Bank Negara pantau punca inflasi
- Utusan Malaysia 06/04/2011
Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau perkembangan kenaikan kadar inflasi dengan cukup berhati-hati untuk menentu puncanya yang sebenar.
Gabenornya, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pemantauan itu bertujuan memastikan sama ada kenaikan itu dipacu oleh permintaan atau faktor bekalan.
''Kami juga perlu melihat sama ada perkembangan ini (kenaikan inflasi) adalah bersifat sementara atau kekal untuk jangka panjang,'' katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Pembuat Dasar Inklusif Kewangan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bank pusat itu perlu menaikkan kadar faedah untuk mengekang inflasi seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara lain.
Malaysia mencatatkan kadar inflasi sebanyak 2.9 peratus pada Februari lalu, kenaikan tertinggi dalam tempoh 22 bulan.
Kadar inflasi bagi Januari ialah 2.4 peratus.
Rata-rata penganalisis tempatan menyifatkan kenaikan kadar inflasi Februari lalu amat memeranjatkan, sekali gus memberi tekanan kepada BNM khususnya ketika pulangan sebenar kadar faedah menjadi negatif buat kali pertama dalam tempoh 26 bulan.
Kadar inflasi diunjur berada pada sekitar 3.0 hingga 3.5 peratus pada tahun ini dan kenaikan dijangka lebih ketara pada separuh pertama disokong oleh pertumbuhan ekonomi global.
Ditanya kemungkinan bank pusat perlu menaikkan kadar faedah dalam mesyuarat Jawatankuasa Monetari pada Mei ini, Zeti berkata: ''Anda akan mengetahui (sebarang keputusan) selepas mesyuarat itu nanti''.
Gabenor berkata, bank pusat itu akan mengambil kira penilaian termasuk risiko pertumbuhan dan sokongan lanjut polisi monetari sebelum menaikkan kadar faedah.
Pada 1 Mac lalu, BNM telah mengekalkan Dasar Semalaman pada kadar 2.75 peratus tetapi menaikkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada dua peratus berbanding satu peratus berkuat kuasa awal bulan ini. |
- Utusan Malaysia 06/04/2011
Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengalami sebarang kerugian atau beban kewangan ekoran masalah percetakan yang menyebabkan kekurangan wang kertas baru ketika perayaan Tahun Baru Cina yang lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana di bawah perjanjian pesanan yang ditandatangani antara BNM dan syarikat pencetak wang kertas, syarikat tersebut bertanggungjawab ke atas segala kos, bayaran atau apa-apa tanggungan lain dalam melaksanakan kontrak percetakan yang diberikan.
"Kejadian itu berpunca daripada percetakan yang kurang jelas atau luntur sekiranya dibasuh menggunakan bahan cucian atau peluntur yang berat.
"Namun, BNM tidak alami kerugian ekoran masalah percetakan tersebut kerana segala kos ditanggung syarikat bertanggungjawab," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mengenai kerugian yang ditanggung BNM akibat kesalahan dalam percetakan wang kertas Malaysia yang menimbulkan masalah kekurangan wang kertas baru ketika Tahun Baru Cina. |