Thursday, December 27, 2018

Sedekah Yang Besar Pahalanya

Khamis, 19 Rabiulakhir 1440H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw., lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?" 

Jawab Rasulullah saw., "Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda sedang kikir, takut miskin, ketika anda sedang mengharap-harap akan menjadi seorang hartawan yang kaya-raya; maka pada saat-saat seperti itu janganlah anda lalai, bersedekahlah. 

Dan janganlah ditangguhkan sehingganya nyawa anda telah sampai di tenggorokan, barulah anda bahagi-bahagikan sedekah anda, ini untuk si Fulan, ini untuk si Fulan. 

Dan ingatlah, sesungguhnya harta itu memang untuk si Fulan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0990.

Wednesday, December 26, 2018

Doa Si Miskin

Rabu, 18 Rabiulakhir 1440H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Berapa banyaknya orang-orang (miskin) yang kusut masai diusir dari muka pintu rumah orang (ketika mereka meminta-minta). 

Seandainya si miskin itu mendoa kepada Allah Ta'ala, nescaya Allah mengabulkan doanya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2250.

Friday, December 21, 2018

Rumah Yang Ada Anjing & Gambar Haiwan

Jumaat, 13 Rabiulakhir 1440H: Dari Abdullah Ibnu 'Abbas r.a. katanya Maimunah menceritakan kepadanya bahawa pada suatu pagi Rasulullah saw. kelihatan diam kerana susah dan sedih. 

Kata Maimunah, "Ya, Rasulullah! Aku hairan melihat sikap Anda sehari ini. Apa yang terjadi?" 

Jawab Rasulullah saw., "Jibril berjanji akan datang menemui ku malam tadi, ternyata dia tidak datang. Ketahuilah dia pasti tidak menyalahi janji dengan ku!" 

Rasulullah saw. sentiasa kelihatan susah dan sedih sehari ini. Kemudian beliau melihat seekor anak anjing di bawah tempat tidur kami, lalu beliau suruh keluarkan anak anjing itu.

Kemudian diambilnya air lalu dipercikinya bekas-bekas tempat anak anjing itu. Ketika hari sudah petang. Jibril datang mendahului beliau.

Kata beliau kepada Jibril, "Anda berjanji akan datang pagi-pagi." 

Jawab Jibril, "Benar! Tetapi kami tidak dapat masuk ke rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar-gambar (haiwan)." 

Esok pagi Rasulullah saw. memerintahkan supaya membunuh semua anjing sampai anjing penjaga kebun kecil sekalipun tetapi membiarkan anjing penjaga kebun yang luas."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1991.

Thursday, December 20, 2018

Kelebihan Solat Berjemaah

Khamis, 12 Rabiulakhir 1440H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Solat berjemaah pahalanya melebihi solat sendirian yang dilakukan di rumah atau di kedai dua puluh sembilan darjat. 

Yang demikian itu ialah apabila seseorang berwuduk sebaik-baiknya, kemudian dia pergi ke masjid tanpa maksud lain yang mendorongnya kecuali hanya solat. 

Maka setiap langkah yang dilangkahkannya meningkatkan darjatnya satu darjat, serta menghapus satu dosa daripadanya sampai dia masuk ke dalam masjid. 

Setelah berada dalam masjid, dia dipandang seperti dalam solat selama menunggu waktu solat tiba.
Sedangkan malaikat sentiasa mendoakannya. selama dia masih berada di tempatnya solat, dan wuduknya belum batal.

Katanya, "Wahai, Allah! Berilah dia rahmat. Ampunilah dia dan terimalah taubatnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0621.

Thursday, December 13, 2018

Ancaman Tidak Hadir Solat Berjemaah

Khamis, 5 Rabiulakhir 1440H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. melihat amat sedikit orang solat berjemaah. Kerana itu beliau bersabda: 

"Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang mengimami solat berjemaah (menggantikan ku), kemudian aku pergi mencari orang-orang yang tidak datang berjemaah, sesudah itu ku suruh bakar rumah-rumah mereka dengan ikatan-ikatan kayu bakar. 

Kalaulah mereka tahu betapa besarnya pahala yang akan mereka peroleh, nescaya mereka akan mendatanginya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0609.

Wednesday, December 12, 2018

Penduduk Syurga Yang Terakhir

Rabu, 4 Rabiulakhir 1440H; Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku tahu penduduk neraka yang terakhir keluar dari neraka, dan penduduk syurga yang terakhir masuk syurga. Yaitu orang yang keluar dari neraka sambil merangkak. 

Allah Ta'ala berfirman kepadanya, "Pergilah dan masuklah ke syurga!" 

Lalu dia pergi ke syurga. Tetapi terbayang kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali kepada Tuhan dan berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh."

Firman Allah swt., "Pergilah dan masuklah ke syurga!"

Dia pun pergi ke syurga. Sementara itu terbayang pula kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali pula kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya, Tuhan ku. Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman pula kepadanya, "Pergilah, dan masuklah ke syurga!" 

Kemudian dia pergi. Tetapi tetap terbayang olehnya syurga telah penuh. Maka dia kembali lagi seraya berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman kembali, "Pergilah, dan masuklah ke syurga. Untukmu tersedia tempat sepuluh kali luas dunia." 

Kata orang itu, "Apakah Engkau tidak mengolok-olokku? Engkau adalah Maha Raja." 

Kata Abdullah menambahkan, "Aku melihat Rasulullah saw. tertawa, sehingga kelihatan gigi beliau."

Beliau bersabda, "Dikatakan kepada ku, itulah tempat penduduk syurga yang paling rendah,"

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0151

Tuesday, December 11, 2018

Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

Selasa, 3 Rabiulakhir 1440H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong.
Jangan saling mencari-cari keburukan orang.
Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi.
Jangan saling mendengki.
Jangan saling marah dan jangan saling tak acuh.
Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2191.

Friday, December 7, 2018

Hati

Jumaat, 29 Rabiulawal 1440H: Dari Nu'man bin Dasyir r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya yang halal telah nyata (jelas) dan yang haram telah nyata. Antara keduanya terdapat perkara yang diragukan (mutasyabihat - syubahat) yang tidak diketahui kebanyakan orang.

Maka siapa yang menjaga dirinya untuk tidak mengerjakan perkara yang diragukan, selamatlah agama dan peribadinya. Tetapi siapa yang jatuh ke dalam syubuhat, bererti dia jatuh kepada yang haram.

Tak ubahnya seperti gembala yang menggembala di tepi tanah larangan. Dikhuatirkan dia akan jatuh ke dalam.

Ketahuilah, bahawa setiap kerajaan itu mempunyai larangan, dan larangan Allah Ta'ala ialah segala yang diharamkan-Nya.

Ketahuilah, bahawa di dalam tubuh manusia ada segumpal darah. Apabila gumpalan darah itu baik, maka baik pulalah tubuh itu keseluruhannya. Tetapi apabila gumpalan darah itu rosak, maka rosak pulalah tubuh seluruhnya. Ketahuilah, gumpalan darah itu ialah HATI."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1568.

Thursday, December 6, 2018

Mengadu-Domba

Khamis, 28 Rabiulawal 1440H; Dari Jabir r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Sesungguhnya syaitan telah putus asa mengharapkan orang-orang yang solat akan menyembah kepadanya di Jazirah Arab. Kerana itu dia berusaha mengadu-domba sesama mereka agar selalu bermusuhan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2407.

Tuesday, December 4, 2018

Sakit Menggugurkan Dosa

Selasa, 26 Rabiulawal 1440H: Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: Saya masuk ke tempat Rasulullah saw. ketika beliau sedang menderita sakit. Beliau saya raba dengan tangan saya, lalu saya berkata: "Ya Rasulullah, penyakit Anda amat berat." 

Rasulullah saw: menjawab: "Benar, penyakit saya sama dengan penyakit dua orang di antara kamu." 

Saya berkata: "Demikian itu kerana Anda mendapat pahala dua kali lipat." 

Rasul menjawab: "Benar!" 

Setelah itu beliau berkata: "Setiap orang Islam yang mendapat bencana penyakit dan lain-lain, maka Tuhan menggugurkan (mengampuni) kesalahan-kesalahannya, sebagaimana pohon kayu mengugurkan daunnya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1658.