Untuk
mendapatkan iman, payah sekali. Mempertahankannya jauh lebih payah. Namun
mengisi iman yang sedia ada, ternyata, itulah yang sebenarnya paling sukar.
Dalam
perjalanan mengisi iman, berjela keluhan yang merintih, berbuih mulut menyoal, berpeluh dahi mempertikaikan pengisian itu. Ada
sahaja yang dipersalahkan. Kononnya ibu bapa kurang mendidik; kemiskinan
mencantas kemahuan; kesibukan merajai waktu. Begitu dasar manusia yang sering terburu-buru, mendustakan nikmat, dan suka membantah. Astaghfirullah.
Mudahnya
manusia menuding ibu bapa, menyesal kerana kemiskinan, dan berang kerana sempitnya waktu. Iman tidak mengenal itu
semua. Iman hanya mengenal jiwa yang reda.
Sudah lebih 1400 tahun Manual Kehidupan
iaitu Kitab Al-Quran dibentangkan di hadapan manusia. Terpulang, sama ada kita mahu menelitinya atau tidak.
Mahu belajar darinya atau tidak. Patuh kepada perintah suruhan dan laranganNya atau ingkar kepada ayat ayat keteranganNya. Pilihan dan keputusan di
tangan kita. Mahukan Jannah atau Jahannam. Pilihlah dengan akal yang waras. Subhanallah.
Lapangkan
hati. Celikkan mata. Kehidupan ini besar maknanya. Di celah-celah kegembiraan dan
musibah yang bertandang di sepanjang perjalanan kehidupan nan fana ini, banyak
pengajaran yang dapat dikutip untuk mengisi dan memperkasakan iman. Bergunung ilmu yang boleh dibawa ke alam baqa.
Iman bukan
warisan. Iman perlu dicari dan digali sepenuh jiwa jika mahu memilikinya. Lalu apa perlu kita buat? Belajar! Belajar dari sesama manusia. Belajar dari alam fauna dan flora. Belajar dari isi langit dan bumi. Kita sentiasa akan kaya jiwa jika istiqamah menggali ilmu walaupun kita miskin rupa dan harta. Insyallah.
**Demikian ringkasan
sembang-sembang kami di laman masjid lewat waktu Asar – saya dan entah siapa gadis orang putih itu kerana kami sama-sama lupa bertanyakan nama masing-masing sebab kami terhanyut dalam sebuah muzakarah yang
sangat santai dan mengasyikkan dalam waktu yang sangat singkat. Alhamdulillah,
kelunakan tiupan angin di pertengahan musim luruh di Little Gilbert Street amat mendamaikan rasa.


Imej Google [gambar yg saya rakam tak secantik ini :-)]


Imej Google [gambar yg saya rakam tak secantik ini :-)]
South Australia.
~ April 2014Salam.