Tuesday, February 9, 2010

A Tips For Forgive And Forget

(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Al-Imran, 3:134)


Tetapi orang yang bersabar dan mema'afkan, sesungguhnya (perbuatan ) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan. (Asy syuura 42:43)

Setiap daripada kita melakukan kesilapan. Mungkin ada pihak yang melakukan kesilapan yang besar terhadap diri kita, samada memfitnah, menyebarkan aib, dituduh menyebarkan fitnah atau dituduh menyebarkan aib, ataupun kesalahfahaman daripada pihak tersebut yang boleh menjejaskan maruah kita. Sehingga membuatkan kita sangat marah dan sukar memaafkan apatah lagi melupakan. Atau mungkin kita boleh memaafkan tapi tidak boleh melupakan, dan kita sendiri tahu bahawa itu bukanlah erti maaf yang sebenar. Kita merasakan hanya orang yang benar-benar sabar sahaja yang mampu melupakannya.


Percayalah bahawa perasaan seperti ini pasti akan berlaku pada setiap individu bukan sahaja pada individu yang beriman, tapi juga pada individu yang fasiq, kufur, malah kafir, cuma bergantung samada cepat atau lambat, sempat atau tidak sahaja. It’s a learning process. Seperti seorang bayi yang baru belajar berjalan, ia perlu jatuh atau terluka dahulu barulah ia merasa bagaimana rasanya kesakitan, lama-kelamaan bayi tersebut meningkat dewasa dan belajar pula bagaimana cara untuk mengelak dan menahan kesakitan.


Di sini, saya ingin berkongsi satu tips bagaimana cara untuk memaafkan kesalahan orang lain, dan seterusnya menghilangkan/mengurangkan rasa benci, marah dan dendam. Caranya ialah dengan mendoakan kebaikan dan kesejahteraan kepada pihak yang melakukan kesalahan terhadap diri kita, lebih berkesan jika kita sebut namanya satu persatu dalam doa-doa kita. Memang tidak mudah, tapi cubalah dengan sedaya upaya walaupun sukar, walaupun mulut dan hati terasa sangat berat untuk melafazkan, walaupun terasa sukar untuk ikhlas, tapi cubalah.. Lakukan terutamanya selepas solat kerana ketika itu kita lebih tenang.. Tiada sebab untuk kita bersikap ego dihadapan Allah SWT.


Jika berjaya melakukannya, pastinya hati akan terasa syahdu kerana ketika itu jiwa kita berperang dengan dua perasaan berbeza, dan berharaplah agar kebaikan itu akan menang dalam peperangan tersebut. Kemudian, luahkanlah segala-galanya di dalam doa kita.


Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (Fushshilat 41:34)


Memang tidak dinafikan mungkin berlakunya kejadian-kejadian di mana kita merasakan satu pihak tersebut telah melakukan kesalahan yang amat besar terhadap kita dan kita mengharapkan agar pihak tersebut memohon maaf, tapi sebaliknya yang berlaku di mana pihak tersebut tidak berasa bersalah malah menganggap bahawa kita yang bersalah dan kita yang harus memohon maaf, ataupun kita telah memohon maaf walaupun kita rasa kita tidak bersalah namun maaf kita telah ditolak mentah-mentah, menyebabkan perasaan kita semakin membuak-buak… Jika berlaku begini maka tidak mengapa, kerana jika perkara begini tidak berlaku maka tidak mungkinlah berlakunya perselisihan yang dahsyat sehingga memerlukan masa untuk menghilangkan amarah dan benci, kerana jika kedua-dua pihak memohon maaf maka perselisihan akan selesai.. Oleh itu, itu semua adalah soal kedua.. yang penting kita memaafkan dan tetap terus mendoakan kebaikan..


InsyaAllah, tips ini berkesan.. disamping kita berdoa untuk kebaikan musuh kita, kita juga harus berharap agar Allah memakbulkan doa kita. Kerana kita tidak perlu bersikap ego dihadapan Allah SWT.


Dari Abu Ad-Darda’ dia berkata: Rasulullah -shallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama. (HR. Muslim no. 4912)


Dalam riwayat lain dengan lafazh:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa diketahui olehnya adalah doa mustajabah. Di atas kepalanya (orang yang berdoa) ada malaikat yang telah diutus. Sehingga setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan, “Amin dan kamu juga akan mendapatkan seperti itu.”


Sebagaimana kita ingin orang lain memaafkan kesalahan kita dikala kita melakukan kesilapan, dan sebagaimana kita ingin Allah mengampunkan dosa-dosa kita, seperti itu jugalah kita mengampunkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.


Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pema'af lagi Maha Kuasa. (An-Nisaa’ 4:149)

Ini cuma salah satu tips bagaimana untuk memaafkan kesalahan orang lain yang kita rasakan berat.. Sebenarnya banyak lagi caranya, cuma saya agak tertarik dengan cara ini yang menyebabkan saya ingin berkongsi dengan semua..


Dan di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf yang tidak terhingga kepada sesiapa sahaja di luar sana jika diri ini telah melakukan kesilapan yang ringan mahupun berat, sengaja mahupun tidak sengaja, berbeza pendapat, terlanjur kata, terkasar bahasa, terguris hati, samada melalui kata-kata mahupun tulisan..


Wassalam...