Tuesday, March 28, 2023

3 Perkara Diharam 3 Perkara Dibenci Allah

 Selasa, 6 Ramadhan 1441H: *3 Perkara Diharam 3 Perkara Dibenci Allah*


عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنْعًا وَهَاتِ وَكَرِهَ 

لَكُمْ ثَلَاثًا قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ
_*Dari Mughirah bin Syu’bah dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘azza wajalla mengharamkan kalian menderhakai seorang ibu, mengubur anak perempuan hidup-hidup, dan tidak suka memberi dan suka meminta-minta. Dan membenci atasmu tiga perkara; mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta.”*_ 

(HR Muslim No 3237) Status: Hadis Sahih


*Pengajaran:*
*Seorang Muslim diharamkan melakukan tiga perkara:*
a.  Derhaka kepada ibu
b.  Menanam anak perempuan hidup-hidup
c.  Tidak suka memberi (bakhil, sombong & tidak menunaikan hak harta seperti zakat, sedekah) dan suka meminta-minta
*Allah benci tiga sifat jika dilakukan oleh seorang Muslim:*
a.  Mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya (sekadar copy & paste) @ suka forward tanpa disahkan kebenarannya.
b.  Banyak bertanya (bertanya pada perkara yang tidak perlu dan mendatangkan kesukaran kepadanya).
c.  Menyia-nyiakan harta (boros dan membazir).

Friday, March 24, 2023

Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa

Jumaat, 2 Ramadhan 1444H: Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Daripada Nabi SAW bersabda: "Jika seseorang lupa lalu dia makan dan minum (ketika sedang berpuasa) maka hendaklah dia meneruskan puasanya kerana hal itu bererti Allah telah memberinya makan dan minum" 

(HR Bukhari No: 1797) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang terlupa lalu dia makan atau minum di siang hari ketika berpuasa, puasanya tetap sah dan dia perlu memberhentikan pengambilan makanan atau minuman segera.

2.  Orang yang terlupa tadi hendaklah meneruskan ibadat puasanya seperti biasa.

3.  Bagi orang yang terlupa, makanan dan minuman yang telah masuk ke dalam perutnya adalah hadiah Allah kepadanya.

Monday, March 20, 2023

Wasiat Rasulullah SAW

Isnin, 27 Syaaban 1444H: Amalan Yang Tidak Ditinggalkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Daripada Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata: "Kekasihku Rasulullah SAW memberi wasiat kepadaku agar aku berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, mendirikan solat Dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur". 

(HR Bukhari: No 1845) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW mewasiatkan agar tidak meninggalkan tiga amalan sunat:

a.  Puasa sunat tiga hari sebulan
b.  Menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari
c.  Solat witir setiap malam sebagai penutup malam atau sebelum tidur

Friday, March 17, 2023

olat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

Jumaat, 24 Syaaban 1444H: Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Daripada 'Aisyah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Dua rakaat sunat fajar (sebelum solat fardhu subuh) lebih baik daripada dunia seisinya." 

(HR Muslim No: 1193) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keutamaan solat sunat dua rakaat sebelum fardhu subuh lebih baik daripada dunia seisinya.

2.  Solat sunat subuh hanya  dilakukan setelah terbit fajar subuh. Dianjurkan solat tersebut di awal waktunya dan dilakukan dengan dua rakaat yang ringan. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Syafi’i  dan jumhur ulama  seperti yang dicatat dalam Syarh Shahih Muslim (6: 3).

3.  Jika solat sunat sebelum subuh lebih baik daripada seluruh isi dunia ini, apatah lagi solat fardhu subuh yang kelebihannya lebih baik daripada itu.

Wednesday, March 15, 2023

Solat Sunat Zohor

Rabu, 22 Syaaban 1444H:  Solat Sunat Zohor

عن أم حبيبة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرُمَ عَلَى النَّارِ

Daripada Ummu Habibah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Barangsiapa menjaga solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” 

(HR Tirmidzi no: 428) Status Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang mengerjakan solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah zuhur.

2.  Orang yang menjaga secara konsisten solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zohor, akan dijauhkan daripada api neraka.

3.  Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari gelincir ke barat) atau disebut rawatib qabliyah zuhur (solat sunat sebelum solat zuhur).  Baginda SAW bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada waktu itu.” (HR. Tirmidzi, no. 478). Status hadis hasan.

Friday, March 10, 2023

Solat Malam Amalan Orang Soleh

Jumaat, 17 Syaaban 1444H: Solat Malam Amalan Orang Soleh

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dapat mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." 

(Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam seperti tahajud dan witir.

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan roh membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.

3.  Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4.  Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana kebiasaan amalan orang yang soleh.

Thursday, March 9, 2023

Balaslah Kebaikan Dengan Kebaikan

Khamis, 16 Syaaban 144H: Balaslah Kebaikan Dengan Kebaikan

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَلْيُكَافِئْ بِهِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَلْيَذْكُرْهُ فَمَنْ ذَكَرَهُ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ تَشَبَّعَ بِمَا لَمْ يَنَلْ فَهُوَ كَلَابِسِ ثَوْبَيْ زُورٍ

Daripada Aisyah RA bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mendapatkan kebaikan maka balaslah dengan kebaikan yang serupa, dan barangsiapa yang tidak mampu maka sebutlah (semacam terima kasih) kebaikan tersebut. Barangsiapa yang menyebutnya (mengucapkannya) sungguh ia telah bersyukur dan barangsiapa yang membangga-banggakan diri dengan (menggunakan) sesuatu yang ia tidak berikan maka ia seperti orang yang memakai pakaian keburukan." 

(HR Ahmad No: 23452) Status : Sahih dalam al-Adab al-Mufrad (215)

Pengajaran:

1.  Antara akhlak seorang Muslim apabila menerima kebaikan seperti pemberian atau hadiah, sewajarnya dibalas kebaikan dengan yang setimpal.

2.  Jika kita tidak mampu memberi balasan yang setimpal, berilah ucapan terima kasih kepada penyumbang sebagai satu dari cara kita bersyukur.

3.  Ucapan  “terima kasih” yang terbaik diungkapkan ialah kalimah “Jazakallahu khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Kalimat ini lebih bernilai kerana mengandungi doa di dalamnya.

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Daripada Usamah bin Zaid r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “jazaakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR. Tirmidzi No:1958) Status Hadis: Hassan

Wednesday, March 8, 2023

Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

Rabu, 15 Syaaban 1444H: Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

عَنْ إِسْمَاعِيلَ  بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ  عَنْ أَبِيهِ  عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ  وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ  وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ  وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ  وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ  وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ  وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abi Waqqas) berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Empat tanda kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala empat tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang jahat, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” 

(HR Ibnu Hibban No: 4032) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Empat tanda kebahagiaan di dunia

a.  Isteri yang solehah – isteri yang baik. Dipandang suami ia menggembirakan, sentiasa menjaga maruah diri dan suami.

b.  Tempat tinggal yang luas – yang banyak manfaat bagi penghuninya (tidak semestinya rumah besar). Rumah yang didalamnya hati akan menjadi lapang dan tidak sempit (Takhrij al-Musnad no 15372).

c.  Jiran yang soleh – jiran yang baik bermanfaat dan tidak menyakiti orang lain.

d.  Kenderaan yang elok – selesa, tidak membebankan sama ada dengan hutang mahupun kerosakan.

2.  Empat tanda kesengsaraan di dunia

a.  Jiran yang buruk – akhlak dan kehidupannya akan mempengaruhi kita dan anak-anak.

b.  Isteri yang jahat – akhlak dan perangai yang buruk

c.  Tempat tinggal yang sempit – rumah yang tidak menjadikannya bahagia dan lapang

d.  Kenderaan yang buruk – yang menyusahkan dan membebankan.

Setiap Muslim disyariatkan berdoa antaranya doa memohon kelapangan dan keberkatan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﻋُﻮﺫُ ﺑِﻚَ ﻣِﻦْ ﺟَﺎﺭِ ﺍﻟﺴُّﻮﺀ ﻭَﻣِﻦْ ﺯَﻭْﺝٍ ﺗُﺸَﻴِّﺒُﻨِﻲ ﻗَﺒْﻞَ ﺍﻟْﻤَﺸِﻴﺐِ ﻭَﻣِﻦْ ﻭَﻟَﺪٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭِﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﻣَﺎﻝٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﻋَﺬَﺍﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﺧَﻠِﻴﻞٍ ﻣَﺎﻛِﺮٍ  ﻋَﻴْﻨَﻪُ ﺗَﺮَﺍﻧِﻲ ﻭَﻗَﻠْﺒُﻪُ ﺗَﺮْﻋَﺎﻧِﻲ ﺇِﻥْ ﺭَﺃَﻯ ﺣَﺴَﻨَﺔً ﺩَﻓَﻨَﻬَﺎ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺭَﺃَﻯ ﺳَﻴِّﺌَﺔً ﺃَﺫَﺍﻋَﻬَﺎ
 
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari tetangga yang buruk,  dari isteri yang membuatku beruban sebelum masa beruban, dari anak yang menjadi tuan bagiku, dari harta yang menjadi siksaan atasku, dan dari kawan yang berbuat makar, matanya memandangiku sedang hatinya mengawasiku. Jika ia melihat kebaikan, maka ia tanam (sembunyikan), dan jika melihat keburukan, maka ia menyebarkannya.  (HR. Hannad dalam Az-Zuhd (no. 1038) Status: Hadis sahih dalam Ash-Shohihah no. 3138).

Friday, March 3, 2023

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

Jumaat, 10hb Syaaban 1444H; Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Daripada Anas RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda: "'Tolonglah saudaramu baik ia berbuat zalim atau dizalimi." Ada seorang laki-laki bertanya; 'ya Rasulullah, saya maklum jika ia dizalimi, namun bagaimana saya menolong saudara yang  melakukan kezaliman? ' Nabi menjawab; "engkau mencegahnya atau menahannya dari kezaliman, itulah cara menolongnya." 

(HR Bukhari No: 6438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Muslim wajib membantu muslim yang lain.

2.  Jika saudara kita dizalimi, menjadi tanggungjawab untuk menolong dengan  membela dan mempertahankannya.

3.  Jika saudara kita melakukan kezaliman, menjadi tanggung jawab kita untuk membantunya agar tidak berterusan melakukan kezaliman. Contohnya jika saudara kita mencuri, rasuah, menganiaya orang atau binatang, kita wajib menghentikan, menghalangnya agar tidak berterusan membuat kezaliman.

4.  Seorang Muslim tidak boleh membabi buta membela saudaranya yang berbuat zalim

5.  Bantu orang lain agar tidak dizalimi oleh orang yang zalim dengan cara memberi peringatan kepada mereka tentang kezaliman orang yang zalim.

Thursday, March 2, 2023

Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

Khamis, 9hb Syaaban 1444H ; Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خَبٌّ وَلَا بَخِيلٌ وَلَا مَنَّانٌ وَلَا سَيِّئُ الْمَلَكَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ الْمَمْلُوكُ إِذَا أَطَاعَ اللَّهَ وَأَطَاعَ سَيِّدَهُ

Daripada Abu Bakar Ash Shiddiq RA dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Tidak akan masuk syurga seorang penipu, orang yang bakhil, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya dan pemimpin yang berperangai buruk. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya)." (HR Ahmad No: 32) Status: Isnad Maqbul

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya dengan ancaman tidak akan masuk syurga kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri berikut:

a.  Orang yang menipu

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٞ كَذَّابٞ ٢٨

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi penipu (al-Ghafir: 28).

b.  Orang yang bakhil

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي مِنْ بَيْتِي إِلَّا مَا أَدْخَلَ عَلَيَّ الزُّبَيْرُ أَفَأُعْطِي قَالَ نَعَمْ وَلَا تُوكِي فَيُوكَى عَلَيْكِ يَقُولُ لَا تُحْصِي فَيُحْصَى عَلَيْكِ

Daripada Asma' binti Abu Bakar RA ia berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu kecuali apa yang diberikan oleh Zubair kepadaku, apakah aku harus bersedekah dengannya?" Nabi menjawab: "Ya, dan janganlah engkau bakhil, (jika engkau bakhil) maka Allah akan bakhil kepadamu.  (Sunan Tirmidzi No: 1883) Hadis Hasan Sahih.

c.  Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan si penerima).”  (Al-Baqarah: 264).

d.  Pemimpin yang berperangai buruk (pemimpin yang menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang sejahtera)

Jadilah kita pemimpin yang benar-benar mengutamakan rakyat di bawah. Janganlah kerana kepentingan kedudukan dan pangkat, kita sanggup menyusahkan rakyat.

2.  Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).

3.  Jauhilah perangai penipu, bakhil, suka mengungkit pemberiannya dan berperangai buruk.

Wednesday, March 1, 2023

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

Rabu, 8 Syaaban 1444H: Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang (rahmat Allah) tidak akan dicabut kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)." 

(HR  Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada orang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.

3.  Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.

4.  Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih)  sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.