TEAMWORK

TEAMWORK

2009-2014

2009-2014

Tuesday, April 20, 2010

Pencapaian Terbaru OutDoor BMI!




KLANG PERDANA - Sukan ekstrem memang terkenal sebagai sukan lasak dan mengerikan bagi segelintir pihak namun ia kini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penuntutUniversiti Kuala Lumpur (UniKL).

Buktinya, ramai penuntut itu memenuhi Padang Kompleks Rakan Muda Daerah Klang, Ahad lalu untuk menyertai pelbagai jenis sukan ekstrem antaranya, wall bouldering, wall climbing, skateboard, rollerblade, BMX Stunt Park dan lain-lain.


Seorang penuntut, Erroy Ban Si Gersit, 24, berkata, sukan ekstrem sangat menarik dan mencabar dari segi mental dan fizikal.
...

Menurutnya, ia melibatkan penyatuan dua tenaga iaitu tenaga dalaman dan luaran yang mana kekuatan kedua-dua tenaga ini akan melancarkan badan untuk meneruskan aktiviti lasak ini.

“Saya memang berminat dengan aktiviti ini yang jarang dimonopoli penuntut Melayu mungkin kerana kurang pendedahan.

“Tambahan dorongan dan galakan daripada ibu bapa saya juga menambahkan lagi azam untuk bergiat lebih serius dalam aktiviti wall bouldering,” katanya yang menyertainya pada awal 2010.

Bagi
Muhd Reezdwan Muhd Fauzi, 22, berkata, sukan ekstrem memang bagus untuk kesihatan terutama golongan penuntut seperti mereka.

“Ia mampu mencergaskan urat-urat dan otot-otot yang kurang aktif hingga membangkitkan keinginan untuk bersukan.

“Penyertaan saya dalam sukan ini adalah serius dan jika berpeluang, saya ingin mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, melalui peluang yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan itu juga secara tidak langsung membuka peluang kepada penggiat sukan ini berkumpul dan mengasah bakat masing-masing, malah dengan kemudahan yang ada ia mampu meningkatkan lagi prestasi mereka hingga tahap maksimum.


Sementara itu, Makhzumi Mustaffa 21 berkata, penglibatan dalam sukan ekstrem menjadikan pemain berfikir secara kreatif dan kritis contohnya ketika mendaki wall climbing.

"Kalau setakat panjat kita akan mengalami beberapa kesukaran untuk sampai ke punca, sebaliknya mencipta idea secara kreatif akan membantu kita untuk sampai ke puncak lebih cepat malah dapat menjimatkan masa."

"Memang aktiviti ini penat kerana menggunakan jumlah tenaga yang tinggi namun ia sebenarnya menyihatkan badan melalui jumlah pengeluaran peluh yang banyak." katanya yang juga berminat dengan aktiviti berkayak dan pernah mewakili negeri dalam Widerness Langkawi.

Difahamkan, kesemua penuntut UniKL ini adalah peserta Kelab Outdoor-British Malaysian Institute (BMI) dan ramai kalangan penuntut dapat mengasah bakat dalam sukan ekstrem ini melalui kelab berkenaan yang diasaskan oleh Irwan Omar.

Terdapat kira-kira 120 peserta menyertainya yang terdiri daripada penuntut lelaki dan perempuan.

Antara aktiviti lain yang pernah disertai mereka ialah berkayak di Pulau Perhentian, mendaki Gunung Bintang, Kedah, berakit di Sungai Sedim dan waterfall repailling di Sungai Pinang.

Bukan setakat itu sahaja, malah mereka juga kerap mengikuti Le Tour di seluruh Malaysia sebagai salah satu aktiviti wajib kelab.