Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, January 30, 2012

Hilang sudahkah jati diri?

7:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 177 comments
(Sinar Harian 30 Januari 2012)

Orang Cina dan simbol naga sudah sinonim. Naga membawa makna yang begitu signifikan. Pendek kata, Cina itu adalah naga, naga itu adalah Cina. Begitulah kuatnya jati diri Cina, sehinggakan ‘binatang’ yang bernama naga dikaitkan dengan identiti, walaupun ia hanya mitos. Saya tidak pasti apakah orang Melayu mempunyai ‘nama binatang’ yang boleh dikaitkan dengan identiti. Seingat saya tiada. Semua binatang itu makhluk dijadikan oleh Allah SWT. Kita perlu sayang dan menghormatinya, termasuklah khinzir. Haram dimakan, tetapi dilarang menganiayainya. Begitulah indahnya Islam. Walaupun Nabi sangat sayangkan kucing, tidak semestinya kita bencikan anjing.

Saya pernah menonton cerita Melayu yang dikaitkan dengan binatang khayalan iaitu “Naga Tasik Chini”. Sama ada naga itu wujud atau tidak, saya tidak pasti. Apa yang jelas, naga bukan lambang identiti Melayu. Begitu juga lambang bulan, bintang, tidak ketinggalan warna hijau, tidak semestinya mencerminkan keislaman seseorang. Pendek kata, Islam sebagai agama bersifat sejagat, menerima apa jua perlambangan dan warna selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Namun begitu, walaupun Islam menerima semua identiti yang tidak bercanggah, itu bukan bermakna, sesebuah negara Islam tidak boleh mempunyai identiti. Kita semua sedia maklum, Allah jadikan kita berbangsa-bangsa mengikut tempat dan kawasan, itulah identitinya. Lumrahnya, nama bangsa ini akan menjadi identiti atau nama negaranya. Misalnya, bangsa Cina menjadi negara China, bangsa India, negara India, bangsa Arab menjadi negara Arab, bangsa Melayu menjadi Tanah Melayu (Malaysia) dan sebagainya. Perkara ini telah saya sebut dalam artikel yang lalu.

Sehubungan dengan itu, sudah pastilah identiti bangsa ini seperti bahasanya akan menjadi identiti utama atau bahasa negara. Justeru, saya amat kagum dengan polisi bahasa di negara seperti Perancis, China, dan negara-negara lain di dunia ini. Dasar mereka adalah satu bahasa, satu bangsa, satu negara. Malangnya, ia tidak berlaku di negara ini. Mendengar sahaja lagu tema 1Malaysia, tertanya-tanya saya adakah kita sebenarnya mengamalkan kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu matlamat?

Saya tidak pasti apa akan terjadi kepada identiti negara ini dalam jangka masa 10 hingga 50 tahun mendatang. Melihat kepada perkembangan hari ini, saya dapat meramalkan bahawa identiti bangsa ini akan pupus. Saya jarang melihat orang bukan Melayu menonton filem Melayu, atau filem bangsa lain, berbanding orang Melayu menonton semua filem tidak kira filem bahasa apa sekalipun. Virus filem korea sedang melanda. Walaupun kita tidak faham bahasanya, sama seperti cerita Hindi, air mata berlinang dan ada yang menangis teresak-esak. Itulah orang Melayu, semua boleh, Malaysia boleh. Identiti sendiri hilang entah ke mana. Malah kita bangga beramal dengan identiti orang lain.

Pengalaman menaiki pesawat Air Asia buat kedua kalinya begitu menarik perhatian, mendorong saya menulis artikel ini dan terpaksa menangguhkan artikel mengenai Hasan Ali. Saya tercari-cari di manakah identiti Malaysia berbanding dengan menaiki pesawat Thailand, Indonesia, China, Jepun dan sebagainya yang begitu terpancar kesiaman, keindonesiaan, kechinaan, kejepunan dan lain-lain negara yang tidak perlu disebut. Tidak perlu sampai ke destinasi negara tersebut, memasuki pesawat mereka sudah terasa seolah-olah berada di negara mereka. Tetapi keadaan ini sukar dirasai apabila menaiki pesawat MAS, Air Asia, Firefly dan Berjaya Air. Nama pesawat itupun sudah tidak mencerminkan identiti. Mungkin nama firefly tidak seglamour nama kunang-kunang atau kelip-kelip. Sebab itulah nama majalah kunang hanya bertahan beberapa bulan sahaja.

Lihat pula pada pakaian mereka, terpancar identiti negara? Lebih meloyakan apabila melihat pakaian pramugari mereka. Peliknya, pakaian pramugara berlengan panjang dan seluar labuh hingga ke bawah buku lali kaki. Sedangkan wanita yang sepatutnya sedemikian, terbuka seluas-luasnya paha dan dada yang montok. Mungkin ada yang berkata, itu pesawat kepunyaan bukan Islam, suka hati mereka nak apa buat yang mereka suka. Persoalan di mana dasar dan agenda kebangsaan? Berapa ramai orang Melayu yang duduk dalam kerusi lembaga pengarah pesawat tersebut? Di manakah hati Melayu mereka? Hilang sudahkah jati diri?

Membaca majalah dalam pesawat yang bertajuk 3Sixty (Air Asia) dan Going Places (MAS) turut menyakitkan hati. Tidak adalah sepatahpun bahasa Melayu digunakan kecuali satu sahaja artikel dalam majalah Going Places. Sekurang-kurangnya biarlah tajuk majalah tersebut mempunyai identiti kebangsaan seperti majalah Kris dalam pesawat Singapura (SIA). Walaupun Kris itu bukan perkataan Melayu, tetapi saya masih beranggapan perkataan Kris itu mungkin berasal dari nama Keris. Tidak mengapalah menjadi Kris, paling tidak ada juga bunyi Melayunya. Tetapi bukan 3Sixty atau Going Places. Pesawat mereka terus membuat keuntungan dengan identiti kebangsaan. Begitu juga dengan Thai Airways dengan perkataan Sawadee. Pendek kata, agenda kebangsaan dan jati diri sentiasa diperkasakan. Bukan seperti kita, bila berbahasa Melayu, kalau boleh mahu diInggeriskan.

Untuk makluman, beberapa kali percubaan telah dibuat oleh kerajaan Singapura untuk menukar lagu kebangsaan dan cogan katanya “Majulah Singapura” tetapi gagal. Begitu juga koman (command) tenteranya masih lagi menggunakan bahasa Melayu. Perkataan seperti senang diri, sedia, ke kanan pusing, ke kiri pusing, dari kiri cepat jalan, dan berhenti masih digunakan. Malangnya, di kalangan negara lain gagal untuk menukar identiti yang telah bertahan sekian lama, kita dengan mudah sahaja menukar identiti tersebut.

Bayangkan jika selepas ini ultra kiasu yang memerintah, apakah identiti yang semakin hilang akan terus pupus. Ultra kiasu sedang memancing orang Melayu untuk menyertai parti mereka. Ramai yang telah terpengaruh. Apa akan terjadi jika ramai Melayu menjadi sebegini. Saya amat hairan kenapa sehingga ke hari ini kita tidak mempunyai polisi atau dasar yang mengikat agar identiti kebangsaan diperkasakan dan digunakan secara meluas.

Jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Belajarlah daripada pengalaman dan sejarah. Tercabutnya identiti Melayu dan Islam apabila kuasa raja-raja Melayu ditarik melalui pindaan perlembagaan. Dahulu, sebelum pindaan, raja-raja Melayu kebal. Raja adalah payung mahkota, pelindung agama, bangsa dan negara. Namun, setelah pindaan dilakukan, raja hanya berfungsi sebagai simbol. Orang Melayu sendiri sudah berani mempertikaikan raja. Kita ubah identiti zaman berzaman, akhirnya fungsi raja semakin kecil. Kekebalan raja telah hilang. Agama Islam dan bangsa Melayu belum tentu dapat dilindungi sepenuhnya berbanding dahulu. Ingatlah, bila identiti itu telah hilang, amat sukar sekali untuk dikembalikan semula.

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, January 22, 2012

Bahaya Islam diterajui sekular sosialis

5:53 PM Posted by RIDHUAN TEE 139 comments
(Sinar Harian 23 Jan 2012)

Pengganti Hasan Ali hanya diberikan portfolio adat istiadat Melayu, Belia dan Sukan sahaja dalam rombakan exco di Selangor. Portfolio Islam, Infrastuktur dan Kemudahan Awam diambilalih oleh pemimpin tertinggi Selangor ultra kiasu. Agak terkejut juga apabila pemimpin kanan PAS yang dilantik menggantikan Hasan Ali, tidak lagi diberikan amanah berkaitan dengan Islam, sedangkan PAS dan Islam sudah sinonim.

Menurut kata ultra kiasu tersebut, perlantikan dan rombakan exco ini telah dipersetujui oleh kepimpinan PAS. Nampaknya PAS terus tunduk kepada ultra kiasu. Sebelum ini, presiden PAS menegaskan, parti itu tidak pernah tunduk kepada kehendak atau tekanan mana-mana pihak termasuk parti komponen Pakatan Rakyat terutamanya DAP seperti yang didakwa. Beliau berkata, Pakatan Rakyat sentiasa mengamalkan konsep terbuka dan segala masalah diselesaikan dengan baik. Persoalan saya, apakah benar?

Saya amat yakin perubahan ini dibuat kerana ultra kiasu amat takut jika PAS diberikan jawatan exco yang lama, sudah tentu akan berulang peristiwa lama. Persoalan arak, rumah urut, dakyah Kristian dan perkara berkaitan Islam akan menjadi kontroversi seperti yang pernah dilakukan oleh Hasan Ali. Untuk menyelamatkan keadaan, pemimpin sekular sosialis telah mengisi posisi tersebut.

Saya tidak menjadi masalah jika portfolio Islam diberikan kepada orang yang sekurang-kurang mempunyai sedikit asas Islam. Misalnya, bacaan dan pemahaman al-Quran dan Islamnya baik, walaupun tidaklah mencapai makam ustaz atau berlatar belakangkan pengajian Islam. Atau carilah sekurang-kurang yang pro kepada Islam. Tetapi bukan kepada yang sekular sosialis. Pada saya, tidak kena pada tempat dan tidak adil. Saya amat hairan dan pelik kenapa PAS membenarkan keadaan ini berlaku? Apakah benar dakwaan mengatakan PAS sudah menjadi semakin liberal disebabkan oleh parasit-parasit yang wujud?

Mungkin akan ada yang bertanya, Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan) juga pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), sedangkan latar belakang bukanlah pengajian Islam. Jawapan saya, latar belakang Zahid Hamidi dan Hasan Ali amat berbeza dengan pemimpin ultra kiasu Selangor itu. Mereka berdua boleh memahami dan membaca al-Quran, menjadi imam dan menyampaikan khutbah dengan baik. Cuba bertanya kepada pemimpin ultra kiasu Selangor tersebut, adakah beliau juga sedemikian? Saya bimbang nanti makmum lintang pukang lari mendengar sahaja ayat-ayat suci al-Quran dialunkan ketika menjadi imam atau berkhutbah.

Lebih mengejutkan lagi, tidak ada seorangpun pimpinan PAS yang memuji Hasan Ali atau mengenangkan jasa beliau semasa berada dalam PAS dan ketika menjadi Exco Selangor. 999 kebaikan yang dilakukan Hasan Ali dilupakan begitu sahaja, hanya kerana satu ‘kesalahan kecil’ yang dilakukan. Inikah akhlak Islam? Orang PAS selalu bercakap pasal akhlak, adab dan tata susila. Namun, bila masuk bab politik, semua perkara tersebut hilang entah ke mana.

Pemuda PAS mengingatkan Hasan Ali supaya jangan menjadi kuda tunggangan UMNO. Veteran PAS mengibaratkan Hasan Ali sebagai buah busuk yang akan gugur sendiri dan banyak lagi perkara-perkara negatif yang dilemparkan kepada Hasan Ali, hanya kerana Hasan Ali, bukan lagi orang PAS.

Nampaknya, orang PAS sahaja yang baik, orang lain tidak? Kenapa ketika Hasan Ali berada di dalam PAS, yang buruk-buruk langsung tidak disebut? Habis manis sepah dibuang. Adakah ini cara PAS bertindak? Selama ini PAS selalu melabelkan UMNO sebagai kotor. Hatta, mereka yang menulis dalam media arus perdana ‘pro Umno’ pun dikatakan kotor. Semua yang dilakukan oleh UMNO-BN kotor, yang bersih hanyalah pakatan ultra kiasu ini. Sebab itu, saya tertarik dengan rasional Nasharudin Mat Isa yang juga berharap tidak timbul polemik di kalangan anggota PAS yang menganggap orang yang menyatakan pendapat dalam media pro UMNO ingin menjadi anggota UMNO. Mereka sudah tidak ada ruang di medan lain, seperti Harakah, Roket dan Keadilan? Jika adapun, hanya cacian dan makian.

Di manakah akhlak kita sebagai umat Islam Islam? Lupakahkita pada akhlak Rasulullah? Jika lupa, biar saya ingatkan! Shofwan bin Umayyah dan bapanya Umayyah, amat memusuhi Rasululullah SAW. Ketika Rasulullah memasuki Makkah dalam peristiwa Fath Makkah (Penaklukan kota Makkah), ramai orang Quraisy ketakutan dan melarikan diri. Mereka takut kalau Rasulullah akan membalas dendam atas perbuatan mereka selama ini. Shofwan bin Umayyah melarikan diri menuju ke Jeddah dan bercadang ke Yaman, menyeberangi lautan. Shofwan merasakan lebih baik mati di tengah lautan daripada mati di tangan Rasulullah. Sedangkan, Rasulullah memaafkan semua orang yang sejak lama memusuhinya. Bahkan, Rasulullah turut memberi mereka ganjaran. Namun, Shofwan tetap berkeras untuk melarikan diri.

Pada masa yang sama, Umayr bin Wahb berjumpa Rasulullah lalu berkata; ‘Wahai Nabi Allah, sesungguhnya Shofwan sudah melarikan diri darimu. Saat ini ia akan menyeberangi lautan dan ia akan bunuh diri di sana. Maka, berilah ia ‘jaminan keamanan’. Rasulullah berkata, ‘Dia akan aman’. Umayr berkata, ‘Wahai Rasulullah, berikan padaku tanda ‘jaminan keamananmu’. Maka, Rasulullah memberikan imamah (serban yang melilit di kepala) yang dipakainya ketika itu. Lantas, berangkatlah Umayr menuju Jeddah, menyusul Shofwan. Umayr berhasil menemukan Shofwan, yang saat itu akan menaiki kapal. Umayr berkata, ‘Wahai Sofyan, demi ayah dan ibuku sebagai tebusannya. Ingatlah dirimu. Jangan kau celakakan dirimu sendiri! Aku datang kepadamu dengan membawa ‘jaminan keamanan dari Rasulullah’. Umayr menunjukkan serban Rasulullah kepada Shofwan.

Shofwan berkata, ‘Tapi aku khuatir dengan keselamatan diriku’. Umayr berkata, ‘Dia (Rasulullah) lebih lembut dan mulia dari yang kau kira’. Shofwan membatalkan niatnya melarikan diri, lalu bersama Umayr ia kembali ke Makkah, mendatangi Rasulullah. Tatkala tiba, Shofwan berkata, ‘Inikah orang yang telah engkau berikan jaminan keamanan?’ Rasulullah menjawab; Ya, benar’. Shofwan berkata, ‘Kalau begitu, beri aku waktu dua bulan untuk menentukan sikap (apakah masuk Islam atau tidak?)’. Rasulullah menjawab, ‘Engkau aku beri waktu empat bulan’. Begitulah akhlak Baginda terhadap musuh-musuhnya. Rasulullah tidak menekan Shofwan untuk mengambil keputusan dengan cepat, namun memberinya waktu lebih lama dari yang diminta.

Pendek kata, Rasulullah tidak bongkak dengan kemenangannya. Rasulullah tidak mengambil kesempatan dengan kuasa yang ada pada Baginda untuk membalas perlakuan buruk para musuhnya. Tidakkah kita semua rindu kepada sifat Baginda SAW wahai kepimpinan PAS? Rasulullah pernah memberikan peringatan bahawa: seorang mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya. Jika begitulah lunaknya Rasulullah, wajarkah kita lakukan perkara ini kepada mereka yang sebangsa dan seagama?

Kepada semua yang menyambut Tahun Baru Cina, ucapan dari saya Kong Xi Fa Chai.


Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, January 15, 2012

Kesali kejahatan, jangan takburi kebaikan

9:13 PM Posted by RIDHUAN TEE 247 comments
(Sinar Harian 16 Jan 2012)

Nampaknya semua begitu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri (PM) dalam perjalanan menuju Putrajaya, selepas Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) nanti. Barisan Nasional sudah pasti akan berhempas pulas mempertahankannya. Manakala, parti pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ultra kiasu, kelihatan begitu ghairah. Ingatan saya, jangan melebihi kuasa Tuhan. Berjaya atau tidak, itu bukan kuasa kita. Serahkan kepada Yang Maha Esa.

PAS awal-awal lagi menasihatkan rakan-rakan sekutunya, kepimpinan Pakatan Rakyat dan penyokong parti pakatan, supaya memberikan tumpuan untuk “menumbangkan” UMNO-Barisan Nasional (BN) dan bukan memikirkan siapa calon PM, sekiranya pemimpin nombor satu PKR itu dihukum penjara atau tidak. Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menegaskan perhimpunan aman 901 bukan semata-mata kerana mahu membela Anwar Ibrahim tetapi sebagai “mesej penting” kepada Putrajaya. Jelas sekali, PAS pun agak tidak selesa dengan PKR dan ultra kiasu yang bernafsu besar untuk membolot jawatan tertinggi negara, jika ditakdirkan memerintah. Pada mereka, pemimpin mereka semua layak, yang tidak layak hanya PAS. Ultra kiasu tidak suka orang berserban, berjubah dan berjuang untuk Islam.

Sebab itulah kenyataan Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa langsung tidak disokong apabila mereka berdua mengatakan Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz adalah calon yang paling layak menjadi PM jika pemimpin PKR itu tidak dibebaskan. PKR dan ultra kiasu terdiam, serta cepat-cepat menasihatkan supaya tidak dibincangkan perkara tersebut. Nampak atau tidak, strategi mereka mengenepikan PAS. Bacaan saya, jika ditakdirkan pemimpin nombor satu PKR itu masuk penjara, alternatif lain masih lagi bukan PAS, tetapi pemimpin nombor dua PKR dan mungkin juga ultra kiasu sendiri.

Ternyata parti politik ultra kiasu ini langsung tidak menghormati PAS. Sedangkan dari segi senioriti, PASlah yang paling layak, dan paling banyak berjasa. PAS bukan sahaja lebih lama dari segi usianya, malahan pemimpin mereka lebih berakhlak daripada PKR dan ultra kiasu, kecuali beberapa tokoh tertentu.

Saya tidak mahu kaitkan dengan muslimat PAS yang beraksi berani semasa Perhimpunan 901 berdekatan kompleks mahkamah. Nampaknya muslimat PAS semakin pandai menyanyi, termasuk bersalaman dengan orang lelaki, sejak berpakat dengan pakatan sekular tersebut. Saya amat terkejut atau terkejut beruk. Nasib baik tiada lemah jantung. Kalau tidak, sudah tentu akan pengsan saya melihat gelagat muslimat PAS ini. Dahulu, bila bercakap dengan lelakipun menggunakan tabir. Apakah selepas ini, PAS akan menafikannya dengan mengatakan bahawa itu adalah sandiwara UMNO? Nasihat saya, janganlah menggadaikan prinsip hanya kerana ghairah untuk menawan Putrajaya.

Apakah benar jangkaan saya selama ini, semakin liberal PAS, maka semakin PAS mendapat sokongan. Sebaliknya, semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin UMNO dapat mengekalkan Putrajaya. Sekiranya jangkaan saya ini benar, UMNO tidak ada pilihan lain, kembalilah kepada Islam. Biarkan PAS dengan cara barunya itu. Kita lihat hasilnya. Namun, saya yakin, mereka yang cenderung kepada Islam, tidak akan kalah dalam erti kata sebenar, walaupun mungkin kalah dalam pilihan raya.
Apapun, perbuatan muslimat PAS, amat tidak manis dan tidak sedap dipandang mata. Apatah lagi dengan memaki “mampus UMNO”. Jika “UMNO mampus”, apakah PAS yakin PAS akan terus hidup tanpa UMNO? Jangan begitu wahai muslimat PAS! Di manakah kelembutan anda sebelum ini? Jangan kerana terlalu ghairah ke Putrajaya sehingga hilang adab sopan dan tata susila Islam?

Hakikatnya kini, pemimpin nombor satu PKR telah dibebaskan oleh mahkamah. Sudah tentu semua mata tertumpu kepada beliau. Kepimpinan PAS janganlah ada yang bercita-cita untuk menjadi PM. Timbalan PM pun, pada saya fikir masih sukar jika berjaya ke Putrajaya. Kecualilah diwujudkan tiga jawatan Timbalan PM. Ahli parlimen Shah Alam pula janganlah terlalu berharap. Begitu juga dengan ‘pakar perlembagaan’ yang baru mahu mencuba nasib. Terus terang, pembebasan pemimpin tertinggi PKR, bukan bermakna beliau tidak bersalah. Bukti-bukti untuk membuktikan beliau bersalah tidak cukup. Hanya beliau dan Allah sahaja yang mengetahui sama ada beliau bersalah atau tidak. Asasnya, penghakiman dunia telah berlaku. Kita terima dengan lapang dada.

Dalam hal ini, saya sependapat dengan Nasharuddin Mat Isa. Apa lebihnya PKR berbanding dengan PAS. PAS telah menunjukkan kebolehan memerintah lama di Kelantan dan masih baru di Kedah. Sedangkan PKR dan ultra kiasu baru setahun jagung di Selangor dan Pulau Pinang. Itupun begitu ghairah hendak bertanding. Hatta, kerusi yang selama ini ditandingi oleh PAS pun, mereka masih mahu merebut. Kalau diikutkan, PKR tidak layak bertanding di kawasan kubu kuat PAS seperti kerusi-kerusi Kelantan, Terengganu dan Kedah. Demi politik, PAS terpaksa memberi laluan. Itulah politik, sesuatu yang sukar dijangka.

Apapun, laluan ke Putrajaya hanyalah kalau, Allah sahaja yang Maha Tahu siapa yang akan menjadi PM. Melalui pengamatan saya, agak sukar untuk menumbangkan BN. Paling terukpun, majoriti BN akan semakin menipis. Untuk ultra kiasu menang mudah jauh sekali. Namun, mereka nampak begitu bongkak, takbur dan ujub. Nasihat saya, kejahatan yang dikesali, lebih baik daripada kebaikan yang ditakburi. Hari ini, saya amati, kita jarang kesali dengan perbuatan terkutuk yang telah banyak dilakukan. Rata-rata kita lihat, kita amat takbur dengan sedikit kebaikan yang telah dicurahkan. Sedikit kebaikan itulah yang diberikan publisiti besar-besaran. Apakah kebaikan yang ditakburi itu boleh menenggelamkan kejahatan yang kita lakukan selama ini? Tidakkah lebih baik kejahatan itu yang kita perlu kesali?

Apakah kita memberi jaminan bahawa jika ultra kiasu Melayu ini memerintah, mereka akan lebih bersih daripada UMNO sebab mereka dahulupun adalah orang UMNO juga? Apakah tabiat lama mereka sudah dipadamkan begitu sahaja? Mungkinkah Allah telah menerima taubat mereka? Saya bimbang, keghairahan mereka akan menjadikan mereka memerintah lebih teruk daripada UMNO. Sebab itu, saya tidak pernah percaya dengan parti ultra kiasu ini. Perjuangannya tidak jelas, nak kata Islam pun tidak, perjuangkan keadilan pun tidak. Apa yang saya lihat, mereka turut berebut-rebut tender projek di majlis perbandaran dan negeri-negeri pemerintahannya. Jika tidak percaya, kita boleh sama-sama buat kajian mengenai budaya yang berlaku hari ini. Berapa ramai orang UMNO yang mendapat projek di negeri pimpinan mereka?

Ingatlah pesan Al-Qarni, manisnya kekuasaan baru terasa setelah turun, laksana bayi yang baru merasa manisnya menyusu pada saat telah dihentikan. Kegembiraan waktu menjawat akan segera lenyap dengan kesedihan sewaktu diberhentikan. Ingatlah, kekuasaan atau jawatan selalu bersifat sementara, ibarat roda berputar. Kita tidak boleh menongkat langit, kecuali Pencipta yang menjadikan maya pada ini.

Hari ini, apa yang sepatutnya kita lakukan dengan mencintai atau menyayangi sesama kita, sebab kita semua seagama. Saya teringat kepada kata-kata, the most important thing in any relationship is not what you get, but what you give. Ingatan saya kepada PAS dan UMNO, the best way to destroy an enemy is to make him a friend.


Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, January 08, 2012

Ultra kiasu dan pembinaan negara

9:19 PM Posted by RIDHUAN TEE 226 comments
(Sinar Harian 9 Jan 2012)

Beberapa persatuan dan parti politik Cina ultra kiasu terutamanya Dong Zong dan banyak lagi Zong lain, terus mendesak supaya kerajaan memberikan kebenaran untuk membina lebih banyak lagi Sekolah Persendirian Cina, di samping desakan penambahan sekolah bantuan penuh (dan modal) kerajaan sedia ada seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC). Alasan mereka, sekolah persendirian tidak melibatkan peruntukan kerajaan, kenapa tidak dibenarkan didirikan? Beberapa pertemuan telah dibuat dengan Timbalan Menteri ultra kiasunya. Saya yakin mereka seia sekata. Perancangan sedang dibuat untuk bertemu dengan pimpinan tertinggi negara bagi merealisasikan tuntutannya.

Apa yang memelikkan, kajian mengenai kesan sekolah ini ke atas pembinaan negara bangsa tidak pernah dilakukan, yang ada hanya desakan dan tuntutan. Bila kebenaran pembinaan diberikan nanti, sekolahpun telah siap, pada masa sama, mereka juga mendesak kerajaan supaya sekolah persendirian dibantu dan sijilnya (UEC) diiktiraf, selaras dengan gagasan 1Malaysia. Paling tidak, dikecualikan cukai pendapatan kepada mereka yang menderma. Apakah kita tidak belajar daripada pengalaman sebelum ini? Apakah benar institusi ini berjaya melahirkan pelajar yang berpegang kepada prinsip Malaysian first, Chinese second?

Saya harap kerajaan tidak akan tunduk kepada ultra kiasu ini. Jika terlalu terdesak sangat kerana mengharapkan undi mereka, paling tidak, buatlah perjanjian. Pertama, pentadbiran dan pengurusan silibusnya mesti diletakkan di bawah kementerian pelajaran. Kedua, pelajar-pelajarnya mesti boleh fasih berbahasa Melayu dan mempunyai jati diri Malaysia yang kuat. Ketiga, jika kehendak ini tidak dipenuhi, sekolah dan tanah mereka akan diserap ke dalam pendidikan kebangsaan. Nasihat saya, jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Jadikan iktibar kesilapan lalu untuk berhadapan dengan masa kini kerana ia amat penting dalam pembinaan negara.

Apakah kita sudah lupa sejarah dan masalah yang telah, sedang dan akan dihadapi dengan SJKC, SMKJC, sekolah persendirian dan universiti perkauman yang sedia ada? Kesemua institusi ini seolah-olah langsung tidak boleh disentuh dari segi silibus dan pentadbirannya, walaupun kerajaan begitu banyak membantu, termasuk yang dibantu seratus peratus. Itupun mereka berani berhujah bahawa ‘kejayaan dan kehebatan’ sekolah vernakular hari hasil usaha mereka sendiri. Bantuan kerajaan dilupakan, malah dikutuk lagi. Paling menyedihkan, sekolah vernakular bantuan kerajaan sepenuhnya pun terpaksa tertakluk kepada lembaga pengurusan mereka. Misalnya, penempatan guru besar/pengetua dan guru-guru sekolah terbabit. Ini tidak termasuk penambahan waktu pengajaran bahasa Melayu dan keseragaman silibus yang ditolak secara total. Alasannya mudah, mereka tidak mahu menjadi bangsa pisang, luar kuning, dalam putih atau tidak menjadi Cina totok.

Terbaharu, paderi ultra kiasu yang bergelar Tan Sri pula mendesak supaya semua sekolah mubaligh/rahib Kristian yang berjumlah lebih 400 buah seperti SMK Convent Bukit Nenas mesti berpengetuakan pengetua/guru besar Kristian dan mendapatkan kelulusan pemilik sekolah di bawah perintah Infant Jesus (IJ) Sisters order. Ultra kiasu ini mengungkit janji Menteri Pelajaran pada 1976, untuk berunding dengan pihak berkuasa sekolah mubaligh berkenaan pemilihan guru besar/pengetua. Peliknya ‘sekolah mereka’ mesti dipimpin oleh mereka. Sedangkan sekolah aliran kebangsaan didesak untuk dibuka kepada semua. Adakah semua ini wajar, sedangkan kerajaan memberikan bantuan sepenuhnya kepada semua sekolah ini? Di manakah kita tinggal? Dalam negara Islam atau…?

Lebih dahsyat lagi, mereka mendesak supaya ditubuhkan kementerian bukan Islam bagi melindungi agama-agama bukan Islam kerana didakwa ‘dibuli’ selama ini. Pesanan saya, jangan dijolok sarang tabuan. Berikan contoh pada saya bagaimana bukan Islam dibuli, didiskriminasi dan dipinggirkan di negara, berbanding dengan nasib agama Islam di negara lain? Cuba kiranya berapa banyak rumah ibadatnya dan peruntukan yang diperolehi, berbanding jumlah bilangan mereka? Jangan terlalu ultra kiasu?

Kenapa tidak pernah bersyukur dengan kelebihan yang diperolehi? Sedikit terkurang, ditonjolkan seolah-olah negara ini sudah kiamat. Sebagai contoh, dalam budget 2012, Kerajaan telah bermurah hati memberikan peruntukan yang sama rata di semua sekolah. Sedangkan keperluan sesebuah sekolah dan bilangan sekolah tidak diambil kira, apatah untuk memenuhi kehendak perlembagaan? Berapa banyak sekolah agama yang dibiayai sendiri? Tidakkah kita sedar, pengiktirafan terhadap lepasan sekolah agama pun hanya dibuat selepas mereka menyelaraskan sistem pelajaran mereka kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang ditetapkan kementerian? Apakah wajar pengiktirafan diberikan kepada UEC? Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap keperluan masyarakat setiap kaum dalam bidang pelajaran dengan peruntukan RM1.8 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) di seluruh negara. Ini tidak termasuk sekolah mubaligh dan lain-lain. Mana ada kemudahan sebegini di negara lain di dunia ini? Carilah. jika ada dan berhijrahlah jika dirasakan masih ada kekurangan di sini.

Perlu saya tegaskan, gelombang budaya ultra kiasu (komunis) sudah meresap dan mempengaruhi segenap aspek kehidupan. Mereka memperalatkan hak asasi manusia untuk memoptimumkan perancangan liciknya. Kebebasan yang diberikan dan gagasan 1Malaysia dipergunakan untuk memperkasakan agenda agama dan bangsa mereka. Sedangkan identiti Islam, Melayu dan kebangsaan mahu diliberalkan.

Saya masih berkeyakinan, selepas ini sijil UEC akan diiktiraf oleh kerajaan. Desakan ini telah lama dibuat oleh beberapa pertubuhan Cina sama ada berada dalam kerajaan mahupun ultra kiasu. Mereka mahukan lepasan UEC mesti diterima di IPTA. Sedangkan kita tahu, syarat-syarat kementerian tidak dipenuhi. Itupun lepasan UEC telah lama diterima di IPTS. Sekolah Persendirian ini lebih obses mematuhi kehendak universiti di China, Hong Kong dan Taiwan daripada negara sendiri. Kedudukan bahasa Melayu tidak ambil kira.

Apakah kita sudah lupa tuduhan mereka terhadap Matrikulasi, Kolej MARA, Sekolah Agama, UiTM dan beberapa institusi lain yang majoritinya pelajar Islam? Ultra kiasu secara berani menuduh, kejayaan cemerlang pelajar-pelajar ini adalah disebabkan oleh soalan yang telah permudahkan dan dibocorkan? Bagaimana pula dengan peperiksaan sekolah persendirian UEC, apakah soalannya begitu sukar dan tidak dibocorkan?

Kerajaan semakin kuat menunjukkan toleransi dan sanggup meliberalkan agenda nasional, orang lain terus mengambil kesempatan dan bersifat perkauman. Baru-baru ini apabila Perdana Menteri telah bermurah hati memperuntukkan sebanyak RM5juta kepada Hua Zong (Persekutuan Persatuan Cina Malaysia) untuk membina bangunan mereka di Seri Kembangan. Jika difikir secara logik, semua persatuan Cina sudah mempunyai bangunan mereka sendiri. Kenapa perlu dibina lagi? Berapa banyak mahu dibina? Jika dibinapun, biarlah menggunakan peruntukan sendiri, yang saya yakin, dana nya sudah melebihi daripada apa yang sedia ada. Selepas ini, setiap daerah dan negeri akan meminta peruntukan kerajaan untuk membina bangunan bersifat perkauman ini? Saya mencadangkan supaya Lembaga Hasil melakukan audit terhadap persatuan-persatuan ini. Adakah persatuan ini benar-benar miskin. Jika miskin kenapa mahu tambah lagi?

Saya difahamkan kerajaan akan bersetuju dengan permintaan ultra kiasu ini untuk mendapatkan pengecualian cukai kepada mereka yang memberi sumbangan untuk membiayai pembinaan bangunan itu. Saya tidak dengki, tetapi hormatilah perlembagaan dan kenakanlah syarat-syarat berkaitan agenda nasional. Ketika majlis pecah tanah tersebut, back drop masih mengutamakan bahasa ibunda, berbanding bahasa kebangsaan. Saya amat pelik, perkara sebegini besar (kecil) pun kita tidak mempunyai dasar? Bagaimana dengan perkara-perkara lain? Apabila bangunan ini siap, saya tidak nampak ciri-ciri akan menampakkan Malaysian first. Pesanan saya, janganlah kita terlalu yakin dengan bantuan tersebut, mereka akan memberikan undi kepada parti memerintah?

Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, January 02, 2012

Tukar atau ditukar?

12:58 AM Posted by RIDHUAN TEE 317 comments
(Sinar Harian 2 Jan 2012)

“Sikit, sikit, tukar… sikit, sikit tukar, semuanya gara-gara takut kena tukar”. Novel terbaik, Interlok akhirnya ditukar kepada novel Konserto Terakhir. Kenapa keputusan tersebut tidak dibuat ketika isu ini mula disensasikan oleh ultra kiasu? Kenapa biarkan kontroversi berlanjutan sebegitu lama? Setelah wang ringgit, masa dan tenaga habis begitu sahaja untuk ‘memperbetulkan’ perkara yang dikatakan sensitif, tiba-tiba keputusannya tukar. Saya tidak pasti keputusan tersebut ada dibawa berbincang atau tidak dengan sasterawan dan cendekiawan. Setakat yang saya tahu, belum ada.

Akhirnya bersorak gembiralah ultra kiasu, sama ada di dalam mahukan di luar kerajaan. Ultra kiasu terus menang, kita terus kalah. Inilah budaya tukar yang mula melanda, kita mengambil keputusan tukar, kerana takut kena ditukar. Ia semakin menghantui mereka yang berkuasa sama ada di peringkat kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

Saya cukup bimbang jika budaya ini berlanjutan, yang baik ditukar, sedangkan yang belum tentu baik tidak ditukar, malah dipaksa untuk kita menerimanya. Semua ini gara-gara tindakan licik dan berstrategi ultra kiasu. Lihat pula dalam kes negara Islam, kerana takutkan ultra kiasu, nama negara Islam yang begitu baik, ditukar kepada negara berkebajikan, dengan alasan negara Islam adalah juga negara berkebajikan. Untuk mengelakkan daripada sesuatu itu bertukar, lebih baik, ditukar awal-awal. Mudah-mudahan ia tidak akan bertukar. Budaya ini tidak baik dalam pembinaan negara bangsa.

Kita masih tidak sedar dan tidak serik. Apa yang kita tukar itu, belum tentu dapat meraih undi dan sokongan ultra kiasu, sekiranya sikap ultra kiasu tidak dibendung. Apakah dengan tindakan dan keputusan sebegini, kita amat pasti kerajaan hari ini tidak akan ditukar? Ingatlah, ultra kiasu amat licik dalam permainan ini. Mereka sudah tahu di mana kelemahan kita.

Kita sepatutnya mendidik ultra kiasu, bukan dengan membuat keputusan tukar. Pendekatan berlembut agak kurang sesuai berhadapan dengan ultra kiasu. Sesuatu yang membahayakan keselamatan negara, undang-undang perlu dikenakan. Sebagai pemimpin, kita tidak perlu takut sekiranya kita di pihak yang benar. Masa depan negara lebih penting. Ada perkara yang boleh ditoleransi, ada yang tidak. Jika perkara yang tidak boleh ditoleransi lagi, sepatutnya kita sudah menyediakan kata putus, berasaskan kepada sejarah, undang-undang dan perlembagaan (sama ada bertulis atau tidak). Ini tidak, kita asyik bertarik tali. Sekejap tarik, sekejap hulur. Yang dihulur lebih banyak daripada yang ditarik. Akibatnya, kaduk naik junjung, ultra kiasu menjadi semakin melampau.

Apapun selepas ini, kita akan terus diugut dan didesak. Pada saya, ultra kiasu tetap ultra kiasu. Jika diberi muka, mereka yang untung, bukan kita. Bila segalanya mereka dapat, kita akan ditukar. Bila semuanya telah bertukar, mereka akan mendapat lebih banyak lagi apa yang telah didapati selama ini, kerana kita telah membuat keputusan untuk tukar.

Pada 24 Disember 2011 yang lalu, seorang Paderi berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan membuli golongan minoriti. Perkara yang telah termaktub dalam perlembagaanpun mahu ditukar. Ini benar-benar mencabar maruah kita semua. Siapa membuli siapa? Perlembagaan Persekutuan telah dipersetujui secara bersama. Hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sudah termaktub. Saya tidak nampak bukan Melayu dibuli melalui peruntukan tersebut. Rata-rata kita lihat bukan Melayu semakin semakin bergaya akibat kelemahan kita. Hak istimewa tersebut hanya pada kertas sahaja.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, kecuali di Malaysia, sebuah negara sebangsa sekelip mata bertukar menjadi berbilang bangsa, hanya kerana toleransi bangsa yang tidak ada tolok bandingnya. Bangsa ini sanggup berkongsi negara dan berkongsi kuasa, semata-mata untuk membina sebuah negara bangsa. Pulau yang dahulu miliknya, dilepaskan begitu sahaja, tanpa berlaku rampasan kuasa atau tumpah darah. Bayangkan jika itulah yang berlaku di negara komunis, berapa banyak nyawa yang menjadi korban?

Bandingkan dengan negara lain. Lihatlah keberanian David Camerons, Perdana Menteri Britian dalam memperkasakan negaranya. Beliau tidak pernah takut kepada sesiapapun dalam menegakkan kebenaran. Beliau telah mengisytiharkan Britain sebagai negara Kristian. Tidak ada sesiapapun yang berani menentang kerana itulah hakikat negara itu sejak ianya diwujudkan.

Berbanding dengan negara kita, apabila Perdana Menteri Keempat mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, kita lihat reaksi ultra kiasu, bingkas bangun menentang secara berani, mengatakan Malaysia sebuah negara sekular. Jika mereka melakukannya di Britain, sudah lama dimasukkan ke dalam ISA. Tetapi tidak di sini, kita biarkan atas asas kebebasan bersuara.

Saya bimbang, berapa banyak lagi selepas ini yang akan ditukar? Tunggu dan lihat. Keputusan mengenai PPSMI telahpun dibuat. Apakah selepas ini PPSMI tidak akan ditukar? Inilah kebimbangan pejuang-pejuang bahasa, termasuk bukan Melayu seperti Khoo Kay Kim, Teo Kok Seong, Lim Swee Tin dan saya tidak ketinggalan. Golongan ini amat tidak disukai oleh ultra kiasu. Tidakkah kita malu dengan orang bukan Melayu seperti mereka, sanggup mempertahankan identiti dan jati diri Melayu. Sedangkan yang Melayu terus melayu, dilayukan oleh ultra kiasu. Saban hari mereka merancang untuk melihat isu-isu yang boleh disensasikan untuk ditukar kepada realiti.

Berapa banyak lagi kuil-kuil haram akan dirobohkan, seterusnya ditukar, dengan digantikan serta diberikan tanah dan tempat yang lebih besar. Lebih menyedihkan pembangunan yang terpaksa ikut kuil, bukannya sebaliknya. Jika itu yang berlaku kepada surau masjid, sudah lama ia dirobohkan. Tetapi jika berlaku kepada agama lain, jalan raya terpaksa dibengkokkan menjadi lebih bahaya, hanya kerana terdapat kuil di situ yang langsung tidak boleh disentuh. Tidak perlu saya kemukakan bukti di mana. Pergilah ke bandar-bandar besar seperti Ipoh, Johor Bahru dan sebagainya. Betapa sakit hati melihatnya, umat Islam tetap diam. Saya masih tercari-cari di negara manakah kita boleh dapati toleransi sebegini melainkan negara ini? Identiti dan jati diri asal semakin pudar, sebaliknya orang lain semakin menonjol dan tertonjol.

Saranan saya, yang tidak sepatutnya ditukar, jangan tukar, kerana dengan tindakan tersebut, mungkin kuasa tidak bertukar. Rakyat sudah jelak dengan apa yang berlaku hari ini. Kita tidak perlu takutkan ultra kiasu. Yang perlu kita takut adalah Allah SWT, kerana hanya Allah SWT yang berkuasa untuk menukarkan sesuatu yang perlu ditukar. Yakinlah, Allah tidak akan menukar sesuatu jika kita terus tunduk dan patuh mengikut kehendakNya. Namun, jika kita engkar, pasti sesuatu itu akan ditukar dan bertukar tangan kerana semua itu bukan milik kita tetapi milik Allah. Tolonglah Allah, nescaya Allah akan tolong kita.

Ambillah pengajaran bagaimana Rasulullah SAW yang pernah memohon kepada Allah tiga perkara ke atas umatnya untuk diperkenankan. Allah SWT hanya memperkenankan dua perkara dan satu ditolak. Pertama, Rasulullah memohon agar Allah tidak membinasakan umatnya dengan musim susah berpanjangan. Kedua, Rasulullah memohon agar Allah tidak membinasakan umatnya dengan bencana alam. Allah memperkenankan permohonan Baginda. Namun, Allah menolak permohonan ketiga iaitu, Rasulullah memohon agar Allah SWT tidak binasakan umatnya kerana pergaduhan sesama mereka seperti peperangan dan pertelingkahan sesama sendiri. Permohonan ini ditolak. Realiti inilah yang berlaku sekarang. Kita semakin lemah dan kesempatan ini diambil oleh ultra kiasu dengan menekan kita supaya tukar, terutama perkara-perkara melibatkan dasar. Ultra kiasu telah berjaya melakukannya. Saya amat bimbang kejayaan strategi ini akan menyebabkan kita ditukar. Ketika itu nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia