Showing posts with label kuih-muih. Show all posts
Showing posts with label kuih-muih. Show all posts

Kuih Minum Petang

Salam kepada para pengunjung semua.Lama juga saya tak posting artikel baru.Maklumlah tengah sebuk dengan urusan pindah pejabat ni.Sampai hari ni pun tak siap-siap lagi.Lebih rumit dari urusan pindah rumah!Apa-apapun, insyaallah bulan Februari akan siap sepenuhnya dan kelas akan bermula pada 12 Februari nanti.Oklah kita cerita pasal kuihlah. Baru-baru ni saya ada buat kuih keria untuk minum petang. Kuih keria ni tak ada ajar dalam kelas tetapi ada juga peserta yang bertanya macamana nak sadur kuih dengan air gulanya.Air gula kena buat setelah kuih digoreng. Jangan buat awal-awal.


Resipi Kuih Keria


1 kg ubi keledek putih
Tepung gandum secukupnya
secubit garam
air secukupnya
minyak untuk menggoreng

Air gula:
1/2 cawan air
3/4 cawan gula pasir

Cara Membuatnya :
Ubi keledek dibuang kulit dan potong kecil.Basuh dan masuk dalam periuk.Tuang air hingga menutupi ubi dan masukkan garam.Rebus hingga embuk.Tuangkan ubi dalam penapis dan toskan airnya. Setelah agak sejuk,tumbuk dengan gelas hingga lumat . Gaul dengan tepung gandum hingga menjadi doh yang kental.Bulat-bulatkan dan buat lubang ditengahnya.Taburkan tepung dalam dulang dan susun kuih.

Panaskan minyak secukupnya dan goreng kuih hingga  kekuningan.Angkat dan toskan.Untuk membuat air gula, sediakan kuali lain yang agak tebal.Masukkan air dan gula pasir.Kacau dengan senduk hingga gula cair.Api hendaklah sederhana saja.Kacau hingga air gula menjadi pekat.Kecilkan api dan masukkan kuih dalam 20 biji.Kacau hingga gula merata pada kuih.Air gula akan mengeras dan menjadi putih.Angkat kuih dan hidangkan dalam pinggan.
Kuih keria yang telah disalut dengan air gula.















Kuih Tepung Pelita dan Shooting Buku Baru


Editor Alaf21, Saadiah dan Amie (jurugambar) sedang sibuk
menjalankan tugas masing-masing.


Bermacam jenis masakan berkeju seperti lasagna,makaroni bakar,
kek keju, puding dan pastri ada dalam buku masakan ini.Gerenti jadi punya.

Inilah kuih tepung pelita idaman kalbu.Sodap!

Assalamualaikum kepada para pengunjung semua.Harap semuanya sihat sejahtera hendaknya. Lama juga tak update blog ni pasal cuti sekolah dan sibuk dengan shooting buku baru Masakan
Keju dengan Alaf 21. Kuih Tepung Pelita ni dah lama saya simpan gambarnya tapi baru hari ini berkesempatan nak posting. Oklah diringkaskan cerita, kuih tepung pelita memang jarang orang buat tapi banyak dijual pada bulan puasa. Di tempat saya pada bulan puasa , bukan main laku lagi.Saya pun kalau tak sempat buat, beli saja yang siap. Kuih ini menurut emak saya asalnya dari Negeri Perak. Tetapi ada dua jenis tepung pelita, dibuat dari tepung gandum atau tepung beras. Yang tepung gandum lagi mudah dan ringkas,bancuh dan terus kukus. Kalau guna tepung beras, kena dimasak dulu tepungnya barulah dikukus. Mangkuknya pula diperbuat dari daun pisang. Apa yang penting ialah api untuk mengukus kuih ini perlu besar supaya air wap tak menitik pada kuih dan menjejaskan rupa permukaan atas kuih tepung pelita ini.

Sekarang saya sedang menyiapkan buku Kompilasi Masakan Berkeju .Dah dua kali photoshoot tinggal sekali saja lagi. Sudah 40 resipi dibuat seperti pelbagai jenis kek keju,roti, pastri, masakan barat seperti lasagna,spaggeti bolognese dan sebagainya lagi. Insyaallah buku ini akan berada di pasaran sebelum raya atau hujung tahun ini.

Kuih Bakar Kak Saba


KUIH BAKAR KAK SABA
Kiriman : Ctsamsena/resipi.net


Bahan -bahannya :
3 1/2 cawan santan
5-6 biji telur
2 cawan gula
1/2 cawan air pandan - dr 10 helai daun pandan
2 cawan tepung gandum
bijan -goreng tanpa minyak

Cara Membuatnya :
1. Gaulkan gula dengan telur sehingga gula hancur.
2. Dan masukkan semua bahan lain di atas kecuali bijan dan kacau sebati.
3. Tapiskan ke dalam acuan.
4. Bakar selama lebih kurang 45 minit - 1 jam pada 180c.
5. Taburkan bijan bila setengah waktu membakar.
Petua Kak Saba:
Bakar kuih pada api di bawah dulu pada setengah jam pertama dan selebihnya bakar api diatas pulak. Oleh kerana kat sini daun pandan mahal jadi kita ubahkan sikit. Kita pakai 4 cawan santan +1 sudu teh pandan emulco.Potong kuih apabila telah cukup sejuk.

Apam Pisang Daun Rambai


Sumber : http://srsfeqah.fotopages.com/ (TQ Feqah)

Bahan-bahan :
1 cawan pisang* yang telah dikisar (sukat selepas dikisar)
1 ½ cawan gula
3 cawan tepung
3 sudu besar mentega/marjerin
2 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil cream of tartar
Cara-cara membuatnya:
1 .Kisar pisang (yang telah dikisar) dengan soda bikarbonat, cream of tartar, gula dan mentega/marjerin.
2. Gaul bahan-bahan yang telah dikisar dengan tepung; sedikit demi sedikit .
3. Bungkus dengan Daun Rambai.**
4. Kukus selama 12 minit .
* lebih sedap guna pisang kapas/kolek/masam
** boleh diganti dengan Daun Pisang atau boleh juga dikukus terus menggunakan talam/loyang/acuan lain.




Apam Tepung Gandum


Sumber :http://cakesintheoven.blogspot.com (TQ Aazafa)

Bahan-bahan:
450 gm tepung gandum
1/2 cawan gula
6 gm ibu roti (yis segera)
3 1/2 cawan air

Cara membuatnya :
1. Kisar air dan tepung gandum dalam blender hingga hancur.
2. Pindahkan adunan ke dalam mangkuk besar, masukkan gula dan kacau hingga larut.
3. Masukkan ibu roti dan kacau hingga larut. Tuangkan dalam acuan bulat 8 inci.Peramkan adunan 1 jam.
4. Panaskan air dalam pengukus hingga mendidih. Masukkan apam dan tutup. Kukus 30 -40 minit hingga masak.
Nota : Apam ini boleh dinikmati bersama kelapa parut dan digaul bersama sedikit garam.
Untuk mempercepat keaktifan yis, bancuh yis dengan sedikit gula dan 1/4 cawan air suam. Yis yang elok akan naik dan berbuih dipermukaan atasnya.


Apam Gula Merah (Malai Ko)



Apam ini adalah sejenis kuih kukus yang diisikan dalam cawan kertas atau mangkuk plastik yang kecil. Anda juga boleh mengisikannya dalam loyang 9 inci atau 10 inci. Enak untuk hidangan minum petang.Resipi ini boleh menghasilkan 30 biji kuih.

Bahan-bahan :
140 gm gula merah
50 gm air
4 biji telur B
200 gm gula kastor
320 gm tepung gandum
8 gm soda bikarbonat
400 ml santan pekat

Cara Membuatnya :
1. Satukan gula merah dan air. Panaskan hingga gula cair. Tapiskan dan sejukkan.
2. Pukul telur dan gula hingga kembang dan gebu.
3. Masukkan tepung yang telah diayak bersama soda. Gaul sebati.
4. Tuangkan air gula merah dan santan. Gaul sebati. Rehatkan 20 minit.
5. Sementara itu panaskan air dalam kukusan hingga mendidih.Acuan juga dipanaskan 5 minit.
6. Tuangkan adunan dalam acuan dan kukus 15 minit hingga masak.

Karipap Mudah

Karipap ni akak buat semalam. Ianya mudah dan sesuai untuk dibuat jualan atau untuk makan sendiri. Lagi satu ia boleh difrozenkan. Susun karipap dalam bekas plastik atau tupperware tetapi setiap lapisan alas dengan plastik supaya tidak melekat. Masuk dalam peti dinginbeku dan tahan sebulan. Bila hendak digoreng, keluarkan satu jam sebelumnya agar ia lembut dan bolehlah digoreng. Apabila menggoreng karipap, api jangan kuat kerana kulit karipap akan jadi menggerutu atau menggelembung. Panaskan minyak secukupnya dan gorenglah dengan api perlahan. Untuk menjadikan bentuknya sama besar,bolehlah gunakan acuan karipap yang banyak dijual di pasaraya. Untuk satu adunan dibawah, boleh mendapat 45 biji karipap bersaiz sederhana.

Bahan-bahan doh:
600 gm tepung gandum
130 gm majerin
150 ml air
1/2 sudu teh garam

Bahan-bahan inti :
7 biji kentang bersaiz sederhana, dipotong dadu kecil-kecil
100 gm daging cincang
1/2 biji bawang besar, dicincang
2 ulas bawang putih, dicincang
2 sudu besar serbuk kari
air secukupnya
garam dan perasa secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

Cara membuat doh :
1. Air dan garam dilarutkan.
2. Gaulkan majerin ke dalam tepung hingga rata.
3. Tuangkan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh.
4. Uli sebentar hingga doh agak licin. Cubitkan doh sebesar bola ping-pong dan rehatkan doh 15 minit. Tutup bekas dengan plastik.
5. Canaikan doh dan masukkan inti. Kelim tepinya dan susun atas dulang. Buat begitu sehingga adunan habis.
6. Setelah siap, bolehlah digoreng. Selebihnya bolehlah disimpan di dalam peti sejuk.

Cara membuat inti :
1. Tumiskan bawang hingga kuning dan masukkan serbuk rempah kari.Masukkan daging dan biarkan ia empuk. Tambah sedikit air.
2. Masukkan kentang yang telah dipotong dadu. Tambahkan air dan biarkan ia masak perlahan-lahan.
3. Apabila air telah kering, masukkan garam dan perasa. Angkat apabila kentang telah empuk. Sejukkan sebelum digunakan.

Apam Tepung Beras


Apam tepung beras ni favourite mak akak. Kalau kenduri-kendara tak sah kalau tak buat apam ni. Apamnya lembut dan sedap.Susah nak jumpa resipi ni. Tak ramai orang yang pandai membuatnya. Ramuan istimewa dalam apam ini ialah tapai nasi dan Eno (garam buah-buahan)
Untuk membuat tapai nasi, gunakan nasi yang baru ditanak dan sejukkan. Jangan guna nasi semalam atau yang hampir basi. Ragi pula hendaklah yang masih elok dan cukup kering. Ragi ni tak jual di pasaraya. Cari di pasar biasa,tempat jualan sayur-sayuran kampung. Tanyalah makcik-makcik yang berjualan tu, adatak jual ragi.Satu keping ragi biasanya berharga 50 sen.
Untuk membuat tapai nasi, hancurkan 1/2 keping ragi dengan sudu hingga jadi serbuk.Masukkan nasi ke dalam mangkuk dan taburkan ragi.Gaul dengan sudu hingga sebati.Masukkan dalam bekas bertutup rapat dan peram 2 malam. Tapai yang elok bewarna putih dan airnya manis. Tapai anda tidak menjadi jika warnanya kuning dan rasanya masam.Buangkan tapai ini dan buatlah yang lain.
Bahan-bahan :
(A) - Tapai nasi
2 cawan nasi sejuk
1/2 keping ragi
(B)
3 cawan tepung beras Cap Teratai
3/4 cawan gula pasir
1 1/2 sudu makan Eno peket biru
3 cawan air
sedikit garam
sedikit pewarna merah, hijau atau kuning
(C)
kelapa parut dan sedikit garam, untuk hiasan
Cara Membuatnya :
1. Untuk membuat tapai nasi, hancurkan ragi hingga jadi serbuk dan taburkan atas nasi. Gaul sebati dengan sudu. Masukkan kedalam bekas bertutup dan simpan dalam almari. Peramkan 2 malam.
2. Ambil 1 cawan tapai nasi dan masukkan ke dalam mesin pengisar bersama 2 cawan air, garam dan gula.Kisar hingga gula hancur. Tuangkan dalam mangkuk dan ketepikan.
3. Tepung dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk. Tuangkan air tapai yang telah dikisar tadi. Gaul sebati. Kisar semula dengan menambah 1 cawan air lagi.
4. Tuangkan semula ke dalam mangkuk dan peram 5 - 6 jam. Bancuhan ini elok di buat pagi dan kukus pada sebelah petangnya.
5. Taburkan Eno ke dalam adunan yang telah diperam. Gaul sebati. Masukkan pewarna merah jambu atau warna kesukaan anda. Peram lagi 20 minit sebelum dikukus.
6. Sementara itu, didihkan air dalam pengukus.Panaskan acuan mangkuk kecil. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan kukus 15 minit dalam api yang besar.
7. Apabila masak, angkat dan sejukkan. Apam ini akan merekah di permukaannya.Hiaskan dengan kelapa parut yang digaul sedikit garam.
Nota : Adunan ini boleh mendapat 30 biji kuih apam.

Membuat Kuih Lapis

Kuih-muih tempatan enak dimakan untuk minum petang. Antara kuih-muih yang menjadi kegemaran keluarga saya ialah kuih lapis. Untuk memasak kuih lapis, kita menggunakan cara kukus. Didihkan air 3/4 penuh. Loyang yang digunakan dalam resipi ini berukuran 10 inci. Griskan loyang dengan sedikit minyak dan panaskan ia selama 3 minit kemudian barulah dituangkan adunan. Setelah masak, sejukkan selama beberapa jam barulah dipotong. Gunakan pisau tajam yang dibasahkan dan potong mengikut bentuk disukai.

Bahan-bahan :

2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung ubikayu
1 cawan gula pasir
600 ml santan pekat
800 ml air
sedikit garam
1 sudu teh esen ros
sedikit pewarna merah dan hijau

Cara Membuatnya :

1. Masukkan tepung beras, tepung gandum, gula, garam, santan dan air dalam sebuah mangkuk.Gaul hingga adunan sebati.Tapiskan untuk membuang gentel tepung.
2. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Warnakan merah dan hijau.
3. Panaskan loyang dalam pengukus. Tuangkan dua senduk adunan hijau dalam loyang.
Tutup periuk kukus dan kukus 10 minit.
4. Tuangkan pula adunan merah dan kukus 10 minit. Buatlah cara yang sama hingga adunan habis. Lapkan penutup kukus setiap kali hendak menutupnya semula.
5. Apabila kuih telah masak, angkat dan sejukkan.

Jemput-jemput Jagung

Resipi ini pula saya ambil dari Majalah Saji Mac 2005 dan chefnya ialah pelakon Zaibo.

Bahan-bahan :
3 tongkol jagung
1 biji bawang besar
1 biji cili merah
10 tangkai daun kucai
130 gm udang kertas
30 gm udang kering
2 biji telur
180 gm tepung gandum
125 ml air panas
minyak masak secukupnya
sedikit garam

Cara Membuatnya :
1. Leraikan jagung dari batangnya. Bawang besar, cili merah dan daun kucai dipotong dadu. Manakala udang kertas dibelah dua dan udang kering ditumbuk halus.
2. Masukkan kesemua bahan dalam mangkuk. Kemudian pecahkan telur dan gaul rata.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit bersama air panas dan gaul hingga sebati.
4. Pastikan tepung tidak melekat pada tapak tangan. Jika masih melekat, tambahkan tepung.
5. Panaskan minyak. Jemputkan adunan dengan tangan dan goreng hingga garing.
6. Toskan dan hidangkan.

Nota : Enak dimakan panas-panas dan dicicah bersama sos cili.

Cucur Bilis Lembut

Assalamualaikum.Bersua lagi di ruangan ini. Hari ini posting saya bertajuk "Cucur Bilis Lembut. Cucur , jemput-jemput atau nama tak glamournya cekodok, menjadi hidangan sarapan pagi dan minum petang yang popular dikalangan masyarakat kita. Cucur diperbuat dari tepung gandum dan dicampur pelbagai bahan lain bagi menambahkan rasa dan kelembutannya. Antaranya cucur bawang,cucur bilis,cucur pisang, cucur jagung dan lain-lain. Hidangan ini mudah disediakan kerana anda hanya perlu menggaul dan mengoreng. Bagaimana untuk mendapatkan cucur yang lembut, tidak keras dan liat seperti biasa. Ha, rahsianya ialah dengan menggunakan air panas yang baru lepas mendidih. Dengan menggunakan air panas, tepung menjadi setengah masak dan apabila digoreng, ia menjadi ringan dan lembut isinya. Kulit luarnya pula menjadi rangup dan garing.Cucur ini juga enak dicicah bersama sambal kicap.

Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air panas
sedikit air paip, jika perlu
sedikit hirisan bawang merah
sedikit ikan bilis, ditumbuk
sedikit garam
2 cawan minyak, untuk menggoreng

Cara Membuatnya :
1. Satukan tepung, garam, bawang dan bilis ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tuangkan air panas dan gaul hingga basah. Jika kurang basah, tambah sedikit air paip.
3. Adunan menjadi seakan berketul dan 1/2 masak.
4. Bulat-bulatkan adunan kecil-kecil.
5. Panaskan minyak dan masukkan cucur. Goreng hingga kekuningan.
6. Angkat dan toskan.

Sambal Kicap:
1 ulas bawang putih
3 biji cili padi
1 sudu besar gula
3 sudu besar kicap pekat

Cara Membuatnya:
1. Tumbuk bawang putih, cili padi dan gula hingga lumat.
2. Masukkan kicap dan gaul sebati. Hidangkan bersama cucur bilis.

Popular Posts