Anis Nazri
Thu Oct 09, 08 2:02:09 pm MYT
Jika sebelum ini keluarga mangsa tahanan ISA di Semenanjung, khususnya di Kuala Lumpur, sering menjadi perhatian Harakah, kali ini Sabah menjadi destinasi kami untuk meninjau sendiri kehidupan penuh getir mereka yang teraniaya itu.
Bermula 23 Sept hingga 24 Sept lalu, warga Harakah diketuai sendiri oleh Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman; jurugambar, Wan Zahari Salleh; wartawan, Anis Nazri; dan aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Norlaila Othman bergerak seawal jam tujuh pagi untuk meneruskan misi 'Rayuan Akhir Ramadan'.
Mengambil masa dua setengah jam, kami tiba di Lapangan Terbang Sandakan, jam 10 pagi. Ketibaan kami disambut Suhaida, Penyelaras GMI Sabah yang juga aktivis muda PAS Sabah.
Sejurus check-in di hotel, kami diminta untuk meneruskan perjalanan ke sebuah rumah keluarga tahanan di Batu 17, Sandakan. Melihatkan sahaja rumahnya yang uzur dan usang, cukup membuatkan kami terdiam seketika.
Norhatta Paraji, tidak banyak bercakap ketika menyambut kedatangan kami. Beliau lebih suka tersenyum membalas soalan kami. Hanya kami yang bertanya itu dan ini. Ternyata suaranya bagaikan emas, terkunci untuk berkongsi kepayahan yang dihadapinya.
Kehidupan bersama tujuh anaknya, yang semuanya tidak bersekolah cukup menggambarkan keperitan dan kesusahan yang dilaluinya sejak tiga tahun lalu apabila suaminya dicekup ISA.
Kepayahan hidup bersendirian menguruskan anak-anak menyebabkan beliau tidak menghantar anak-anak ke sekolah, lantaran perjalanan ke sekolah yang jauh, anak kecil yang tiada penjaga serta terpaksa menunggu kedai runcit warisan suaminya.
Kira-kira dua jam di sana, selesai menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Norhatta dan RM50 untuk setiap anaknya, warga Harakah bergerak ke sebuah perkampungan lain, iaitu Kampung Tinosan Dua, untuk menemui seorang lagi isteri tahanan ISA, Hapipah Majid bersama dua anaknya.
Perjalanan agak mencabar kali ini apabila kereta yang kami naiki terpaksa melalui jalan yang berliku, berlopak dan penuh kedaifan. Sepanjang perjalanan, Suhaida petah bercerita tentang kepayahan penduduk kampung itu memohon bantuan jalan kampung.
Kami tiba di perkampungan atas air, meniti jambatan kecil lagi uzur untuk ke rumah Hapipah. Kami berasa lega seketika apabila anak-anak Hapipah yang kehilangan kasih-sayang seorang bapa sejak enam tahun lalu dihantar ke sekolah. Mujurlah anak kecil itu bersekolah, mengurangkan sedikit kesedihan kami mengenang nasib anak-anak Norhatta sebentar tadi.
Wanita tabah yang ditinggalkan suami ketika hamil sembilan bulan itu, mengambil langkah untuk mencari peluang pekerjaan bagi menyempurnakan hak anaknya untuk mendapat pendidikan.
Seusai memberikan sumbangan kepada Hapipah, perjalanan diteruskan untuk kembali ke hotel, sebelum ke majlis berbuka puasa yang diadakan khusus buat keluarga tahanan ISA.
Di pejabat CNI, majlis berbuka puasa diadakan dalam suasana sederhana tetapi meriah. Jika siangnya kami berpeluang berjumpa dengan dua keluarga ISA, petang itu kami berpeluang bertemu tiga lagi isteri dan anak-anak kecil mereka.
Suasana agak memilukan dan terasa sebak apabila Norlaila berbicara mengenai surat yang dikirimkan suaminya dari Kem Tahanan Kamunting. Bicaranya mengenai respon anaknya apabila membaca warkah dari tirai besi itu cukup menyentuh hati nurani mereka yang hadir malam itu.
Ketika itu, kelihatan beberapa isteri tahanan menahan air mata, malah sudah ada yang menitis. Saya yang ketika itu berada si sebelah salah seorang isteri yang menitiskan airmata turut terasa sebaknya.
Namun, kesedihan mereka itu tidak lama. Sumbangan yang diberikan Harakah, hasil derma pembaca, mengurangkan sedikit keresahan dan kepiluan mereka untuk menyambut Syawal yang bakal menjelang.
Malah, malam itu, Norlaila mendapat banyak sistem pesanan ringkas dari isteri-isteri tahanan yang menyatakan rasa gembira anak-anak apabila mendapat 'duit raya' dari pihak Harakah.
Melihat mereka berbuka puasa bersama dengan keluarga-keluarga tahanan ISA lain, menimbulkan kesayuan di hati kami. Sebelum ini mungkin mereka berbuka puasa sekadarnya, namun petang itu mereka kelihatan teruja dengan pelbagai hidangan yang disediakan.
Selesai berbuka puasa dan solat maghrib, kami mengambil peluang untuk menemuramah beberapa orang isteri ISA lain, yang tidak sempat ditemui pada siangnya.
Jobaida Jamil, ibu muda berusia 27 tahun, bersendirian mendidik anak-anaknya seramai lima orang sejak dua tahun lalu apabila suaminya, Francais Indannan ditahan atas tuduhan terlibat dengan pertubuhan Darul Islam.
Sejurus selepas suaminya ditahan, Jobaidah terpaksa bekerja bagi menyara anak-anak yang masih bersekolah. Menjadi suri rumah sepenuh masa sebelum itu, menjadikan Jobaidah agak tertekan. Apatah lagi beliau hamil dua bulan ketika suaminya ditahan.
Namun, ketabahannya dibalas dengan peluang kerja yang membolehkannya meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga. Kini, bertugas sebagai guru KAFA, Jobaidah dapat menyara limaorang anaknya yang sedang membesar.
Seketika pandangan kami tertumpu kepada dua kanak-kanak perempuan yang begitu khusyuk menatap kad ucapan raya. Ketika kami menyapa, dengan riang mereka menunjukkan kad ucapanraya dari ayah mereka.
Tiada raut duka di wajah mereka, sebaliknya asyik bertanya tentang ayah, A Artas A Burhanuddin syang ering mengutus surat bertanya khabar dan memberi mereka teka-teki. Sambil tersenyum ceria, anak-anak kecil itu bercerita tentang teka-teki yang sering diajukan ayah mereka.
Ibu mereka, Siti Hajar Ibrahim kelihatan begitu tenang. Namun, ketika diaju soalan tentang hidupnya, wajah tenang itu bertukar muram. Jelas air mata bergenang di tubir matanya.
"Sehingga kini, semangat saya belum pulih. Jika isteri lain sudah dapat bangkit selepas dua minggu, tiga bulan atau setahun, saya masih begini. Setiap saat semangat saya bagai diracik-racik untuk menghadapi cabaran mendidik anak-anak," kata beliau, dalam nada tersekat-sekat.
Beliau yang merupakan seorang suri rumah, kini menetap di rumah mentuanya di Kampung Sim Sim, Sandakan. Walaupun berasal dari Selangor, beliau menetap bersama mentuanya demi memelihara sebuah hubungan kekeluargaan.
Sebelum kami melabuhkan tirai misi kami pada malam itu, satu pertemuan antara ahli PAS Sabah diadakan bagi membuka ruang perkenalan dan perbincangan mengenai Harakah dan isu semasa. Ahmad Lutfi dihujani pelbagai soalan.
Dalam keterbatasan masa tersebut, ternyata rakyat di Sabah mendambakan maklumat-maklumat yang lebih meluas mengenai permasalahan politik negara, selain kefahaman tentang dunia persuratkhabaran.
Keesokannya, kami memulakan perjalanan ke Kampung Cahaya Baru untuk menemui beberapa ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin untuk menyampaikan bantuan Harakah.
Jika sebelum ini titi kecil di Tinosan sudah mengharukan, suasana di kampung ini jauh lebih sengsara.
Rombongan kami yang turut diserta Ketua Penerangan PAS Sabah, Imran Ibrahim terpaksa melalui jambatan kecil yang begitu genting sekali. Apatah lagi bagi kami yang tiada pengalaman berumah di kawasan seperti itu. Jambatan nampak cukup usang dan boleh membahayakan bagi mereka yang baru ke sini.
Berjalan kira-kira 200 meter dengan penuh hati-hati, menjadikan separuh dari semangat kami hilang. Bukan bimbang terjatuh, namun dada terasa sesak melihat penduduk kampung yang terpaksa mengharungi keadaan tersebut bertahun lamanya. Begitu juga anak-anak kecil yang terpaksa berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan melalui jambatan uzur tersebut.
Sekiranya ada kanak-kanak yang berselisih jalan dengan kami, kami akan berhenti memberi laluan. Gayat rasanya melihat mereka berlari-lari di jambatan tersebut tanpa rasa takut. Manakan tidak, apabila mereka berlari, jambatan tersebut terasa bergerak-gerak dan bergoyang.
Setelah melalui perjalanan berliku itu, kami tiba di sebuah rumah. Tuan rumahnya, Ahmad Salahuddin menyambut kami penuh mesra. Beliau bermurah hati menyediakan rumahnya untuk mengumpulkan beberapa ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin untuk bertemu kami.
Mendengar keluh-kesah, keperitan yang dialami mereka, serta-merta kesulitan kami ketika ingin sampai ke rumah tersebut terhapus sama sekali. Apalah sangat kesukaran dan kesusahan yang terpaksa kami lalui untuk menemui mereka, sedangkan mereka lebih susah dan jauh lebih menderita daripada kami.
Kami bertemu lima orang ibu tunggal, seorang anak yatim dan dua fakir miskin. Rata-rata kehidupan mereka begitu sukar. Bagi Shamie Aza, beliau menjadi ibu tunggal sejak empat tahun lalu.
Beliau menitiskan air mata ketika saya bertanya tentang keluarganya. Beberapa kali beliau kelihatan mengesat air mata kesedihan. Beliau yang terpaksa berpisah dengan suami kerana masalah keluarga, membuatkan hatinya begitu terseksa.
"Kami berpisah bukan kerana masalah kami. Tetapi masalah keluarga yang menyelubungi rumah tangga kami. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami kerana itulahyang terbaik untuk anak-anak saya," kata beliau yang memiliki dua anak.
Beliau menyara hidupnya sekeluarga dengan menjual barang-barang CNI. Alhamdulillah, berkatkesabaran dan pengorbanan yang dilakukannya, beliau mampu menyara anak-anaknya bersekolah. Namun, ada ketikanya Aza terputus bekalan untuk anak-anaknya.
Bagi Amisah Salim, 62 tahun beliau mengharungi kepayahan hidup sejak lima tahun lalu setelah suaminya meninggal dunia. Menghidapi pelbagai penyakit seperti darah tinggi, dan gastrik, Amisah mengharungi kehidupannya bersendirian dengan dua orang anaknya yang menetap sama.
Setelah menyampaikan sumbangan, kami bergerak ke sebuah perkampungan lagi. Sekali lagi kami teruji apabila melalui jambatan uzur itu sekali lagi untuk menuju ke kereta kami. Namun, kali ini ia tidak terasa begitu panjang seperti mula-mula melaluinya.
Perjalanan kami kali ini merupakan misi terakhir di Sabah. Ketika ini juga kepenatan mula terasa. Apatah lagi dengan cuaca yang begitu terik. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira setengah jam.
Kampung Karamunting, merupakan sebuah perkampungan berdekatan Pelabuhan Sandakan. Di kampung tersebut kami mengunjungi sebuah keluarga fakir, iaitu Jaliha Abidin.
Mendiami rumah kecil yang begitu sempit, Jaliha bersama lapan orang anaknya menetap di situ bagi menumpang berteduh dari panas dan hujan. Hati kami sebak membayangkan anak-anaknya yang masih kecil tidur di ruang sempit beramai-ramai.
Kesempitan hidup yang dialaminya membuatkan anak-anaknya tidak bersekolah. Hanya anaknya yang keempat bersekolah, manakala anak pertamanya hingga yang ketiga tidak bersekolah kerana Jaliha dan suami tidak mampu.
Kerja suaminya sebagai pekerja kontrak tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga. Apatah lagi, beliau turut menyara ibu mertuanya yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka.
Meninjau keadaan rumahnya, kami berasa cukup sebak apabila melihat ruang memasak berkongsi dengan ruang mandi. Namun, dalam kepayahan tersebut rumah mereka masih teratur kemas dan dipenuhi bunga-bungaan di laman rumah.
Dengan kunjungan itu, misi kami di Sabah berakhir di situ untuk kali ini. Namun melihat keciciran anak-anak Sabah ini, membuatkan kami terus terpanggil untuk menyalurkan bantuankepada mereka, khususnya bagi dana pendidikan mereka. Mungkin misi seterusnya menziarahi enam keluarga malang tahanan ISA di Tawau pula.
Misi dua hari kami begitu berbaloi. Kami berpuas hati dengan misi ini kerana dapat menyumbang kepada mereka yang memerlukan di hari-hari terakhir Ramadan. Biarpun kepenatan,kami puas dapat menjalankan amanah tersebut.
Kepulangan kami ke Semenanjung petang itu, turut diiringi Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah dan isteri, Suhaida dan suami, wartawan sambilan Harakah di Sabah, Sahar Abdul Majid dan isteri serta beberapa pemimpin lain.
Pertemuan kami selama dua hari ini sudah cukup membuahkan silaturrahim yang begitu erat, menjadikan hati kami menjadi begitu dekat dengan mereka walaupun kali pertama berjumpa.
Namun, misi ini bukan berakhir untuk selamanya. Kami akan terus merangka hubungan baik bagi memastikan keluarga tahanan ISA dan anak-anak Sabah terbela, sekurang-kurangnya mendapat pendidikan sewajarnya.