Wednesday, 30 September 2015

Kasihnya Alam

@ Tip of Borneo






31 Aug 2015
Simpang Mengayau,
Kudat, Sabah.


Salam.

Monday, 31 August 2015

Sehati sejiwa

Bahasa jiwa bangsa.

~Kipidap, dongibap, donowai, yukenduit, ainoyuken, jasduit, dudebes, bidebes, yudebes...???

Bahasa entah apa.
Jiwa kian papa.
Bangsa kusam rupa.

Fikir-fikirkanlah.

Salam Merdeka ke-58

Monday, 17 August 2015

Uwais al-Qarni


Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doanya yang akan lahir pada zaman mereka iaitu zaman selepas kewafatan Baginda.

Tujuan Rasullulah S.A.W menyuruh Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat-sahabatnya itu.

Apa istimewanya Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah S.A.W meminta sahabat mencari dan memohon doa darinya?  Inilah kisahnya: 

Memang benarlah kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia adalah orang yang Rasulullah S.A.W sebut-sebutkan kerana, Uwais al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat.

Uwais al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu Uwais al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais al-Qarni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais al-Qarni  tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan.

Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta.

Namun atas permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi, Uwais al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuat rumah untuk lembu di atas bukit kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. 

Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas 8 bulan, musim haji pun tiba. Rupa-rupanya perbuatan Uwais al-Qarni selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku, inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais Al-Qarni menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu."

Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais Al-Qarni menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”

Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”

Uwais Al-Qarni berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, seperti saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”

Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”

Akhirnya Uwais al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.

Allah S.W.T lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu anugerah dan inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah S.A.W kepada Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a: “Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah S.W.T berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: "Aku ini datang dari Yaman ke Madinan kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku."

Maka Uwais al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, mahu membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik oleh Uwais al-Qarni.

Lalu Uwais al-Qarni menjawab dengan lembut : "Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku suka."

Diriwayatkan semasa kewafatan beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak menghairankan kerana semasa hidup beliau tiada orang yang mempedulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah “orang-orang” tersebut? Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.

Demikianlah kisah Uwais al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.


*Ini kisah kegemaran si Bunga Rampai tahun ini.*


Salam.

Thursday, 6 August 2015

Ujian

Hari ini seorang kawan mengirim gambar tudung fesyen terkini. Wow, cantiknya! Instant shawl satu muka dengan kombinasi warna prima dan corak paisley, diperbuat dari kain moscrepe. Nak order? Tanya kawan itu. Hati mulai berperang rasa. Nak ke tak nak? Cukup budget ke tak ni? Perlu ke atau membazir je? Haih, mata dan kehendak sudah tergoda! Rasa-rasa macam nak beli saja. Berapa harga? Tanya saya. Murah je jawab kawan. RM60.00 tak termasuk pos. Mak aiii...adoyaiii! Tak ada yang lebih mahal ke? Gurau saya. Ada. Kata dia. Pergilah ke kedai itu dan ini ujar kawan itu menyebut beberapa jenama yang tersohor. Adeiii, dia perli saya pula!

Batallah hasrat. Tutup kes.

Eh, tiba-tiba terfikir. Alangkah seronoknya jika suatu hari saya dapati ada lebihan dua poin enam billion ringgit Malaysia di dalam akaun bank saya. Derma misterilah kiranya. Masyuuuuk! Tudung RM600.00 pun boleh saya beli.

Ingat. Ujian Allah tidak boleh dibeli dengan duit. Ia mestilah dibeli dengan iman. 


Salam.

Monday, 27 July 2015

Catatan hati di Kampung Sungai Batang

Akhirnya aku sampai juga di sini setelah bertahun-tahun mendamba impian dan menyimpan harap. Impian yang mulai disemai usai membaca novel "Di bawah Lindungan Kaabah" kala usia masih hingusan 13 tahun yang belum pun mengerti kenapa mesti seorang gadis dan seorang pria perlu bercinta. Aku gagahkan juga untuk membacanya kerana perkataan 'Kaabah' yang terpampang di atas kulit buku amat meraih rasa jiwa bagai memanggil-manggil untuk dicerna maknanya. Itu novel cinta pertama yang dibaca dan aku amat menyukai persembahan tulisan pengarangnya. Sejak itulah juga aku mulai merangkak-rangkak mencari cinta Agung.

"Hakikat hidup ini adalah laksana pohon yang rendang dan subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari bunganya, sehelai dari daunnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya bunganya yang dicintai, bagaimana dengan duri pemagar bunga? Bagaimana dengan ranting tempat bunga berjuntai? Bagaimana dengan cabang tempat ranting menumpang? Bagaimana dengan dahan tempat cabang melekatkan diri? Bagaimana dengan pohon tempat berkumpul segala dahan? Bagaimana dengan urat, yang menghisap bumi mengambil sari makanan untuk pohon yang akan dibahagikan sampai ke pucuk? Bagaimana dengan  bumi tempat dia ditumbuhkan? Bagaimana dengan Sang Suria yang memberikan cahaya kepada seluruhnya?

Orang bertanya kepadaku, “Ada daun yang rontok dan ada ranting yang lapuk. Ada pula bunga  yang telah gugur dari kelopak. Apakah ke sana aku mesti mencintai juga?”
Memang ada ranting yang lapuk, ada daun yang gugur, ada bunga yang telah busuk. Tetapi lupakah anda bahawasanya yang sakit itupun bahagian dari yang sihat? Dan yang sihat menjadi sihat, bukankah kerana pengorbanan dari yang sakit?" (Sedutan dari buku Kenang-kenangan Hidup yang memaparkan sebahagian dari pemikiran Hamka).

Nah, dengan pemikiran seperti itu, mana mungkin aku tidak mahu meneladaninya biar pun aku ini terus-terusan dalam kepedihan mengemis cinta. Sungguh, mengagungkan Cinta harus ditebus dengan duka lara.


19 Feb 2015
Rumah Hamka,
Kg. Sungai Batang, 
Maninjau, Sumatera Barat.


Salam Syawal 1436

Saturday, 20 June 2015

Mahu jadi Kiambang

Terfikir juga kadang-kadang, mahu menjadi Kiambang. Andai menjadi Kiambang, terfikir pula, adakah rasa jiwa dan renung mata itu sama dengan apa yang dirasa dan direnung oleh BR. Memang payah untuk mendapat jawapannya kecuali BR benar-benar sudah berubah menjadi Kiambang.

Kiambang tenang terapung di atas air. Ia tersenyum sesekali disentuh bayu sambil bergoyang lirih ke kanan dan ke kiri. Ia bagaikan tidak punya apa-apa masalah yang perlu digusari. Seronoknya! Melihat kiambang membuat hati tenang, menarik angan-angan menerawang jauuuh ke langit tujuh.

Menjadi Kiambang cumalah satu lintasan yang menyelinap ke dalam hati, namun tidak semestinya dilayan dengan gah. Apa lagi di bulan Ramadhan ini. Anggap saja lintasan itu satu mainan rasa ketika perut sedang berkeroncong.


Salam Ramadhan 2015.

Monday, 30 March 2015

Belum tentu esok milik kita

*Anak muda itu tidak pernah solat sejak baligh. Orang-orang di rumahnya pun tidak peduli tentang solat. Setelah berbual panjang, dia menangis. Dia berjanji akan menelefon usai solat zohornya - solat pertamanya setelah sekian lama meninggalkan kewajipan itu. Ketika bersemuka dia menangis lagi. Air mata insaf katanya.

**Tengahari. Insyallah kata kakak itu, esok dia akan sembahyang. Hari ini ujarnya ia terlalu letih untuk beribadat kerana menahan sakit perutnya. Malam - dia kembali kepada Rabbnya.
.
.
.
Esok pasti ada namun belum tentu esok milik kita.

Ya Rabb, jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang baik amal ibadah dan amal kebajikannya. Aamiin.

HKL, 
28 Mac 2015


Salam.

Friday, 27 March 2015

Hasrat yang tidak kesampaian

Bukanlah siapa-siapa saya ini yang mahu sekali bertemu dan berbicara dengan seseorang yang luar biasa akhlaknya. Sekadar punya nama yang biasa-biasa dari golongan yang kehidupannya juga biasa-biasa, dengan pekerjaan yang biasa-biasa, tentunya tiada sesuatu yang luar biasa yang menarik untuk dijadikan tamunya. Namun hasrat hati adalah milik mutlak diri. Kalau hendak seribu daya, kalau tak mahu seribu dalih. Maka tidak ada ruginya andai daya yang ada pada diri digunakan sebaiknya untuk meraih manfaat, apa tah lagi hasrat itu telah sekian lama dipendam merentang waktu yang semakin rapuh usianya.

Sebenarnya. Menggunung hasrat di hati ini mahu bertemu dan berbicara dengan seorang yang sangat dihormati kerana tawadhuknya - TGNA. Lalu diri berusaha mencari jalan supaya hasrat hati tercapai dan mengharapkan pertemuan itu dapat dilaksanakan pada April nanti.

Suatu malam di awal Februari tersebar berita TG telah kembali kepada Khaliq. Perasaan hati ini tiba-tiba menjadi luar biasa sedihnya - lalu bertanyalah diri kenapa air mata tumpah mengiringi pemergiannya sedang diri tidak pun pernah bertemu dan berbicara dengan al-marhum. "Air mata itu bukan kerana tidak menerima takdir. Sedih kerana gedung ilmu pergi bersamanya." Yang benar, itulah sebagaimana yang disuarakan oleh seorang mentor. Semoga al-marhum ditempatkan bersama para solihin yang mulia di sisiNya. Aamiin.

Syukurlah ada Asmaul Husna - dengan namaMu aku hidup - buku hasil tulisan al-marhum menjadi teman bual.

Salam.

Saturday, 14 March 2015

Masih di sini

Awal Januari yang lalu, bukan main lagi hati berazam mahu rajin-rajin menulis. Seperti dulu-dulu. Sekarang sudah Mac dan suku pertama tahun ini juga semakin hampir dinoktah. Namun tiada juga upaya menulis. Mulut bungkam. Benak beku. Jari-jemari kaku. Mujur bunga hati masih mekar mengharum di tangkainya.

Lain dulu lain sekarang. Dulu berlari-lari menulis. Sekarang bertateh-tateh menulis pun bukan main payah. Walau sekadar mahu melaporkan angan-angan dalam tiga ayat pun ya ampuuun … susahnya bukan kepalang.

Malasnya tidak. Barangkali usia yang semakin pendek dan kehidupan yang menjanjikan satu kematian membuatkan diri sering menunda waktu untuk menzahirkan rasa di teratak kecil ini. Lagi, banyak kehidupan di luar teratak ini yang masih belum diterokai dan amat perlu diterokai. Ada waktu lumayan, iya, hasil penerokaan itu boleh saja ditulis di sini.

Permudahkan Ya Rabb segalanya bagiku.


Salam.

Monday, 10 November 2014

Sekadar renungan buat diri


Jangan tertipu
dengan usia MUDA
karena syarat mati
TIDAK harus TUA

Jangan terpedaya
dengan tubuh yang SIHAT
kerena syarat mati
TIDAK mesti SAKIT

Jangan terpedaya
dengan harta kekayaan
sebab
Si Kaya pun tidak pernah
menyiapkan kain kafan
buat dirinya
meski cuma selembar

Mari terus berbuat BAIK
berniat untuk BAIK
berkata yang BAIK-BAIK
memberi nasihat yang BAIK
meskipun tidak banyak orang yang mengenalimu
dan
tidak suka dengan nasihatmu

Cukuplah ALLAH yang mengenalimu
daripada orang lain

Jadilah bagai jantung yang tidak terlihat
tetapi terus berdenyut
setiap saat
hingga kita terus dapat hidup
berkarya dan menebar manfaat
bagi sekeliling kita
sampai diberhentikan
oleh NYA

Oh Diri

"Waktu yang kusesali adalah 
jika pagi hingga matahari terbenam
Amalku tidak bertambah sedikitpun
padahal aku tahu saat ini
umurku berkurang."

(Ibnu Mas'ud r.a)


Salam.


Thursday, 25 September 2014

Cinta umpama bulan

Bulan penuh gemerlap cahaya. Melihatnya hati senang, umpama ada seribu bunga mewangi rasa. Membuai hayal seketika. 

Kadang-kadang bulan muncul bertabir mega. Tersipu-sipu untuk bercantik-cantik di sebalik awan. Hati melihatnya turut rasa sangsi. Adakah ia benar malu atau ada sesuatu yang cuba disembunyikannya?

Walau bulan sabit, ia tetap cantik dan menawan.
Gerhana bulan pula menggelap bumi membawa secebis misteri dari berjuta misteri Alam.

Cinta umpama bulan, kata Miyah tanpa melihat wajah kawannya ini. Dia merenung kopi hitamnya dengan mata layu. Kenapa? Tanya kawannya ini dengan mata terkebil-kebil melihat betapa tidak kelakarnya dia petang itu. Lama sekali dia merenung kopi di dalam kole. Tiada jawapan. Diamnya lama.

Barangkali cintanya sudah menjadi seperti bulan gerhana menggelap dunia hatinya. Aduhai.


Salam.

Sunday, 31 August 2014

Generasi merdeka

Mobile comes. Camera gone.
Mobile comes. Wrist watch gone.
Mobiles comes. Radio gone.
Mobile comes. MP3 gone.
Mobile comes. Calculator gone.
Mobile comes. Computer gone.
Mobile comes. Peace of mind gone.
OMG! Phones getting smarter and people getting mental.

Itu puisi atau apakah gerangan? Apa-apalah asal awak tidak sakit mental, jawab kawan yang mengirimnya. 


Albert Einstein pula berkata: "I fear the day that technology will supress our human interaction. The world will have a generation of idiots."

Tidak perlu bagi contoh di sini. Di luar sana segalanya nyata di hadapan mata. Manusia menjadi hamba kepada telefon bimbit dan seumpamanya. Usahkan budak-budak tadika, kanak-kanak 2 tahun yang masih pakai lampin pun bijak menggunakan iPad. Inilah generasi baru - generasi merdeka!


Salam Hari Kemerdekaan ke 57.


Wednesday, 27 August 2014

Dalam senggang waktu yang celik

Hidup ini kadang-kadang aneh – ya, ada hal yang menganehkan yang  menjadikan kita terkesima, membuat kita berfikir,  mengajak kita mengelamun jauh, dan kadang-kadang membuat kita lesu berjurus lamanya. Namun ada satu perkara yang tidak akan pernah aneh dalam hidup ini – perkara mati. Mati  tidak aneh kerana tibanya mesti dan berlakunya pasti. Tidak cepat walau sesaat dan tidak lambat walau sedetik pun.  Setiap manusia yang hidup akan mengalami kematian.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang - orang bertaubat)"  - Surah al Mulk, ayat 2.

Sesungguhnya hidup ini sentiasa berhadapan dengan mati.  Seiringnya manusia seharusnya juga sentiasa bersiap siaga untuk mati di mana pun berada dan pada usia apa pun. Namun manusia yang fitrahnya sering lalai dan suka membantah menjadikan mati itu sekadar perkataan yang menjadi hiasan mulut  dan halwa telinga tanpa rasa gusar dan takut.

Dalam senggang waktu yang celik, manusia sewajarnya mencari  saat matinya. Dalam jaga. Ketika berdiri. Waktu duduk. Semasa berbaring. Waima dalam tidur yang kusyuk. Maka usah sibuk bertanya matinya kita bila tetapi bersibuklah dengan urusan ukhrawi  kala nafas masih kuat dihela hembus. Jadikan setiap beban musibah sebagai asbab keinsafan, bukan berputus asa. Mudah-mudahan keinsafan itu menyemarakkan kebaikan dalam diri.

Dalam duka lara, kelangsungan hidup perlu diteruskan. Jadikan keinsafan teraju kehidupan yang mencetus tanggungjawab – hablumminallah dan hablumminannas. Andai tak terpikul bahu menunaikan  kewajipan itu, istiqamahlah dengan doa untuk kesejahteraan dunia yang semakin uzur ini - dunia yang diamanahkanNya kepada umat manusia untuk menjaganya. Jangan nanti terkelu lidah untuk menjawab tentang amanah itu pada hari pengadilan kelak.  Wallahua’lam.


**MH17 dan MH370 dalam ingatan dan menjadi peringatan untuk terus tunduk kepada Maha Pencipta.


Salam.