Awaslah Jangan Kekeringan Cinta Allah

>> Tuesday, January 31, 2012


AWAS JANGAN KEKERINGAN CINTA ALLAH



Kita manusia adalah sebahagian daripada berbagai-bagai makhluk ciptaan Allah di dunia ini. Kita adalah hamba Nya. Allah menciptakan manusia dengaN cinta dan kasih sayang, tegasnya Allah tidak menciptakan manusia kecuali Dia mencintai mereka.



Kerana Allah cintakan kitalah, maka Allah memberikan kita kehidupan, memberi kita rezeki, dan menaungi kita di bawah payung keamanan, keselamatan dan kententeraman yang amat tinggi nilainya dalam kehidupan kita. Sesungguhnya kita hidup ini di bawah payung naungan rahmat dan kasih sayang Allah.



Justeru itu, amatlah wajar kepada kita menyintai Allah yang Maha Berkuasa. Allah yang Maha Pencipta. Allah yang Tunggal. Tidak dua dan tidak tiga. Kalau ibu yang melahirkan kita, kita sayangi dan kita cintai, sedangkan ibu kita pula lahir ke dunis dengan cinta kasih Allah. Sedangkan ayah kita, kita cintai, apa lagi Allah yang menjadikan ayah kita dan menaunginya dengan penuh cinta dan kasih sayang.



Sebaik-baik sahaja selepas dilahirkan ke dunia, kita terus menyayangi ibu kita tyang melahirkan kita itu, dan demikian juga sebaliknya ibu kita menyayangikiita, anak yang dilahirkanya itu. Kalau kita renungknan, yang melahirkan rasa cinta kasih dalam diri kita dan dalam diri ibu kita adalah Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kemudian kita menyayangi ayah kita, dan sebaliknya ayah kita pula menyayangi kita. Dan Allahlah yang menciptakan rasa kasih dan sayang itu di dalam diri kita dan demikianlah dalam diri ayah kita, dan dalam diri manusia seluruhnya.

Begitu banyak bahan yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya untuk menjadi bahan berfikir, mencari Allah



Sayang menyayang antara ibu dan anak, di antara anak dan ibu; serta sayang menyayang antara ayah dan anak, dan antara anak dan ayah, adalah keadaan semula jadi kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Ia bukan sahaja terdapat di kalangan makhluk manusia yang berakal fikiran, tapi demikian juga yang berlaku di kalangan haiwan, antara ibu ayam dan anak ayam, antara ibu kucing dan anak kucing, antara ibu burung dan anak burung, antara ibu gajah dan anak gajah, dan demikian jugalah sebaliknya antara anak-anak haiwan dan ibu-ibu hawian. Rasa cinta dan kasih sayang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya.



Cubalah anda perhatikan bagaimana berangnya ibu ayam kiranya anda menganggu anak-anak yang sedang dipimpinnya mencari makan, bulu-bulu tengkoknya akan meremang dan bersiap sedia untuk menyerang anda; demikian juga kiranya anda menganggu anak-anak kucing yang sedng melengkar di bawah perut ibunya akan meradang andainya anda menganggu mereka, dan dia akan menunjukkan sikap yang bengis untuk menyerang anda.



Kemudian dalam masa yang berlalu, jika usia anda panjang, cinta dalam diri anda akan terus berkembang bertambah besar, cinta anda akan terus bercabang-cabang dengan rahmat Allah. ..... Dan akhirnya anda mungkin jatuh hati atau cintakan seseorang yang berlawanan jenis dengan anda yang membawa anda mendirikan rumah tangga dan hidup sebagai suami isteri, dan seterusnya mendapat keturuan.



Maka proses cinta dan kasih sayang itu berulang kembali antara anda dan anak-anak anda, dan antara anak-anak dan anda sebagaimana telah dijalani di masa-masa yang lalu, antara anda dan kedua ibu bapa anda. Proses cinta kasih yang sama juga akan dialami oleh anak-anak cucu anda, walaupun mungkin dalam mutu yang berlainan.



Anda wajib mencintai Allah, dan mencintai Allah itu mestilah dilahirkan dalam berbagai-bagai cara yang selaras dengan kehendak Allah. Dan di samping beramal dengan cara-cara yang khsusus untuk melahirkan perasaan cinta anda kepada Allah itu, anda juga hendaklah tidak melakukan perkara-perkara tertentu yang boleh mengurang atau manghapuskan cinta Allah terhadap anda.



Mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang meniris atau mengeringkan cinta Allah terhdap anda, adalah sama pentingnya dengan cara beramal untuk memperolehi cinta Allah. Anda tidak boleh melakukan serentak antara perkara-perkara yang dicintai Allah dengan perkara-perkara yang dibenci Allah, antara perkara-perkara yang mendekatkan anda kepada Allah dengan perkara-perkara yang menjauhkan anda kepada Allah.



Ada berbagai-bagai perkara yang tidak disukai Allah yang mesti kita jauhi sebagai seorang insan untuk mengelak diri kita daripada kehilangan atau mengeringkan cinta Allah terhadap kita. Alangkah amat malangnya, andainya kita kehilangan cinta Allah, kerana seluruh kehidupan ini tebentuk dari cinta sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya.



Kita utarakan di sini beberapa perkara yang perlu kita jauhi untuk mengelak kita daripada kehilangan cinta Allah, cinta yang tidak dapat dinilai dengan apa sekali pun, dan kesannya berpanjangan dari dunia hingga akhirat, di mana semua makhluk mengharap mendapat rahmat dari Allah.



Zalim



Perbuatan zalim ialah perbuatan keji yang menimpakan aniaya bukan sahaja kepada orang lain, tapi juga ke atas diri orang yang melakukan kezaliman. Sebarang perbuatan maksiat atau dosa yang kita lakukan yang dilarang oleh Allah adalah dianggap menzalamai diri sendiri, kerana perbuatan dosa itu akan akan menimpakan akibatnya yang buruk terhadap pelakunya berupa balasan dari Allah, mungkin di dunia, mungkin di akhirat dan mungkin di kedua-duanya sekali. Sebab itulah ia dikatakan menzalami diri sendiri.

Gunalah daya hati anda untuk membaca yang tersirat di sebalik panaroma alam yang sepi dan damai ini



Sedangkan Allah yang Maha Penyayang, tidak sukakan orang-orang yang berbuat kezaliman, baik kepada diri sendiri ataupun kepada orang lain dengan ancaman-ancaman yang keras.



Marilah kita perhatikan firman Allah yang bermaksud, “Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, maka Allah akan memberikan kepada mereka dengan sempurna pahala amalan-amalan mereka; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim”. Al-Imran: 57.



Melampaui Batasan



Dalam hidup kita mungkin melakukan perkara-perkara yang melampaui batas, baik menerusi tindakan, kata-kata malah juga isyarat yang menandakan kesombongan diri kita sebagai seorang manusia yang menyinggung orang lain. Kita berbuat demikian, mungkin merasa diri kita lebih baik daripada mereka, baik dari segi pemikiran, kedudukan dan juga harta benda yang telah menggelapkan mata kita dengan terpengaruh dengan arus keduniaan.



Perbuatan-prbuatan kita itu mungkin menceroboh hak Allah yang Maha Pengasih, hak orang lain, dan hak diri kita sendiri, dan boleh melemparkan kita ke lubuk kekufuran nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita selama ini.



Perbuatan-perbuatan yang melanggar batasan ini boleh menyebabkan kita keputusan cinta terhadap Allah dan sekali gus memutuskan cinta Allah terhadap kita, kerana memang telah diketahui Allah memang tidak menyukai orang-orang yang bertindak melanggar batasan.



Marilah kita perhatikan firman Allah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang Allah telah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”. Al-Maidah: 87.



Angkuh



Angkuh, bangga, agas adalah seguggus kata-kata yang yang sama atau hampir sama ertinya. Orang menjadi anggkuh kerana merasa bangga dengan kurniaan-kurniaan Allah kepadanya, baik berupa harta benda atau akal fikiran yang cemerlang. Sedangkan segala kurniaan itu hanya buat sementara belaka.



Orang boleh merasa anggkuh kerana berpangkat, orang boleh merasa sombong kerana darjah keturunannya, orang boleh merasa angkuh kerana harta kekayaannya melimpah-ruah. Sedangkan semua itu buat sementara, dan tidak berkekalan, yang akan ditinggalkan bila nyawa terputus dari jasad.



Allah tidak suka dengan orang anggkuh, orang yang bermegah-megah, orang yang agas, sikap yang boleh menyinggung hamba-hamba Allah yang lain.



Allah berfirman maksudnya, “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri”. An-Nisa’: 36.



Sombong



Sombong adalah adik beradik kepada sikap anggkuh. Sombong adalah sikap membangga-banggakan diri kepada orang lain, menyombongkan diri kepada orang lain, iaitu orang-orang yang memandang kecil dan hina kepada orang lain yang dipandangnya dengan sebelah mata sahaja.



Sikap ini termasuk dalam sikap yang tidak disukai oleh Allah, dan sikap yang menunjukkan seseorang itu telah melupakan asal usul kejadiannya dari tanah, yang berasal dari Adam dan Hawa yang sama sahaja pada hakikatnya, walaupun berlainan bangsa, dan berlainan taraf hidup.



Allah berfirman, maksudnya, “Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan, sesungguhnya Allah tidak menyukai ornag-orang yang sombong”.An-Nahl: 23.



Melampau



Sikap melampau atau kerterlaluan adalah termasuk dalam sikap buruk, kerana ia juga bukan sahaja boleh merosakkan diri sendiri, tapi juga boleh menimpakan kerosakan kepada orang lain dan terhadap dunia seluruhnya.



Kerana amalan sikap melampau inilah menyebabkan berlakunya begitu banyak penumpahan darah manusia yang membanjiri bumi yang tidak wajar, menimpakan begitu banyak kerosakan terhadap harta benda dan alam maya ini sendiri.



Bersikap keterlalauan atau melampau adalah sikap yang tidak disukai Allah yang boleh memadamkan cinta Allah terhadap seseorang.



Sesunggunya Allah tidak menyukai sikap melampau, terhadap dalam makan dan minum sekalipun.



Allah berfirman, maksudnya, “Hai anad Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap [memasuki] mesjid, makan dan minumlah, dan jangalah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”. Al-A’raf: 31



Khianat



Khianat ialah perbuatan yang merosakkan dan boleh menyusah dan mencetuskan kemarahan. Khianat itu ada berbagai-bagai macam, seperti mengkhianati amanah orang, merosakkan perjanjian, memungkiri janji dan sebagainya yang meliputi perbuatan “Harapkan pagar, pagar memakan padi”.



Berbuat khianat bukan sahaja bererti memutuskan hubungan dengan manusia, tapi juga bererti memutuskan tali cinta Allah kepada pelakunya, kerana Allah tidak sukakan orang-orang yang berkhianat.



Allah berfirman, maksudnya, “Dan jika kamu khawatir akan [terjadinya] pengkhianatan dari satu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak : menyukai orang-orang yang kerkhianat”.Al-Anfal: 58.

Kufur



Kufur terbahagi kepada dua jenis, iaitu kufur kecil dan kufur besar. Kufur besar, boleh menyebabkan seseorang terkeluar dari agama Islam dan hapus segala amalan pahalanya, seperti perbuatan tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Sementara kufur kecil tidak menyebabkan seseorang terkeluar dari agama Islam dan tidak terhapus amalan pahalanya, tapi berdosa, seperti bersumpah dengan sesuatu selain dari Allah, dan kufurkan nikmat-Nya.

Kufur bukan sahaja boleh memutuskan cinta Allah terhadap seseorang, malah boleh menyebabkan dia kehilangan rahmat Allah, kerana Allah tidak menyukai orang yang kufur.



Allah berfirman, maksudnya, “Agar Allah memberikan pahala kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh dari kurnia-Nya. Sesungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang ingkar”.Ar-Rum: 45.



Cinta Dunia



Sikap lekakan dunia, ralik dengan dunia, terpesona dengan kesenangan dan kemewahan dunia, lebih mementingkan dunia dari akhirat adalah sikap yang memutuskan cinta kasih Allah terhadap seseorang.



Berlengah-lengah dengan kehidupan dunia, hanyut dalam arus dunia adalah perbuatan menempah bencana, kerana dunia ini hanya sementara, hanya pinjam-pinjaman yang akan hancur dan fana, sebaliknya yang berkekalan ialah rahmat dan cinta Allah yang sewajarnya diberikan keutamaan dalam menjalani hidup di dunia yang merupakan pentas tempat berusaha keras untuk mengauk keuntungan yang abadi, di sisi Allah S.W.T. nanti.



Kekayaan dan kemewahan yang abadi inilah yang patut menjadi sasaran paling utama dalam mengejar kebahagian, tanpa melupakan pula bahagiannya di dunia.



Allah tidak sukakan orang cintakan dunia dan berbangga-bangga dengan kemegahan dunia yang dikurniakan Allah kepada mereka.



Allah berfirman, maksudnya, “Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. [Ingatlah] ketika kaumnya berkata kepadanya, “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu bangga; sesungguhnya Allahntidak menyukai oang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Al-Qashah: 76



Tegasnya segala keburukan yang kita lakukan, setiap maksiat yang kita kerjakan, setiap dosa yang kita buatkan, setiap larangan Allah yang langgarkan, semuanya boleh menyebabkan kita kehilangan cinta Allah terhadap kita. Jiika kita kehilangan cinta mansusia terhadap kita, kehilangan cinta kekasih meeka terhadap kita, tidaklah bererti langsung jika dibandingkan dengan kehilangan cinta Allah terhadap kita. Bila cinta Allah telah hilang, maka tidak ada tempat lagi untuk kita di dunia dan juga di akhirat, semoga dijauhkan Allah.



Allah berfirman, maksdunya, “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu [kebahagian] negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari [kenikmatan] duniawi dan berbuat baiklah [kepada orang lain] sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di [muka] bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan”. Al-Qashah: 77



Ingatlah, cinta dan rahmat Allah amat luasnya, hingga Allah menyediakan kepada mereka perkara-perkara yang boleh diperolehi manusia dengan mudah, tanpa bersusah payah atau mengharung kesulitan, kerana Allah mencipta manusia berdasarkan cintaNya kepada mereka. Kerana itu sudah sewajarnya mereka mencintai Allah dengan melakukan perkara-perkara yang dierintah Allah dan menjauhkan perkara yang dilarang Allah yang boleh menyebabkan mereka kehilangan cinta Allah yang tidak ternilai harganya itu.



Rasulullah bersabda tentang rahmat Allah yang luas dengan katanya, “Allah menjadikan rahmat seratus bahagian. Dia menyimpan di isisinya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkannya ke bumi ini satu bahagian. Satu bahagian inilah yang dibahagikan kepada seluruh makhluk. [Begitu meratanya satu bahagian yang dibahagikan itu diperoleh pula oleh] seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana dorongan kasih sayang, khuatir jangan sampai menginjak anaknya”. HR: Muslim.



Sentiasalah kita berhtai-hati dalam hidup ini, supaya kita tidak terlanggar pantang larang, baik dengan sengaja atau tidak sengaja yang akan menyebabkan kita menjadi miskin dan hina-dina kerana kehilangan cinta dan rahmat Allah kepada kita. Berusahalah sepantas yang boleh untuk merangkul cinta Allah dan berusahalah pula kita untuk mengekalkan cinta itu supaya tidak kering-kering, malah bertambah-tambah jua.



Sesungguhnya kalau kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita, tapi jika kita mengejar dunia, akhirat akan meninggalkan kita. Kian dekat kita mencari Allah, maka kian dekatlah Allah menghampiri kita. Pintu cinta dan rahmat Allah sentiasa terbuka lebar untuk hamba-hambaNya yang ingin mencari keampunan dan keredaanNya.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

Takzim Untuk Saida Na'imah

>> Sunday, January 29, 2012


TAKZIM KAMI KEPADA SAIDA NA’IMAH



“Sesunggnguhnya tidak ada sesiapa atau sebarang kuasa yang dapat menghalang bila Allah S.W.T. ingin mengurniakan rahmatNya kepada seseorang”.




Dua hari yang lepas, saya membaca sebuah berita di dada akhbar mengenai karib kami yang dihormati, Dr.Na’imah Ishak. Beliau selaku Pengarah Lembaga Pperiksaan Malaysia membuat pengumuman tentang keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia [STAM] 2011.



Beliau mengumumkan bahawa seramai 3,996 calon STAM daripada 6,584 calon yang mengambil peperiksasan telah memperolehi keputusan cemerlang [mumtaz] hingga lulus [maqbul]. Menurut beliau, pelajar-pelajar itu mempunyai kelayakan untukn memohon memasuki mana-mana universiti tempatan dan Al-Azhar Mesir yang sesuai.


Dr.Ni'imah Ishak [tengah]Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia semasa di Teratak Rahmat



Melihat wajah beliau pada berita tersebut mencetuskan sekelumit ingatan kami kepada beliau. Kami mulai mengenali beliau kembali sejak beberapa tahun yang lalu dalam satu majlis ilmu di Kuala Lumpur.



Beliau adalah salah seorang daripada mereka yang rapit dengan Allahyarhamah isteri saya, Asiah Yaacob[ ya Allah cucurilah rahmat-Mu ke atasnya]. Beliau memanggil isteri saya, Kak Yah sebuah panggilan mesra untuk orang-orang yang mengenali beliau.



Beliau dan beberapa orang karib lagi, yang datang dari Kuala Lumpur berkunjung ke pusara Allahyarhmah isteri saya dan berdoa untuk kesejahteraannya, selepas beberapa hari beliau kembali ke rahmatullah.



Kembali dari pusara, mereka sudi pula singgah sebentar di rumah kakak saya, Kak Dah yang letaknya tidak berapa jauh dari tanah perkuburan itu.



Pada hari Haji yang baru lalu, dalam satu majlis sebelumnya beliau memberitahu hasratnya ingin berkunjung ke pusara Kak Yah, dan meminta kami memandunya. Alangkah kembangnya hati kami mendengarnya.



Rancangannya kami akan pergi dahulu ke rumah beliau dan dari situ akan berolak bersama ke pusara Kak Yah. Tapi kita manusia hanya mampu merancang, tapi yang melaksanaknnya ialah kuasa yang Maha Agung, Allah S.W.T.



Pada hari yang dijanjikan itu, kereta kami dalam perjalanan ke rumah beliau telah terperangkap dalam trafik jem di Kota Bharu. Kerana begitu lamanya masa yang diambil untuk sampai ke rumah beliau, menyebabkan dengan hati yang berat kami terpaksa membatalkannya.



“Alhamdulliahi alladzi la yuhmad ‘ala makruhin siwahu”. [Segala puji bagi Allah, tiada yang dipuji dan dipuja, walaupun cubaan menimpa, selain dari Dia semata-mata].



Semuanya mempunyai hikmat yang tersendiri, yang hanya Allah Maha Mengetahuinya.



Saya terkenang, selepas kami menemui beliau beberapa tahun yang lalu itu, ayahnya bernama Ishak, dan tinggal berhampiran Masjid Muhammadi Kota Bharu. Bagi penduduk bandar Kota Bharu ayah beliau itu lebih terkenal dengan panggilan “Pak Cik Sohak”. Orang yang seperingkat dengan beliau pada waktu itu, jarang tidak kenal dengan panggilan “Pak Chik Sohak”. Beliau baru sahaja meninggal beberapa tahun yang lalu.



Dr.Na’imah bersama dengan sahabatnya datang kali terakhir berkunjug ke rumah kami ialah ketika kami mengadakan majlis kesyukuran menyambut menantu di kediaman kami Teratak Rahmat, di Kota Bharu.



Dr.Na'imah Ishak



Imbasan-imbasan timbul tenggelam dalam kepala saya bahawa saya kerap kali melihat beliau kita gadis sunti dahulu dibawa oleh ibunya ke majlis-majlis tertentu. Pada masa itu, ibu dan ayahnya adalah cergas dalam sebuah NGO bukan kerajaan.



Di antara begitu banyak foto-foto dalam simpanan kami itu, ada sebuah foto terdapat gambar gadis Na’imah yang saya katakan itu. Insyallah, saya sedang mengesan foto tersebut untuk mengesah dengan beliau, adakah ianya gambar beliau atau tidak.



Menurut apa yang saya difahamkan beliau bercita-cita untuk balik menetap di Kota Bharu pada suatu masa nanti, bila tiba tempohnya. Keluarga beliau sukakan Kota Bharu, tanah kelahiran beliau, Tanah Rendah Sekebum Bunga.



Kami doakan semoga hasrat dan cita-cita beliau dan keluarga itu akan dikabulkan juga oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya tidak ada siapa atau kuasa yang boleh menghalang bila Allah hendak mengurniakan rahmatNya kepada seseorang. Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Perkasa.



Demikian hormat dan takzim kami kepada beliau, dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Amin.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Seaklung Harmoni


Read more...

Meneroka Nilai Hidup

>> Saturday, January 28, 2012


MENEROKA NILAI HIDUP



Sebagai insan pernahkah anda bertanya apakah hidup ini? Apakah erti hidup ini? Apakah nilai-nilai hidup ini? Bagaimanakah anda telah menjalani hidup anda? Apakah yang telah anda lakukan semalam atau sehari dua yang lepas?



Dua hari lepas, pada tengah harinya, kami menghadiri jemputan majlis bercukur cucu seorang jiran kami yang baru dilahirkan. Suasana kegembiraan menyelubungi majlis itu, kerana menyambut ketibaan manusia baru, kurniaan Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.



Dan pada sebelah petangnya pula, kami menghadiri majlis menyambut menantu keluarga yang tidak berapa jauh dari rumah kami. Suasana lebih gembira, kerana kedatangan begitu ramai tetamu meraikan kedua-dua pengantin, dan menunaikan jemputan tuan rumah. Suasana meriah dan agak berwarna warni.



Kelmari pula, pada sebelah tengahnya, kami menghadiri sebuah majlis menyambut menantu kekuarga yang tempatnya agak jauh dari rumah kami, dan pada sebelah petang kami menhgadiri majlis menyambut menantu, jiran dekat dengan rumah kami.



Semua majlis sambutan tersebut meriah, dan kegembiraan terpancar pada wajah-wajah mereka yang berkenaan, dengan kurniaan rahmat Allah kepada mereka.



Semuanya bererti kehidupan, memperluas dan memperlanjutkan kehidupan umat manusia di muka bumi, berkahwin dan melahirkan keturunan yang akan menyambut zuriat manusia di alam buana ini.



Hidup dan mati silih berganti pergi dan datang, selagi dunia ini berkembang, dan selagi kiamat tidak datang. Tapi apakah hidup itu sebenarnya? Dan apakah nilai hidup itu? Adakah ia sekadar kahwin dan beranak?



Kebetulan pada waktu itu saya sedang mengulangi membaca sebuah buku kecil yang berjodol NILAI HIDUP yang mengandungi dua buah tulisan ahli fikir Islam yeng terkemuka, As-Syahid Syed Qutb dan Maulana Abul-a’la al-Maududi, terjemahan sahabat saya yang dihormati Prof.Mahmud Zuhdi Haji Abul Majid dan diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.



Tulisan As-Syahid Syed Qutb sedikit sebanyak ada perkaitan dengan perosalan kehidupan dan nilai-nilai hidup. Saya cuba mengolah dan menyaring, dan mengetus buah fikiran ahli fikir yang agung itu untuk menjadi bahan renungan bersama. Semoga memberi manfaat jua.



Hidup Untuk Orang Lain



Menurut As-Syahid Syed Qutb, jika kita hidup hanya semata-mata untuk diri kita, hidup akan terasa amat singkat dan kerdil, iaitu bermula dari permulaan kita mengenal hidup dan berakhir dengan kematian.



Tapi jika kita hidup untuk orang lain, untuk sesuatu konsep, maka hidup ini akan ternampak panjang dan mendalam, bermula dari permulaan kehdiupan dan terus berlanjutan selepas kematian. Kehidupan yang seperti ini akan memberi keberuntungan hakiki yang begitu banyak kepda seseorang.



Hidup ini bukan hitungan tahun, tapi dengan hitungan rasa. Justeru apa yang dianggap “khayal” oleh golongan rasionalisma dalam perkara ini sebenarnya suatu “hakikat” yang lebih hakiki daripada apa yang mereka anggap sebagai hakikat. Jika rasa terhadap hidup dibuang, bererti kita mengosongkan diri kita dari hidup itu sendiri dalam ertinya yang hakiki. Andainya kita berjaya mengecapi rasa hidup yang berlipatganda, maka ianya bererti kita telah menjalani hidup yang berlipat ganda.



As-Syahid Syed Qutb menegaskan, “Kita sesungguhnya menjalani hidup yang berlipatganda bagi diri kita apabila kita hidup untuk orang lain. Sejauh mana kita menambah perasaan terahdap orang lain, maka sejauhlah itulah ertinya kita menambah rasa hidup kita, malah seterusnya menambah hidup kita itu sendiri”.



Bibit-bibit Kejahatan



Bibit kejahatan itu walaupun kelihatan tumbuh subur tapi tidak mempunyai tapak yang kukuh, dan menghalang kebaikan daripada menerima cahaya dan udara. Tapi pokok kebaikan walaupun tumbuh dengan sederhana tapi mempunyai tapak yang kukuh memberi ganti kepanasan dan udara dan terus hidup menghadapi segala halangan dan rintangan.



Dari sudut kebaikan, setiap manusia memang banyak mempunyai nilai kebaikan, tapi kebaikan itu tidak kelihatan dengan sekilas pandangan. Hanya dengan bersikap lapang dada, dengan sedikit rasa persaudaran yang hakiki, dan sedikit simpati yang jujur terhadap mereka maka akan terseralah sumber kebaikan yang ada pada mereka. Dengan itu mreka akan memberi balasan kasih sayang dan kepercayaan mereka kepada kita.



Menurut keyakinan beliau “Kejahatan tidaklah begitu mendalam dalam jiwa manusia, sebagaimana kadangkalanya kita pernah menganggap yang demikian. Ia hanya berada di bawah lapisan keras yang dibuat guna menghadapi perjuangan untuk hidup. Bila manusia-manusia itu merasa damai, kulit keras itu akan melahirkan buah yang manis dan enak. Buah yang manis dan enak ini hanya akan dilahirkan untuk sesiapa manusia yang boleh merasa damai bila berada di sampingnya, merasa yakin terhadap persudaran, dan merasa simpatinya yang hakiki atas perjuangan, kedukaan, kesalahan dan sehinggakan kebodohan mereka. Sedikit rasa toleransi pada permulaan cukup untuk mewujudkan semua ini, tidak sebagaimana anggapan banyak orang”.



Bila rasa cinta, kasih sayang dan kebaikan subur dalam diri kita, maka kita akan bebas daripada berbagai-bagai problem berhubung dengannya. Dengan itu, kita tidak perlu mengampu, kita akan menemui berbagai-bagai kebaikan pada orang lain, kerana mereka memang wajar menerima pujian. Tapi kebaikan itu kita tidak akan nampak, kiranya dalam diri kita tidak mempunyai rasa cinta dan kasih sayang.



Dengan adanya rasa cinta dan kasih sayang itu, kita akan bebas dari menanggung beban rasa tidak senang hati terahdap mereka, tidak perlu meannggung sabar di atas kesalahan dan kebodohan mereka, malah sebaliknya kita akan menaruh simpati dan bertimbang rasa dengan mereka. Dengan itu kita tidak akan berusaha mencari-cari titik-titik kelemahan orang lain, dan akan bebas dari beban rasa cemburu dan dengki terahdap mereka. Dengan itu juga kita akan merasa begitu damai dan bahagia, kerana memberi rasa kasih sayang dan kepercayaan pada orang lain.



Bertimbang Rasa



Andainya kita mengasingkan diri kita dari orang lain kerana merasa diri kita lebih mulia dan unggul dari mereka, maka bererti kita telah memilih jalan yang tidak bernilai.



Sebaliknya kemuliaan yang sejati ialah bergaul dengan mereka dengan semangat timbang rasa dan kasihan belas terhadap segala kelemahan dan kesalahan mereka, dan dengan semangat yang wajar untuk menolong mereka dan mengangkat darjah mereka sedaya upaya kita.



Tapi ini bukanlah ertinya kita terpaksa merendah-rendah diri kita atau ideal kita yang murni. Tdak juga bererti kita harus menggampu dan memuji segala kelakuan mereka yang buruk, dan demikian sebaliknya bukan membuat mereka merasa kedudukan kita lebih tinggi dari mereka. Kemuliaan yang sejati adalah berkompromi dalam beberapa sikap yang bertentangan dan dengan sikap lapang dada.



Pertolongan



Bila kekuatan kita telah mencapai di tahap yang tertentu, kita tdak lagi merasa malu untuk meminta pertolongan daripada orang lain, walaupun daripada mereka yang kurang dari kemampuan kita. Harga diri kita tidak jatuh kerana meminta pertolongan orang lain.



Jika kita cuba melaku sesuatu secara sendirian dan enggan meminta pertolongan orang lain, mengaku usaha orang lain sebagai usaha kita, demikian jika kita merasa tidak senang bila orang menolong kita mencapai kejayaan, maka bererti kepercayaan kita kepada diri kita sendiri tidak besar, dan kita memang mempunyai kelemhan-kelemahan yang tertentu, kerana kalau kita benar-benar berkemampuan, kita tidak akan merasa demikian, hanya kanak-kanak yang baru belajar berjalan sahaja menolak bantuan orang lain untuk menolongnya berjalan.



Hanya orang-orang yang benar-benar mampu sahaja bersedia menerima pertolongan orang lain, dengan rasa gembira dan berterima kasih.



Andainya kita bersikap monopoli terhadap buah fikiran dan pegangan hidup kita, dan enggan berkongsi dengan sesiapa pun, maka ini membuktikan kepercayaan kita kepada buah fikiran dan pegangan hidup kita itu tidaklah kuat, dan bukan benar-benar lahir dari lubuk pemikiran kita sendiri, dan mencintainya tidak lebih daripada cinta kita kepada diri kita sendiri semata.



Tegas beliau, “Kegembiraan sejati adalah hasil secara tabi apabila buah fikiran dan pegangan hidup kita menjadi milik orang lain. Dengan sedikit kesedaran bahawa ianya-walaupun setelah kita meninggal dunia akan memberikan kebahagian kepada orang lain, sudah cukup untuk hati kita penuh dengan rasa senang dan bertuah”.



Hanya para peniaga sahaja yang mementingkan “hubungan perniagaan”, dalam brang-barang dagangan mereka supaya tidak dieksploitasikan orang lain dan merampas keuntungan daripada mereka. Tapi kepada ahli-ahli fikir dan tokoh-tokoh ideologi mereka merasa bahagia bila buah fikiran dan ideologi mereka dianuti bersama oleh orang lain, dan mengakuinya sebagai hak mereka sendiri.



Ahli-ahli fikir tidaklah beranggapan bahawa segala buah fikiran adalah hak mereka, tapi mereka hanya orang tengah yang peranananya memindahkan buah fikiran itu kepada orang lain. Ia bukan daripada sumber mereka dan bukan dari ciptaan mereka. Segala kebahagian mereka adalah kerana mereka selalu mempunyai hubungan dengan sumber pemikiran yang asli.



Dalam hal ini, ada perbezaan yang jauh, antara nemahami hakikat dengan mengenal hakikat, yang pertama ialah pengetahuan dan yang kedua ialah pengenalan atau makrifat.



Dalam bahagian pertama terdapat berbagai-bagai pecahan. Bahagian sains terdapat berbagai-bagai pecahan demikian juga dengan bahagian agama.



Sebaliknya bahagian yang kedua hanya terdapat tenaga yang satu yang berkait dengan tenaga yang besar yang berhubung dengan sumber yang asal.



Pakar



Kita memerlukan banyak pakar dalam setiap bidang ilmu pengetahuan, bukan sahaja dengan semangat rela berkorban, tapi juga dengan rasa kenikmatan sebagaimana seorang ahli ibadat menghadiahkan rohnya kepada Allah dengan penuh kesukaan dan kegembiraan.



Mereka inilah menurut As-Syahdi Syed Qutb, “Orang yang mengetahui melalui tanggapan mereka apa yang disebut sebagai kesatuan bagi gejala-gejala yang terdapat pada pengetahuan sains, seni, akidah dan kerja. Mereka tidak memperkcilkan mana-mana satu daripadanya dan tidak menganggap dirinya lebih tinggi dari perkara-perkara tersebut”.



Hanya orang-orang yang kerdil sahaja yang beranggapan bahawa adanya pertentangan antara tenaga-tenaga yang berlainan gejala itu , menyebabkan mereka menyerang sains atas nama agama dan memerangi agama atas nama sains, memperkecilkan seni atas nama kerja, atau memeranagi hidup yang cergas dan progresif atas nama akidah tasauf.



Perkara Luar Biasa



Mempercayai secara mutlak perkara-perkara luar biasa dan ghaib adalah merbahaya kerana boleh membawa kepada khurafat dan menjadikan hidup ini sebagai dongeng yang besar.



Sebaliknya pula, menolak secara mutlak perkara-perkara tersebut tidak kurang juga bahayanya, kerana boleh menutup semua pintu dan boleh menyebabkan pernolakan kepada semua benda yang tidak dapat dilihat kerana kedangkalan fikiran. Justeru wujud ini kelihatan sempit atau kerdil dan terbatas kepada setakat yang diketahui sahaja, sedangkan hakikat sebenarya ia terlalu kerdil jika dibandingkan dengan kebesaran alam ini.



Kemampuan manusia memahami sedikit demi sedikit mana-mana tenaga yang tidak mereka ketahui sebelumnya dan di luar kemampuan pengetahuan mereka sudah cukup untuk menyedarkan mereka bahawa masih banyak lagi tenaga-tenaga lain yang tidak mereka kenali.



Penghormatan kita terhadap pemikiran manusia memerlukan kita memberikan perhatian yang wajar terhadap majhul untuk membolehlkan kita merasai kebesaran alam ini dengan sebenarnya, dan menyatakan kepada diri kita tentang kedudukan dan status kita dalam alam yang luas ini. Ia juga menyebabkan terbukanya berbagai-bagai tenaga bagi jiwa manusia, yang akan menyebabkan kita mengenali dan merasai ikatan antara kita dan alam di dalam diri kita. Sehingga ini ikatan itu lebih besar dan mendalam daripada apa yang kita fahami melalui fikiran kita, dan inilah yang menyebabkan kita setiap hari menemui perkara baru dari majhul dan kita masih terus hidup.



Kebesaran Tuhan



Bagi sesetengah orang sekarang beranggapan bahawa mengakui kebesaran Tuhan yang mutlak bererti merendahkan harga manusia dan memperkecilkan peranannya dalam wujud ini. Seolah-olah bagi mereka, Tuhan dan manusia itu dua musuh yang berebut kebesran dan kekuatan di dalam wujud ini.



Sedangkan jika kita merasa kebesaran Tuhan itu bertambah, maka bererti kita pun merasa bertambah besar kerana kita dijadikan oleh Tuhan yang Besar.



Orang yang merasa diri mereka tinggi bila mereka merendah dan mengingkari Tuhan adalah mereka yang singkat dn dangkal pandangannya.



Orang-oang seperti ini menyagka manusia hanya mencari Tuhan bila mereka lemah, sedangkan dalam keadaan kuat mereka tidak memerlukan Tuhan, seolah-olah kelemhan boleh mebuka mata sedangkan kekuatan boleh menutupnya.



Itulah kata Syed Qutb, “Orang yang beriman dengan kebesaran Tuhan yang Maha Mutlak tidak merasakan kehilangan atau kelemahan dalam diri mreka, tetapi sebaliknya merasa bangga dengan bertumpang kepada kekuatan yang paling besar, yang menguasai wujud ini. Mereka tahu bidang kebesaran mereka ialah di bumi ini dan di antara sesama manusia. Kekuataan mereka tidak akan bercanggah dengan kebesaran Tuhan yang Mutlak di dalam wujud ini sekiranya mereka mempunyai cagaran kebesaran dan kebanggaan dalam iman mereka yang mendalam. Ini berbeza sekali dengan orang yang meniupkan diri sendiri seperti “belon” yang apabila sudah kembong hanya menutup matanya dari melihat ufuk –ufuk wujud ini”.



Tujuan Yang Suci



Sukar untuk kita fahami bagaimana kita dapat sampai kepada tujuan yang suci menerusi jalan yang kotor, kerana tujuan yang suci tidak hidup dalam hati yang tidak bersih. Justeru bagaima hati yang bersih boleh menggunakan cara yang kotor. Kalau kita pergi ke tempat yang bersih melalui jalan yang kotor, sudah tentu kita akan sampai dalam kedaan diri kita yang kotor. Kekotoran akan melekat di kaki kita. Demikan jugalah kalau kita menggunakan jalan yang kotor, kekotoran itu akan melekat di jiwa kita dan akan tertinggal di situ dan juga di tempat yang kita sampai.



Dari segi keruhanian, cara adalah sebahagian dripada tujuan, tanpa berpisah. Orang yang merasakan kebaikan sesuatu tujuan, sudah tentu tidak tergamak untuk melakukannya dengan cara yang buruk. Tujuan yang baik, tidak menghalal cara yang kotor. Tapi kepada Barat, kerana mereka hidup dengan otak, dan alam otak mungkin ada pembahagian dan perbezaan antara tujuan dan cara untuk mencapainya.



Kegembiraan Jiwa



Satu-satunya cara untuk mendapat kegembiraan jiwa yang murni dalam hidup inilah kejayaan memberi ketenangan, kepercayaan, dan harapan kepada orang lain. Ianya merupakan kelazatan dari langit yang aneh yang tidak ada tandinngya, iaitu pertautan suci dari langit di dalam tabi kita. Ia tidak meminta ganjaran dari luar, kerana gajaran sudah terdapat di dalamnya.



Namun begitu, mungkin ada masalah kepada sesetengah orang ialah masalah mengenang budi. Mengenang budi memang berguna. Tapi ada kesan kegembiraan yang berbzia ketika kita menerima kenangan budi dengan kegembiraan ketika kita memberikan rasa damai, rela, percaya, harapan atau gembira kepada orang lain. Inilah sebenarnya kegembiraan yang jernih dan suci yang lahir dari dalam diri kita yang mengandungi ganjaran di dalamnya, tanpa memerlukan unsur-unsur dari luar untuk memautnya.



Hakikat Memberi



Kadang-kadang sukar untuk membezakan antara memberi dan menerima, kerana dari segi keruhaniannya kedua-duanya mempunyai pengertian yang sama. Kerana setiap kali kita memberi, ertinya kita menerima, iaitu mengambil dari apa yang kita berikan, kerana kegembiraan dengan apa yang kita berikan tidak berkurangan daripada kegembiraan mereka yang menerimanya.



Kerana itu, katanya beliau tidak lagi merasa takut menghadapi kematian, kerana beliau telah melakukan semuanya yang beliau mampu lakukan. Katanya masih banyak lagi perkara-perkara yang beliau berhasrat untuk melakukannya sekiranya umur beliau masih panjang, tapi beliau tidak akan merasa dukacita jika tidak sempat melakukannya, kerana orang lain akan melakukannya. Perkara itu tidak akan pupus, jika ianya memang sesuai untuk hidup. Beliau percaya kekuasaan Tuhan tidak akan membiarkan mana-mana buah fikiran akan menjadi mati.



Beliau juga tidak gerun menghadapi maut, kerana beliau telah berusaha untuk menjadi orang baik setakat kemampuannya, dan telah menyesali segala kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukannya. Dan beliau menyerahkan segala kesalahan dan kesilapannya kepada Tuhan dengan harapan mendapat rahmat dan kemaafan, dan beliau juga tidak merasa bimbang dengan keseksasannya,kerana nenurut beliau keseksaan yang hak dan pembalasan yang adil. Katanya beliau biasa bertanggungjawab terahdap segala hasil perbuatannya, baik atau buruk, dan beliau tidak akan merasa perit menghadapi pembalasan atas kesalahan beliau di hari kiamat.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP