Rabu, 28 Ramadhan 1444H: Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan
عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ
أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ
يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ
الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ
Daripada Abu Hurairah RA,
ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang
disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak
mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan,
kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi
(celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua
(lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.”
(Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.
Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama
baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas
junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.
Sabda Nabi SAW:
الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Hadis Sahih
2.
Ramadan adalah bulan anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk
melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari
dengan pelbagai ibadat di malam hari.
3. Alangkah ruginya kita
jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat
di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya,
solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain,
tilawah, bersahur dan berdoa diwaktu sahur, bersedekah sebagai instrumen
pengampunan dosa-dosa yang lalu.
4. Memuliakan kedua orang tua
bererti memuliakan Allah, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik
kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya
[Al-Israa': 23]:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا
إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ
الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا
تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
“Dan Rabb-mu telah
memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu
berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang
di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam
pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada
keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan
ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Rugi mereka
yang masih ada orang tua tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak
menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala
keperluan mereka. Santunilah keduanya dengan sebaik mungkin.
5.
Marilah kita muhasabah apakah ibadat puasa kita serta menghidupkan
ibadat malam hari yang dilakukan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu.
Jika
ada dosa kita sepanjang ramadan berbentuk fitnah, umpatan dan
sebagainya yang berkaitan dengan orang lain, mohonlah kemaafan. Moga
kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang celaka.
6. Semoga Ramadan yang kita lalui benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa.