28 Ogos 2011

Ulasan & Ucapan Raya edisi Review Filem


(1) Alhamdulillah, setelah berpuasa selama sebulan, esok, Insyaallah kita akan menyambut hari lebaran bagi seluruh umat Islam. Pada saya, Syawal adalah hari di mana manusia mengenal erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam itu sendiri. Masjid akan dipenuhi jemaah bersolat sunat hari raya, ahli keluarga yang dekat-jauh akan berkumpul, segala hutang-dosa akan dilunaskan dengan huluran salam-jabat memohon kemaafan mahupun ahli keluarga bergotong-royong membersihkan perkuburan ataupun memasak juadah lauk pauk. Kesemua ini memerlukan satu kesatuan. Inilah indahnya Syawal dan mungkin tidak akan dapat kita cari di bulan yang lain. Saya sangat menolak pandangan liberal yang menolak konseptual raya atas alasan “tidak perlu tunggu raya untuk memohon maaf” kerana istilah raya itu adalah melambangkan satu situasi memorable yang wajib dilalui oleh setiap muslim tanpa mengira apa rasnya, warna kulitnya, fahaman politiknya mahupun jantinanya.

(2) Alhamdulillah juga, dikeberkatan bulan Ramadhan yang bakal berlalu ini, pasukan kegemaran saya dan jutaan peminat yang lain, Manchester United melalui saat kegembiraan kerana telah membelasah pasukan bermasalah, Arsenal dengan jaringan 8 berbalas 2, menggambarkan betapa “ayam”nya skuad Arsene Wenger itu sekarang. Perlawanan ini sebenarnya banyak mengajar erti kesabaran bagi Arsene Wenger, pemain dan penyokong Arsenal, kerana itu semua adalah cebisan dugaan yang perlu mereka lalui apabila berhadapan dengan pasukan berwibawa dan berkarismatik seperti Manchester United, sama natijahnya seperti madrasah Ramadhan yang mendidik jiwa umat Islam untuk bersabar menahan perkara-perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari.

(3) Untuk tahun ini, sambutan hari raya akan disambut serentak dengan hari kemerdekaan, lalu ini adalah satu pakej bagi syarikat konglomerat untuk “cut-cost” bajet iklan raya untuk disatukan dengan iklan kemerdekaan. Pada saya, sejak kehilangan Arwah Yasmin Ahmad, iklan raya dan kemerdekaan sedikit hambar, suram, kelihatan kurang sifat humanisnya dan kurang unsur-unsur didaktik untuk difikirkan secara mendalam. Untuk menghasilkan video-video iklan hari raya(yang membawa khalayak meneladani maksud hari raya pada ertikata sebenar bukan sekadar makan kuih raya, memakai baju raya) dan kemerdekaan(yang membawa khalayak menerobos maksud sebenar kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan bendera mahupun bercanda dikonsert-konsert percuma di malam merdeka) yang mengesankan, bukanlah satu tugasan yang mudah.

Cuba kita telusuri dan hayati iklan-iklan raya untuk tahun 2011. Wujud atau tidak nilaian estatika raya itu di setiap karya ini? Untuk fakta, tahun ini, tiada lagi iklan kontroversi yang boleh kita tonton seperti iklan TV3 tahun lepas.









(4) Cuba anda tonton rancangan di TV semasa raya ini. Kebanyakkan rancangan yang disiarkan adalah bertemakan hiburan. Kalau boleh saya senaraikan satu-satu, memang terlalu banyak rancangan-rancangan hiburan yang ditayangkan samada dalam bentuk filem atau drama(biasanya filem David), program nyanyian, sitkom, muzikal, jurnal, drama sampai ke rancangan masakan sekali pun akan menyajikan resipi-resipi yang bertemakan Hari Lebaran.

Ironinya, yang menjadi masalahnya kini ialah kebanyakkan rancangan hiburan tersebut adalah saduran idea rancangan yang lepas-lepas, klise dan membosankan, khususnya rancangan berteras nyanyian.

Saya melihat media seolah-olah ingin membentuk satu fikrah bahawa konsep raya adalah signifikan dengan nyanyian, asal raya sahaja mesti kena adakan rancangan berbentuk nyanyian.

Kadang-kadang saya rasa pelik, media kerap menghentam bahana hedonisme, tetapi dalam pada masa yang sama mereka sendiri berlumba-lumba untuk menyalur rancangan hiburan yang ‘ntah-apa-apa” ke dalam mentaliti masyarakat.

Dan apa yang buat saya bertambah pelik ialah sikap masyarakat yang suka dengan rancangan-rancangan tersebut. Apa yang seronok sangat dengan rancangan-rancangan nyanyian semacam itu? Tetapi saya ketepikan rasa pelik saya kerana beranggapan bahawa innate behaviour atau citarasa setiap manusia adalah berbeza. Ada yang suka nasi beriyani, ada yang suka nasi kerabu dan ada yang suka nasi putih berlaukkan kicap.

Kadang-kadang saya terfikir kebanyakkan konsep glasnost berteras hiburan ditampilkan pada ertikata yang membosankan. Saya merasakan bahawa sudah sampai masanya satu rekonstruksi atau perestroika dilakukan agar produk-produk hiburan tersebut diubah untuk kebaikan kita bersama.

Saya bukanlah seorang yang anti-konsert ataupun golongan yang menentang hiburan secara total, tetapi pada saya, tiada salahnya jikalau rancangan itu diselitkan dengan unsur-unsur yang didaktik dan mendidik, tidak hanya “based” kepada hiburan semata.

Saya menyarankan agar stesyen TV memperbanyakkan rancangan dokumentari-jurnal berkaitan hari raya, selain rancangan hiburan. Sebagai contoh, satu ketika dahulu saya pernah melihat sebuah dokumentari berkaitan Halim Yazid dan idea-idea dikir baratnya ditayangkan untuk tayangan hari raya.

Ataupun cuba siarkan drama-drama pendek karya pengarah-pengarah indie seperti Amir Muhammad, James Lee, Ridhwan Saidi, Tok Rimau, Kamal Sabran, Ho Yuhang(sekadar menyebut beberapa nama). Kita sering mengatakan yang kita mahu membentuk minda kelas pertama? Ataupun kita sebenarnya menuju era kemandulan minda kelas pertama?

Setiap kali raya, tiada satu pun rancangan yang mengajar masyarakat tentang ertikata sebenar raya kecuali iklan-iklan daripada syarikat-syarikat multinasional seperti Petronas. Walaupun pendek tapi cukup sarat mesejnya. Malahan saya merasakan bahawa iklan-iklan tersebut adalah lebih baik dan sampai mesejnya berbanding drama-drama swasta yang ditayangkan untuk edisi hari raya.

(5) Semakin hampir hari raya, semakin tinggi budaya konsumerisme rakyat Malaysia. Anda tidak percaya dengan fakta ini cuba buat survey di Jalan TAR ataupun Masjid India.

Para pemain kapitalis mula menangguk di air yang keruh atas budaya konsumerisme yang tinggi tatkala hari raya, dengan permainan harga. Mereka meletak harga barangan dengan keuntungan melebihi 100 peratus berbanding harga modal mereka. Contohnya, set alas tilam bermodalkan RM20 dan penjual kapitalis tadi menjualnya dengan harga RM70.

Untuk memenuhi tuntutan keinginan konsumerisme yang tinggi tersebut, maka terdapat segelintir rakyat Malaysia yang membuat pinjaman bank semata-mata untuk menukar set perabot, untuk bershoping sakan membeli baju raya, kasut raya, kuih raya dan sebagainya, sehingga kadangkala berlakunya pembaziran. Contohnya, lebihan makanan atau berbelanja barangan mengikut keinginan melebihi bajet sedia ada. Untuk fakta, hukum memakai pakaian baru hanya sekadar sunah, bukan wajib. Dengan memakai pakaian lama yang bersih adalah lebih dituntut berbanding kita membazirkan beratus-ratus ringgit semata untuk membeli busana baju melayu.

Tidak kurang terdapat juga pengkonsumer yang membayar dengan menggunakan kad kredit. Ini merupakan salah satu budaya yang kurang sihat dimana ianya menyuburkan budaya berhutang semata-mata tuntutan untuk merayakan Aidilfitri. Untuk fakta, Allah SAW dan Nabi SAW tidak pernah mewajibkan kita beraya dengan memakai baju(melampaui batasan kemampuan) yang mahal-mahal atau mewajibkan kita bermewah-mewah ketika berhari raya.

Alasan klise “raya setahun sekali” seharusnya dibuang jauh di dalam budaya berbelanja rakyat Malaysia. Budaya bergolok-gadai semata-mata untuk beraya perlu dihapuskan terus.

Saya merasakan masih ramai di antara pengunjung-pengunjung Bazar Ramadhan, hanya datang semata-mata untuk berjalan tanpa membeli apa-apa barangan. Mungkin dikalangan mereka ini kebanyakkannya adalah penjawat awam atau pekerja swasta yang tersepit dengan kegawatan ekonomi negara pada masa ini. Keinginan/nafsu mereka untuk mengkosumerisme adalah tinggi tapi disekat dengan masalah bajet gaji. Jadi jikalau duit mereka diperhabis untuk berhari raya, apa yang mereka akan makan untuk hari hari yang seterusnya?

Raya Aidilfitri sudah lari daripada konsepnya yang asal. Ianya sudah diubah suai oleh sistem yang dicipta berasaskan adat-adat kemelayuan yang sedikit lari daripada tempo yang diajarkan oleh Islam itu sendiri. Secara adatnya, ramai di kalangan kita yang lebih bergembira apabila Ramadhan berakhir kerana ianya sudah menjadi sebahagian sub-budaya masyarakat melayu di Malaysia, dimana Syawal akan dilalui dengan suasana yang sebegitu meriah seolah-olah ertikata Syawal itu jauh lebih penting berbanding pengisian ibadah di bulan Ramadhan. Kita lihat, pesta hari raya dan iklan hari raya kadangkala sudah bermula semenjak belum bermula bulan Ramadhan lagi.

(6) Apa-apa pun, saya selaku penulis di review-filem.blogspot.com mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin kepada semua pembaca blog ini!

20 Ogos 2011

Ulasan Novel Cekik oleh Ridhwan Saidi


(1) Untuk ulasan ini(dan seterusnya) saya mengguna-pakai method chedetisme di dalam mengulas agar ianya lebih kelihatan cepat dan tepat. Juga untuk membuka peluang untuk membolehkan orang yang kekurangan ruang-lingkup masa seperti saya ini, untuk menulis.

(2) Pada hakikinya, saya adalah pengikut setia penulisan-penulisan Ridhwan Saidi, pra identiti-misteri Jhbt di blog binfilem hinggalah pasca penjenamaan nama Ridhwan Saidi. Selaras dengan inkuiri saya terhadap filem, blog binfilem ini menjadi sumber rujukan wajib saya untuk menulis berkaitan filem selain penulis-penulis tersohor Malaysia seperti A.Wahab Hamzah, Ku Seman Ku Hussin, Noor Azam Shairi, SM Zakir, Faisal Tehrani, Fadli Al-Kiti dan penulis-penulis dari luar.

(3) Setelah sekian lama bergelumang dengan karya-karya Ridhwan Saidi(baca: buku, filem), saya berkemampuan untuk mengecam penulisan-penulisan beliau melalui lenggok-gaya-bahasa, penyelitan kalimah bahasa inggeris(malahan ada yang dimelayukan), idea yang segar serta penulisan yang diluar daripada kebiasaan “pemikiran kotak” masyarakat kita. Kebolehan/insting ini mungkin sedikit laduni untuk diri saya dimana kadang-kadang apabila saya membaca satu-satu artikel, saya suka untuk meneka nama penulisnya, dan hampir 95% tekaan saya adalah tepat. Begitu juga dengan filem ataupun drama, dengan memerhatikan jalan cerita, sinematografi dan pelakon, saya mampu meneka satu-satu filem atau drama itu diarahkan oleh siapa. Ya, untuk karya Ridhwan Saidi, penulisan beliau memang "lain dari yang lain", mempunyai struktur jalan cerita, idea yang di luar kepompong, idealistik dan didaktik. Tak percaya anda bacalah sendiri.

(4) Saya merasakan bahawa Ridhwan Saidi adalah salah seorang penulis kita di masa hadapan. Saya percaya novel-novel beliau mampu membawa angin perestroika dan revolusi kepada kesusasteraan negara kita di kala lambakan novel yang "ntah-apa-apa-ntah" berlegar-legar diruang komoditi pasaran buku kita. Saya bercakap di atas landasan peribadi. Mungkin innate behaviour dan citarasa manusia berbeza. Itu saya faham, tetapi membaca novel cinta 3 segi, cinta dinodai orang ketiga, skandalisme sana-sini, sedikit memualkan hormone pencernaan saya. Saya sebenarnya sedang menunggu Andre Hirata atau Haruki Murakami(sekadar menyebut beberapa nama) muncul untuk membawa konsep glasnost di dalam bidang penulisan di Malaysia dan mungkin tidak keterlaluan saya katakan bahawa Ridhwan Saidi sedang berada di landasan tersebut.

(5) Saya difahamkan ini adalah novel beliau yang pertama dan beliau sedang dalam proses meriliskan novel keduanya dibawah label beliau sendiri iaitu Amerika.

(6) Untuk novel Cekik ini, saya sangat menyukai bagaimana Ridhwan menggaul unsur pasca-modernisme, eksistensialis, ekspresionis, anarkisme, transcendentalisme, liberalisme, falsafah seni-bina, sufisme, sosialisme, nihilisme, sensualisme, homourisme, sedikit kritik sosial, semua ini diaduan menjadi ramuan yang enak untuk dihadam oleh khalayak. Walaupun ada yang pro dan ada yang kontra tetapi hakikinya ia tetap terbaik bagi saya(baca: mungkin ada khalayak yang menolak contohnya pages Saya Benci Fixi tetapi pada saya ianya adalah hak peribadi). Tetapi, serius, isu Interlok & Bahasa Melayu itu adalah pariah sebenar, sangat-sangat mengujakan saya.

(7) Cekik bercerita tentang Syed Warith yang berpacaran dengan kekasih gelapnya iaitu Suria diselangi dengan watak-watak tambahan yang lain. Ia bercerita tentang Malaysia ditahun 2020, bagaimana struktur dan rupa-bentuk Menara Warisan Merdeka, apa yang akan berlaku pada tahun tersebut, adakah kereta tidak lagi berada dijalanraya sebaliknya terbang bebas seperti burung diudara? Adakah rakyat Malaysia tidak lagi makan nasi lemak dan minum teh tarik sebaliknya hanya makan kapsul dan pil sahaja? Adakah pakaian rakyat Malaysia akan berwarna silver dan mempunyai antenna di atas kepala? Jawapannya ada didalam novel Cekik ini.

(8) Tema utama di dalam novel ini adalah berkaitan dunia anak muda. Novel ini bercerita tentang jiwa anak muda bernama Warith yang memberontak mahu keluar daripada kepompong "dunia klise kebanyakkan anak muda"(the easy-comfort zone anak muda sekarang:bawah ketiak mak dan ayah), lantas mencabar diri sendiri untuk berhijrah ke Kuala Lumpur lantaran penindasan yang berlaku ke atasnya. Di sepanjang perjalanan itulah, Warith belajar apa itu DIY, apa itu “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” dan bagaimana susahnya mencari sesuap nasi. Dan tidak ketinggalan, ia juga bercerita realisme dunia remaja masakini yang kadangkalanya berada betul pada landasannya juga ada kalanya menyimpang.

(9) Saya juga suka bagaimana Ridhwan menyalur unsur didaktisme di dalam novelnya, juga bagaimana cara beliau mencuit intelektual khalayak yang kadangkala ditampilkan secara homour tetapi mengesankan. Mungkin ada juga bab-bab yang sedikit kontra adat ataupun agama dan lari daripada norma-norma ketimuran seperti babak sensual antara kedua watak utama(Syed Warith dan Suria), namun pada saya, membaca novel ini umpamanya seperti kita menonton VHS, kita boleh pause, forward dan rewind mengikut apa yang mahu kita baca ataupun tidak. Pilihannya adalah di tangan kita. Adalah menjadi masalah apabila kita berprasangka holier-than-thou dengan memperbesarkan isu sensual ini lantaran bukan itu sebenarnya didaktisme, moraliti atau anasir positif novel Cekik ini. Saya berpendapat tidak perlu kita mengeluarkan sejumlah RM20 semata untuk membeli novel ini, jika hanya semata-mata mahu membaca kisah adegan sensual antara Warith dan Suria, kerana terlalu banyak lambakan sumber lain yang lebih mudah dan murah untuk didapati, berbanding membuang masa membaca novel Cekik ini(contohnya, anda beli Metro Ahad). Dan Ridhwan sendiri sudah memberikan jawapan kepada persepsi songsang ini di dalam novelnya.

(10) Kita selalu membaca perihal minda kelas pertama tetapi apa yang saya nampak kemahiran mengendalikan kefahaman kita terhadap satu-satu bahan atau medium bertulis kadangkala bersikap berat sebelah, tidak bebas, prejudis dan kita sering berlumba untuk menunjukkan siapa holier-than-thou jika satu-satu karya itu muncul “lain dari yang lain”. Pada saya sub-budaya yang semakin membarah ini akan memandulkan kepada revolusi kesusasteraan khususnya di Malaysia.

(11) Saya sebenarnya tertanya-tanya mengapa Ridhwan Saidi suka menggunakan tajuk Cekik ini didalam kebanyakkan karya beliau. Adalah ianya ada kaitan dengan Syed Warith tercekik gula-gula getah di pengakhiran novel ini, atau nama Cekik ini adalah satu simbolisme kepada “sesuatu” yang ingin disampaikan oleh Ridhwan secara ambiguiti, jawapannya hanya ada pada beliau.

(12) Saya bersetuju bahawa pengakhiran novel ini didalam kondisi tergesa-gesa. Mungkin Ridhwan mampu menyambungnya ke bab yang lain tetapi beliau memilih untuk mematikannya dengan cara sebegitu, mungkin sudah terlebih 60000 patah kata, barang kali :)

(13) Akhir kata, untuk yang belum mendapatkan novel ini sila dapatkan ia segera sebelum ia kehabisan stok. Saya sebenarnya mahukan novel yang bertandatangan Ridhwan namun hajat ini nampaknya belum berkesampaian.

p/s: selepas ini sesiapa yang mahu novelnya direview,boleh rekomen tajuk di ruang komen dibawah,saya akan berusaha untuk memenuhinya :)

p/s/s: ini adalah kali pertama saya mengulas berkaitan novel, jadi harapnya anda semua dapat meninggalkan komen di bawah!

19 Ogos 2011

Surat Cinta Untuk Arwah Kak Min

Bismillahir Rahmanir Rahim

Saya memulakan surat ini dengan lafaz Basmallah, yang acapkali kita lihat di permulaan karya-karya Arwah Kak Min. Kita sudah sedia maklum bahawa Arwah suka memulakan filem-filemnya dengan perkataan Basmallah.

“tiap-tiap pekerjaan penting yang tidak dimulai dengan Bismillah, maka pekerjaan itu terputus(kurang berkah)” (Riwayat Abu Dawud)

Walaupun ia nampak ringkas dan terlalu mudah untuk diungkapkan, namun pada saya, ia adalah merupakan satu lafaz yang menampakkan kompleksiti jika kita rajin mencari-gali dan mentadabbur apakah maksud di sebalik lafaz tersebut. Malahan boleh dikatakan semua karya-karya beliau mengguna-pakai lafaz ini ketika montaj pembukaan.

Adakah Arwah sengaja mengkritik halus sebilangan ramai daripada kita yang lalai daripada menggunakan lafaz ini setiap kali mahu melakukan apa sahaja, walaupun ianya terlalu mudah untuk diungkapkan?

Lafaz Basmallah merupakan kalimah tahiyyah yang indah dan mengadun maksud tentang kepedulikan terhadap substantialiti cinta dan kasih sayang. Ini tema yang sinonim dengan filem-filem beliau. Ia memperlihatkan jua bagaimana Arwah memanipulasi maksud mendalam(baca: tema kasih sayang) lafaz Basmallah ini, lalu merencanakan sebuah hasil adi-karya yang berlandaskan kepada terma tersebut. Nah, cuba lihat Gubra, Talentime, Muallaf, Mukhsin dan deretan iklan raya yang bermain atas dasar humanis dan kasih sayang.

Persoalannya, di saat Arwah dilemparkan dengan tuduhan pengamal mazhab pluralisme atau penyebar politeisme, mengapa Arwah masih mahu menerapkan elemen-elemen berorientasikan Islam, semudah lafaz Basmallah dalam karya-karya beliau? Malahan, serasa saya, isu yang cuba ditimbulkan di dalam karya-karya beliau menerobos sempadan isu yang jarang kita mahu ambil peduli mahupun cakupi.

Wujud persoalan, ada banyakkah karya yang sebegini ilmiah dan informatif seperti karya-karya Arwah ini di Malaysia?

Apa yang kita nampak kebanyakkan rilisan karyawan filem kita hanya bermain dengan isu hantu, rempit, transeksual, dan pusing-pusing isu inilah yang di-rolling dan dikitar-semula berulang kali tahun demi tahun.

Full-stop.

Saya bukan bermain mahu bermain dengan isu “kelesuan” perfileman di Malaysia(walaupun ada seorang produser yang sebegitu yakin dia mampu mengangkat industri perfileman Malaysia kembali ke tempatnya, dengan sebuah filemnya).

Surat ini secara literalnya berkaitan Arwah Kak Min.

Secara jujur, saya tidak pernah bersua dengan arwah secara bertentang mata tetapi apa yang boleh saya katakan ialah saya membesar dengan karya-karya beliau dan beliau jugalah yang mengenalkan saya dengan filem-filem bebas, selain Amir Muhammad.

Kali pertama saya menonton karya Arwah ialah menerusi drama Rabun yang disiarkan di slot cerekarawa TV3. Seingat saya, ketika itu saya masih bersekolah lagi.

Saya sangat tertarik dengan drama tersebut. Saya berani mengatakan drama ini membuatkan saya berfikir sejenak menaakul satu persatu plot yang cuba direpresentasi Arwah melalui Rabun ini. Saya menelusuri momen-momen romantikal Arwah M.Rajoli dan Kartika Aziz dan ia juga bercerita dari sudut sederhana kepolosan melayu yang nampak nun terpinggir tetapi sangat “luar biasa” semangat humanisnya.

Ya, amat jarang sekali aku menonton drama yang sedikit “kabur” fotografi dan sinematografinya, tetapi amat “lain macam” penangannya!

Mungkin ketika itu, saya beranggapan mungkin masyarakat marhain tertanya-tanya, cerita apakah ini? Atau menginterpretasi bosannya drama ini, tetapi saya tidak.

Melalui drama tersebut, saya mula mengenali Arwah(secara maya) dan selepas itu, saya tidak pernah ketinggalan dengan setiap karya beliau walaupun seringkali dipalit dengan pelbagai kontroversi dan tohmahan.

Saya dipertontonkan dengan Sepet yang bercerita tentang keluhuran cinta berlainan ras, kemudian Mukhsin berkenaan cinta di awal usia, kemudian saya dihidangkan dengan karya kontroversi, Muallaf dan buah tangan terakhir beliau iaitu Talentime.

Sejujurnya, saya amat-amat menyukai karya Arwah. Ini jujur lahir daripada lubuk hati saya(bukan bertujuan untuk membodek) dan saya nampak apa yang cuba diangkat oleh Arwah tidak ada pada rilisan-rilisan pengarah yang lain.

Pada saya, keistimewaan karya Arwah ialah pada (1) Mesej dan kuat nilaian ambiguitinya, juga simbolismenya (2) Naratif yang menarik dan tidak klise, bukan dibikin picisan (3) Elemen menyentuh perasaan dan membuai emosi, juga lagu temanya (4) Arwah suka mengangkat lapis stratifikasi bawahan dalam karya beliau (5) Unsur humanis yang mapan (6) Unsur didaktisme dan tidak membelakangkan aspek pembinaan minda khalayak.

Kita jarang nampak keistimewaan-keistimewaan ini didalam karya-karya masa kini. Kita mungkin acapkali dihidangkan dengan isu-isu klise, streotaip dan “boleh dibaca kesudahannya”. Malahan lebih malang apabila ada antara karya-karya tersebut selayaknya dibakul-sampahkan.

Mengapa ya jarang sekali unsur-unsur semacam ini menjadi pilihan pembikin filem, asek-asek cerita hantu, lumba “kereta sukan”, ke alam jin, transeksual, lepas tu pasang angan-angan mahu untung juta-juta.

Oh, saya tertinggal satu perkara penting.

Arwah tidak ketinggalan mahu menjadikan karya-karya beliau sebagai medan untuk berdakwah mengikut acuan beliau. Sebagai contoh filem Muallaf.

Naskhah Arwah Yasmin Ahmad ini, sewajarnya digolongkan sebagai filem dakwah, malahan ia merupakan sebuah karya dakwah yang sangat jujur dan tulus serta positif dari sisi intelektualiti, berdasarkan kajian dan ilmu Allahyarham Yasmin secara mendalam berkaitan satu-satu isu yang cuba disampaikannya.

Dalam konteks kefahaman masyarakat hari ini, wujud sebilangan kecil masyarakat yang sedikit tersasar daripada memahami konteks dakwah pada ertikata sebenar.

Sebilangan daripada kita, kadang-kala menyempitkan ruang lingkup dakwah, malahan lebih malang lagi, apabila sebahagian pengkarya-pengkarya seni yang mempunyai niat suci untuk berdakwah, dituduh dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas walhal dakwah merupakan sesuatu yang sangat-sangat dituntut untuk dilakukan dan ia boleh dilakukan dengan pelbagai method dan kaedah asalkan ianya dilakukan secara bil-hikmah dan tidak menyimpang daripada landasan sebenar.

Sebahagian masyarakat masakini mempunyai fikrah berfikir yang agak jumud dan sempit.

Malahan ada yang lebih ekstrim, dimana mereka menjatuhkan hukuman keatas satu-satu karya tanpa berfikir dan menaakul secara ekstensif nilaian ambiguiti yang cuba diselindungkan oleh seseorang sutradara melalui filem atau drama yang dipertontonkan kepada khalayak. Belum pun tonton tetapi sudah melabel itu dan ini.

Ramai skeptikal untuk melabel Muallaf sebagai satu filem dakwah lantaran Arwah cuba menyalur unsur politeisme dengan mencampur-adukkan plot-plot dan skrip Muallaf berdasarkan nas-nas Al-Quran dan Bible. Ini kedengarannya agak lari daripada kebiasaan fikrah berfikir rakyat Malaysia(baca: sebahagian kita terlalu sketikal dengan istilah dan terlalu tertutup dengan “bahan bacaan luar”), oleh sebab itu ramai yang mengatakan naskhah Arwah tersebut bukan filem dakwah.

Namun pada saya, di sinilah sebenarnya kita dapat melihat bagaimana bijaknya karya Muallaf ini di tangan Yasmin di mana saya melihat Arwah tidak hanya mahu penonton hanya sekadar menjadikan wayang “hanya sekadar membayar tiket, bergelak ketawa, keluar, haram satu habuk pun tak dapat apa”, tetapi dalam pada masa yang sama, mahu penonton mentadabbur dan mencari-gali apa yang cuba disampaikan oleh beliau melalui angka-angka tersebut. Yasmin secara “direct” cuba membuka minda khalayak untuk berfikir, disamping menyemai nilaian positif yang baik sebagai hidangan kepada penonton.

Ok, saya bukan mahu bertabligh disini.

Ingin juga saya bercerita bagaimana terujanya saya apabila tiba saat hampir raya menantikan “sentuhan tangan ajaib” Arwah menerusi iklan-iklan hari raya beliau.
Arwah Yasmin dan iklan raya seolahnya sinonim, kerana beliau banyak menghasilkan iklan raya untuk syarikat multinasional Petronas. Malahan Arwah Yasmin pernah dianugerahkan Pengarah Terbaik di Malaysia Video Awards melalui iklan Forgiving pada tahun 1999.

Pada pandangan saya, iklan-iklan Arwah Yasmin mampu untuk mengaul dan memancing emosi khalayak untuk menyelami apakah kenikmatan hari raya pada ertikata sebenarnya, bukan sekadar memakai baju raya baru atau menukar langsir baru.

Dan sekali lagi seperti di dalam filem, apa yang saya sangat tertarik dengan iklan-iklan Yasmin ialah beliau suka mengangkat lapis kelas bawahan di dalam iklan-iklannya. Ya, kita nampak pengayuh beca, kanak-kanak kampung, rumah buruk, kereta buruk melalui iklan beliau.

Cuba kita sama-sama taakul mengapa ya Arwah lebih suka mengangkat golongan lapis stratifikasi gelandangan bawahan ini berbanding golongan atasan?

Malahan saya merasakan iklan-iklan yang berdurasi kurang 5 minit ini adalah “terlampau baik” berbanding filem-filem tayangan Aidilfitri mahupun drama-drama swasta bertemakan Aidilfitri.

"Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat melambatkannya barang sesaat pun, dan tidak pula dapat menyegerakannya.'' (Yunus: 49)

Tulisan ini sekadar mencipta cetusan momen kepada sebuah sosok pengkarya sejati bernama Yasmin Ahmad.

Realitinya, walaupun saya tidak pernah bersua dengan Arwah namun karya-karya beliau tetap bertapak dihati saya, mahupun kita semua.

Al-Fatihah Yasmin Ahmad(Januari 7, 1958 - Julai 25, 2009)


p/s: artikel ini dikeluarkan tanpa permisi editor Antologi Surat Cinta Kita, Ridhwan Saidi. Untuk yang belum mendapatkannya, sila hubungi beliau, kalau masih ada stok :)