Pengabaian golongan agama berkaitan fiqh keutamaan.
1. Pengabaian terhadap keutamaan bukan hanya melanda masyarakat
awam tetapi turut memberi tempias kepada golongan agama kerana kegagalan
memahami inti agama yang sebenar. Mereka gagal membezakan dikotomi utama dan
biasa, sah dan batal, diterima dan ditolak, yang disunatkan dan yang
diada-adakan.
2. Sebagai contohnya mereka lebih berminat menyumbang membina
masjid yang telah sedia ada dari membangun manusia, menambah perhiasaan yang sia-sia
dari membangun manusia. al-Qaradawi mengibaratkan :
Mereka lebih beriman dengan membangunkan batu-batu dari
membangunkan manusia.
3. Saban tahun kita melihat pelbagai NGO’s menganjurkan kutipan
jihad bagi membantu sahabat-sahabat kita di Syiria, Palestin, Yaman dan
sebagainya, dalam masa yang sama puluh ribu yang mungkin menunaikan haji buat
kali kedua atau ketiga dan menunaikan umrah berkali-kali buat saban kalinya.
Dan seandainya dihitung dari perbelanjaan mereka boleh mengalahkan kutipan yang
dianjurkan saban masa itu.
4. Sebahagiannya pula sibuk dengan urusan “dakwah” sehingga
meninggalkan pelajaran mereka di universiti dan kerjaya-kerjaya strategik
dengan alasan dakwah adalah keutamaan dalam agama, sedangkan mereka bakal
menjadi doktor, arkitek, jurutera dan teknokrat yang pelbagai. Sumbangan mereka
sangat diharapkan oleh umat ini dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.
5.Para ustaznya pula sibuk membahas isu-isu remeh saban hari. Sibuk
membahaskan warna baju yang afdhal adakah berjubah putih atau berseluar.
Manakah yang afdhal makan di lantai atau atas kerusi. Makan menggunakan tangan
atau bergarfu dan sudu.
Apa yang berlaku hari ini adalah warisan
yang telah kita warisi dari zaman kemunduran dan
kita kekalkan sehingga hari ini. Antara warisan tersebut adalah :
i. Mereka tidak mengindahkan hal-hal berkait dengan fardhu kifayah
seperti peningatan kualiti ilmu pengetahuan, perindustrian dan kepiawaian dalam
perperangan. Begitu juga pengabaian ijtihad dalam masalah penyebaran Islam,
membangunkan hukum, menentang kerajaan yang zalim, dan sebagainya.
ii. Mereka mengabaikan tuntutan fardhu ain atau melaksanakannya
tetapi secara tidak sempurna. Tuntutan tersebut seperti menyuruh melakukan
kebaikan dan menghalang kemungkaran.
iii. Memberi penumpuan berlebihan terhadap sebahagian rukun Islam
dan mengabaikan sebahagian yang lain.
iv. Memberi perhatian terhadap masalah sunnah secara berlebihan tetapi
mengabaikan kewajipan yang lebih dituntut. Seperti lebih selesa hanya berzikir
dan bertasbih sahaja dari berperanan membasmi kezaliman, dan kemungkaran dalam
bidang sosial mahupun politik.
v. Terlalu memberatkan ibadah-ibadah individual semata-mata tanpa
melihat kepada ibadah-ibadah sosial seperti jihad, membaiki hubungan silatur
rahim, bekerjasama dan sebagainya.
vi. Melampau-lampau memberi fokus terhadap perkara furu’ dan
mengabaikan masalah asasnya.
vii. Kesibukan dalam memerangi masalah makruh dan syubhat lebih
banyak berbanding memerangi masalah yang diharamkan. Kesibukan mereka
memastikan halal dan haram sesuatu yang belum jelas halal atau haramnya dan
tanpa melihat yang lebih jelas haramnya. Ramai juga yang berminat membahaskan
masalah hukum menyanyi, mengambil gambar dan sebagainya seolah-olah mereka
tidak melihat masalah yang lebih besar dari itu. Sedangkan mereka mengabaikan
masalah yang lebih bermanfaat seperti penipuan ahli politik, kezaliman sistem
kerajaan, perampasan hak rakyat dan kemewahan yang melampau-lampau.
Kesalahan besar inilah yang melanda umat Islam hari ini dalam
persoalan yang berkaitan dengan ukuran keutamaan, sehingga mereka menganggap
kecil hal-hal besar dan menganggap besar hal-hal yang remeh. Mereka sanggup
berjuang bermati-matian untuk masalah khilafiyah tetapi tidak mengambil
tindakan terhadap hal-hal yang sepatutnya.
KULIYAH BULANAN DI MASJID IKHWANIYAH, CHERAS UTAMA (SUBUH AHAD MINGGU PERTAMA DAN SUBUH SABTU MINGGU KETIGA)
KULIYAH BULANAN DI MASJID IKHWANIYAH, CHERAS UTAMA (SUBUH AHAD MINGGU PERTAMA DAN SUBUH SABTU MINGGU KETIGA)