Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

11 November 2011

Jagalah Ikhtilat Sesama Kita

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Oleh: Farahiyah Mat Daud

Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan). Adakah sama sekali tidak boleh? Apakah hukumnya? Mungkin kebanyakan kita pernah mendengar mengenai masalah ini, mungkin juga tidak. Semoga ianya dapat memberi faedah kepada semua khususnya para muslimah insyAllah. Pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh(seperti menuntu ilmu), membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan. Walaupun dibolehkan, kita sama sekali tidak mengabaikan batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam :

1. Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya (lelaki dan perempuan jangan gatal menjeling-jeling), tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Allah SWT berfirman : Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".(30) Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,(31) An Nuur : 30-31

2. Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh, Allah SWT berfirman : dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, ,(31) Surah An Nuur : 31 Dikuatkan lagi daripada para sahabat yang dimaksudkan dengan ‘perhiasan’ ialah dua tangan dan wajah. Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan, firmanNya : Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. (59) Al Ahzab: 59 Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

3. Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki :

i. Percakapan, hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman : Maka janganlah kamu tunduk (yang dimaksud dengan tunduk di sini ialah berbicara dengan sikap yang menimbulkan keberanian orang bertindak yang tidak baik terhadap mereka) dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya (yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah: orang yang mempunyai niat berbuat serong dengan wanita, seperti melakukan zina) dan ucapkanlah perkataan yang baik,(32) Al Ahzab : 32

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman : Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan (31) An Nuur : 31 Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya : Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan (25) Surah Al Qashah :25

iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.

4. Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai dirumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

5. Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram disisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama (makin ‘terbakar’ la kalau dibiarkan berdua). Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

6. Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat (cth: mesyuarat) dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa(anak-anak).

Penuhilah syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah disaat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah.

Wallahu Ta’ala A’lam.

Rujukan : Fatawa Al Mar atul Muslimah oleh Dr Yusuf Al Qardhawi

____________________________

Penulis merupakan mahasiswa UIAM

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

31 October 2011

Facebook Digodam, Cubaan Menyekat Kemaraan Mahasiswa

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

GOMBAK,30 Oktober 2011-Akaun facebook milik Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anggota kumpulan yang berjuang bagi menegakkan hak-hak mahasiswa di UIAM petang semalam.

Menurut Pengerusi Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM, Muhammad Hafizuddin MN, "Motif sebenar penggodaman tersebut disyaki untuk menyekat kebangkitan mahasiswa dan cuba untuk memecah belahkan gerakan mahasiswa. Tindakan ini dilihat mahu memberi tekanan kepada Pro-M daripada terus memperjuangkan isu Prof Abd Aziz Bari".

"Kami tetap serius dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kebebasan akademik walau apa ancaman sekalipun yang pihak kami terima. Kami berharap mahasiswa dan masyarakat seluruhnya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab"ujarnya.

Tindakan ini juga dipercayai ada kaitan dengan 'tangan jahat' yang sering menggangu bermula daripada isu Ustaz Azhar Idrus, penafian Presiden MPP dalam rancangan HUJAH TV9 dan Prof Abd Aziz Bari.

KES UGUTAN TERHADAP PROF AZIZ BARI

Dalam masa yang sama, berita penghantaran peluru ke rumah Prof Aziz agak mengejutkan mahasiswa UIAM khususnya. Tindakan sedemikian sangat bercanggah dengan norma kehidupan manusia.

Mahasiswa UIAM tetap menyokong sepenuhnya perjuangan kebebasan akademik yang dibawa oleh Prof Aziz.

Mengulas isu tersebut, beliau menegaskan, "Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghantar peluru tersebut seolah-olah mahu menakutkan Prof Aziz dalam masa ini".

Sehingga hari ini, pihak UIAM masih belum mengeluarkan sebarang respon selepas menarik balik penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari.

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

26 October 2011

Munajat Keamanan – “Motivasi Perjuangan Menegakkan Kebenaran”

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Dengan tidak menafikan kekuatan demonstrasi dalam memberi suatu kesan kepada sesuatu isu, ia tetap juga salah satu pilihan daripada pelbagai pilihan yang ada. Paling penting ialah untuk mengambil tindakan yang bertanggungjawab dan bertanggungjawab dengan tindakan. Kedua-duanya bertitik tolak daripada kefahaman dan kesedaran.

Pro-M (WUFI) UIAM merasakan, keputusan SRC untuk mengadakan Munajat Keamanan semalam, walaupun diumumkan melalui Presiden SRC lewat petang, ia adalah suatu tindakan yang tepat, matang dan bertanggungjawab. Hal ini terbukti apabila pengumuman itu disambut dengan sokongan padu oleh mahasiswa UIAM. Kami juga menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.

Mengungkap kata-kata salah seorang yang hadir, “Malam munajat keamanan yang diadakan pada malam ini adalah satu malam memotivasikan semangat perjuangan untuk menegakkan kebenaran”. Bersetuju dengan pendapat beliau, kami berbesar hati untuk berkongsi antara perkara yang dinyatakan dalam program tersebut. Antaranya seperti berikut :

Islam menyuruh umatnya menentang sebarang bentuk kezaliman dan kemunkaran. Sekecil-kecilnya dengan membenci di dalam hati sehinggalah kepada sebesar-besarnya dengan memanfaatkan kuasa untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Apa juga caranya, kemunkaran tersebut harus ditentang.

Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya supaya membantu orang yang zalim dan orang yang dizalimi. Orang yang zalim dibantu dengan cara diberi nasihat dan teguran, dan jika perlu berdepan dada sekalipun, diizinkan, selagimana tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar. Orang yang dizalimi pula dibantu dengan memberi sokongan dan memperjuangkan nasibnya serta mengambil apa juga tindakan supaya tertegak keadilan untuk dirinya.

Nabi s.a.w. telah mengajarkan umatnya dengan suatu doa, “Ya Allah, tunjukkanlah bahawa yang benar itu benar, dan anugerahkanlah kami kekuatan untuk mengikutinya.....”. Ada yang berkata, bukankah telah nyata kebenaran bahawa kebebasan bersuara itu telah diperuntukkan dalam perlembagaan? Ya, itulah apa yang zahir kebenaran disisi manusia. Namun di sisi Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui, pelbagai kebenaran lain yang lebih penting dan besar, yang akan Allah s.w.t. tunjukkan kepada hamba-hambanya yang beriman yang berfikir.

Kesatuan atas nama Islam adalah asas perpaduan. Islam menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemunkaran. Menentang kezaliman dan menegakkan keadilan adalah tuntutan amar ma’ruf nahi munkar. Perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan mestilah dibina dengan kekuatan kesatuan. Tanpa kesatuan, rapuhlah perjuangan.

Selain kesatuan, perjuangan kebenaran mestilah dengan kekuatan jentera. Setiap orang perlu berperanan dan setiap orang bertanggungjawab di posisinya. Di zaman moden ini, agenda penerangan sangat penting. Maklumat yang benar perlu disebarkan dan maklumat yang salah perlu disekat. Asasnya, maklumat-maklumat tersebut mestilah dipastikan dahulu status benar atau salahnya. Untuk itu, pembacaan dan pengkajian daripada pelbagai sumber dan sumber yang diyakini sangat penting. Di sinilah mahasiswa tampil berbeza dengan orang lain, iaitu sikap ‘tabayyun’ dalam menjalankan tugasnya sebagai agen penerangan kepada masyarakat.

Pro-Mahasiswa (WUFI) tetap tegas berpendirian sama dengan SRC dan seluruh warga UIAM, khususnya dalam menuntut pembatalan siasatan terhadap Prof. Aziz Bari.

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

23 October 2011

Justice For Prof Aziz Bari

Assalamualaikum & salam mahasiswa,



Justice For Prof Aziz Bari

Protect Our Academic Freedom

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

21 October 2011

WUFI Kesal Campur Tangan Politik Melampau

Assalamualaikum & salam mahasiswa,


Atas sebab 'memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti', pakar Perlembagaan Malaysia tersohor, Prof Abd Aziz Bari digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Sebelum itu, beliau telah pun menerima surat tunjuk sebab daripada UIAM disebabkan oleh kenyataan kontroversi beliau yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu.

Tamparan hebat telah diterima oleh warga kampus akibat daripada penggantungan yang dibuat. Kebebasan akademik telah dipertikaikan, intelektualisme yang diperjuangkan selama ini telah dicabul begitu sahaja. Apa yang mengecewakan, ahli akademik yang menjadi mangsa.

Pada akhir-akhir ini, campur tangan pihak luar ke dalam pengurusan pentadbiran UIAM dilihat semakin menular. Hal ini bermula dengan isu kehadiran Ustaz Azhar Idrus ke dalam UIA, kemudian sekatan terhadap Presiden MPP dalam program HUJAH TV9 bergandingan bersama Rektor dan kemuncaknya kes Prof Abd Aziz Bari yang diambil tindakan penggantungan dan menyebabkan isu ini mendapat respon daripada pelbagai pihak di peringkat nasional.

Justeru, Pro-Mahasiswa (WUFI) berpendirian:

[1] Mendesak supaya pentadbiran UIA membuat penjelasan terhadap kes ini

[2] Mendesak agar penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari ditarik balik

[3] Bertegas dengan sebarang campur tangan politik luar ke dalam UIA demi menjaga nama baik institusi 'Taman Ilmu dan Budi'

[4] Memberikan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik seluas-luasnya tanpa sebarang kepentingan oleh mana-mana pihak

Kami juga berharap agar sebarang tindakan daripada pihak luar mempertimbangkan kondisi semasa mahasiswa UIAM.

Harapan kami juga agar golongan akademik dan cendekiawan lain bersedia untuk memberi sokongan penuh kepada isu ini.

Dalam berusaha menuntut keadilan untuk semua, di peringkat kepimpinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama-sama seluruh pimpinan mahasiswa di segenap kelompok sedang mengatur dan melaksanakan perancangan yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Perkara yang paling penting adalah, kita bukan memperjuangkan kebebasan Prof Abd Aziz Bari semata-mata, bahkan isu yang paling besar adalah kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

Pengerusi
Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA