Friday, June 30, 2023

Tempoh Makan Daging Korban

Jumaat, 11 Zilhijjah 1444H: Tempoh Makan Daging Korban

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَابِسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ أَنَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ قَالَتْ مَا فَعَلَهُ إِلَّا فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ قِيلَ مَا اضْطَرَّكُمْ إِلَيْهِ فَضَحِكَتْ قَالَتْ مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ بُرٍّ مَأْدُومٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّه

Daripada 'Abdurrahman bin Abis dari Bapanya ia berkata; "Aku bertanya kepada Aisyah; 'Apakah Nabi SAW melarang untuk makan daging sembelihan hari raya Adha lebih dari tiga hari? ' Aisyah menjawab; "Baginda tidak melakukan itu kecuali pada tahun kesulitan (manusia kelaparan), sehingga baginda berharap orang kaya memberi makan kepada yang miskin. Dan sungguh, kami boleh makan daging kambing setelah lima belas hari." Lalu dikatakan; 'Apa yang mendorong kalian melakukan itu? ' Aisyah tertawa, lalu ia berkata; 'Keluarga Muhammad SAW tidak pernah merasa kenyang kerana makan roti atau gandum lebih dari tiga hari hingga baginda bertemu dengan Allah.' (HR Bukhari No: 5003) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Daging korban sebahagian untuk disedekahkan dan 1/3 boleh diambil untuk dimasak dan dimakan serta boleh juga disimpan

2.Daging korban boleh disimpan lebih dari 3 hari tasyriq (tiada batas maksimum). Ia merupakan pendapat majoriti ulama dari kalangan sahabat, tabi’in serta empat imam mazhab.

3.Rasulullah SAW tidak berlebihan dalam bab makan, hingga boleh berjimat memakan daging korban secara berdikit dalam tempoh yang agak lama.

4.Orang mukmin makannya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Elakkan berlebihan dalam makan dan minum. Seperti dalam hadis lain:

بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِه

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (HR Tirmidzi No: 2380)

Monday, June 26, 2023

Puasa Sunat Arafah

Isnin, 7 Zulhijjah 1444H: Puasa Sunat Arafah

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ  أَهْلُ الْعِلْمِ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ إِلَّا بِعَرَفَة

Daripada Abu Qatadah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa hari 'Arafah -saya berharap dari Allah- dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya." Para ulama mensunnahkan puasa 'Arafah kecuali jika berada di 'Arafah. (Sunan Tirmizi No: 680) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Disunahkan berpuasa pada hari Arafah (9hb Zulhijjah) bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji

2.Orang yang berpuasa pada hari Arafah akan mendapat ganjaran keampunan setahun sebelum dan setahun selepas

3.Ganjaran puasa sunat Arafah seolah-olah berpuasa selama dua tahun.

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَلِمَةً تُشْبِهُ عَدْلَ ذَلِكَ قَالَ صَوْمُ عَرَفَةَ بِصَوْمِ سَنَتَيْنِ وَصَوْمُ عَاشُورَاءَ بِصَوْمِ سَنَة

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW mengucapkan kata-kata yang mirip dengan kesamaannya, ia berkata; Puasa 'Arafah seperti puasa dua tahun dan puasa 'Asyura` sama seperti puasa setahun. (Musnad Ahmad No: 21568)

4.Rasulullah SAW dan para sahabat tidak menunaikan puasa Arafah ketika melaksanakan ibadah Haji, namun boleh sahaja untuk berpuasa.

سُئِلَ ابْنُ عُمَرَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَأَنَا لَا أَصُومُهُ وَلَا آمُرُ بِهِ وَلَا أَنْهَى عَنْهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ وَقَدْ رُوِيَ هَذَا الْحَدِيثُ أَيْضًا عَنْ ابْنِ أَبِي نَجِيحٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَجُلٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ وَأَبُو نَجِيحٍ اسْمُهُ يَسَارٌ وَقَدْ سَمِعَ مِنْ ابْنِ عُمَر

Ibnu Umar RA ditanya tentang puasa Arafah di 'Arafah, dia menjawab, saya pernah melaksanakan haji bersama Nabi SAW dan dia tidak puasa di Arafah, saya juga pernah haji bersama Abu Bakar beliau juga tidak puasa 'Arafah, pernah juga bersama Umar dan dia tidak berpuasa, demikian halnya bersama 'Utsman, beliau juga tidak berpuasa dan saya tidak berpuasa juga tidak menyuruh orang lain untuk berpuasa dan tidak juga melarangnya. (HR Tirmizi No: 682) Status: Isnad Sahih

Friday, June 23, 2023

Upah Penyembelih dan Petugas Korban

 Jumaat, 4 Zulhijjah 1444H: Upah Penyembelih dan Petugas Korban

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri." 

(Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Antara ibadat yang dituntut pada hari Raya Eidul Adha 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah melaksanakan Ibadat korban.

2.Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.

3.Memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.

4.Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyebut: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

5.Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafii bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan umrah serta sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr) kecuali penerima daging korban yang miskin atau fakir.

6.Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.

7.Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.

8.Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

9.Antara kesalahan yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban tanpa izin dari empunya korban. Biasanya hal ini dilakukan oleh pelapah dan petugas yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Kadang-kala mereka merasa berhak kerana menolong atau kerana AJK.

10.Ada yang meletakkan bahagian yang mereka sukai itu berasingan dan mengambil apabila selesai urusan korban. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan.  Ingatlah Firman Allah:

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

“Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

Justeru itu, kepada mereka yang akan menjadi petugas korban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian dari sembelihan korban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor, perut dan lainnya melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.

Thursday, June 22, 2023

Apabila Allah Mencintai Seseorang

Khamis, 3 Zulhijjah 1444H: Beramal Soleh 

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ

Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal." Para sahabat bertanya; "Bagaimana membuatnya beramal?" baginda menjawab: "Allah akan memberikan taufik padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum dia meninggal." 

(HR Ahmad No: 11595) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Allah yang menjadikan seseorang itu baik dan soleh.

2.  Seseorang Muslim itu menjadi baik apabila Allah menggerakkannya untuk melakukan amal soleh.

3. Allah memberikan taufik kepada Muslim yang baik untuk ia melakukan amal soleh sehinggalah ia meninggal dunia.

4.Taufik adalah restu Allah berupa terwujudnya amal-amal baik.

Dalam Kitab Jauharah Tauhid : Taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

5.Taufiq tidak akan diberikan Allah melainkan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepadaNYA

Wednesday, June 21, 2023

Bersegera Dengan Amal Soleh

Rabu, 2 Zulhijjah 1444H: Bersegera Dengan Amal Soleh

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar." 

(HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesungguhnya Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.

2.  Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.

3.  Setiap Muslim hendaklah segera beramal dan memperbaiki agar amal lebih baik sebelum datangnya tujuh perkara berikut :

a)  Kemiskinan yang melupakan  kewajipan seperti tidak kisah soal halal dan haram.
b)  Kekayaan yang menimbulkan rasa angkuh dan sombong.
c)  Penyakit berat sehingga sukar untuk beramal soleh.
d)  Tua yang menyebabkan nyanyuk dan keuzuran.
e)  Kematian mengejut.
f)  Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat.
g)  Hari Kiamat yang sangat mengerikan.

Tuesday, June 20, 2023

Taqarub Kepada Allah

Isnin, 1 Zulhijjah 1444H: Taqarub Kepada Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

Daripada Abu Hurairah RA berkata, "Nabi SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: "Aku bersikap mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. Aku bersama-sama mereka apabila mereka mengingati Ku. Apabila mereka mengingati Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila mereka mengingati-Ku dalam perkumpulan mereka, maka Aku mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka. Demi sekiranya mereka mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekatkan diri kepadanya sedepa.  Sekiranya mereka mendatangi-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dalam keadaan berlari (segera)." 

(HR Bukhari No: 6856) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah bersikap seperti sikap hamba terhadapNya. Jika seseorang mengingati Allah dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan menganggap Allah sentiasa mengingatinya sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah akan sentiasa mengingati hambaNya.

2.  Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah akan mengingati dan memujinya di khalayak yang lebih baik dan utama.

3.  Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan amal solehnya dengan jarak sejengkal atau sehasta, Allah akan mendekatinya lebih dekat daripada itu. Jika seorang hamba itu mendekati Allah dengan berjalan, nescaya Allah akan mendatanginya lebih cepat daripada itu.

4.  Setiap amalan seseorang yang baik bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan menggandakan balasan baik kepadanya. Tambah lagi jika dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah ini.

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku” (Al-Baqarah : 152)

Monday, June 19, 2023

Amalan Awal Zulhijjah Yang Paling Disukai Allah

 Isnin, 30 Zulkeadah 1444H: Amalan Yang Mengatasi Jihad

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"

Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: " Tiada hari-hari yang amalan soleh  paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid). 

(Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.

2.  Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3.  Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

4.  Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijjah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5.  Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.

Friday, June 16, 2023

Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

Jumaat, 27 Zulkaedah 1444H: Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta. Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa." 

(HR Bukhari No: 1671) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam adalah agama yang membawa rahmat, bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada semua makhluk termasuk binatang.

2.Bersifat rahmah dengan berlemah lembut dengan binatang tunggangan adalah suatu yang dituntut.

3.Antara rahmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dapat melakukan ibadah dengan taufik dan hidayah-Nya. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa bersifat tenang kerana sifat tergesa-gesa akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah yang akhirnya menyebabkan amalan tersebut ditolak oleh Allah SWT.

Wednesday, June 14, 2023

Permudahkan dan Jangan Menyukarkan

Rabu, 25 Zulkaedah 1444H: Permudahkan dan Jangan Menyukarkan

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا

Daripada Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, berilah berita gembira dan jangan membuat orang lari (menjauh)."

(HR Bukhari No: 67) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Manusia cenderung kepada perkara yang mudah jika dilakukan serta mengembirakan ketika melaksanakan.

2.  Dalam kita mendidik, gunakanlah hikmah dan kebijaksanaan yang boleh menyebabkan orang lain gembira dan suka melakukannya.

3.  Lemah lembut dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran), agar dapat diterima dengan baik oleh orang lain.

4.  Gunakanlah metod yang pelbagai dan menarik serta bertahap dalam mengajarkan ilmu, kerana segala sesuatu yang dimulakan dengan yang mudah, ia akan dapat memikat hati dan menambah rasa cinta terhadap ilmu yang akan dipelajari.

5.  Janganlah kita menjadi penyebab orang lain jauh dari kebaikan yang ingin diajar. Islam itu mudah dan tidak menyukarkan penganutnya untuk beramal. Ada rukhsah yang diberi seperti untuk orang bermusafir dibolehkan berbuka puasa, solat secara jamak dan qasar dan lain-lain.

Tuesday, June 13, 2023

Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

Selasa, 24 Zulkaedah 1444H: Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya” 

(Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Eidul Adha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban

2.Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia

3.Ibadah Korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredaiNya sebelum darahnya menitik ke bumi.

4.Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.

Monday, June 12, 2023

Al-Quran dan Puasa Pemberi Syafaat

Isnin, 23 Zulkeadah 1444H: Al-Quran dan Puasa Pemberi Syafaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

Daripada Abdullah bin Amru RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat nanti. Puasa akan berkata : "Wahai Rabb ku, saya telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwatnya, kerananya perkenanankan aku untuk memberi syafaat kepada nya (kepada orang yang berpuasa)." Dan al-Quran berkata : "Saya telah melarangnya daripada tidur pada malam hari, kerananya perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya." Baginda bersabda : "Maka syafaat keduanya diperkenankan." 

(Musnad Ahmad No: 6589) Dar Ihya Turath Arab. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa dan al-Quran akan menjadi penolong dan pemberi syafaat kepada pencinta dan pengamalnya pada hari Kiamat.

2.  Orang yang berpuasa semasa di dunia, puasa akan  menolongnya dan memberi syafaat kerana semasa di dunia dahulu, orang yang berpuasa telah menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta mengekang nafsunya.

3.  Orang yang menyibukkan diri dengan al-Quran  (membaca hingga terpaksa menyengkang mata di malam hari), al-Quran akan menjadi syafaat serta penolong di hari kiamat.

4.  Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya.

5.  Alangkah indah dan beruntungnya kehidupan seorang Muslim yang pada waktu siangnya berpuasa termasuk di bulan Ramadan dan puasa sunat pada bulan-bulan lain. Beruntung juga orang yang membaca al-Quran pada siang dan malam harinya  dalam kerangka mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Umamah Al-Bahili,  Rasulullah SAW bersabda:

حَدَّثَنِي أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِيُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِقْرَءُوالْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang kepada kamu pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada ahlinya” (HR Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih


Friday, June 9, 2023

Dua Perkara Yang Sentiasa Muda Bagi Orang Tua

 Jumaat, 20 Zulkaedah 1444H: Dua Perkara Yang Sentiasa Muda Bagi Orang Tua

أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ

Telah mengkhabarkan kepadaku Sa'id bin Al Musayyab bahawa Abu Hurairah RA berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Hati orang tua masih tetap berjiwa muda dalam dua perkara, iaitu; mencintai dunia dan panjang angan-angan." 

(HR Bukhari No: 5941) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengingatkan agar berwaspada dengan keinginan hati  yang melalaikan dan melekakan.

2.Kenginan untuk sentiasa muda adalah suatu yang baik jika disalurkan ke tempat yang betul seperti sentiasa muda dan bersemangat melakukan amal soleh.

3.Namun orang tua yang dikurniakan hati dan keinginan yang sentiasa muda dalam dua perkara iaitu; Mencintai dunia dan panjang angan-angan adalah dua perkara yang melalaikan.

4.Tanda cintakan dunia dapat dikenal pasti secara umumnya berdasarkan perkara-perkara ini:

a)  Hanya nikmat dunia yang menjadi matlamat dan tumpuan.
b)  Lalai atau lupa kepada matlamat terakhir iaitu akhirat.
c)  Mengetepikan agama dalam urusan seharian – baik kerana merasakan bahawa ia suatu yang menyukarkan atau tidak relevan dengan kehidupan.

Thursday, June 8, 2023

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

Khamis, 19 Zulkaedah 1444H: Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Daripada Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata;  Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: "Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Apabila kamu berada di waktu petang,  janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah  waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu."

(HR Bukhari No: 5937) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Dunia adalah jambatan menuju akhirat.

2.  Jadikanlah diri kita sebagai seorang musafir. Orang yang bermusafir  perlu membawa bekalan yang sepatutnya sebagai bekalan.

3.  Sebagai musafir, kita tidak membawa kesemua yang dimilik. Malah kita hanya membawa bekalan perjalanan yang penting dan perlu sahaja.

4.  Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan, memperbanyak ketaatan dan amal soleh sebagai bekalan perjalanan menuju akhirat.

5.  Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal soleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

6.  Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

Wednesday, June 7, 2023

Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah

Rabu, 18 Zulkaedah 1444H: Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya.  Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan kepadanya. Tidaklah seseorang itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan  sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang ia jadikan untuk mendengar, dan pengelihatannya yang ia jadikan untuk melihat dengannya, dan tangannya yang ia jadikan untuk melakukan sesuatu, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia memohon kepada Ku, pasti akan Aku akan memberinya, dan jika meminta perlindungan daripada Ku, pasti Aku melindunginya." 

(HR Bukhari No: 6021) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Wali Allah adalah orang yang taat dan ikhlas dalam beramal,  beriman dan bertaqwa, beramal dengan al-Quran dan Sunnah.

2.  Orang yang menyakiti mukmin yang bertakwa maka Allah akan membinasakannya.

3.  Melaksanakan amal fardhu adalah yang paling afdal dan disukai Allah.

4.  Meninggalkan maksiat adalah sebahagian daripada melaksanakan kefardhuan.

5.  Mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardhu juga melalui amalan sunat akan melayakkan seseorang hamba mendapat kecintaan Allah.

6.  Ibnu Rajab menyatakan: sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardu dan sunat, darjatnya akan diangkat di sisi Allah. Jika dia bertutur, dia bertutur kerana Allah. Jika dia melihat, dia melihat kerana Allah.

7.  Diantara penghormatan yang Allah kurniakan  kepada orang yang dicintai Allah ialah Allah akan memperkenankan doanya jika dia meminta. 

Tuesday, June 6, 2023

Mukmin Yang Terpelihara

Selasa, 17 Zulkaedah 1444H: Mukmin Yang Terpelihara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: 'Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).' 

(HR Muslim No: 2699) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2.  Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3.  Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

4.  Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5.  Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6.  Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7.  Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia,  maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa adalah tanggungjawab kita).

Friday, June 2, 2023

Bersifat Jujur

Jumaat, 2 Zulkaedah 1444H:  Bersifat Jujur

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " اشْتَرَى رَجُلٌ مِنْ رَجُلٍ عَقَارًا لَهُ فَوَجَدَ الرَّجُلُ الَّذِي اشْتَرَى الْعَقَارَ فِي عَقَارِهِ جَرَّةً فِيهَا ذَهَبٌ ، فَقَالَ لَهُ : الَّذِي اشْتَرَى الْعَقَارَ خُذْ ذَهَبَكَ مِنِّي إِنَّمَا اشْتَرَيْتُ مِنْكَ الْأَرْضَ وَلَمْ أَبْتَعْ مِنْكَ الذَّهَبَ ، وَقَالَ : الَّذِي لَهُ الْأَرْضُ إِنَّمَا بِعْتُكَ الْأَرْضَ وَمَا فِيهَا فَتَحَاكَمَا إِلَى رَجُلٍ ، فَقَالَ : الَّذِي تَحَاكَمَا إِلَيْهِ أَلَكُمَا وَلَدٌ ، قَالَ : أَحَدُهُمَا لِي غُلَامٌ ، وَقَالَ : الْآخَرُ لِي جَارِيَةٌ ، قَالَ : أَنْكِحُوا الْغُلَامَ الْجَارِيَةَ وَأَنْفِقُوا عَلَى أَنْفُسِهِمَا مِنْهُ وَتَصَدَّقَا "

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ada seorang lelaki membeli daripada seorang lelaki yang lain sebidang tanah yang ada rumah. Lelaki si pembeli itu kemudiannya terjumpa di dalam rumah tersebut sebuah bejana yang mengandungi emas. Dia lalu berkata kepada lelaki yang menjual tanah tersebut, "Engkau ambillah emasmu ini. Aku hanya membeli daripadamu sebidang tanah ini, bukan aku membeli emas daripadamu." Si lelaki penjual pula berkata, "Aku sudah menjual kepadamu tanah ini berserta segala apa yang ada di dalamnya sekali." Mereka berdua lantas bertemu seorang lelaki yang lain untuk dihakimi. Lelaki yang diminta menjadi hakim ini lalu bertanya, "Adakah kamu berdua mempunyai anak?" Salah seorang lelaki itu berkata, "Aku ada anak lelaki". Lelaki kedua pula berkata, "Aku ada anak perempuan." Lelaki yang menjadi hakim itu berkata, "Kahwinkahlah anak-anak kamu itu, dan infaqkanlah emas ini kepada mereka, di samping bersedekahlah juga." (HR Muslim No: 3246) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Pentingnya kejujuran di dalam menuntut hak. Orang yang jujur tidak akan rugi kerana sifat jujur membawa keberkatan.

2. Seorang hakim yang baik perlu bijak membuat keputusan penghakiman. Di dalam kisah ini, si hakim bukan hanya melihat bagaimana memutuskan emas tersebut menjadi hak siapa, tetapi beliau memikirkan bagaimana kes tersebut dapat diselesaikan dengan menghasilkan kebaikan serta kesejahteraan kepada kedua-dua pihak.

3. Dalam memberi pandangan atau nasihat, berusahalah seberapa boleh untuk membantu mengukuhkan persaudaraan, lebih daripada menentukan hak seseorang ke atas yang lain.

4.Orang yang beriman perlu sentiasa bersifat: lebih takut terambil hak orang lain daripada menuntut hak sendiri.

Thursday, June 1, 2023

Orang Sombong Di akhirat

Khamis, 12 Zulkaedah 1444H: Gambaran Orang Sombong Di akhirat

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari Nabi SAW bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal." 

(HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain.

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Surah al-Baqarah: 34).

2.Orang yang sombong tidak akan masuk syurga. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. (HR Muslim No:51)

3.Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

4.Orang sombong akan  diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas

5.Orang yang sombong akan  diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

6.Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang” (Surah al-Israa’ ayat: 37)