Saban hari keluar berita-berita yang memeningkan semua
Berita yang betul-betul berita
Dan juga berita yang menjadi lagenda, mitos dan hikayat
Bak hikayat Merong Mahawangsa
Berita manusia bunuh manusia
Juga berita manusia bunuh binatang
Amat jarang berita manusia dibunuh binatang
Amat semakin jelas manusia membunuh ala-ala binatang
Malah lebih dahsyat dari binatang
Cerita bunuh amat misteri penceritaannya
Kerana yang kena bunuh sudah tidak boleh bercerita
Tinggallah sang pembunuh untuk bercerita
Melalui lidahnya yang satu atau lidah-lidah media
Tak kisahlah lidah sang pembunuh atau media
yang berlidah satu atau bercabang dua tiga
Cerita bunuh boleh melahirkan banyak cerita
Melalui secebis ilmu Tuhan
Lahirlah ilmu forensik, ilmu interogasi, ilmu psikologi,
ilmu-ilmu ini bakal menghimpunkan cerita-cerita
bak filem Vantage Point
tak rugi menontonnya
Bagi aku yang kurang ilmu ini
Akal akan mula merewang-rewang mencari itu dan ini
Kenapa begitu mudah dibunuh sebegini
Nafsu apa yang bermula di hati
Dendamkah, khianatkah, tamakkah, atau iri hati?
Bagi aku yang kurang ilmu ini
Akal akan mula merewang-rewang mencari itu dan ini
Orang kayakah senang menjadi pembunuh?
Orang kayakah juga senang dibunuh?
Senang kayakah dengan menjadi pembunuh?
Nak kaya kena membunuhkah?
Tak kiralah bunuh hati atau bunuh sampai jadi abu
Inikah satu-satunya jalan untuk menjadi kaya?
Atau salah satu jalan untuk menjadi kaya?
Bagi aku yang kurang ilmu dan harta ini
Akal akan mula merewang-rewang mencari itu dan ini
Teringin juga melihat orang kaya berurusan
Apa yang tersurat dan tersirat
Dengan menjual beli hartanah berjuta-juta ringgit
Dengan menyedia dokumen jual beli berjuta-juta ringgit
Dengan memindah wang dari akaun ke akaun berjuta-juta ringgit
Dengan memandu orang yang berharta berjuta-juta ringgit
Oh.. Maafkan aku Tuhan
Akal ini cuba memandai-mandai mengandai itu dan ini
Yang sememangnya menjadi rahsiaMu Tuhan
Yang Maha Mengerti, Mengadili dan Mengetahui
Hatta sekelumit perasaan terlintas di hati ini
Ya Tuhan
Jauhi kami dari berbunuhan yang membawa dosa
Hatta seandai kami pernah membunuh hati-hati
Ibu bapa kami, keluarga kami, saudara kami, guru kami, rakan kami
Ampunkan kami Tuhan..
Hatta seandai kami membunuh semut
Yang menghurung makanan kami dikira berdosa
Ampuni kami Tuhan..
M. Fakhrurrazy M. Ariff
Kepala Batas 6 Syawal 1431H 05:19