Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, November 29, 2009

Kita akan kalah jika terus mengalah

7:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 46 comments

Mingguan Malaysia, 29 November 2009

Ramai orang bertanya, kenapa Lee Kuan Yew berjaya dengan sistem satu aliran pendidikan di Singapura dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Lee Kuan Yew dipuji melambung kerana dikatakan sanggup korbankan bahasa ibunda demi kepentingan negara. Betulkah? Jawapan saya, Lee Kuan Yew tidak ada pilihan. Justeru, beliau terpaksa bertindak tegas. Jika ada pilihan, saya yakin beliau tidak akan bertindak sedemikian. Ingat! bahasa Mandarin masih dijadikan subjek penting di sana berbanding bahasa Melayu, dengan alasan mereka adalah majoriti.

Sejarah Singapura perlu difahami kenapa Lee Kuan Yew memilih bahasa Inggeris? Jika Singapura bukan berasal daripada sistem kenegaraan Melayu, saya yakin Lee Kuan Yew tidak akan memilih bahasa Inggeris. Lee Kuan Yew sudah lama dapat membaca pemikiran psikologi orang Melayu. Kebolehan beliau menulis dan membaca jawi sudah dapat mencairkan orang Melayu. Jika bahasa Cina digunakan, sudah tentu ia akan ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Singapura tidak boleh dipisahkan dengan Melayu. Sehingga ke hari inipun saya masih mengatakan Singapura adalah sebuah negara Melayu di Kepulauan Melayu. Kecuali Singapura itu berada di gugusan kepulauan seperti Taiwan, baru saya mengikhtiraf negara itu sebagai negara bangsanya. Lee Kuan Yew hanya mengorbankan bahasa mandarin buat sementara waktu. Janganlah kita buat andaian bahawa Singapura maju kerana menggunakan bahasa Inggeris. Sifat ultra kiasu amat berkait rapat.

Kita pula janganlah terlalu hairan kenapa Singapura boleh keluar sebagai negara maju dalam jangka masa cepat? Jika ditakdirkan Singapura sebesar Malaysia atau Indonesia, saya yakin ia tidak ke mana juga. Singapura bernasib baik sebab faktor lokasi dan saiz banyak membantunya untuk keluar menjadi negara maju. Jangan terlalu kagum dengan kepemimpinan mereka, sehingga kita lupa apa yang telah dilakukan terhadap negara kita sebelum ini. Masih ingatkah sejarah dan titik hitam pemisahan Singapura-Malaysia? Adakah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia benar-benar ikhlas? Bacalah sejarah. Apa yang penting hari ini ialah bagaimana untuk menangani sikap ultra kiasu mereka yang amat bahaya kepada politik negara kita. Ingat, pengikut-pengikut ultra kiasu Singapura ini masih ramai berada di negara kita, dengan sebab itu mereka tidak habis-habis menuntut dan mendesak. Apakah kita masih tidak sedar? Ringkasnya, mereka tidak bersendirian.

Lihatlah berapa banyak tanah-tanah strategik yang telah tergadai? Begitu juga dengan rumah-rumah mewah yang telah dibeli? Jangan lupa perjanjian air dan kawasan tadahan air yang dijaga oleh tentera Singapura walaupun berada di Johor. Lee Kuan Yew teramat jarang melawat Malaysia selepas pemisahan, kenapa beliau sanggup ke negara kita baru-baru ini terutama ke Pulau Pinang? Sedarkah kita apa yang dibincangkan secara tersurat dan tersirat? Fikirkanlah. Jangan terlepas pandang pula nasib Melayu di Pulau Pinang? Janganlah bila sudah terhantuk baru mengadah. Sebelum terhantuk perlulah berhati-hati. Bila nasi sudah menjadi bubur sudah terlambat. Perpecahan sesama kita adalah petanda jelas kejayaan mereka.

Sedarlah wahai saudaraku, Melayu Islam di Singapura telah berjaya dicairkan. Hari ini segelintir orang Melayu yang digula-gulakan dengan kuasa sudah tidak seperti Melayu Islam. Mereka bukan sahaja telah cair, tetapi sudah tidak berhati Melayu Islam, kecuali mereka yang masih bertahan di madrasah. Sejauhmana madrasah dapat bertahan? Itu masih menjadi persoalan besar hari ini. Kedudukan madrasah menjadi semakin terhimpit. Begitu juga dengan masjid-masjid mereka. Apakah kita belum sedar? Cukuplah Pulau Batu Putih yang telah terlepas. Janganlah selepas ini kita berputih mata. Ambillah pengajaran ini sebelum terlambat. Mereka yang kuat berjiwa Melayu Islam memang tidak akan terpilih menjadi pemimpin atau menteri di sana. Dengan sebab itu, orang seperti Dr Lily Zubaidah Rahim (2001) terbuang di bumi sendiri. Hanya kerana bercakap menjaga kepentingan Melayu Islam. Apakah kita tidak mengambil pengajaran?

Cuba kita fikir kenapa hari ini Singapura membelanjakan hampir USD11 bilion setahun memperkuatkan sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya 4.6 juta yakni nombor 23 dalam ranking dunia? Lebih dua kali ganda lebih besar daripada perbelanjaan pertahanan Indonesia (USD 4.7 bilion). Perbelanjaan pertahanannya jauh meninggalkan negara kita yang tidak langsung tersenarai dalam ranking dunia. Sedarkah kita sekutu rapat mereka adalah musuh-musuh Islam seperti Israel, Amerika, Australia, Britain dan sebagainya? Tidakkah kita terfikir, apakah agenda mereka sebenarnya kalau bukan kita? Saya yakin kita tidak akan terlepas pulau Batu Putih jika kekuatan kita melebihi kekuatan mereka. Ancaman dan amaran kita sudah cukup untuk menggetarkan mereka. Tetapi kenapa mereka begitu berani dan kurang ajar? Sebab mereka tahu, sejauhmana kekuatan mereka dan telah bersedia menghadapi apa jua situasi. Tendensi untuk mereka menang besar adalah tinggi.

Mungkin pakar-pakar pertahanan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kita mesti ingat, hari ini kita tidak lagi berperang menggunakan manusia, kecanggihan teknologi adalah kekuatannya. Bandingkan teknologi pertahanan perang kita dengan Singapura. Bezanya ibarat langit dengan bumi. Kita sepatutnya membelanjakan wang negara untuk pertahanan. Malangnya, wang ringgit kita banyak digunakan untuk berpolitik daripada mempertahankan negara. Sudah sampai masanya kita kurangkan sedikit berpolitik untuk membina kekuatan pertahanan negara.

Sampai bilakah kita mahu terus bersangka baik dengan mengatakan perang dingin telah tamat, dunia sudah aman? Musuh telah tiada, maka kita tidak perlu menjadi kuat? Tidakkah kita sedar bahawa musuh bertambah kuat dan sentiasa berpakat merancang untuk memusnahkan kita?

Justeru, saya menyerukan supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri. Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Misalnya perebutan jawatan atau kuasa dalam badan-badan awam, berkanun, NGO dan sebagainya. Ini belum termasuk isu rasuah. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan. Ultra kiasu ambil kesempatan.

Musuh sentiasa merancangkan untuk melaga-laga kita sesama umat Islam. Hari ini kita dilaga-lagakan dengan Indonesia? Siapakah provokatornya? Marilah kita fikirkan bersama. Logiknya mudah, bila negara-negara Islam berjiran bergaduh sesama sendiri, mudahlah negara ultra kiasu dan orang ultra kiasu ini menyusun strateginya. Janganlah kita terlalu beremosi, takut memakan diri.

Barat telah berjaya melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya, negara haram Israel berjaya menguasai negara-negara Arab dengan nisbah 1 orang Israel, lebih 100 orang Arab. 100 Arab tidak dapat mengalah 1 Israel. Sedangkan dari segi logik, akan banjir 1 orang jika 100 orang pakat-pakat kencing ke atas Israel ini. Keadaan berlaku sebaliknya. 1 berjaya mengalahkan 100. Senario Arab-Israel hampir sama dengan negara kepulauan Melayu-Singapura. Mereka sudah bersedia dengan segala kekuatan teknologi. Kita asyik berpolitik tanpa kesudahan.

Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Kebaikannya, kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencipta teknologi kerana ianya telah tersedia dicipta. Masa mencipta teknologi telah banyak dijimatkan. Tuntutan hari ini adalah menggunakan teknologi tersebut sepenuhnya dan diperkembangkan lagi kehebatan seperti yang cuba dilakukan oleh Iran hari ini. Tetapi Iran cuba dimangsakan oleh barat.

Barat dan ultra kiasu ini telah berjaya membaca pemikiran umat Islam. Mereka tahu teknologi mereka digunakan oleh Islam. Orang Islam akan menjadi kuat jika memperkembangkannya. Justeru, sebelum ia berlaku maka dipecah-belahkan dan dicairkan mereka supaya mudah dikuasai. Ternyata strategi mereka berjaya. Umat Islam berjaya dikuasai dan dipecah-belahkan. Bukan kerana mereka tidak pandai menggunakan teknologi, mereka pandai. Tetapi mereka dihasut supaya mempertikai atau bergaduh sesama sendiri dalam isu-isu remeh temeh seperti tarian pendet Bali. Malangnya, yang tidak bergaduh pula tidak memanfaatkan teknologi, tetapi menggunakannya secara salah. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan cair.

Justeru, saya merayu agar kita dapat memulakan langkah pertama dengan menyelesaikan isu-isu asas mengenai pendidikan di negara kita. Ini kerana pendidikan amat penting sebagai benteng pertahanan. Ia harus dimulakan dengan sekolah satu sistem. Asas-asas patriotisme berada di situ. Jangan perjudikan masa depan dan keselamatan negara sistem ini demi untuk mempertahankan kuasa hari ini. Jika dengan kehilangan populariti, masa depan pendidikan boleh dipertahankan, rasanya tidak mengapa kita tidak popular buat sementara waktu. Apa guna populariti, jika masa depan pendidikan dan negara menjadi semakin terhakis. Berundur bukan bererti kita mengalah. Tetapi untuk bersiap sedia dengan kekuatan, daripada kita terus mengalah dan terus kalah. Saya masih teringat kata-kata latin yang berbunyi si vis pacem para bellum, bermaksud jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Adakah kita sudah bersedia ke arah itu, di kala orang lain telah lama bersedia? Jika mereka terlalu ultra kiasu, adakah kita akan terus mengalah? Kitapun kena bertindak tegas ke atas mereka untuk kepentingan masa depan. Ingat! kita akan kalah jika terus mengalah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, November 22, 2009

Jangan politikkan masa depan pendidikan negara

6:57 AM Posted by RIDHUAN TEE 221 comments

Mingguan Malaysia 22 Nov 2009

Saya amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya membantu 60 Chinese Independent Secondary School serta mengikhtiraf sijil yang dikeluarkan (UEC). Cukuplah dengan lebih 1300 SJKC yang telah sedia ada, dan akan bertambah dari masa ke semasa. Pemisahan di sekolah rendah sudah cukup berat bagi kita untuk memperkasa masa hadapan. Apakah kita mahu terus memisahkan mereka apabila berada di sekolah menengah? Ini belum ditambah dengan IPTS yang berasaskan kaum yang begitu ketara bilangannya, yang menggunakan bahasa ibunda sepenuhnya seperti di Kajang, Kuala Lumpur dan sebagainya. Saya boleh namakan satu persatu. Biarlah saya simpan dahulu. Apakah ini semangat 1Malaysia?

Di sekolah vernakular, bahasa Melayu hanya diajar tiga kali dalam seminggu. Apakah mereka ini boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Buatlah kajian. Lihat sahaja keputusan UPSR pelajar-pelajar ini dalam bahasa Melayu dan kelas peralihan. Itu sudah cukup memberikan gambaran. Selepas itu buatlah bancian di kampung-kampung baharu. Nilailah tahap penguasaan bahasa kebangsaan. Saya bukan anti Cina. Saya amat sayangkan bangsa saya sebab mereka adalah juga kejadian Allah. Jika saya menolak mereka, bermakna saya menolak Allah yang menjadikan saya sebagai orang Cina. Apakah saya anti-Cina bila membangkitkan isu ini?

Biarlah kita bergaduh hari sekarang demi masa depan. Mudah-mudahan anak cucu cicit kita sejahtera hidup selepas ini. Kepentingan mereka mesti diutamakan berbanding kepentingan kita. Sebenarnya, menteri pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk menolak semua sekolah vernakular ini. Tetapi kuasa itu tidak digunakan. Fikirkanlah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya.

Sebelum tahun 1996, kita ada Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri pelajaran untuk menutup atau memansuhkan SJKC/T. Akta ini amat ditakuti oleh persatuan-persatuan Cina. Mereka telah merayu dan mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, menteri pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baru pada 1996 yang lebih lunak.

Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan masih lagi tidak dipersetujui oleh segelintir ultra kiasu. Ultra kiasu ini berpendapat, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 kepada 1996 telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1). Menurutnya, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Ultra kiasu berhujah, akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang, daripada pendidikan pra-sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah. Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi ‘kebenaran khas’ oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada peruntukan di bawah Seksyen 17 (1).

Sebenarnya, akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 ‘lebih lembut’ berbanding akta pelajaran 1961 yang dimansuhkan. Tidakkah ini satu toleransi? Sanggup korbankan kuasa semata-mata untuk meraikan orang lain. Kepada golongan ultra kiasu yang selalu menentang saya bacalah akta ini dan bandingkan dengan akta sebelumnya. Siapakah yang menggubal akta ini kalau bukan Perdana Menteri kita hari ini yang ketika itu adalah menteri pelajaran. Menteri pelajaran sebelum itu, langsung tidak mahu bertolak ansur. Siapakah dia? Tanyalah sekutu parti ultra kiasu ini. Sayapun tidak faham kenapa mereka begitu baik hari ini sedangkan sebelum itu akta 1961 yang paling ditakuti ultra kiasu.

Namun, sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah bersyukur, apatah lagi untuk menghargai. Saya tidak nampak beza SJKC dengan sekolah Cina di negeri China dari segi bahasa, kecuali tambahan mata pelajaran bahasa Melayu 3 jam seminggu? Saya teringat kata-kata Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Bila membesar agak sukar untuk mereka memberikan kerjasama sama antara satu lain. Sekolah vernakular pada asalnya diwujudkan bagi membolehkan orang Cina India belajar asal-usul negara mereka. Tetapi hari ini mereka telah menjadi rakyat Malaysia, sepatutnya keadaan sedemikian tidak perlu wujud lagi. Kay Kim amat kesal dengan segelintir pihak yang mempertahankan sekolah berasaskan kaum ini.

Saya amat mengharapkan mereka yang terlalu banyak bercakap mempertahankan sekolah vernakular ini supaya membuat kajian secara menyeluruh. Jangan asyik menyalahkan kerajaan sahaja. Apakah agenda mereka sebenarnya? Jika mahu mempertahankan warisan nenek moyang, jagalah budaya dan cara hidup semua sekali? Jangan hanya isu bahasa sahaja, sebab isu bahasa adalah masalah negara. Saya minta mereka buat kajian tentang prestasi bahasa Melayu (BM) sekolah vernakular. Pertama, kebolehan dan keupayaan memahami dan bertutur dalam BM. Kedua, peratus kegagalan BM. Ketiga, masalah kelas-kelas peralihan dan masalah komunikasi antara pelajar dalam BM. Keempat, pergaulan pelajar peralihan dengan pelajar Melayu. Kelima, kegagalan dan kelulusan rendah dalam BM peringkat PMR dan SPM. Keenam, kefahaman dan kebolehan BM setelah tamat sekolah menengah. Ketujuh, kebolehan bertutur BM di kalangan bukan Melayu. Kalau tidak mahu buat kajian juga, ambil sampel beberapa pemimpin politik dan NGO yang lantang ini, termasuk pensyarah-pensyarah di jabatan pengajian Tionghua, cubalah uji keupayaan BM mereka?

Kita teramat sedih apabila baru-baru ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina, beberapa pertubuhan Cina seperti Dong Zong, Hua Zong, Persatuan Ketua-ketua Sekolah Cina, Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina dan lain-lain persatuan, menentang keras cadangan kementerian pelajaran untuk menyeragamkan silibus Bahasa Melayu di SK dan SJKC. Untuk makluman, silibus BM di SJKC lebih mudah berbanding SK. Begitulah bersatunya mereka. Apabila belajar BM mahukan yang mudah-mudah (cincai). Belajar bahasa sendiri mesti secara terperinci. Adakah kita sebenarnya serius memperkasakan negara? Adakah ini bukan ultra kiasu? Adakah kita masih tidak nampak dan sedar? Alasannya begitu simplistik, pelajar-pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM yang agak susah sebab mereka terpaksa belajar tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga. Begini nasib bahasa Melayu di bumi Melayu. Tidakkah kita sedar bahawa BM adalah bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia? Memanglah susah kalau hanya diajar tiga kali seminggu di SJKC. Adakah kita serius?

Saya tidak menafikan ada segelintir pelajar Cina yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, tetapi bilangan amat kecil. Itupun setelah diwajibkan lulus. Bayangkan jika syarat itu tidak ada. Apakah belajar bahasa Melayu kerana terpaksa belajar atau semangat sayangkan bahasa kebangsaan? Fikirkanlah. Janganlah menegakkan benang yang basah, yang rugi nanti anak cucu cicit kita, ketika itu kita telah tiada. Jangan kerana ego hari ini kita korbankan kepentingan masa hadapan.

Kepada golongan ultra kiasu ini saya ingin bertanya, berikan saya satu contoh negara di dunia ini yang mengamalkan sistem sebegini? Kalau ada saya akan mengalah. Saya tidak akan sentuh soal pendidikan vernakular. Bukankah syurga kita di sini? Jangan selalu gunakan hujah kepelbagaian sebagai satu kekuatan atau unity within diversity. Terlalu banyak berbeza juga tidak membawa kebaikan. Kita perlu mencari banyak persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan berkongsi matlamat wawasan negara. Ia bermula dengan berkongsi sekolah satu aliran, tanpa menafikan hak masing-masing. Jika isu asas seperti bahasa ini pun sudah tidak dipersetujui, apakah dalam perkara lain kita boleh bersetuju? Ringkasnya, sekolah satu aliran adalah satu mimpi jika kita terus berlembut. Kiasu itu dibolehkan. Tidak salah. Malahan Islam membenarkan. Tetapi jangan menjadi ultra kiasu. Kita tetap Cina tetapi jangan jadi terlalu ultra Cina, ultra Melayu, ultra India dan lain-lain ultra bangsa di Sabah dan Sarawak. Itu sudah ekstrim dan melampau.

Saya juga tidak nafikan guru-guru sekolah vernakular rajin dan dedikasi. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh buat generalisasi bahawa guru-guru sekolah kebangsaan tidak sama standard dengan SJKC. Ingat! Tidak semua guru-guru SJKC bagus-bagus. Saya juga berpengalaman. Saya bukan Cina masuk Melayu atau Cina murtad. Saya hanya mempertahankan kepentingan masa depan dan anak cucu cicit kita. Jangan politikkan pendidikan kerana ia amat bahaya untuk masa depan negara. Jangan nafikan peranan kerajaan terhadap sekolah bantuan modal seperti SJKC. Perlu diingatkan lebih 400 SJKC adalah bantuan penuh dan dibina oleh kerajaan dalam setiap rancangan Malaysia.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, November 15, 2009

Apabila kekuatan sendiri dilupakan

7:13 AM Posted by RIDHUAN TEE 117 comments

Mingguan Malaysia, 15 Nov 2009

Seperti yang dijangka pantang soal pendidikan vernakular disentuh, maka melompatlah segelintir ultra kiasu ini. Mereka mengatakan itu hak mereka. Kepentingan etnik mesti dijaga. Jangan campurtangan. Sedangkan saya bercakap dalam soal pembinaan negara bangsa, memperkasakan masa depan dan kepentingan nasional, dengan tidak menafikan hak bangsa lain untuk belajar bahasa ibunda. Apakah kita masih tidak faham? Lebih ekstrim lagi, mereka mencadangkan jika mahu dibuat sekolah satu aliran, jadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar, bukan bahasa Melayu. Ternyata mereka mengenepikan sama sekali dan memandang rendah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bila bahasa itu dipandang rendah, tidakkah pandangan terhadap bangsa bahasa tersebut turut terpalit sama?

Maka tidak hairanlah hari ini mereka amat bangga dan megah dengan nama-nama tambahan seperti Joe, Michael, Nicol, Amy, Martin dan lain-lain. Kadangkala naik mual memanggil dan mendengarnya. Mereka bangga dikaitkan dengan Kristian dan barat, namun tidak mahu langsung dikaitkan dengan Islam dan Melayu. Tidakkah timur itu lebih dekat dengan kita berbanding barat? Ada yang sanggup menukar kad pengenalan baru semata-mata taksub dengan nama barat. Kenapa bila tiba nama-nama seperti Muhammad, Mahmud, Aziz, Ridhuan dan nama-nama Islam lain tidak dipandang tinggi, malah dilihat dengan nada penuh kebencian? Hina sangatkah nama Melayu dan Islam? Penggunaan nama-nama Islam dianggap tidak ada standard dan glamour? Tidakkah nama-nama timur ini lebih berwajah 1Malaysia? Saya tidak mahu untuk membuka tembelang yang lain. Biarlah saya simpan buat sementara waktu ini.

Bukanlah niat saya untuk menanamkan api kebencian antara kaum. Tetapi serangan demi serangan menyebabkan saya terpaksa berterus-terang bagi menunjukkan segelintir mereka ini yang tidak pernah bersyukur. Mereka lebih rela diasimilasi dan diakulturasikan dengan barat berbanding Melayu dan Islam.

Apa jua perkara yang berkaitan asimilasi dan akulturasi dengan Melayu Islam akan dipandang rendah dan langsung tidak akan diamalkan. Manakala cara hidup barat diterima bulat-bulat. Misalnya, cara hidup Melayu seperti berpakaian Melayu, bersongkok, makan menggunakan tangan dan muzik Melayu. Pernahkah kita lihat orang bukan Melayu sekurang-kurangnya mengakulturasikan dengan cara sedemikian? Kalau adapun boleh dibilang dengan jari.

Dalam konteks 1Malaysia, adalah lebih wajar kita mengasimilasikan atau mengakuturasikan diri dengan cara hidup Melayu Islam, kerana ia lebih membawa manfaat kepada masa depan negara. Orang Islam amat kagum dan mudah cair jika ada di kalangan bukan Melayu yang mencuba meminjam cara hidup mereka. Ini tidak, kita lebih barat dari barat. Termasuk juga dengan orang Melayu. Kadang-kadang sampai terlupa bahawa mereka ini orang Melayu kerana terlalu kebaratan.

Sebagai Cina Muslim, bangsa saya memang tidak mahu dikaitkan dengan Melayu langsung terutama dari segi cara hidup. Kalau adanya yang berjinak-jinak dengan Melayu hanyalah untuk dipergunakan dan diperalatkan. Amat sedikit sekali orang Melayu yang bekerja di syarikat-syarikat bukan Melayu. Syarat-syarat seperti keupayaan bahasa Mandarin dijadikan alasan untuk menolak pekerja Melayu. Berbanding dengan syarikat-syarikat Melayu yang mengambil pekerja-pekerja bukan Melayu, atas alasan bukan Melayu lebih rajin daripada Melayu. Bahkan, kadangkala bukan Melayu juga dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Siapakah yang lebih sanggup memberi dan menerima sebenarnya dalam hal ini?

Kalau adapun orang Melayu (termasuk Indonesia) diambil bekerja hanya dipergunakan untuk melariskan jualan makanan dan perkhidmatan. Melayu diperalatkan. Nama Melayu akan digunakan untuk melariskan jualan seperti jenama makanan yang mempunyai nama-nama Melayu dan Islam. Sedangkan hak-hak mereka asas mereka tidak penuhi. Orang Melayu tetap redha sebab itulah periuk nasi mereka. Berapa pekerja-pekerja Melayu Islam yang datang mengadu kepada saya kerana dihalang untuk solat Jumaat dan solat fardu? Saya boleh senaraikan satu per satu syarikat tersebut. Solat dikatakan membuang masa dan mengurangkan kualiti dan produktiviti. Sedangkan kita sedia maklum, semakin takut seseorang itu dengan Allah, semakin kuat dia bekerja untuk manusia, sama ada majikannya itu Islam atau tidak. Sifat takutkan Allah akan menjadikan dia berhati-hati melakukan pekerjaan. Saya tidak nafikan ada yang kuat solat, tetapi malas dan culas.

Apakah wujud perancangan untuk memisahkan orang Melayu dengan Tuhannya agar mereka menjadi cair? Apabila ikatan mereka dengan Allah telah cair, maka lunturlah semangat jihad mereka, maka mudahkan untuk mensekularkan dan menguasai mereka. Inilah tindakan licik yang mesti kita sedar. Saya tidak maksudkan jihad itu dengan berperang, tetapi cukup sekadar jihad itu menuntut perubahan untuk menjadikan kita lebih baik dan dekat dengan Maha Pencipta.

Kadangkala saya tidak menyalahkan mereka. Mereka mencari dan mengambil kesempatan. Kita sahaja yang leka dan syok sendiri. Kita tidak menghargai apa yang kita ada, apatah lagi untuk menguatkuasakannya. Kita rela korbankan segala yang ada pada kita asalkan negara dapat bergerak maju ke hadapan, walaupun yang dikorbankan itu adalah maruah agama dan bangsa. Misalnya kedudukan bahasa dan dasar pendidikan.

Kenapa kita tidak kaji kekuatan yang ada pada kita sebelum mengkaji kekuatan orang lain? Saya amat pelik kadang-kadang, kita begitu beriya-iya mengkaji orang lain sehingga terlupa kepada diri sendiri. Ini menyebabkan kekuatan sendiri terabai disebabkan oleh terlalu taksub terhadap orang lain. Apakah ini sebenarnya sekularisme?

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi, pelajar-pelajar diwajibkan belajar dan memahami pelbagai teori yang datang daripada barat (terutamanya) dan timur daripada tokoh-tokoh tertentu. Teori-teori ini bukan sahaja disuruh hafal, malahan mereka yang berjaya menerangkan lebih lanjut itulah pelajar yang terbaik dan diberi markah tinggi. Contoh kecil, teori strategi dan peperangan Tsun Tzu. Pelajar-pelajar dipaksa menghadam teori ini luar dan dalam, kulit ke kulit, sehingga kadangkala terlupa tanggungjawab terhadap al-Quran dan Sunnah. Strategi Tsun Tzu tidak hanya diaplikasikan dalam peperangan tetapi juga dalam perniagaan. Sedangkan Tsun Tzu tidak pernah masuk universiti, apatah lagi mengambil SPM dan PMR.

Paling saya hairan, kita lupa dalam agama kita ada pakar dan pemikiran strategi perang yang cukup hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Khalid Ibn Walid, Omar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi dan sebagainya. Tokoh-tokoh amat jarang dibincang dan ketengahkan. Apatah lagi untuk dihafal teori-teorinya. Apakah kurangnya tokoh-tokoh ini berbanding dengan Tsun Tzu, Kautilya (India), Clausewitz, Duhe dan sebagainya? Saya tidak menolak tokoh-tokoh ini, tetapi biarlah diseimbangkan dengan tokoh kita yang tidak kurang hebatnya.

Apakah Tsun Tzu pernah mendapat ijazah atau PhD daripada universiti? Tidak juga. Kenapa hari ini pelajar-pelajar universiti pelbagai peringkat mengkaji strategi peperangan orang yang tidak pernahpun ada atau masuk universiti? Nabi Muhammad SAWpun tidak pernah masuk universiti. Tetapi Nabi adalah Rasul pilihan Allah. Makamnya amat tinggi. Maka tidak hairan Michael Hart (2006) meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia agong maha hebat daripada 100 orang terhebat dunia meninggalkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha, Konfucius, Aristotle, Tsun Tzu dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat. Malangnya tidak ramai yang mengkaji.

Hari ini sudah terbalik, barat amat berminat mengkaji peribadi orang timur. Tetapi orang timur sibuk mengkaji barat sehingga terabai kehebatan tokoh sendiri. Justeru, saya tidak hairan, bila orang bukan Islam tidak mahu diasimilasikan atau diakulturasikan sebab kita tidak pernah hormat diri tokoh kita atau diri sendiri.

Saya tidak percaya kita boleh bangun dengan acuan orang lain. Sejarah menunjukkan semua bangsa bangkit dengan kekuatan dan acuan sendiri. Jepun bangkit dengan semangat Kejepunan, Cina dengan semangat Kecinaan. Apakah kita mahu bangun dengan semangat kebaratan? Sudah tentu orang Islam mesti bangun dengan semangat keIslaman. Barulah kita mendapat keredhaan Allah SWT.

Baru-baru ini saya menghadiri satu mesyuarat penting kementerian. Kebetulan dalam mesyuarat tersebut ada seorang usahawan Amerika boleh berbahasa Melayu secara pelat. Hanya kerana seorang Mat Salleh, serta merta pengerusi mesyuarat terpaksa korbankan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris. Saya amat yakin presiden Iran tidak akan sama sekali melakukan sedemikian, walaupun beliau pandai berbahasa Inggeris. Kalau kita sendiri tidak yakin dengan bahasa sendiri, siapa lagi yang mahu kita harapkan untuk mendaulatkan bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, November 08, 2009

Fantasi mewujudkan sekolah satu sistem

7:50 AM Posted by RIDHUAN TEE 82 comments

Mingguan Malaysia, 8 November 2009

Isu satu sekolah, satu sistem pendidikan bukanlah satu perkara baru. Ia telah dibahaskan sejak dahulu lagi. Sayapun dah berbuih-buih bercakap dan menulis. Keadaan masih sama dan tidak banyak berubah. Jawapannya, mudah sahaja, pendidikan telah dipolitikkan. Jika bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak dapat dimartabatkan bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu? Kita mempunyai peruntukan dalam perlembagaan, tetapi ia tidak digunakan atau dikuatkuasakan. Kita sibuk melayani tuntutan dan desakan politik segelintir kumpulan ultra kiasu. Akhirnya, bahasa dan sistem pendidikan tidak dapat diperkasakan di bumi sendiri. Negara ini seolah-olah tidak ada identiti berbanding negara lain.

Bila ada ura-ura untuk mewujudkan satu sistem pendidikan, maka golongan ultra kiasu ini akan bangun menentang. Pada mereka, peninggalan nenek moyang mesti dipertahankan bermati-matian. Mereka akan melakukan apa jua cara termasuk mendesak dan menggugut sekiranya kerajaan meneruskan niatnya. Desakan dan ugutan mempunyai kaitan rapat dengan politik pilihan raya. Akhirnya, kerajaan terpaksa tunduk. Sistem satu sekolah senyap buat seketika.

Kini suara itu muncul kembali, tetapi dengan nada berlainan. Satu sekolah untuk sekolah aliran menengah. Sememangnya aliran menengah telah lama disatukan. Tidak banyak lagi sekolah vernakular untuk aliran menengah, berbanding aliran rendah (1300 SJKC + 530 SJKT). Boleh dikatakan kebanyakan bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah kebangsaan disebabkan oleh tempat yang terhad di sekolah menengah Cina (5 peratus). Justeru, tidak timbul isu sebenar, satu sistem pendidikan untuk sekolah menengah.

Perkara pokok yang perlu dibahaskan secara serius ialah bagaimanakah hendak mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat menyatukan anak-anak di peringkat sekolah rendah. Kanak-kanak tidak boleh dipisahkan sejak dari kecil. Kajian demi kajian dan pengalaman menunjukkan bahawa akibat mereka dipisahkan dari kecil amat sukar untuk disatukan ketika mereka meningkat remaja berada di sekolah menengah. Wujudnya kelas-kelas peralihan dan penguasaan bahasa Melayu yang rendah di kalangan sekolah vernakular menyebabkan interaksi antara pelajar bukan Melayu dengan Melayu amat berbatas. Akhirnya, mereka kekok, malu dan tidak mahu bercampur. Apatah lagi bahasa kebangsaan tidak dapat difahami. Mereka akan hidup dalam kepompong mereka sendiri. Keadaan ini akan menjadikan mereka menjadi semakin kiasu.

Sebagai Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan guru di sekolah yang majoriti pelajar bukan Melayu, selama 6 tahun hingga kini, saya dapat merasakan hubungan kaum berada pada tahap amat membimbangkan. Pelajar-pelajar ini tidak bercampur setelah 6 tahun dipisahkan di sekolah rendah. Dengan sebab itu, polarisasi kaum terbawa-bawa hingga ke peringkat menengah dan pengajian tinggi. Lihatlah apa yang berlaku di IPTA dan IPTS. Saya tidak perlu bercerita lanjut. Sudah terang lagi bersuluh. Sampai bilakah kita akan terus membincangkan isu ini? Selagi mana kita tunduk kepada tuntutan dan ugutan mereka, sampai kucing bertandukpun kebuntuan ini tidak akan dapat dipecahkan. Sedih yang teramat sangat, apabila kita hanya memikir kepentingan masa kini berbanding dengan kepentingan masa hadapan. Kepentingan politik diutamakan, kepentingan membina negara diabaikan. Mungkin kita tidak berapa merasai sangat kesannya hari ini, tetapi sanggup kita tinggalkan semuanya ini kepada anak cucu cicit kita? Saya bimbang ketika itu sudah terlambat untuk diperbetulkan.

Berkali-kali telah saya katakan, akibat sistem pendidikan perkauman sebegini menjadikan hubungan kaum di negara ini ibarat api yang tidak dapat dipadamkan sepenuhnya. Kita berjaya memadamkan api tersebut, tetapi bara api itu masih menyala. Bara inilah yang amat membahayakan untuk jangka panjang.

Baru-baru ini Universiti Pertahanan Nasional Malaysia telah menganjurkan persidangan mengenai pendidikan tinggi dan pembangunan bangsa. Kerisauan yang sama diperbahaskan dengan panjang lebar mengenai sistem satu sekolah dalam arus pendidikan perdana seperti saranan Prof. Khoo Kay Kim.

Dalam dunia hanya negara kita sahaja yang menerima pakai pelbagai sistem aliran sekolah. Negara lain hanya ada satu sekolah. Kalau adapun lebih dari satu, sudah lama dihapuskan, bagi mencapai kepentingan masa hadapan dan nasional. Dengan sebab itu, Thailand awal-awal telah menghapuskan dan merobohkan sekolah Cina pada tahun 1930-an (Ye Lin-Sheng, 2003). Sebenarnya Malaysia adalah syurga kepada orang bukan Melayu. Mereka dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak dapat. Mereka adalah seperti seadanya mereka seperti mana asal mereka. Perkara yang menguntungkan ini biasanya disenyapkan. Malah golongan ini terus mendesak agar sekolah vernakular ini terus ditambah dalam setiap Rancangan Malaysia.

Persoalan saya, adakah kita bersungguh-sungguh dalam soal ini? Berkali-kali saya membangkitkan bahawa kepentingan nasional atau negara mesti diletakkan di hadapan berbanding kepentingan etnik. Sekolah nasional mesti diutamakan berbanding sekolah etnik. Agenda nasional adalah untuk memperkasakan masa hadapan. Manakala agenda etnik, lebih bersifat kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Inilah bara yang masih terus menyala menunjukkan betapa serius politik perkauman di negara kita. Rujuklah artikel sebelum ini di dalam Utusan Malaysia.

Kerajaan mesti membuat keputusan yang tegas seperti yang telah dilakukan oleh negara lain seperti Thailand dan negara-negara lain di dunia. Kerajaan tidak boleh tunduk atau bertolak ansur dalam memperkasakan masa hadapan. Saya bukan bermaksud kita menghapuskan hak bukan Melayu untuk belajar bahasa ibunda mereka. Mereka masih boleh belajar bahasa ibunda mereka. Tetapi pelajar-pelajar ini tidak boleh dipisah-pisahkan sejak dari kecil.

Tamadun dunia membuktikan, apabila rakyat dipisahkan sejak dari kecil, kita sebenarnya mengundang bahaya di depan mata. Cukuplah dengan sistem politik dan ekonomi yang bersifat perkauman. Jangan kita tambahkan lagi dengan sistem pendidikan yang menjadi tunggak kepada pembangunan negara bangsa.

Benar, kita perlu berbincang. Tetapi pernahkah mereka bersetuju? Jawabnya tidak pernah. Malah mereka semakin mendesak dan menuntut. Justeru, apa tunggu lagi? Apakah kita perlu menunggu peristiwa 13 Mei berulang untuk kita mengkaji semula sistem pendidikan kita? Ketika itu sudah terlambat. Berapa lama masa diambil untuk bangun semula selepas itu? 20 tahun? 30 tahun? Pendek kata, kesan 13 Mei masih lagi kita dapat rasai hingga hari ini bagaimana sukarnya untuk bangun setelah jatuh.

Alasan yang mengatakan bahawa sekolah kebangsaan terlalu keMelayuan dan keIslaman (doa pagi) bukanlah hujah yang kuat untuk menolak sekolah satu sistem. Apakah lagi identiti yang boleh ditonjolkan lagi dalam sebuah negara yang berakarkan sebuah bangsa? Kalau inipun dicabut, apakah lagi identiti yang tinggal kepada Melayu dan Islam? Tidakkah kita sedar kedudukan ini dijamin dalam perlembagaan? Apakah kita masih belum faham perkara asas ini setelah sekian lama hidup di bumi bertuah ini?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, November 01, 2009

Destinasi roket bukan ke bulan

8:06 AM Posted by RIDHUAN TEE 47 comments

Mingguan Malaysia, 1 November 2009

Sebagai umat Islam kita mesti percaya dan patuh apa jua yang datang daripada Allah SWT, kerana kita adalah makhluk ciptaannya. Namun, pada masa yang sama kita juga perlu tahu realpolitik negara dan masyarakat kita. Bolehkah diwujudkan negara Islam yang melaksanakan hukum Islam jika penduduk negara ini tidak solid atau hampir seratus peratus Islam. Bagaimanakah kita mahu paksa bukan Islam yang hampir 50 peratus menerima hukum Islam? Mungkin kita akan berhujah, hukum Islam adalah untuk orang Islam sahaja. Manakala bukan Islam berhukum mengikut ajaran agama mereka. Persoalannya, pernahkah parti atau mereka ultra kiasu bersetuju dengan idea tersebut? Tidak perlu saya peringatkan lagi jawapan mereka.

Saya amat hairan, kenapa kita terhegeh-hegeh mahu naik roket bersama mereka menuju ke bulan? Sedangkan kita sudah tahu destinasi roket tersebut bukan ke bulan. Saya bimbang mereka yang membawa roket tersebut sudah bersiap sedia dengan payung terjunnya bila mereka tahu roket tersebut tidak boleh dibiarkan sampai ke bulan. Jika begitulah keadaannya, kenapa kita sanggup naik roket tersebut bersama mereka? Kenapa kita tidak tukar sahaja sahaja roket tersebut kepada lain pesawat yang sudah ada destinasinya cuma mungkin pendekatan berbeza?

Tidakkah kita boleh duduk semeja dan berbincang untuk ke destinasi tersebut. Kalau pun tidak mahu menaiki bersama, sekurang-kurang mulakan langkah pertama, bersua muka atau duduk semeja membincangkan apakah langkah terbaik untuk sampai ke destinasi? Jangan terus bersangka buruk? Kenapa boleh bersangka baik dengan musuh yang sudah jelas niat buruknya?

Kita perlu fikirkan bersama bagaimana nilai-nilai Islam boleh dilaksanakan di negara kita daripada bercakap soal hukum yang amat sukar dilaksanakan kerana majoriti-minoriti kita tidak besar. Mungkin Brunei, Pakistan dan negara Arab yang lain tidak sukar untuk melaksanakan hukum Islam. Tetapi di Malaysia tidak sedemikian geografi penduduknya.

Adalah lebih baik nilai-nilai Islam diperkasakan terlebih dahulu kerana saya yakin nilai-nilai Islam turut dikongsi oleh semua agama. Saya tidak nampak ada satu pun nilai-nilai baik Islam ditolak oleh agama lain. Apa yang diharamkan oleh Islam turut diharamkan oleh agama lain seperti berzina, berjudi, minum arak, mengumpat dan lain-lain. Yang menolak nilai agama hari ini adalah kalangan mereka yang terlampau ghairah dengan cara hidup barat yang mengagung-agung hak asasi manusia. Hari ini ternyata hak asasi yang keterlaluan telah menghancurkan barat. Barat mula sedar akan kepentingan hidup beragama (Ziglar, 2000).

Di kala barat sudah mula menghampiri agama, adakah kita mahu menerapkan kehancuran yang telah mereka alami ke dalam kehidupan kita. Sebenarnya terlalu banyak persamaan nilai dalam agama-agama yang masih belum kita laksanakan. Ini yang saya belajar semasa menganut agama Buddha dan Kristian satu masa dahulu. Persamaan itulah yang perlu kita cari dan selesaikan untuk dilaksanakan, bukannya membuang masa membincangkan sesuatu yang jauh dari realpolitik dan amat sukar dilaksanakan. Akhirnya, wang ringgit dibazirkan, kerana membincangkan perkara yang tidak boleh dilaksanakan kerana tidak memahami realpolitik dan berpecah belah tidak tentu pasal. Siapakah yang rugi sebenarnya?

Saya bukan menolak negara Islam dan hukum Islam, tetapi selaku pengkaji politik, saya membaca realpolitik Malaysia. Saya sedih dan amat khuatir melihat umat Islam berpecah. Kita sudah terlepas Singapura, adakah kita mahu lihat Singapura kedua selepas ini? Apakah kita tidak boleh membaca pemikiran ultra kiasu ini? Mereka begitu bersungguh-sungguh menyerang kita dengan berani. Apakah kita mahu terus mengalah?

Kita lihat sahaja nasib yang menimpa ahli parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin. Saya amat bersimpati dengan beliau. Niat beliau baik, mahukan kondom dan arak tidak dijual secara terang-terang di kedai serbanika. Tetapi pandangan beliau telah diserang habis-habisan oleh golongan ultra kiasu ini, terutama wanita bukan Islam yang tidak memakai kondom. Sepatutnya, kaum lelakilah yang lebih beriya-iya membantah, sebab mereka yang memakai kondom, malangnya mereka yang tidak memakai kondom yang begitu berani, mahukan kondom dijual di khalayak dan digunakan ketika melakukan hubungan seks ‘secara selamat’. Lebih menyedihkan orang Islam pun menentang sama. Apakah dengan hanya memakai kondom hubungan seks dikira selamat? Kenapa tidak pertikaikan sebab-musabab mereka memakai kondom? Apakah mereka yang memakai kondom itu sudah bernikah atau tidak?

Saya yakin kebanyakan mereka yang menggunakan kondom adalah kalangan yang mengamalkan seks bebas. Bagi pasangan suami isteri, agak jarang mereka menggunakannya, sebab yang Allah berikan itulah yang terbaik sekali digunakan tanpa diubahsuai. Tetapi bagi mereka yang tidak percaya kepada Tuhan, seks bebas itulah pilihan, maka bersepah-sepah kondom di merata tempat. Mereka yang melanggar perintah Tuhan tidak perlulah dibela sangat, berbanding mereka yang mahu mengikut perintah Tuhan. Saya yakin, bagi pasangan suami isteri, jika mereka menggunakan kondompun, mereka tahu erti malu, kondom akan dibeli secara ‘rahsia’ dan disimpan di tempat sepatutnya.

Tetapi bagi mereka yang tidak tahu malu, secara terang dan bangga membeli kondom dan arak di khalayak. Apakah mereka yang menggunakan kondom benar-benar merasakan seks selamat, sedangkan perbuatan mereka adalah tidak selamat? Jika seks selamat menggunakan kondom ini melibatkan pasangan bernikah, saya rasa lega. Tetapi rata-rata pelanggan kondom ini terdiri dari kalangan yang mahukan seks selamat, walaupun cara itu tidak menyelamatkannya.

Jika kondom dan arak dikatakan sebagai kebebasan dan hak asasi manusia, saya cadangkan mereka yang menentang ia dijual secara tertutup supaya meletakkan kondom dan arak di depan pintu rumah untuk memudahkan anak-anak mereka melakukan seks secara selamat. Beli sahaja sebanyak sedozen dan letakkan di tepi pintu atau berhampiran meja makan. Kenapa kondom perlu disimpan di dalam rumah selepas ia dibeli? Jika ia sesuai dijual secara terang-terangan, elok juga diletakkan di tempat yang strategik di rumah untuk diambil oleh anak-anak. Katakan pada mereka, ‘jika mahukan seks selamat pakailah kondom’. Saya yakin, mereka yang suka memakai kondom, tidak tergamak untuk meletakkan kondom secara terbuka. Persoalannya, jika kondom itu tidak sesuai diletakkan di rumah secara terbuka, apakah manis ia dijual secara terbuka di kedai?

Perkara ini tidak perlu dibincangkan untuk dilaksanakan kerana ia adalah common sense. Mungkin ia sesuai diamalkan di barat, tetapi tidak di Malaysia, masyarakat timur yang terkenal dengan tatasusila dan kelembutannya. Saya bukan melarang peminat-peminat kondom dan arak menggunakannya, tetapi biarlah tahu malu sedikit apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma dan tatasusila manusia, walaupun tidak salah memakainya untuk mereka yang bergelar suami isteri.

Saya yakin mereka yang suka kepada kondom dan arak ini adalah kalangan jenis manusia yang tidak takut pada Tuhan. Pasangan suami isteri jarang menggunakan kondom kerana ia bukanlah suatu yang menyeronokkan dalam hubungan seks yang halal. Apakah selepas ini kita akan menyokong idea untuk mengadakan mesin kondom dan mesin arak di luar bangunan seperti mesin air atas dasar hak asasi manusia? Kenapa hari ini kita tidak membincangkan mudarat yang dibawa oleh kondom dan arak? Pernahkah kita buat kajian, berapa ramai manusia yang tidak berdosa mati disebabkan oleh kaki arak yang gagal mengawal kereta terbabas sehingga menyebabkan kemalangan kepada orang lain?

Justeru, saya menyokong sekiranya kondom dan arak dijual secara tertutup. Inilah tatasusila orang timur seperti yang termaktub dalam rukun negara. Malu melakukan melakukan perkara yang merosakkan apatah lagi sek bebas. Sebut sahaja kondom, kita rasa malu, walaupun mungkin ia diperlukan.

Sebenarnya kondom dan arak ini adalah bertujuan untuk merosakkan umat Islam. Bila umat Islam telah cair dan rosak, senanglah golongan ultra kiasu ini untuk menguasai minda orang Islam. Dengan sebab itu, mereka amat menentang sebarang percubaan untuk menyembunyikan kondom dan arak di khalayak, sebab yang rosak bukan mereka tetapi orang Islam. Saya amat bimbang, kita tidak mampu lagi bangun setelah jatuh. Ketika itu orang lain telah menguasai kita.

Kepada mereka yang mahu ke bulan, adakah roket benar-benar membawa kita ke sana?.