Wednesday, June 27, 2012

Puasa Sunat Bulan Syaaban

Rabu, 7 Syaaban 1433H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah puasa sehingga kami katakan beliau tidak berbuka. Dan beliau pernah berbuka sehingga kami katakan beliau tidak puasa. Belum pernah saya melihat Rasulullah saw. mencukupkan puasa sebulan selain bulan Ramadhan. Dan saya tidak melihat beliau berpuasa (sunat) lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0977.

Monday, June 18, 2012

Isra' Dan Mikraj

Isinn, 28 Rejab 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ketika aku sedang berada di Hijir, orang-orang Quraisy bertanya kepada ku tentang peristiwa Isra'dan Mikraj.
 
Antara lain mereka menanyakan data-data tentang Baitul Makdis. Aku sangat merasa kesulitan, kerana aku tidak dapat menerangkannya dengan baik. Lalu Allah memperlihatkan masjid itu kepada ku dengan jelas, sehingga aku dapat menjawab segala pertanyaan mereka dengan tepat.
 
Aku teringat pula ketika aku berada diantara para nabi. Ketika itu Nabi Musa a.s. sedang solat. Dia seorang lelaki yang gagah perkasa, bagai kebanyakan lelaki Syanuah. Begitu pula Isa Ibnu Maryam sedang solat. Dia kelihatan mirip dengan Urwah bin Mas'ud Ats Tsaqafi. Ibrahim juga solat. Dia lebih mirip dengan sahabatmu ini-yakni diri dari Nabi saw. sendiri. Ketika waktu solat tiba, akulah yang mengimami mereka.
 
Setelah selesai solat, lantas ada yang berkata, "Ya, Muhammad! Ini adalah malaikat penjaga neraka. Ucapkanlah salam kepadanya." Aku menoleh kepadanya. Tetapi dia telah mendahului ku mengucapkan salam." Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0142.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Pada malam terjadinya Isra' dan Mikraj, di Baitul Maqdis (Illiya) beliau disuruhi dua gelas minuman masing-masing berisi khamar dan susu. Setelah beliau meneliti kedua gelas itu. Maka beliau ambil gelas berisi susu.
 
Kata Jibril, "Segala puji bagi Allah yang menunjuki Anda memilih yang suci. Seandainya Anda mengambil khamar, nescaya sesatlah umatmu." Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1933.


Friday, June 15, 2012

Kepentingan Dakwah

Jumaat, 25 Rejab 1433H:  Diceritakan oleh Abu Hurairah, "Orang mengatakan, Abu Hurairah paling banyak meriwayatkan hadis.""Kalau tidaklah kerana dua ayat dalam Quran, nescaya saya tidak akan meriwayatkan hadis." Kemudian dia membaca ayat: "Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan keterangan dan pimpinan yang Kami turunkan sesudah kami jelaskan kepada manusia dalam Kitab, mereka itu dikutuk oleh Allah dan oleh orang-orang yang turut mengutuk. Kecuali mereka yang taubat, mengadakan perbaikan, dan menjelaskan kembali keterangan-keterangan Allah; maka taubat mereka itu akan Kuterima; Aku Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (S. Al Baqarah 2: 159 - 160).
Lalu Abu Hurairah meneruskan, "Saudara-saudara kita Para Muhajirin sibuk dengan perniagaan mereka di pasar-pasar, dan saudara-saudara kita kaum Ansar sibuk dengan urusan harta kekayaan mereka masing-masing. Tetapi saya selalu mengikuti Rasulullah ke mana-mana; di samping saya dapat memenuhi keperluan perut saya, saya pun dapat menghadiri ceramah-ceramah (pengajian-pengajian) Nabi yang mereka tidak dapat hadir, serta menghafal apa yang mereka tidak dapat hafal."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0084.

Monday, June 11, 2012

Hujan Rahmat Allah

Isnin, 21 Rejab 1433: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada suatu ketika di masa Nabi saw. pernah turun hujan. Maka bersabda Nabi saw., "Sebahagian manusia ada yang bangun pagi dalam keadaan syukur, iaitu orang-orang yang mengatakan, "Hujan ini rahmat Allah."
 
Dan ada pula yang kafir, iaitu mereka yang berkata, "Hujan ini kerana bintang ini dan itu."
 
Kata Ibnu 'Abbas, "Lalu diturunkan Allah ayat berikut: "Aku bersumpah dengan tempat turunnya bintang-bintang... sampai kepada ayat: "Sedangkan kebohongan kamu jadikan rezeki bagi kamu."(Al Waqi'ah: 75-82)
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0059.