tidak lari daripada mengingatkan pemimpin negara, secara terang dan berani. Saya lihat Baginda Sultan begitu kusyuk mendengar, kerana saya yakin Baginda menganggap Mufti adalah penasihat terbaik baginda. Adakah kita juga sedemikian? Mufti pula tiada kepentingan, melainkan keredhaan Allah.

Apakah kita di sini ada keberanian seperti itu? Setakat yang saya lihat, tidak ramai kalangan kita yang berani menegur pemerihtah, meskipun secara berhikmah. Yang banyak adalah ucapan memuji dan membodek pemimpin untuk kekal kuasa, dapat kuasa dan habuan yang lain.

Bilakah negara kita ingin mencontohi Brunei? Semua pemimpinnya mahukan Islam, dan yakin dengan hukum Allah yang mesti ditegakkan.  

Saya akur, negara kita bukan Brunei. Bukan Islam hampir separuh. Tetapi, sekurang-kurangnya mulakanlah dengan melaksanakan cara hidup beragama, kalaupun tidak mahu nama Islam itu ditonjolkan.

Misalnya, budaya dan tatacara berada dalam pesawat. Berada dalam Royal Brunei Airlines (RBA), seolah-olah begitu yakin berada di udara, Allah bersama kita. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan salam yang begitu indah.

Anak-anak kapal begitu bersopan dan manis sekali. Pakaiannya menutup aurat. Makanannya semua halal. Tidak ada arak dan benda haram yang lain. RBA tetap penuh dengan penumpang tempatan dan asing. Brunei terus menjadi tumpuan pelancong. Tidak timbul soal laksanakan Islam, pelancong lari dari Brunei. Semakin ramai ada.

Inilah rahmat Allah yang mesti kita yakini. Apakah benar kata-kata jika arak tidak dihidangkan dalam pesawat pelancongkan akan lari. Bukankah pelancong sudah bermandikan arak di negara mereka sendiri? Paling saya bimbang, yang suka arak bukan pelancong, tetapi kita.

Lagi pula, arak kita tidaklah sebaik arak mereka. Arak yang dihidangkan itupun jenama negara mereka juga.

Pernah suatu ketika berlaku, oleh kerana terlalu obses menghidangkan arak yang diminta, ada pelancong yang mabuk dalam pesawat sehingga menjadikan keadaan kelam kabut dan membahayakan.

Apakah kita tidak pernah terfikir akan perkara ini atau kita sengaja membiarkan perkara ini, kerana takut pelancong lari.  

Apakah kita lebih takutkan pelancong daripada Allah? Saya tidak nampak paramugarinya tersungkur memakai kain labuh yang tidak berlelah. Berbanding pakaian kita yang terbelah sampai ke .....

Kenapa kita takut untuk melaksanakan nilai-nilai murni dan adab sopan beragama dalam sebuah negara yang kita isytihar sebagai negara Islam?

Benar, negara Brunei adalah hampir seratus peratus Islam. Maka mudahlah bagi mereka melaksanakan hukum Islam.

Paling tidakpun mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai agama. Saya amat yakin, semua nilai baik Islam, sesuai dan akan diterima oleh agama lain. Pokoknya kita mesti ada keberanian.

Malangnya dalam perkara sekecil adab-adab dalam pesawatpun kita tidak pernah merasa untuk melaksanakannya. Apakah pengajaran MH17 dan MH 370 masih belum cukup lagi?

Ini belum termasuk isu-isu besar lain seperti zina, judi, hubungan sejenis, seks bebas, rasuah, dan sebagainya. Saya tidak nafikan, hukuman itu telah ada. Tetapi perlaksanaan masih tidak mencukupi. Kita terlalu takut kepada gerakan hak asasi manusia. Kenapa hak Allah tidak mahu dijaga? Bukankah orang bukan Islam juga mahu berkongsi Allah? Jadi, apa masalah melaksanakan hak Allah?

Contoh kecil lain, adab berpakaian sopan. Pergilah ke jabatan kerajaan yang selalu menjadi tumpuan, seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen, Polis dan sebagainya. Mesti ada notis ditampal mengatakan adab berpakaian bila berurusan. Peliknya, kita masih melayan pelanggan yang memakai seluar sejengkal panjangnya, sehingga sudah nampak....

Justeru, nasihat saya, sebelum bala Allah menimpa, mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai murni agama. Usah pedulikan mereka yang tidak mahu masuk syurga. Mereka ini tajaan barat untuk menghancurkan umat Islam di negara kita.

Lakukanlah seperti apa yang Brunei lakukan. Baginda Sultan tidak pernah ambil kisah apa masyarakat antarabangsa atau hak asasi manusia akan kata. Paling penting bagi Baginda adalah mencari redha Allah dan mengelakkan azabNya yang amat pedih. Berhijrahlah sebelum terlambat.