NUFFNANG ADS

Tuesday, October 18, 2016

Fida mahu ketengah lagu dialek negeri


SETELAH hampir dua tahun berehat dari dunia seni, Fida Ibrahim kembali mengubat hati peminatnya dengan single terbaharunya, ‘Wan Lebo' yang menyaksikan kolaborasi bersama Usop Wilcha dan The Muffins.

Menurut Fida, kejayaan single terdahulu Apa Kono Eh Jang yang mendapat sambutan ramai memberi inspirasi kepadanya untuk terus mengetengahkan lagu-lagu dialek untuk dikomersialkan.

“Sebenarnya kita mempunyai banyak lagu dialek menarik yang boleh diketengahkan kepada masyarakat menerusi gubahan muzik baharu dan suntikan elemen yang lebih sesuai dengan trend terkini.

“Itulah juga saya lakukan menerusi single terbaharu, Wan Lebo, lagu rakyat yang menggunakan dialek Perak sepenuhnya, tetapi dimodenkan muziknya agar lebih mudah diterima peminat” ujarnya.

Tambah Fida lagi, dia selesa membawakan lagu-lagu sedemikian kerana selain dapat menghiburkan peminat, ia juga secara tidak langsung dapat membantu memperkenalkan dialek-dialek sedia ada kepada generasi baharu.

“Kalau nak nyanyi lagu biasa, semua orang sudah buat begitu. Jadi apa salahnya saya mencari kelainan dengan membawakan lagu-lagu sebegini.

“Mungkin ada yang kurang memahami sesetengah dialek itu, tetapi saya yakin menerusi lagu ia dapat menarik orang ramai untuk belajar dan mengenali dialek-dialek ini,” katanya turut gembira apabila lagu tersebut sudah diterima di stesen radio.

Menyentuh tentang dunia lakonan, kata Fida, banyak tawaran berlakon terpaksa ditolak kerana kekangan masa di mana dia kini aktif dalam dunia perniagaan.

“Saya masih minat berlakon, cuma kesibukan dalam bidang perniagaan membuatkan daya tidak mempunyai masa untuk berada di lokasi penggambaran dalam yang agak lama.

“Kalau menyanyi tu boleh lagi kerana ia tidak mengambil masa yang lama, tetapi untuk berlakon buat masa ini agar sukar untuk saya,” katanya yang kali terakhir berlakon dua tahun lalu ini.

Bercerita tentang perniagaan yang diceburinya, Fida kini sibuk perniagaan jenama produk kecantikannya sendiri, R Secrets.

“Alhamdulillah, perniagaan ini sudah setahun berjalan dan menunjukkan perkembangan yang cukup memberangsangkan menerusi sambutan daripada orang ramai.

“Jadi semestinya saya perlu memberikan sepenuh perhatian dan komitmen kepada perniagaan ini agar ia berjaya mencapai matlamat kami iaitu untuk mengembangkan rangkaian produk ini secara lebih meluas,” tegas anak bongsu dari 12 adik-beradik ini lagi.

Sunday, October 9, 2016

Awie bergelar suami kepada Sharifah Ladyana


PENYANYI rock Awie selamat bergelar suami kepada Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin dengan sekali lafaz pada jam 12.10 tengah hari tadi.

Menurut vokalis kumpulan Wings itu antara sebab utama beliau memilih wanita 29 tahun itu sebagai suri hatinya adalah kerana keikhlasan hatinya.

“Keikhlasan itu menambat hati saya untuk menyuntingnya. Bagi saya kebahagian ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya kepada anak-anak saya yang perlukan belaian ibu.

“Dia wanita yang bersederhana dalam segala hal serta pandai membawa diri. Paling penting, dia bukan saja menerima saya seadanya tetapi juga turut menerima anak saya tanpa sebarang syarat,” katanya kepada BH Online.

Kedua-dua mempelai memilih persalinan berwarna hitam untuk majlis mereka itu  yang di buat di lokasi yang dirahsiakan atas permintaan penyanyi itu dan ahli keluarganya.

Majlis perkahwinan itu turut dihadiri oleh anak-anak Awie dan anggota keluarga terdekat.  Majlis resepsi juga akan diadakan malam ini di tepi pantai dengan dihadiri kira-kira 250 tetamu.

Ini merupakan perkahwinan ketiga Awie. Sebelum ini beliau pernah berkahwin dengan Arni Nazira pada tahun 1998 dan dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha,16 dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Perkahwinan kedua Awie bersama dengan Rozana Misbun pada 2006 juga tidak bertahan lama selepas tidak tinggal sebumbung sejak tahun 2014. Mereka berdua dikurniakan tiga orang anak iaitu Putera Ahmad Merrah, 9; Putera Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Wednesday, October 5, 2016

Kakak Datuk Siti bernikah lagi


KAKAK kepada penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, Saida Tarudin,40, selamat dinikahkan dengan pasangannya hari ini.

Saida melangsungkan pernikahan dengan cinta hatinya, Apit atau nama sebenarnya Hafiizh Che Mat,36 yang aktif dengan kerja-kerja di belakang tabir.

Dengan sekali lafaz, pasangan sah menjadi suami isteri selepas dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Norhafizi Ab Rahim di Masjid Al Muklisin, Alam Damai Cheras, di sini pada jam 2.40 petang.

Saida menerima tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang dan menerima mas kahwin sebanyak RM80 berserta wang hantaran RM10,000 daripada Hafiizh.

Kedua-duanya menggayakan busana rekaan KS Entourage dan didandan jurusolek terkenal, Epie Temerloh.

Majlis tersebut diadakan secara sederhana dan tertutup membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara dan kawan terdekat sahaja.

Saida menerusi kenyataan media memohon maaf kerana majlis diadakan tanpa kehadiran pihak media atas sebab yang terlalu peribadi.

“Atas permintaan keluarga termasuk anak saya sendiri, majlis ini diadakan tanpa teman media. Benar memang terlalu ramai pihak yang perlu dijaga perasaan mereka. Apatah lagi, ia perkahwinan kedua bagi saya dan suami.

"Saya dengan penuh kerendahan hati bersama ahli keluarga lain memohon maaf di atas kesulitan ini.

“Saya menyedari hal yang baik ini memang perlu dikongsi. Apa-apa pun saya berharap, semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan saya dan suami. Ketika ini kita selesaikan dahulu majlis nikah. Soal ke depan, insya-ALLAH akan diadakan majlis persandingan,” kata Saida yang mengenali suaminya sejak empat tahun lalu.

Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah. Apit juga mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinan terdahulu.

Saida mula menempa nama dalam industri hiburan tanah air apabila menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keenam.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2