Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

KENAPA MAKAN, BAGAIMANA MAKAN DAN MAKAN APA?


Suatu hari semasa berada di rumah, bersiaranlah satu rancangan makan-makan. Macam-macam makanan ditunjukkan. Semuanya dikatakan sedap oleh pengacara. Makan itu makan ini. Tiba-tiba akal berfikir, asalnya makan dan makanan itu adalah keperluan. Mahupun bagi manusia ataupun haiwan. Namun, kini kelihatannya makan dan makanan bukan lagi keperluan bagi manusia. Hanya kekal menjadi keperluan bagi haiwan. Makan dan makanan seakan sudah menjadi perkara kehendak. Dari daruriyat menjadi hajiyat. Zaman ini orang bertanya, nak makan apa? Apa yang sedap? Nak makan di mana? Nak makan bila?

Waktu makan juga sudah tiada hadnya. Setiap masa boleh makan asalkan perut rasa nak makan. Atau sekadar nak makan saja-saja. Pernah sekali saya dengar dari radio IKIM, tetamu jemputan slot radio itu berkata, “antara faktor ramai manusia sakit ialah makanan yang boleh didapati 24 jam”. Saya tambah pula, termasuklah jenis makanan tertentu yang boleh didapati 24 jam. Ha! Ha! Ha!

Dahulu dan Sekarang

Dulu, lepas makan malam dah takde orang masak atau makan jam 2 3 pagi. Tapi sekarang lebih dari 2 3 pagi pun ada. Dulu nasi lemak atau roti canai jumpa pagi-pagi je, jam 8 pagi ke 10 pagi. Tapi zaman ni, pagi-pagi buta pun ada, jam 2-3 pagi. Makanan yang berkalori tinggi yang orang makan sebelum pergi kerja ni, sekarang orang makan sebelum nak tidur. Mana tak kadar obesiti tinggi dan penyakit pun banyak.

Tahap kesihatan manusia era moden ni rendah. Akhirnya, makanan itu yang disalahkan. Walhal manusia yang ada akal ni yang silap. Kenapa makan roti canai malam-malam atau pagi-pagi buta? Esok harinya makan lagi. Senamannya tak ada. Kalori dalam badan tak terbako! Ada juga yang minum air sejuk (minuman berais) pagi-pagi buta 2 3 pagi! Aduh! Rosak badan! Kasihan paru-paru! Sudahlah ais itu memang tak elok untuk diambil, ambil pula waktu yang sangat-sangat tidak kena!

Zaman nenek moyang kita dulu, mereka makan juga nasi lemak, pisang goreng, nasi goreng dan macam-macam lagi yang sekarang orang kategorikan sebagai ‘tak sihat’. Tapi kenapa mereka jarang-jarang sakit? Sebab mereka makan kemudian mereka berkerja kuat yang tinggi metabolismenya. Sekarang kita kita makan makanan yang sama kemudian kerja dalam tempat yang berhawa dingin. Banyak mana sangatlah metabolism badan kita? Sebab itu banyak penyakit yang berlumba-lumba datang ke dalam badan kita.

Atuk nenek kita juga makan makanan yang orang sekarang tak nak makan dah. Mereka juga kaya dengan petua-petua yang orang sekarang tak ikut dah. Perubahan zaman mendatangkan makanan yang sudah diubah genetiknya juga gaya hidup yang berubah, ‘diubah’ dan ‘paksa ubah’.

Pemilihan makanan

Orang-orang di Eskimo makan daging binatang yang berlemak sebab tempat mereka sejuk. Jadi mereka perlukan ‘penebat’ dalam badan. Keperluan mereka berbeza dengan kita di Malaysia. Pekerja binaan pemilihan makanan mereka tak sama dengan pekerja pejabat. Kita ni harus bijak pilih makanan yang sesuai dengan keperluan badan mengikut ‘gaya hidup keperluan’ dan bukan ‘gaya hidup kehendak dan nafsu’. Kita sendiri kena ‘faham’ biologi badan kita.

Metabolisma badan rendah, tapi nak melantak makanan yang berkalori tinggi, kan tak kena tu. Jadi kalau nak beli produk kesihatan, pilih yang sesuai dengan badan sendiri. Bukan semua orang sama. Sesetengah yang mempromosi produk-produk kesihatan, beri nasihat sama pada semua orang. Jika doktor atau pakar pemakanan, pasti beri nasihat yang berbeza bagi orang yang berbeza berdasarkan keperluan badan dan sejarah kesihatan seseorang itu.

Tatacara Makan

Oleh kerana nak menyelesaikan masalah-masalah kesihatan, antaranya datang pula makanan-makanan kesihatan itu dan ini. Menjadi fenomena sekarang ini. Secara jujurnya saya merasakan pada fenomena ini ada sesuatu yang tidak kena. Ada perkara yang tertinggal. Antara sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang utama adalah tatacara makan. Tapi hal tatacara makan jarang sekali dibicarakan. Barangkali kerana tatacara makan itu adalah perkara yang patut ada dalam diri individu itu sendiri. Dengan kata lain, tatacara makan itu mesti menjadi akhlak diri.

Apa dia tatacara makan berdasarkan Islam? Carilah dalam kitab-kitab yang telah ditulis oleh ulama-ulama (Ilmuwan dan pakar-pakar termasuklah pakar yang ada zaman ini). Cadangan: cari, baca dan faham dahulu tatacara makan ajaran Rasulullah s.a.w. (kerana prinsipnya asas ada pada apa yang diajar Nabi). Kemudian baru cari yang lain-lain.

Saya bukannya pakar pemakanan. Jadi tak layak nak tulis macam-macam walaupun sebenarnya banyak nak kongsi tapi risau terkena balik pada diri sendiri (Ya, Allah aku berlindung pada-Mu dari hal itu). Kesimpulannya:

1. Sebelum nak makan, betulkan niat dahulu. Makan kerana keperluan dan perintah Allah serta rasul. Bila niat kita betul, perkara yang kita buat berkaitan dengan makan pun akan lurus menurut tuntutan Islam (Barulah ‘makan’ itu jadi suatu ‘pengabdian’)

2. Ingat dan buat tatacara makan yang diajarkan Rasulullah s.a.w.

3. Walaupun keperluan dan pemilihan makanan berbeza antara individu, tapi tetap ada garis panduan makanan yang baik dan sihat. Jangan pula tiba-tiba kata “badan aku memang perlukan minuman sejuk”. Nak tipu la tu… (Nabi melarang makan makanan atau minuman yang sejuk)

4. Selain faham biologi badan kita, kita juga kena tahu biologi, sifat-sifat dan nutrien makanan. Baharulah kita boleh pilih makanan itu sebaik-baiknya.

5. Nabi Muhammad s.a.w beri peringatan pada kita bahawa “PERUT PUNCA PENYAKIT”.

Banyak lagi kesimpulan, pelajaran dan perkara-perkara yang berkaitan, tapi saya fikir elok pembaca cari dan fikir sendiri. Tulisan ini sekadar untuk mencetuskan. Kepada pakar-pakar berkenaan perkara ini, mohon betulkan saya jika saya silap. Sekian saja, terima kasih.

(Apabila orang selalu bertanya tentang sedap atau tidak sesuatu makanan itu di sesuatu tempat, hati pasti tertanya, sebab aku makan ni? Menangis dalam hati…)

Wednesday, March 16, 2011

Program Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan menganjurkan Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i (GKKI) dan Karnival Islam Warnai Hidupku pada 19 & 20 Mac 2011 iaitu pada hari Sabtu dan Ahad bertempat di perkarangan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Gombak, Kuala lumpur.

GKKI yang bakal dianjurkan tersebut bertujuan untuk merakyatkan kefahaman dan kesedaran Islam ke peringkat massa dengan membawa slogan Islam Warnai Hidupku kepada seluruh komuniti masyarakat khususnya remaja di kawasan berkenaan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan silaturrahim antara penduduk setempat dengan pelajar universiti di samping menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pusat ilmu dan aktiviti sosial..

Di samping itu, program yang turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan dan institusi lain ini mensasarkan lebih dari 10,000 pengunjung yang terdiri dari masyarakat setempat, warga ITP berdekatan, dan masyarakat awam.

Sepanjang dua hari program ini berlangsung, lebih dari sepuluh program utama telah diatur untuk dilaksanakan termasuklah program Motivasi Pelajar Super, program Apresiasi Tokoh, Kaji Selidik dan Praktikal Dakwah, Syarahan 50 Tokoh PKPIM oleh Al-Fadhil Ust Dato' Md Hashim Yahya, Konsert Nasyid dan Qasidah Islam Warnai Hidupku, Pameran Pendidikan dan Kemasyarakatan, Baca@LRT, Bengkel Kewangan, program Smart Solat, dan sebagainya.
Sementara itu, PKPIM akan menjadikan GKKI ini sebagai projek induk PKPIM sebagai rujukan asas untuk dilaksanakan oleh badan Gabungan Negeri dan seluruh cawangan PKPIM.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengalu-alukan penglibatan seluruh pihak untuk bersama-sama menjayakan GKKI ini sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan kefahaman Islam ke peringkat akar umbi yang secara tidak langsung mampu untuk membawa gelombang kedua ledakan dakwah di negara kita.

Kenapa sinikal pada FB?


Saya tidak ada kisah jika kita (Penggerak da’wah)untuk satu hari itu, kadar menelaah quran itu lebih banyak dari menelaah FB. Atau kadar zikrullah kita lebih banyak dari bibir dan hati membaca serta merasa komen-komen FB. Saya juga tidak kisah jika jiwa kita ini sudah kuat dengan ilmu-ilmu dasar dan mampu membendung nafsu. Saya tidak ada masalah jika saat kita melayari FB itu kita tidak lalai. Jika kita memang benar-benar berpesan-pesan dengan kebenaran dengan FB, ya, silakan saja…

Namun, jika satu hari tersebut anda telah pun membuka dan melayan FB beberapa kali, tetapi masih belum melayan dan menghayati Quran walau sekali, atau masih ada kerja-kerja yang lebih utama harus dibuat tetapi ditangguhkan, jawab sendiri adakah ini sesuatu hal yang sepatutnya atau tidak.

Apa yang menjadi kerisauan ialah pada generasi muda. Sejauhmana kita dapat mengawal fenomena FB ini terhadap generasi muda kita, agar tidak hilang nilai kemanusiaan mereka, tidak pudar rasa kehambaan mereka? Generasi muda remaja, belum pun setahun jagung, sudah meletakkan FB di hati mereka dan bukan zikir-zikir dan ayatul Quran.


Satu hal yang kita tidak boleh nafikan, globalisasi dan teknologi ada kesan dalam menghilangkan nilai-nilai kemanusiaan jika kita tidak mengakarkan perkara dan prinsip-prinsip dasar terlebih dahulu dalam hati manusia, lebih-lebih lagi anak-anak muda.

Ini Cuma kerisauan saya. Lontaran persoalan kepada penggerak da’wah FB supaya tidak terlalu selesa dengan FB. What are the consequences of our action through the FB to our faith, values and worldview? This question should always bear in our mind, especially to muslim…

Apakata anda letak komentar di bawah ini sebagai peringatan khusus kepada penggerak da’wah supaya tidak berlaku kelalaian:

“Jika anda belum solat atau ada urusan yang lebih utama dari membaca laman FB saya ini, sila tinggalkan laman FB ini dan selesaikan keutamaan anda. Terima Kasih”.

Atau

“Jika anda masih belum membaca dan tadabbur walau satu ayat Quran, sila berhenti dari membaca komentar-komentar di laman FB ini. Terima Kasih”.


(Kerana tidak yakin mampu mengawal diri terhadap FB dan tidak ada jaminan tidak lalai dari mengingati Tuhan, maka saya mengambil pendekatan untuk terus tidak terlibat dengan FB. Tapi jika anda mampu, silakan… )


(Sebenarnya hal lain pun sama juga, Cuma apabila kita selesa dan seronok, kita mula mencari alasan supaya tindakan kita sentiasa nampak baik dan tidak ada salahnya, antaranya termasuk lah menonton wayang gambar… (T_T)…)


(Ah, cabaran yang sangat banyak sekarang! Aku sendiri harus menilai diri dahulu! Erm...)

Thursday, March 3, 2011

Baca Buku: Rakyat Malaysia Menggemarinya!

Kadar membaca buku rakyat Malaysia meningkat secara mendadak dalam hanya setahun dua ini sahaja. Pada bulan Januari yang lepas, kita dapat lihat pembaca buku melangkaui angka 9.5 juta, dan statistik terkini memperlihatkan yang mana angka telah pun mencapai 10 juta.

Berdasarkan statistik tersebut, pembaca buku di Malaysia yang paling ramai adalah dalam lingkungan umur antara 18 hingga 24 tahun sebanyak lebih 38%, dan diikuti dengan pembaca berumur antara 25 hingga 34 tahun dengan lebih 33%. Pada masa yang sama juga, pembaca buku lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan, iaitu sebanyak 53%.Ucapan Tahniah harus diberikan kepada yang rajin membaca buku. Ini adalah suatu peningkatan yang amat memberangsangkan.

Saya bertemu dengan rakan yang belajar di Mesir yang kembali ke Malaysia kerana krisis di Mesir. Beliau memberitahu bahawa pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga semakin rajin membaca buku dan kitab agama. Mereka menelaah bersungguh-sungguh sehingga berjam-jam lamanya.

Buku-buku yang dibaca oleh mereka terdiri daripada pelbagai latarbelakang penulis. Tulisan-tulisan buku bacaan mereka itu ada yang santai, beremosi, serius, cinta dan sebahagiannya sukar difahami. Namun, melalui buku-buku tersebut, pembaca-pembca diberi ruang untuk memberi komen atau mengkritik penulis. Malah sebahagian meluapkan emosi dengan serta merta. Ini adalah suatu kelebihan yang tidak terdapat pada buku-buku sebelum ini. Buku-buku yang sebelum ini amat berat dan sukar dibaca. Ada waktunya memerlukan penelitian yang mendalam. Ini amat sukar bagi pembaca-pembaca sekarang.

Buku-buku terbaru bacaan rakyat Malaysia ini berjaya mencuri tumpuan pembacanya sehingga mampu untuk menelaah buku-buku berulang kali dan berjam-jam lamanya. Selain itu, pembaca juga boleh memohon untuk membina jaringan dengan rangkaian dengan pembaca lain, mahupun menambah buku dengan mudah. Meskipun kadangkala penulis-penulis buku itu tidak dikenali latar belakangnya.

Apa-apa pun perkembangan ini suatu petanda yang sangat baik bagi rakyat Malaysia yang rajin membaca buku keluaran terbaru ini.

Tahniah kepada pembaca BukuWajah (kata kawan-kawan saya di universiti, mereka guna nama ini) kerana telah beralih arah dan melupakan BUKU-BUKU YANG ADA DI RAK-RAK PERPUSTAKAAN MAHUPUN DI KEDAI BUKU.

Tahniah kepada pembaca FaceBook atas penumpuan dan luangan masa menelaahnya kerana tidak lagi berhadapan dengan kebosanan BUKU-BUKU ILMIAH PENULIS-PENULIS BESAR!

Tahniah juga kepada pembaca-pembaca buku agama WajhulKitab (kata kawan saya yang belajar di Mesir, mereka panggil nama ini) YANG SANGAT MENDIDIK DIRI BERBANDING AL-QURAN ATAU KITAB-KITAB DASAR AGAMA YANG BERAT DAN BERJELA-JELA AYATNYA!

Tahniah yang tidak berbelah bahagi kerana meningkatkan kadar kepenggunaan FaceBook di internet dan MENGALAHKAN KADAR PEMBELIAN BUKU-BUKU DI TOKO-TOKO BUKU! Ucapan tahniah diucapkan dari saya!

(Aku Menongkah Arus!)

Sunday, January 30, 2011

Jom ke Perkampungan Menara Gading


Setiap tahun, Badan Gabungan Negeri PKPIM akan mengadakan Perkampungan Menara Gading (PMG) bagi mendedahkan pelajar kepada suasana dan realiti universiti. Program PMG bertujuan:

1 Menjana budaya keilmuan ke arah kecemerlangan akademik pelajar khususnya golongan belia.

2 Memberi kesedaran kepada para peserta berkenaan persiapan yang diperlukan bagi menghadapi kehidupan alam kampus yang bersifat global dan mencabar.

3 Memantapkan kefahaman dan kesedaran peserta akan kepentingan pengukuhan dan pembangunan diri dari aspek rohani, jasmani dan intelektual.

4 Pengenalan kepada para peserta berkenaan dengan peranan dan potensi pertubuhan dakwah dalam meningkatkan softskill dan daya kepimpinan para peserta.

Program ini boleh dihadiri oleh pelajar Tingkatan 5, lepasan SPM/ STAM/ STPM. Berikut adalah maklumat terperinci Program Perkampungan Menara Gading Negeri yang akan dijanalankan pada bulan Februari:

Perkampungan Menara Gading Terengganu
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Terengganu.
3-5 Februari 2011
Yuran RM30
Anjuran KEPITAR
Hubungi: Farhana 0133085332


Perkampungan Menara Gading Perak
Kem Salak North, Sungai Siput, Perak
4-5 Februari 2011
Yuran RM50
Anjuran KPIP
Hubungi: Syed Putra 0133092726

Perkampungan Menara Gading Sarawak
11-13 Februari 2011
Kem Pueh, Sematan
Anjuran PERKEPIS
Hubungi: Nazira 0138178905



Perkampungan Menara Gading Pahang
18-20 Februari 2011
Institut Kemahiran Teknologi Mara
Anjuran IKATAN
Hubungi: Aziz 0132227245

Semua dijemput Hadir!!!

Monday, January 24, 2011

Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKPIM

PELANCARAN
SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN PKPIM &KEMPEN ‘ISLAM WARNAI HIDUPKU’
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA

pada:
29 Januari 2011 / Sabtu
0900 - 1230

di:
Dewan Gemilang, Kolej 12, Universiti Malaya (UM)

Pelancaran oleh:
YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Syarahan 50 Tokoh oleh:
YBhg. Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Presiden WADAH

Tetamu Khas:
Datuk A.Samad Said (Sasterawan Negara)


Untuk makluman kehadiran sila hubungi:
Sdr. Ridhwan : 014-5168698 atau
Sdri. Sumayyah : 013-2028643
Email : pkpim_spp@yahoo.com



Wednesday, December 1, 2010

Matang Fikiran, Kefahaman dan sikap

Apabila ditanya apa beza matang sikap, matang fikiran dan matang kefahaman, tertanya pada diri, mestikah soalan ini di jawab?. Namun, akal berfikir, apakah ada beza antara ketiganya? atau sebenarnya ketiga-tiganya bersepadu, iaitu saling berkaitan? Mungkin ada bedanya sebab sudah pastilah fikiran, kefahaman dan sikap itu tidak sama. Faham itu datang dari fikiran. Sikap pula buah kefahaman terhadap fikiran. Jadi matangnya sikap, bergantung kepada matangnya kefahaman yang terlahir dari matangnya fikiran.

ILMU – MAKNA – TANDA.

Seseorang berfikir dan tahu (berkaitan dengan ilmu) berbuat maksiat itu dosa dan salah, tetapi pada masa itu tidak datang kefahaman (datang makna pada diri), maka sikap (tanda) yang benar tidak terlahir.

Mari kita teliti kisah seorang anak kecil yang menangis kerana kayu api. Dia tidak bermain bersama rakannya. Apabila ditanya, “Mengapa engkau menangis?” Budak itu menjawab, “Ketika aku membaca Al-Quran aku temukan firman Allah ‘Wahai orang-orang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu..’ (At-tahrim:6) Timbullah ketakutanku apabila dilemparkan ke dalam api neraka.”

Lelaki tua itu berkata, “Wahai anakku, janganlah engkau takut, engkau tidak akan dicampakkan ke dalam neraka, sebab engkau belum baligh. Engkau belum layak untuk di masukkan ke dalam neraka.” Anak kecil itu menjawab, “Engkaukan orang yang berakal, apakah engkau tidak tahu apabila seseorang hendak menyalakan api, ia akan memasukkan kayu bakar yang kecil dulu baru kemudian kayu bakar yang lebih besar..”

Mendengar kata-kata budak itu, menangislah lelaki tua tadi sambil berkata, “Sesungguhnya anak kecil ini lebih ingat kampung akhirat daripada diriku. Dunia telah jauh menyeretku.”

Si kecil ini fikirnya sedalam-dalamnya (matang), lalu membuatkan dia faham perumpamaan Allah dalam al-Quran. dari itu lahir sikap untuk bermuhasabah dan tidak bermain-main seperti rakannya.

Jadi, untuk matang jangan malas berfikir! Orang yang matang itu sikapnya optimis, tenang, tidak keluh-kesah. Dia tahu dia berdepan cabaran, digagahinya jua. Sikapnya baik, berakhlak mulia. Prof. Hamka kata, bergantungnya cuma pada satu: Allah!

(Terjawab atau tidak, saya pun tidak tahu)

Monday, June 14, 2010

Pakai tak pakai


Jam di dinding sudah jam 12.45 petang. Setengah jam lagi masuk waktu Zohor. Hari itu hari Jumaat, maka tiada solat Zohor, ada solat Jumaat. Selesai mandi sunat, siap-siap pakai baju melayu. Sapu minyak wangi di pergelangan tangan.

“Abang, dah siap? Jom”. Tangan mencapai helmet.

“Eh, nak pakai helmet? Tak payahlah. Nanti susah nak letak di motor. Pakailah kopiah.”.

“Eh? Ermm...” tangan perlahan meletakkan helmet di atas almari semula.

Semasa di atas motosikal menuju ke masjid, kepala menerawang berfikir. Aku ini Islam, jadi segala perbuatan aku mestilah salam, selamat. Selamat untuk diri. Selamat pada orang lain, selamat pada alam. Fikiran mengimbau hari-hari yang telah berlalu.

“Nak pergi kedai tu pakai helmet”. Jarak rumah ke kedai itu lebih dekat dari jarak rumah ke masjid. tapi kenapa pergi ke masjid tidak disuruh pakai helmet? Salamkah begitu? Susah nak letak atau leceh itu kuatkah untuk dijadikan alasan atau justifikasi? Atau apakah sebab nak pergi solat itu boleh dijadikan alasan untuk tidak memakai topi keledar keselamatan? Atau pakai kopiah itu boleh juga dijadikan sebab untuk tidak pakai?

Hurm... Semacam ada yang tidak betul... barangkali ada pertimbangan yang lain... atau mungkin penilaian perlu dibuat pada situasi demi situasi. Atau bagaimana sebenarnya?

Tuesday, May 25, 2010

Soalan seterusnya untuk pembaca


Terima kasih kepada rakan-rakan yang menjawab soalan tentang intelek, intelektual dan ilmiah. Soalan seterusnya...

Apa itu ILMU?
Apa itu ALAM?
Apa itu ALAMAT?

Apa kaitan antara Ilmu, Alam dan Alamat?

Monday, May 24, 2010

Intelek, Intelektual dan Ilmiah


Intelek bermaksud kemampuan (daya) berfikir dan memahami (menganalisis dan sebagainya), mempunyai dan menggunakan akal budi.
Intelektual adalah golongan intelek. Golongan yang mempunyai daya fikir dan memahami.
Ilmiah bermaksud bersifat ilmu pengetahuan.

(sila rujuk Kamus Dewan)

Al-quran menggunakan istilah ‘Ulul Albab bagi merujuk pada golongan ini. Orang Melayu menggunakan istilah cendiakawan.

Suatu cerita ringkas untuk membawa kita kepada kerangka kotak intelek yang lebih luas.
“Suatu hari, seorang lelaki berjalan-jalan. Sinar matahari yang memancar mula terasa bahangnya. Lelaki itu melihat sekeliling lalu terlihat sepohon pokok yang rendang. Lalu dia berjalan ke arah pohon itu untuk berteduh. Pohon itu sarat dengan buah yang berwarna merah. Bergayutan di hujung-hujung ranting. Sedang lelaki itu berehat, lalu jatuh sebiji buah ke atas ribanya. Diambilnya buah itu lalu ditenung. Dia cuba memahami sesuatu.”

Rakan-rakan, hasil dari daya fikirnya itu, dia berjaya membuat seluruh dunia memahami tentang sesuatu hal, GRAVITI. Lelaki itu adalah ISAAC NEWTON. Bagi kita barangkali melihat sebiji buah jatuh itu tiada apa-apa. Tapi bagi orang yang berfikir dan mahu memahami, dia nampak sesuatu.

Jadi, adakah intelek, intelektual dan ilmiah itu terletak pada nama-nama seminar, konferen, diskusi atau aktiviti? Tidak. Intelek, intelektual dan ilmiah itu terletak pada bagaimana akal kita berfikir. Bagaimana kita menggunakan akal kita. Bagaimana kita mampu mengarahkannya untuk memahami. Memahami apa? Memahami petanda dan bicara Tuhan pada kita. Oleh sebab itu, seringkali ayat-ayat al-Quran, menceritakan tentang alam ini. Sejarah umat terdahulu, tumbuh-tumbuhan, haiwan langit dan bumi. bagi menunjukkan kekuasaan Tuhan dan diakhiri dengan

“sesungguhnya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir”, “menjadi pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal” atau ayat-ayat yang berbentuk soalan supaya kita berfikir, seperti

“Tiadakah mereka melihat burung-burung di atas mereka, yang mengembangkan sayapnya dan mengatupkannya? Tiadalah yang memegangnya melainkan Ar-Rahman. Sungguh dia maha melihat tiap-tiap sesuatu” (al-Mulk: 19)

Maka untuk kita berfikir mengapa bayang-bayang warna hitam, bagaimana kita boleh melihat, boleh mendengar, bagaimana dari telur menjadi suatu makhluk bernyawa, bukanlah sesuatu yang remeh. Bukanlah sesuatu yang tidak ilmiah atau tidak intelektual. Bukan pula soalan keanak-anakan.

(kalau ada yang menganggap begitu, ketahuilah kerana ada orang yang berfikir hal-hal itu atau soalan-soalan seperti itulah, maka anda mendapat pengetahuan tentang hal itu. Jadi berterima kasihlah kepada mereka yang berpenat lelah berfikir dan memahami tanda-tanda Tuhan sehingga kita mendapat manfaatnya).

Tuhan menjadikan ALAM ini dari ILMUNya supaya menjadi ALAMAT untuk kita akhirnya kembali pada DIA!

Monday, April 26, 2010

Soalan untuk Rakan-rakan pembaca

Intelek itu apa?
Intelektual pula apa?
Ilmiah?


Kali ini saya ingin berinteraksi bersama pembaca-pembaca sekalian. Rakan-rakan pembaca boleh jawab di ruangan komentar ya... silakan...


Selamat menjawab!

Friday, April 23, 2010

Bahagian Orang Lain


Hidup adalah pemberian Tuhan. Segala yang ada dalam hidup adalah pemberian Tuhan. Setiap pemberian Tuhan pada kita, ada bahagian untuk diberi dan dikongsi bersama orang lain.

Rumah ada bahagian untuk dikunjungi tetamu, harta ada bahagian untuk yang memerlukan, tenaga kita ada bahagian untuk orang lain, ilmu kita ada bahagian untuk disampaikan pada orang lain, rezeki kita ada bahagian untuk binatang dan juga manusia. Apabila ada yang meminta dari kita, maka berikanlah. Memberi tanpa mengharap balas. Memberi tanpa meminta.

Pemberian itu adalah nikmat dari Tuhan. Tuhan Maha Memberi, masakan manusia terlalu bakhil utk memberi. Maka, berilah apa yg Tuhan beri pada kita. Maha Suci Allah.

Sunday, April 18, 2010

Dimana Praktiknya?


“Ni kerja kerani.”
“Takde kaitan langsung dengan apa yang di belajar.”

Keluhan-keluhan rakan-rakan yang diberi tugas yang kelihatan tidak ada kaitan dengan apa yang dipelajari di universiti sewaktu latihan praktikal.

Apabila kita melihat dan menilai ilmu itu hanya pada apa yang dipelajari di sekolah dan universiti maka pandangan kita terhadap ilmu telah menjadi sempit. Pandangan begini akan menyebabkan kita akan payah untuk mempraktikkan ilmu. Ilmu itu adalah sesuatu yang memberi nilai pada kita untuk digunakan dalam kehidupan untuk kebaikan.

Sekolah dan universiti sering dikatakan sebagai pendidikan secara formal. Setuju? Jadi apa pula pendidikan secara tidak formal? Barangkali apa yang diperolehi bukan melalui kelas-kelas di sekolah dan universiti. Tapi tahukah anda formal itu apa? Formal itu adalah menurut peraturan (bentuk, ciri-ciri, cara dsb) tertentu (yang sudah diterima atau yang dianggap wajar dsb), menurut aturan, menurut adat kebiasaan, rasmi. (Rujuk Kamus Dewan)

Sepanjang kehidupan yang kita jalani dari kecil hingga besar itu terkandung ilmu-ilmu yang diberi Allah mengikut peraturanNya. Menurut sunnatullah. Allah memberi ilmu kepada kita secara formal di Universiti Kehidupan. Cara-cara penyampaian ilmuNya sangat banyak dan unik. Alam ini, manusia itu sendiri. Kelas-kelas didikan Allah kepada manusia letaknya merata di atas muka bumi ini. Di pejabat, di kelas, di kedai makan, di hutan, di laut, di udara. Secara bersendirian, secara beramai-ramai. Waktu malam, waktu siang. Segala-galanya. Jadi ruang untuk kita mempraktikkan ilmu itu sangat luas.

Selagi menurut peraturannya selagi itu kita akan memperolehi ilmu. Barangkali disebabkan kita tidak menurut peraturan Allah kerana itu meskipun ada di depan mata, walaupun diulang berkali-kali masih juga tidak memperolehi ilmu itu. Sesungguhnya ilmu itu disisi Allah (Al-Mulk: 26). Oleh kerana ilmu itu milik Allah, maka untuk benar-benar memperolehinya (dalam erti kata ilmu itu memberi manfaat pada diri dan orang lain) bukankah kita harus menurut peraturanNya?

Manusia yang menurut peraturan Tuhannya (boleh dikatakan sebagai orang yang bertaqwa, sila rujuk surah Fathir: 28) akan menjadi seorang yang mudah dan banyak memperolehi ilmu. Mudah memahami ilmu. Tahu bila, dimana dan bagaimana mempraktikkannya. Itulah orang yang bijak. Itulah orang yang punya hikmah.

Orang yang sabar, dia akan peroleh sesuatu...