[Sedikit penjelasan untuk memudahkan anda memahami kumpulan
tulisan ini. Sekiranya anda tidak mengikuti
perkembangan politik Malaysia, terutama politik Melayu, anda mungkin sukar hendak
memahami kumpulan tulisan yang disatukan di bawah tajuk di atas. Oleh itu bagus
juga anda memerah otak sedikit sambil merenung kembali beberapa peristiwa menarik
dalam politik Melayu, dengan membuat sedikit perbandingan, atau analisis yang dangkal
pun tidak mengapa, supaya anda dapat melihat dengan lebih jelas apakah sebenarnya
yang terjadi dalam politik Melayu. Adakah pengundi Melayu sudah tidak dikhianati
oleh ahli politik? Pertanyaan ini penting,
dan jawapannya lebih penting lagi. Itulah maksud rangkaian tulisan yang disatukan
dalam judul di atas.]
ALTANTUYA,
PONTIANAK DAN POLITIK PERAK
Orang Melayu yang masih
percayakan hantu, meskipun sudah menjadi ketua parti yang kaya raya dan
memegang jawatan politik yang menguntungkan, tidak teragak-agak untuk membuat
kesimpulan bahawa apa yang berlaku di Perak sekarang adalah angkara Altantuya,
yang kini sudah menjadi pontianak. Menurut kepercayaan orang Melayu, pontianak
dapat dihidupkan kembali untuk menjadi perempuan cantik dengan mencabut paku di
tengkuknya. Bomoh-bomoh Melayu yang
terkenal ssebagai kumpulan pandai hantu, berkata dengan yakin paku itu di atas
kepala pontianak. Ini sudah disahkan
dalam sebuah filem Melayu yang menceritakan betapa seorang pontianak jatuh
cinta kepada seorang pemuda Melayu yang budiman. Kalau cintakan hamba, kata
pontianak, cabutlah paku di kepala hamba. Maka dicabut; maka dapat pula pemuda
Melayu menggantikan paku dengan memaku pontianak dengan paku yang membuat
pontianak menjerit sehingga mengejutkan isi rumah di tengah malam. Mujurlah
nenek pemuda itu memberi peringatan supaya tidak mengganggu pengantin baru itu;
biarlah pontianak itu menjerit kerana kini, kata nenek, keadaan sudah
berlainan. Masalahnya sekarang, orang yang akan mencabut paku itu belum tentu
menjadi pilihan Altantuya, kerana sudah serek ditipu semasa hidupnya. Maka kata
bomoh-bomoh Melayu yang memang pandai menjampi walaupun dia tahu jampi itu
tidak menghasilkan apa-apa, negeri Perak yang kini sudah menjadi pontianak
dalam politik Malaysia boleh diselamatkan jika paku yang ditanam di tengkuknya
dicabut oleh orang yang berbuat angkara. Kata ahli politik pula, tak perlu
cabut apa-apa paku pun, cukup dengan membubarkan DUN Perak dan biarkan
hantu-hantu yang berkeliaran di Perak membuat pilihan sendiri siapa yang mereka
mahu jadikan ketua mereka. Kata ahli politik lagi, masalah ini terjadi kerana
para pengundi hantu di Perak diikat kaki tangannya dalam PRU 12, Mac 2008, oleh
itu tidak boleh mengundi untuk tuan-tuan mereka yang memang memelihara mereka
dengan baik selama ini.
Dalam peristiwa pelik yang menimpa
Altantuya, rakyat Malaysia diminta dengan rayuan yang amat sedih oleh pontianak
Altantuya supaya beliau diberitahu apakah sebabnya dia dibunuh dan diletupkan.
Mengapa berahsia sangat tentang dirinya yang malang itu, padahal dia orang luar
yang datang ke Malaysia mencari tuah, tidak patut dibunuh dan diletupkan. Dia
hanya menjadi kekasih orang yang disayanginya. Sekarang baru dia tahu orang
yang disayanginya itu sebenarnya tidak sayangkan dia, maka dibunuh tapi
ceritanya terus jadi semakin panjang. Maka kata Altantuya, aku sumpah negeri
Perak menjadi pontianak seperti aku kerana orang yang merampasnya tidak pun
mencintai negeri itu, tapi dibuat kerja jahat itu kerana tamakkan kuasa
semata-mata. Maka berkawan baiklah dua jenis pontianak ini dan kedua-duanya
membingungkan orang Melayu, sudah tak tahu apa nak buat lagi apabila jampi
bomoh tidak berkesan langsung. Hanya satu cara saja boleh diselesaikan, cabut
paku di tengkuk pontianak Perak supaya Siti Perak yang cantik, secantik
Altantuya itu, dibenarkan memilih sendiri kekasihnya, bukan lagi ditentukan
oleh peraturan perlembagaan hantu-hantu politik. Tetapi khalifah kepada segala
hantu tidak setuju, kerana menurutnya dia punya kuasa mutlak untuk menjadikan
seseorang itu pontianak atau tidak. Akibatnya Siti Perak yang tersiksa terus
mengilai dengan suara nyaring, siang malam, tak kira waktu lagi, boleh didengar
dari barat ke timur, dari utara ke selatan di seluruh dunia. Bukan saja
mengilai-ngilai seperti perempuan gila, tetapi kini sudah mendedahkan dirinya tidur
di bawah pokok rendang untuk ditonton kecantikannya di seluruh dunia. Telanjang
bulat, tak mahu pakai apa-apa lagi. Sudah marah betul nampaknya. Makin gila
bomoh-bomoh politik menjampi, sampai dibawa ke teratak Hakim Bistari di pinggir
Sungai Perak untuk disiumankan kembali. Tidak berjaya juga. Tidak ada
undang-undang atau apa-apa peraturan sekalipun yang boleh mententeramkan
pontianak Siti Perak yang sedang menangis terisak-isak di riba pontianak
Altantuya. Celaru betul dibuatnya bila hantu-hantu buat pasal. Kata
penganalisis politik yang bijak bistari, kini hantu-hantu pun mempunyai daulat,
tidak boleh diderhakai, mesti diberi salut cara hantu berdaulat, “Minta lalu
Datuk Hantu, cucu datuk nak lalu pergi cari emas dalam hutan Perak. Bolehkah
Datuk?” Walaupun hantu tidak pernah menjawab apa juga permintaan, orang Melayu
yang cerdik terus saja meredah hutan mencuri emas dan lain-lain galian
berharga. Pontianak Altantuya dan pontianak Siti Perak yang melihat kerakusan
anak cucu hantu itu, berasa serabut perut nak muntah melihat kelakuan rakus
mereka berkelahi sesama sendiri berebut tanah hutan yang belum tentu ada bijih
emas. Maka merayulah pontianak Altantuya sambil menangis tersedu-sedu,
“Ampunkan hamba Puteri Siti Perak. Sembah hamba sembah derhaka. Hamba tak mahu
lagi duduk di Malaysia. Tolonglah cabutkan paku di tengkuk hamba kerana hamba
nak jadi manusia yang sempurna balik. Sekurang-kurangnya hamba boleh mencari
kekasih baru di tempat lain pula …” Pontianak Siti Perak pun menangis
terisak-isak sambil bertitah dengan suara lemak merdu penuh daulat yang syahdu,
“Aku tak boleh buat apa-apa. Mana aku tahu kamu cakap benar nak tinggalkan
Malaysia? Sekiranya kamu terus gilakan kendak kamu, aku hendak diletak di mana?
Walaupun aku pontianak, aku ada maruah macam kamu juga. Tapi kendak kita tak
ada maruah. Bukan saja kamu diletupkan, rekod kamu datang ke mari pun
dihapuskan. Sebenarnya kamu tidak ada di sini. Kamu tak wujud pun. Tak ada
rekod langsung. Pontianak pun ada rekod, tapi tidak kamu sebagai Altantuya.
Baiklah kamu tak usah jadi manusia lagi. Sia-sia dan menyusahkan. Tapi kalau
kamu berkeras juga masih ingin jadi manusia yang akan terus dirogol, duduklah
di Pahang, negerinya besar tebal pula hutannya. Orang-orang kaya dan
bangsawannya sukakan perempuan cantik seperti kamu, jadi kamu tak perlu takut
tak dapat pelanggan. Tapi aku mau kasi ingat, ada di antara orang kaya-kaya
mereka yang badannya berbau busuk, memang busuk sungguh-sungguh. Tanyalah
pontianak Noritta dari Perlis siapa di antara orang kaya yang berbau busuk itu.
… Sekarang mari kita usik kendak kita yang jahat perangai itu …” Kata nenek tua yang sukakan cerita-cerita
hantu, cerita dua orang pontianak itu benar-benar memberi keinsafan dan
peringatan kepada manusia. Orang baik-baik tidak semestinya tidak boleh jadi
pembunuh atau perogol. Kalau boleh hantu yang cantik-cantik pun hendak mereka
rogol juga supaya puas nafsu jahat mereka. Hatta kata nenek tersebutlah asal
usul kerajaan hantu di Palembang zaman dulu kala. Maka datanglah perlente Keling
ke Palembang, mencari negeri untuk dibuat negara. Maka bertemu dengan penghulu
Melayu yang bernama Demang Lebar Daun yang sangat lebar daun telinganya,
menandakan kecerdikannya. Maka disembah oleh Melayu akan perlente Keling itu,
seperti kisahnya dalam Hikayat Sejarah
Melayu. Maka dia sudah naik berahi
melihat anak-anak dara Melayu yang berkemban, tak tahan lagi nafsu Kelingnya,
seperti Tun Ali gilakan Tun Kudu adik Tun Perak, hingga diceraikan sultan
supaya puak Keling berdamai dengan puak Melayu zaman Melaka. Lalu dirogolnya
semua sekali 39 orang anak-anak dara pertuanan Melayu melalui perkahwinan
segera (instant marriage). Esok hari dia cerai, membuat Melayu jadi takut
kepada daulat perlente Keling itu. Maka setelah habis 39 anak dara, dia pun tak
sabar lagi hendakkan yang satu itu, anak dara Demang Lebar Daun sendiri. Maka
dapatlah perlente Keling itu gadis Melayu yang cantik. Bukan itu saja, kini
perlente Keling itu dinobatkan menjadi Yang di Pertuan bagi semua orang Melayu,
disembah diminta ampun walaupun tidak berdosa. Kata nenek, itulah asal mula
sejarah pontianak di negeri Melayu. Maka
dibangunkan sebuah kota besar bernama Pontianak di negeri hutan belantara.
Siapa-siapa yang tidak percaya adalah derhaka. Maka nenek pun menyembah dengan
tertibnya kepada hantu-hantu itu. Kami anak-anak muda cucu-cicit nenek
bertepuk, lucu melihat lakonan nenek itu. “Sembah!,” herdik nenek. Kami yang
muda-muda itu lari bertempiaran sambil tertawa sampai tersembur air liur.
Ketika itulah kami dengar hilai tertawa pontianak Altantuya dan Siti Perak lucu
melihat kelakuan biadab kami tidak mahu menyembah mereka. Gila betul dunia ini.
He he he, tertawa Pak Dharma. Tak pasti siapa yang kata “Gila betul dunia ini”.
Pak Dharma atau pontianak? He he he. (6/3/2009)
ALTANTUYA DAN MAHSURI KORBAN NAFSU
LELAKI MELAYU
Selepas Mahsuri, orang Melayu mencipta sebuah
legenda baru dalam cerita Altantuya yang dibunuh dan diletupkan hingga berkecai
tulangnya. Tiada siapa pun tahu mengapa Altantuya yang berasal dari Monggolia
itu datang ke Malaysia untuk dibunuh dan diletupkan. Siapa yang melakukannya
hanya diketahui dalam bisikan kabar angin, tidak dibenarkan diceritakan
berterus terang. Tidak seperti Mahsuri yang diketahui ceritanya dan
pembunuhnya, Altantuya sangat istimewa kerana tiada siapa pun berani mengaku
menjadi pembunuhnya. Oleh itu Altantuya yang cantik menawan lelaki Melayu yang
misteri itu membunuh dirinya dan meletupkannya sendiri dirinya yang membuat
lelaki Melayu jadi gila itu. Persis seperti terjadi kepada Anwar Ibrahim, yang
menurut Dr. Mahathir Mohamed mencederakan dirinya sendiri untuk mencari simpati
dan publisiti. Penjahat yang memukul Anwar Ibrahim akhirnya diketahui setelah
disiasat oleh satu suruhanjaya penyiasat; tetapi Altantuya tidak bernasib baik
kerana tiada siapa pun ingin mengetahui cerita sebenarnya. Noritta gadis cantik
dari Perlis yang terbunuh di kediaman mewahnya lebih bernasib baik kerana
pembunuhnya dikatakan mempunyai bau badan yang busuk. Walaupun pembunuh itu
tidak diketahui, sekurang-kurangnya bau badannya diketahui dan ini bolehlah
dijadikan bukti memang pembunuh itu wujud walaupun tidak diketahui siapa.
Altantuya nampaknya tidak mendekati lelaki yang berbau busuk badannya, mungkin
kerana beliau seorang yang pemilih dan tahu menilai harga lelaki yang
didekatinya, yang sebenarnya mendekatinya untuk mendapatkan sesuatu yang
berharga. Bau badan Altantuya pastilah sangat harum dan benar-benar memikat,
sehingga menaikkan nafsu lelaki Melayu yang mendekatinya, yang membuatnya
menjadi gila. Ketiga-tiga cerita
perempuan cantik ini wajar dijadikan bacaan wajib di sekolah-sekolah di
kalangan murid-murid perempuan, supaya mereka lebih berhati-hati ketika
mendekati lelaki Melayu yang gemarkan perempuan cantik. Cerita itu hendaklah
diajarkan dalam bahasa Inggeris, supaya gadis-gadis Malaysia yang malas belajar
bahasa Inggeris menjadi rajin untuk mengetahui cerita sebenar tiga orang
perempuan cantik yang terbunuh kerana menjadi mangsa nafsu lelaki Melayu itu. Anak-anak
gadis itu hendaklah diperingatkan supaya setiap kali mereka bertemu dengan
lelaki Melayu yang berkuasa dan banyak wang, mereka hendaklah bertanya, “Adakah
orang ini pembunuh Noritta dan Altantuya?”
(18/2/2009)
Kami harap anda sudah
terima komen kami yang panjang dalam e-mail
12/3/2008. Ada beberapa perkara tertinggal, oleh itu kami nak nyatakan
dalam e-mail ini.
Menurut perhitungan
kami, dalam masa 13 hari sebelum mengundi, semua stesen TV di Malaysia
menyiarkan setiap saat lambang dacing BN dengan slogan: pilihlah Malaysia
dengan memangkah kami (pilih BN). Secara kasarnya, pendedahan ini berjumlah
lebih dari 450,000 kali. Perbuatan ini nyata tidak bermoral, sangat kuat unsur
rasuahnya, dan langsung tidak menghormati penonton dan pengundi.
Penonton/pengundi jadi meluat, marah kerana diganggu begitu rupa. Iblis pun
tidak memujuk sekerap itu. Perbuatan ini lebih dahsyat daripada pujuk rayu
Iblis. Hasilnya, BN hampir lingkup. Mengapa perbuatan ini terjadi? Kerana
rendahnya moral sesiapa juga yang merancangnya, dan orang2 yang bermoral rendah
inilah yang bercakap tentang rasuah sampai berapi mulutnya. Tak seorang pun
pakar anda sebut perkara ini. Apa sudah jadi dengan mereka, terutama para ahli
akademik yang diharap objektif komennya? Sekarang anda pula melakukan perkara
yang sama, tanya bertalu2 bagaimana pelaboran boleh digalakkan oleh kerajaan
negeri yang dikuasai BA. Cepat, cepat, dunia globalisasi mahu semua cepat.
Waduh, bagusnya sikap prihatin terhadap pelaboran ini.
Kami teringat satu
pandangan seorang pesara guru dari Negeri Sembilan yang lama mengajar di
Kelantan. Bila balik ke Seremban, dia bilang (dalam TV Malaysia) Kota Baharu
lebih maju daripada Seremban. Yang jadi pengacara terkejut. Pesara itu bilang,
kemajuan bukan hanya bangunan dan jalan raya, tetapi manusianya. Kalau anda
pernah pergi ke Kelantan, anda akan dapati rumah2 besar lebih hebat daripada
yang terdapat di PJ. Orang miskin Kelantan hidup mewah kerana mereka kuat
bekerja. Tentu saja tidak semewah Tun Mahathir dan anak2nya. Tetapi tetap
mewah. Kerana itu mereka tolak bulat2 janji “kemewahan” BN dalam manifesto.
Cerita wayang kulit lebih menarik daripada cerita manifesto BN. Prof. Senator
Ismail Salleh, pakar ekonomi yang sangat celik hatinya, berkata dalam program
yang sama, makna pembangunan itu bukan hanya bangunan dan seumpamanya. Ada
perkara lain. Ahli sejarah Islam, ulama dan pakar pembangunan Islam, selalu
mengingatkan bahawa yang termaju di dunia ialah Firaun. Tetapi merekalah yang
terkutuk, dikutuk oleh Allah Ta’la sendiri. Jadi bila anda buat terlalu banyak bangunan
tinggi, sampai masjid pun dibuat hebat untuk memukau pelancong, maka anda
berjiwa Firaun. Adakah itu kemajuan? Ada pelaboran lain dalam kehidupan
manusia, iaitu yang dinamakan kebahagiaan. Bahagiakah para pemandu kereta yang
hendak ke utara yang kena bayar tol lebih seratus ringgit dengan minyak yang
hampir sama? Lebih cepat dan murah naik kapalterbang. Apa jenis pembangunan
yang menyusahkan demikian rupa? Biarlah pakar2 anda dalam ANALISIS sentuh
sedikit perkara ini, supaya ada keseimbangan dalam analisis mengenai perkara
ini. Jika anda banyak membaca dan kenal tradisi pemikiran Islam, kenal tamadun
Islam, anda tidak akan berasa aneh membaca komen ini.
Pada umumnya di
Malaysia terdapat tiga matlamat pembangunan. (1) Untuk menunjuk-nunjuk,
pameran, bermegah2. Contoh: Masjid Kristal di tempat tak ada makmum, dibina
untuk tontonan pelancong. (2) Untuk membuktikan kerajaan prihatin, tak
tinggalkan rakyat. Contoh: Bila ada pilihan raya kecil, jalan2 dibaiki, dibubuh
tar, diberi gran tanah, diberi bonus kepada peneroka. (3) Untuk mencari
keuntungan. Inilah yang paling utama. Wang dibelanjakan besar2an, disalurkan
kepada golongan tertentu seperti peniaga, kontraktor dan sebagainya. Kemajuan
dapat dilihat, berapa banyak wang dibelanjakan tidak diketahui. Alih2 kita
lihat ahli politik hidup mewah, parti jadi banyak wang. Dan seterusnya. Adakah
ini mesti diteruskan? Apa yang rakyat dapat? Mereka harus membayar segala macam
cukai, yang nampak dan tidak nampak.
Inilah model pembangunan yang dimajukan oleh BN, yang akhirnya
menimbulkan kemarahan rakyat. Kerana itu, antara sebabnya, ditolak oleh rakyat
Kelantan. Mereka tahu yang akan senang lenang bukan mereka, tapi para pemimpin
yang “membawa” pembangunan itu. Anda di ANALISIS patut bincang perkara ini,
sebab inilah antara punca kemiskinan, atau gagalnya “pembasmian” kemiskinan
walaupun sudah 50 tahun merdeka. Dengan adanya penswastaan, rakyat harus bayar
cukai tiga kali ganda. Bagaimana ini terjadi biarlah para penganalisis huraikan. Kebajikan rakyat, kemiskinan
mereka, keperluan mereka, diperdagangkan dan ada orang jadi kaya raya
kerananya. Mereka adalah para wakil rakyat, ketua parti, dan lain2 yang
berkenaan. Dalam keadaan seperti ini, tidak mungkin rasuah dihapuskan. Sebab
itu ada teori ekonomi yang membenarkan rasuah, untuk memudahkan terlaksananya
pembangunan, untuk mempercepatkan. Kami fikir teori ini dipraktikkan dengan
cekap di Malaysia.
ANDA
MESTI BERBOHONG UNTUK BERJASA
Menurut YB
Ibrahim Ali yang digelar Raja Lompat oleh orang ramai, Ahli Parlimen yang bebas
bernaung di bawah PAS dan menang atas tiket PAS, masalah politik Malaysia
menjadi begitu gawat kerana ahli-ahli politik pembangkang (tidak termasuk bebas)
semuanya munafik.
Mereka pembohong dan sangat pandai menggunakan
pembohongan untuk mendapat kuasa hingga hilang kuasa di Perak. Rakyat Malaysia
patut bangga kerana adanya orang seperti YB Ibrahim Ali ini yang seumur
hidupnya tidak pernah berbohong. Sebenarnya inilah masalah politik Malaysia
yang merumitkan iaitu apabila semua pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO yang
ditendang keluar seperti Ibrahim Ali tidak saja tidak pernah telanjang seperti
Elizabeth Wong, tetapi juga tidak pernah berbohong. Pembohongan sangat penting
dalam politik. Tanpa pembohongan tidak akan wujud muslihat politik. Hal ini
disedari oleh para pemimpin UMNO, yang menggunakan strategi “tidak bercakap
benar” sebagai senjata politik yang amat berkesan. Tidak bercakap benar tidak
sama dengan berbohong. Seseorang itu berbohong jika dia tidak bercakap benar;
tetapi orang yang tidak bercakap benar bukan berbohong, hanya menggunakan
strategi untuk mengelirukan musuh politik yang jahat dan bodoh. Peristiwa
rampasan kuasa di Perak adalah contoh paling baik untuk dijadikan kajian kes
(case study) tentang makna bohong yang tidak sama dengan tidak bercakap benar.
Orang yang tidak bercakap benar adalah
orang yang sempurna akalnya, bersih hatinya daripada segala penyakit hati,
jujur dalam kata-kata dan mulia semua kelakuannya serta tindakannya. Semua ini
telah dibuktikan dalam kes rampas kuasa di Perak. Rampasan kuasa itu dilakukan
untuk membela kebenaran dan menjaga kepentingan rakyat kerana rakyat telah
malakukan kesilapan besar dengan memberi kuasa kepada puak yang tidak boleh dipercayai.
Menurut ulama yang tidak pernah berbohong, dan tahu betapa jahatnya berbohong,
rampasan kuasa itu menjadi wajib dan berdosa jika tidak dilakukan kerana rakyat
menderita di bawah pentadbiran para pembohong yang tidak tahu mentadbir negara.
Oleh itu ulama berkata ada bohong sunat, ada bohong wajib, ada bohong harus.
Bohong sunat, kata ulama, ialah bohong kecil yang terpaksa dilakukan untuk
memelihara maruah; manakala bohong wajib pula ialah jenis bohong yang tidak
dapat tidak mesti dilakukan untuk memastikan kuasa yang ada terus kekal kerana
jika kuasa itu terlucut celakalah rakyat dan pemimpin yang sudah biasa dengan
pembohongan itu; sementara bohong harus pula ialah jenis bohong main-main untuk
memujuk rakyat mengundi seseorang calon pilihan yang dijamin kebaikannya dan
tidak pernah berbohong serta tidak pernah telanjang seumur hidupnya.
Barangsiapa yang tidak percayakan pembohong akan jadi susah, akan dituduh
menderhaka, biadab, kurang ajar, pembelit, tak tahu undang-undang, jahil dan
lain-lain kutukan yang dilemparkan dengan rakus dan angkuh oleh para pembohong
yang jujur. Para pembohong yang jujur ini akan menggunakan apa juga ruang yang
ada atau diadakan untuk menunjukkan kejujuran pembohongan mereka kepada rakyat.
Merekalah orang paling berjasa dan paling jujur serta paling prihatin kepada
rakyat. Mereka tidak main-main dengan pembohongan mereka, kerana berasaskan
pembohongan itulah mereka melaksanakan pembangunan negara dan mendapat faedah
besar daripadanya. YB Ibrahim Ali mempunyai pengalaman luas dalam aspek
pembangunan ini dan beliau boleh menghuraikan dengan mendalam mengapa
pembohongan menguntungkan para pemimpin yang berkuasa. Krisis politik di Perak
tidak akan berlaku andainya para pemimpin bercakap benar memberitahu rakyat
bahawa mereka berbohong kerana itulah jalan terbaik dan jujur untuk membela
rakyat yang sudah lama tertipu.
(21/2/2009)
ANTARA ARGUMENT DAN SENTIMENT: BIARKAN MAHATHIR DENGAN
LABU-LABUNYA
Orang Melayu nampaknya masih terpesona dengan borak Dr.
Mahathir Mohamed, masih mahu mendengar celoteh poli-tikus lihai yang pandai
menjerat lawannya sehingga hampir semua pemimpin UMNO yang baik-baik dan
pandai-pandai dihumban ke telaga buruk politik UMNO. Semua yang dihumban ke
telaga buruk itu tidak muncul-muncul lagi, kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang tampil dengan gerakan politik yang memukau rakyat Malaysia, sehingga tiga
parti pembangkang terbesar (PKR, PAS dan DAP) dapat disatukan untuk menjadi Pakatan
Rakyat. Inilah yang menakutkan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO, walaupun mereka
berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan diri mereka dan rakyat bahawa
tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat hanya pandai bermain dengan retorik, tetapi
tidak mampu menjadi pemerintah yang baik, dengan memberi bukti Kerajaan Pakatan
Rakyat di Perak dapat dirampas dengan mudah, dan yang lain-lain di empat negeri
sedang digoncang untuk dicabut akarnya. Maka tertubuhlah Kabinet Rakyat, sebuah
kabinet kitar semula yang di dalamnya berkeliaran ketua-ketua parti yang telah
ditolak rakyat, atau dipilih dalam perhimpunan parti yang bergolak dengan
rasuah politik. Dengan memberi definisi rasuah politik itu sebagai pertukaran
wang dalam perundingan pencalonan untuk memilih ahli Majlis Tertinggi UMNO,
maka konsep rasuah disempitkan begitu rupa sehingga terbatas kepada pertukaran
wang dalam beli-membeli undi di kalangan perwakilan UMNO. Padahal erti rasuah
itu jauh lebih luas, yang seharusnya diketahui oleh anggota UMNO yang dididik
dalam Islam Hadhari selama lebih dari lima tahun. Dalam Islam, konsep rasuah
itu diungkapkan dengan menyeluruh dalam konsep fasad, atau kerosakan besar dan
terancang oleh manusia yang menentang hukum Allah. Siapakah yang menentang
hukum Allah itu dalam politik Malaysia? Maksud pertanyaan ini dikhususkan
kepada orang Melayu yang beragama Islam, terutama sekali kepada UMNO yang
bersumpah untuk membela bangsa, negara, dan agama (Islam). Oleh sebab mereka
telah mengaku dengan sesungguhnya bahawa mereka telus, jujur, ikhlas, dan beradab, maka mereka seharusnya,
sewajarnya, menggunakan konsep rasuah dalam konteks fasad yang disebut oleh
Al-Quran. Konsep fasad seharusnya menjadi teras dalam membasmi rasuah dalam
Islam Hadhari, kerana itulah ajaran Islam yang jelas tentang perbuatan rasuah.
Dalam konteks inilah seharusnya pembangunan ekonomi, pembangunan politik, dan
pembangunan masyarakat ditakrifkan dan dilaksanakan. Penjelasan tentang perkara ini boleh
diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang disebutkan, oleh itu tidak
perlu dijelaskan di sini. Yang lebih penting ialah pertanyaan-pertanyaan yang
menjurus kepada penjelasan yang membolehkan kita mengerti mengapa kita
menghadapi masalah sosial yang teruk, masalah ekonomi yang menekan rakyat,
masalah politik yang memberi keutamaan kepada kuasa dan penggunaan kezaliman
dalam mendapatkan kuasa itu melalui undang-undang yang diwujudkan untuk
menyekat kebebasan bersuara dan bertindak dalam lingkungan nilai-nilai
peradaban yang memihak kepada kebenaran dan kesejahteraan manusia, bukan
kelangsungan kezaliman yang mencengkam rakyat.
Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Antaranya ialah:
Mengapa kita perlu sebuah Putrajaya, yang di dalamnya termasuk litar lumba
kereta yang membawa segala budaya lucah yang jelas bertentangan dengan Islam?
Sejauh mana kita telah terjebak dalam tindakan berpaksikan fasad dalam membina
bandar baru itu? Adakah Putrajaya contoh pembangunan berteraskan Islam? Seorang pakar seni bina dari sebuah
universiti di Lembah Kelang berkata, kurang daripada 5% ciri Islam dan Melayu
di Putrajaya. Jadi ciri siapa yang menjadi kebanggaan kerajaan itu? Kita jangan
lupa, pada mulanya Putrajaya dicadangkan diberi nama Taman Firdausi. Apakah
tujuan sebenar nama itu dipilih pada mulanya, kemudian ditukar kepada Putrajaya?
Jawapan kepada pertanyaan ini akan memberikan kita penjelasan yang tepat erti
dan makna pembangunan yang dipakai dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang
dirancang oleh UMNO/BN. Inilah satu kajian kes yang perlu dibuat, kerana ini
akan menyerlahkan hakikat sebenar projek pembangunan yang dirancang dan
dilaksanakan di Malaysia. Kerajaan Malaysia menyewa Putrajaya, bukan
memilikinya. Berapa sewanya setiap bulan? Siapa pemiliknya? Putrajaya Holdings
Berhad. Siapakah tokoh-tokoh anggota pengurusannya? Siapa yang mendapat faedah
daripada penyewaan harta itu? Sepatutnya tidak ada perkara yang perlu
dirahsiakan tentang Putrajaya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah nanti,
bolehkah kerajaan Pakatan Rakyat menyewa Putrajaya? Kalau sudah ada “Kabinet Rakyat”, sudah patut
benar rakyat tahu rahsia Putrajaya ini. Sepandai-pandai Si Luncai pun, rahsia
khianatnya terbuka juga.
Pertanyaan lain yang tidak dapat dielakkan ialah: Mengapa
kita perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar matematik dan sains? Dr.
Mahathir Mohamed telah memberikan 26 dalil, yang sebenarnya bukan dalil, untuk
mempertahankan kewujudan PPSMI dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Yang
dianggap dalil oleh Dr. Mahathir Mohamed bukanlah dalil, tetapi hanyalah
sentimen beliau terhadap bahasa Inggeris, berasaskan andaian yang salah dan
keliru tentang peranan bahasa dalam pembinaan tamadun manusia. Jika anda
mempelajari sejarah pemikiran manusia dan melihat bagaimana tamadun manusia
dibina, maka anda akan dapat melihat dengan jelas dan terang, bahawa asas
utamanya ialah bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa
yang tepat dan fasih. Sebelum ilmu perubatan dan fizik berkembang dalam tamadun
Islam, telah lahir terlebih dahulu para genius dalam bidang-bidang sejarah,
ilmu-ilmu bahasa dan sastera, filsafat (yang memerlukan penggunaan bahasa yang
tepat dan jelas), undang-undang, politik dan semua jenis ilmu yang kini
dipanggil ilmu-ilmu kemanusiaan. Hanya selepas itulah baru lahir ahli sains dan
ahli matematik, termasuk fizik, kimia dan lain-lain. Asasnya tetap bahasa.
Tetapi di Malaysia terbalik, bahasa diabaikan. Yang terjadi ialah ramainya
pakar-pakar sains dan teknologi yang bisu, yang tidak berupaya berbicara dengan
teratur, tersusun dan fasih dalam ilmu yang mereka kuasai. Jika ada orang
berkata, dengan kesedaran itulah maka Malaysia mengutamakan sains dan teknologi
dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa itulah yang senang dikuasai
oleh rakyat Malaysia sebab mereka sudah biasa menggunakannya, dan itulah tujuan
dan matlamat PPSMI. Jika kita bertemu dengan orang itu, kita harus melemparkan
tahi lembu ke mukanya, kerana cara berfikirnya bercorak dan bersifat kelembuan.
Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis sahih, yang
dikutip oleh Sheikh Abdul Samad al-Palembangi dalam kitabnya, bahawa jika
seseorang memuji seseorang lain, maka simbahlah debu ke mukanya. Pemikiran
bercorak kelembuan ini tidak diasaskan kepada pengertian yang mendalam tentang
prinsip-prinsip pembinaan tamadun manusia. Pemikiran bercorak kelembuan ini
bukanlah pemikiran dalam pengertiannya yang hakiki, tetapi hanyalah peluahan
sentimen berasaskan kejahilan tentang bagaimana ilmu-ilmu baru dibangunkan oleh
ahli fikir dan pakar-pakar bidang tertentu. Penjelasan tentang aspek ini amat diperlukan,
kerana hampir semua ahli politik yang berada dalam UMNO dan Barisan Nasional
tidak saja jahil tetapi menentang dengan gigih sebarang gerakan intelektualisme
untuk mencerdikkan bangsanya. Adalah tepat dan jitu sekali jika orang membuat
kesimpulan bahawa UMNO dan rakan-rakannya telah berjaya membodohkan bangsa
Melayu dan rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, sehingga sampai ke
kemuncaknya dalam projek PPSMI tajaan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO ini. Apa
juga “hujah” palsu yang bercorak sentimen oleh Dr. Mahathir Mohamed dan
rakan-rakannya adalah tidak lebih daripada sejenis bullshit semata-mata.
Seorang profesor filsafat dari Amerika Syarikat telah menghuraikan dengan
terperinci mengenai masalah bullshit ini dalam budaya Amerika sendiri, dibahas
dan dijelaskan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli falsafah dari Amerika dan
England. Sila rujuk buku dan tulisan mengenainya oleh Prof. Harry G. Frankfurt
berjudul “On Bullshit” (mula terbit seawal 1980-an, diterbitkan semula oleh
Princeton University Press, 2005). Corak pemikiran (??) bullshit seperti yang
diutarakan oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya dalam UMNO telah
dikritik dengan tajam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak tahun 1970-an lagi
di Malaysia, dalam buku-bukunya yang tertulis dalam bahasa Inggeris
(terutamanya Islam and Secularism, 1978) dan dalam rencana serta syarahannya.
Apa yang disebut oleh Prof. Frankfurt sebagai bullshit itu dihuraikan oleh
Prof. Naquib sebagai masalah kekeliruan dalam konsep ilmu. Orang-orang yang
keliru konsep ilmunya itu menjadi biadab, lantas muncullah kehilangan adab
secara meluas dalam masyarakat. Akibatnya yang paling parah ialah munculnya
para pemimpin palsu, yang memperoleh kuasa politik dan lain-lain dengan cara
tidak beradab. Buku Prof. Syed Naquib al-Attas berjudul “Islam and Secularism”
wajib dibaca oleh sesiapa saja yang ingin berbicara tentang adab dan ilmu.
Orang-orang tidak beradab dan keliru ini tidak malu sedikit pun melontarkan
bullshit mereka dalam akhbar, di TV, dalam syarahan mereka, dan dalam
percakapan mereka. Dokumen palsu tentang 26 dalil mengapa PPSMI perlu
dikekalkan adalah contoh klasik tentang aspek bullshit di kalangan ahli politik
kita. Hujah bercorak sentimen yang mengatakan bahasa Inggeris menjadi asas
sains dan teknologi tidak saja karut dan bohong, tetapi juga satu penghinaan
terhadap ahli-ahli ilmu Islam yang meletakkan asas tamadun moden Barat. Jika
anda membuat kajian paling dasar sekali pun, anda akan dapat lihat berapa
banyak istilah Arab digunakan dalam Ilmu Kimia, tak kurang dari 400 istilah.
Jika anda teliti pula matematik moden, anda akan melihat di mana-mana anda
berpaling wajah tersenyum dan warak seorang al-Khawarizmi, yang memperkenalkan
aljabar dan mempopularkan angka sifar yang berasal dari India. Malah angka yang
kita pakai sekarang masih dipanggil Arabic Numerals oleh orang Barat sendiri.
Angka itu kemudiannya ditinggalkan oleh ahli ilmu Islam kerana mereka mempunyai
angka mereka sendiri yang serasi dengan tulisan Arab. Yang penting bukan
menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, tetapi
menggunakan kaedah yang membolehkan murid-murid mengenal keagungan sains dan
matematik dalam Islam, yang menjadi asas tamadun Barat. Itu yang kita perlukan.
Itulah yang akan memberi ilham dan dorongan kepada anak-anak kita untuk
mencapai taraf seorang Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd (ulama besar dan ahli
falsafah yang menghuraikan pemikiran Aristotle yang menjadi rujukan dan model
kepada Barat), dan beratus lagi ahli sains dan matematik yang dilahirkan oleh
tamadun Islam melalui bahasa Arab. Dengan berpaksikan Islam, orang Melayu pun
akan mencapai ketinggian Ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu. Hanya pemikiran
kelembuan yang jahil saja yang tidak dapat melihat hakikat ini.
Adalah tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa hanya
orang yang berfikiran bullshit saja yang sanggup mengemukakan PPSMI untuk
rakyat Malaysia dan bermati-matian pula mempertahankannya. Jika anda melihat
PPSMI dalam konteks yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt tentang bullshit dan Prof. Syed Naquib
al-Attas tentang adab dan kekeliruan dalam konsep ilmu, anda akan faham mengapa
PPSMI hanya sejenis bullshit sahaja, yang tidak perlu diwujudkan sama sekali.
Membersihkan bullshit dalam pemikiran dan mengusahakan wujudnya konsep ilmu
yang benar dalam masyarakat adalah tugas penting rakyat Malaysia, terutama di
kalangan orang berilmu dan ahli akademik.
Kerja begini tidak boleh dan tidak mungkin dilakukan oleh Si Luncai yang
secara tabi’i jenis manusia penipu. [12/4/2009]
(Dihimpun
dan diedit sekadarnya pada 11 Januari 2020.)