Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.
Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.
2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..
Blog ini dibina sebagai sumber inspirasi dan motivasi diri. Saya berhasrat untuk berpindah balik ke negeri kelahiran saya di Kelantan dan membina rumah di sana.
Setakat ini, rumah yang saya hajatkan ialah berkonsepkan nusantara. Rumah yang sederhana sesuai dengan bajet saya. Pelan rumah sudah saya reka. Yang penting rumah saya ada taman mini di dalam rumahnya.
Di taman mini itu saya akan hiasi dengan bunga-bungaan berpasu dan yang digantung. Pilihan bunga ialah petunia, morning glory, kembang 3 bulan, ros dan toking. Kesemua bunga itu memberi warna ceria, manakala toking memberi aroma yang memukau. Saya juga ingin mempunyai sebuah kolam ikan kap yang sederhana, juga kolam kecil sesuai untuk ikan guppy dan sespeseisnya. Saya juga sukakan gantungan yang mengeluarkan bunyi bergemerincing jika disapa angin. Saya akan banyak menghabiskan masa saya di sini (ruang kegemaran)
Sebahagian daripada tanah akan dibina rumah, dan sebahagian lagi akan ditanam pelbagai pokok buah. Kalau boleh serba sejenis. Di halaman rumah akan saya tanam kemboja pink, peach, putih, kenanga, willow dan pokok yang berbunga ala-ala sakura (berbunga penuh apabila musimnya tiba). Lain-lain pokok sederhana dan kecil ialah pilihan yang lasak dan senang dijaga seperti spider lily, lidah jin.
Saya sukakan wangian semula jadi. Jadi, halaman hadapan saya akan aturkan kenanga, sebelah sisi melur, sisi satu lagi ialah kemuning dan belakang rumah mungkin melur atau toking.
Di belakang rumah saya akan tanam serba sedikit sayuran atau ulam-ulaman. Untuk memberi nostalgia kepada arwah ayah dan emak saya, saya bercadang hendak menanam pokok pisang.
Saya tidak banyak masa di halaman rumah, sebab itulah di halaman rumah saya rancangkan ditanam dengan pokok-pokok lasak.
Di sekeliling rumah, akan saya bina trek kecil. Gunanya ialah untuk mengayuh basikal, atau berjogging.
Juga ada sebuah wakaf kecil dan pergola.
Hmm, besar juga perancangan saya ni ya. Mungkin boleh jika kami berhemat, mencari bahan-bahan yang sesuai dengan bajet saya dan dibuat satu persatu mengikut keperluan.
Semoga Allah makbulkan impian saya. Mungkin ini ialah rumah terakhir saya sebelum saya berpindah ke alam baqa'. Semoga rumah ini memberi ketenangan, kedamaian, rahmat, dan keberkatan kepada para penghuni rumah, ahli keluarga saya dan juga para tetamu.
Insya Allah!
**** Tersenyum sendiri saya apabila membaca angan-angan di atas. Pelan rumah asal ada taman mini (courtyard) di dalamnya tapi kontraktor kata mahal sangat. Kawasan tanah luas jadi tanamlah bunga-bungaan di tanah hehehe.
Pokok wangi wangi dah banyak iaitu melur, ros (dah banyak spesies), kenanga, kemuning. Pokok bermusim juga banyak sebab ia memberi suntikan warna ceria dan menyukakan mata memandang.
Pokok buah-buahan pun sudah ada beberapa batang, iaitu rambutan, mempelam, jambu batu tanpa biji, mata kucing, 4 jenis limau.. Jambu dah berbunga beberapa kali tapi baru sekarang buahnya lekat...tak sabar nak rasa...