ZAHID termenung panjang di meja tulisnya. Skrin komputer
terpampang program ‘Microsoft Word’. Sebaik saja lepas solat Isyak berjemaah di
masjid, dia bergegas balik dan terus memasuki kamar kreatifnya. Memang menjadi
rutinnya bila berada di rumah dia akan berkurung dalam kamar itu.
Lebih-lebih lagi jika ada bahan yang hendak digarap. Dan jika
tidak ada apa-apa yang hendak ditulis, dia akan menghabiskan masanya dengan
membaca. Dia akan membaca apa saja baik akhbar, majalah, novel mahupun
buku-buku pengetahuan lain. Inilah yang menjadi sumber pengetahuannya.
Bagi Zahid
membaca adalah satu kemestian dalam usaha mencari ilmu dan menambah
pengetahuan dan pengalaman. Dan sebagai penulis, pembacaan merupakan satu
kewajipan yang tidak boleh dialpakan.
Pembacaan merupakan aset yang cukup
penting. Sebagai manusia biasa kita tidak mampu berurusan dengan semua perkara
yang ada dalam dunia ini. Jadi, untuk
mengetahui perkara yang kita tidak tahu adalah dengan membaca.
Berjam-jam dia berteleku di depan skrin komputer tanpa
sebaris ayat yang tercatat. Kini biji matanya terbeliak merenung jauh ke depan
melalui celah tingkap nako yang sedia ternganga luas. Anak matanya terus
membelah dan meredah kegelapan malam. Malam yang gelap pekat segelap nasib dan
masa depannya. Itulah ketentuan Ilahi yang terpaksa dilalui.
Samada suka atau tidak, sebagai manusia
biasa dia terpaksa melaluinya. Segala-galanya telah termaktub di loh mahfuz
sejak azali. Dia tak mampu untuk mengubahnya. Dia sedar hanya doa, usaha dan
tawakal kepada Allah, semuanya boleh berubah.
“Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan
diri mereka sendiri.” (Surah .Ar-Ra’d: ayat 11)
Zahid faham dan
hadam ayat itu. Dia akur dengan ketentuan Ilahi ke atas dirinya. Dia akan terus
berdoa dan berusaha. Kerja menentukan jaya gagalnya adalah kerja Allah Yang Maha
Berkuasa, dia berserah. Namun sebagai manusia biasa kadang-kadang dihantui
perasaan resah dan gelisah.
Malam yang tenang, sunyi lagi sepi juga
tidak dapat membantunya untuk menulis. Hati dan jiwanya berserabut. Dia
gelisah! Dia juga resah! Memang resah dan gelisah sering kali bertandang dan
bermain-main di jiwa raganya akhir-akhir ini. Lebih-lebih lagi kehadiran
abangnya petang tadi. Abangnya menambah lagi dilema kehidupannya.
Lebih-lebih
lagi kehadiran abangnya Zahir petang tadi memang menguris hati, jiwa dan
perasaannya. Abangnya tidak pernah tahu atau belajar mengerti apa yang ada di lubuk hatinya. Hanya ibunya
yang memahaminya.
Dia tidak ada kuasa untuk menghidarinya.
Semakin cuba dihindari semakin kuat resah dan gelisah itu melanda dirinya.
“Sampai bila aku harus begini? Terpaksa
hidup dalam kesempitan. Terpaksa bekerja dengan orang! Dan yang paling malang,
aku terpaksa melakukan kerja yang langsung tidak menarik minat dan
perhatianku,” detik hati kecilnya.
Kemelut kehidupan yang terpaksa dilaluinya
amat mencengkam jiwa dan raganya. Apa yang mampu dibuat bagi merubah keadaan?
Dia tak punya apa! Hidup hanya sekadar cukup makan dan pakai.
Jika berbelanja lebih sikit, koceknya
akan kering beberapa hari sebelum terima gaji. Akibatnya dia tidak berupaya
untuk menabung. Menabung untuk kegunaan masa kecemasan ataupun menabung untuk
kegunaan masa depan.
Dia
sedar formula untuk berjaya dalam hidup, seseorang itu perlu menabung sepuluh persen
daripada keseluruhan pendapatannya. Dan apabila tabungan sudah banyak cari
tempat untuk melabur, ini resepi untuk hidup berjaya. Kaedah ini juga diguna
pakai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai tabungan hari tua para
pekerja di sektor swasta.
Para pekerja sektor swasta tidak mempunyai
pencen dan diwajibkan menabung sembilan ke
sepuluh persen dan pihak majikan 11 ke 12 persen. Ilmu ini diperolehi
melalui pembacaan sebuah buku bertajuk ‘Orang Yang Terkaya di Babylon’.
Apa boleh buat memang sistem ekonomi negara
ini yang mengamalkan dasar kapitalis-liberal dengan sistem pembayaran upah
pekerja di negara ini telah direkacipta demikian rupa.
Gaji atau upah pekerja hanya sekadar cukup
makan dan pakai. Jika berbelanja lebih sikit, maka kocek akan cepat kering.
Oleh kerana sistem penggajian pekerja begini orang yang tak punya apa pasti
sukar membebaskan diri dari kemelut ini. Sistem ini juga memberikan orang kaya
bertambah kaya dan orang miskin papa kedana.
Namun begitu....jauh di sudut hati
kecilnya, dia tetap yakin golongan seperti dirinya juga mampu untuk merubah
keadaan. Dia perlu melipat gandakan usaha dan bekerja tanpa mengira waktu.
Dia perlu mencari jalan untuk menabung
sepuluh persen daripada pendapatan yang diperolehi. Tabungan ini gunanya untuk
melabur dan menambah pendapatan bukannya diguna bila sesak.
Dia
juga perlu kreatif mencipta dan merebut peluang. Dan dia juga tidak akan lupa
untuk berdoa kerana tidak tertolak qada dan qadar Allah yang telah termaktub di
loh mahfuz melainkan dengan doa. Jika tidak, dia akan terus berada dalam
kelompok itu buat selama-lamanya.
Walaupun kini dia berada dalam situasi yang
cukup menekan, dia tetap menyemat sejuta harapan. Dia begitu yakin segala
impian dan harapannya akan menjadi kenyataan. Dia hanya perlu bersabar dan
berusaha. Dia perlu menanam dalam jauh di sudut hatinya azam dan tekad untuk
berdikari. Dia ingin berniaga. Dia yakin dengan sabda baginda Rasulullah,
“sembilan persepuluh punca rezeki
datangnya dari berniaga.”
Niat dan hasratnya untuk berniaga bukannya
terikut-ikut dengan rentak para peniaga Melayu yang berjaya lainnya yang sering
mempamerkan kemewahan hidup mereka. Dia ingin membina kekuatan ekonomi diri dan
keluarga. Dia juga ingin membina rangkaian niaga orang melayu agar dapat
mengukuhkan kekuatan ekonomi bangsa. Dan secara tidak langsung akan mengangkat
martabat agama dan bangsa.
Baginya, perniagaan merupakan satu ibadah
dan jihad dalam usaha mengangkat martabat agama dan bangsa. Islam tidak pernah
menghalang umatnya untuk menjadi kaya. Abdul Rahman bin Auf umpamanya adalah
contoh orang yang kaya dalam Islam. Segala kekayaannya disumbangkan ke arah
jihad untuk umat Islam. Malah Islam amat takut kefakiran kerana kefakiran boleh
menjadikan manusia itu kufur. Sabda Rasulullah s.a.w: “Kefakiran itu mudah
menjadikan seseorang menjadi kufur.”
Dia
tidak akan ikut rentak peniaga Melayu lainnya yang berjaya membina perniagaan
tetapi gagal memberi peluang kepada anak bangsa lain sebahagiannya kek ekonomi
yang mereka miliki.
Segala kejayaan, kekayaan dan kemewahan hidup
hanya untuk diri mereka dan keluarga mereka semata-mata. Oleh sebab inilah dia
ingin berniaga. Dia ingin menjadi ‘role model’ kepada usahawan Melayu lain agar
jangan lupa membina keutuhan ekonomi bangsa.
“Aku mesti berusaha merealisasikan
impianku,” bisik hati kecilnya.
Zahid sedar untuk mencapai hasrat hatinya
bukan mudah. Dia terpaksa berhadapan dengan segala jenis ranjau dan duri. Dia
hanya anak seorang nelayan yang hidup umpama ayam, kais pagi makan pagi dan
kais petang makan petang. Dan untuk esok kais lagi dan begitulah sehingga kini.
Dan
arwah bapanya telah meninggal dunia ditelan ombak besar di laut. Bapanya juga
tidak meninggalkan sebarang harta pusaka untuk diwarisi kecuali tapak rumah ini
sahaja. Dia dan abangnya dibesarkan oleh emaknya yang mengambil upah melakukan
pelbagai kerja kampung. Bagi Zahid emaknya itulah ayah dan dia juga ibunya.
Bagi memenuhi keperluan hidup dia kini
bekerja di sektor industri di Prai. Dia terpaksa mengalih haluan hidupnya
kerana emaknya tidak benarkan dia meneruskan tradisi dengan bekerja sebagai
nelayan. Emaknya bimbang akan kehilangan orang yang dia sayang untuk kali
kedua. Emaknya tidak rela.
Hakikat
tujuannya ingin bekerja nelayan adalah untuk mengetahui selok-belok pekerjaan
itu dan akhirnya dia ingin membuat inovasi terhadap perkerjaan itu. Berpuluh
tahun nelayan di Kuala Juru menjadi nelayan tradisional. Dia ingin melakukan
sesuatu namun hasratnya untuk menjadi nelayan tidak disenangi oleh ibunya, dia
terpaksa akur.
Pendapatan di sektor industri juga sama
dengan sektor-sektor lain, sekadar cukup makan dan pakai. Keluarganya tidak
mempunyai kenalan dan kerabat dari kalangan pembesar dan pegawai tinggi
kerajaan yang dapat membantunya mendapat pekerjaan yang baik dengan pendapatan
yang memuaskan hati.
Walaupun itu bukan syarat asas untuk
mendapatkan pekerjaan yang baik. Tapi...suasana, keadaan dan zaman menuntutnya.
Lihat di sekeliling kita, mereka yang punya kaum kerabat dan sahabat handai
dikalangan pembesar dan pegawai tinggi kerajaan dengan mudah mendapat pekerjaan
yang baik. Ini realiti kehidupan di negara ini yang tiada siapa dapat
menafikannya. Hanya segelintir golongan biasa yang agak bernasib baik.
Biarpun betapa sulit dan sukar, dia nekad!
Dia tetap menyemai benih-benih keazaman di lubuk hatinya. Kesampaian atau tidak
bukan menjadi perhitungannya dan urusan dia. Itu urusan Allah. Dia hanya perlu
membina cita-cita itu agar hidupnya berhaluan. Dia akan berjuang bermati-matian
untuk mencapai hasrat itu.
“Aku yakin! Aku pasti berjaya,” terpacak keyakinan
di sudut hatinya. Dia begitu yakin dia akan berjaya suatu hari nanti. Cuma dia
tidak pasti bagaimana kejayaan yang diimpikan itu akan datang dalam hidupnya.
Dalam usahanya mencari modal, dia pernah
kecewa dengan sikap beberapa agensi kerajaan. Dia pernah kemukakan permohonan
mendapatkan pinjaman perniagaan daripada satu agensi kerajaan. Agensi ini
biasanya biasanya memberi modal bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan.
Permohonannya tidak diproses sebaliknya
dibakul sampahkan. Dia juga pernah memohon daripada agensi lain, tetapi agensi
itu hanya keluarkan pinjaman kepada mereka yang telah mulakan perniagaan.
Dia kecewa kerana permohonannya menerbitkan majalah
pengiklanan tidak dilayan. Idea penerbitan majalah seumpama ini dicadangkan oleh
seorang rakan yang balik belajar dari Amerika Syarikat. Menurut kawannya di
sana, di setiap daerah pasti ada syarikat pengiklanan seumpama itu.
Oleh kerana bidang ini ada kaitan dengan
bidangnya maka dia membuat kertas kerja dan menghantarnya kepada agensi
berkenaan. Permohonannya tidak dilayan.
Jika projek ini dikatakan tidak berdaya maju,
macam mana syarikat di Amerika Syarikat seperti ini boleh hidup. Lagipun projek
ini menawarkan peluang pengiklanan murah kepada peniaga kecil dan sederhana.
Dan pengiklanan merupakan segmen terpenting dalam perniagaan hari ini.
Pengiklanan dalam akhbar arus perdana memakan kos yang terlalu tinggi dan tidak
mampu dibiayai oleh syarikat-syarikat perniagaan kecil. Setelah beberapa tahun
projeknya tidak diproses, maka tumbuh bagai cendawan projek seumpama itu
diusahakan oleh bangsa asing.
Jelas pegawai yang diamanahkan untuk
menilai permohonan tidak mahir menjalankan tugas. Dan besar kemungkinan
penilaian projek dibuat atas dasar kenalan dan bukan kebolehan. Jadi bagaimana
anak bangsa hendak berjaya dan maju?
Bagaimana anak bangsa yang ketinggalan dari
semua aspek kehidupan khususnya bidang ekonomi dapat mengejar dan setanding
dengan bangsa lain menjelang tahun 2050 nanti. Apa yang pelik saban tahun
pegawai tinggi di peringkat kementerian menyatakan peruntukan tidak pernah
habis.
Zahid hairan! Mengapa perkara ini boleh
berlaku? Sedangkan permohonannya sendiri tidak diproses. Jika begini sikap
pegawai yang diamanahkan sampai bila pun peruntukan tak akan habis dan sampai
kepada golongan sasaran.
Kelulusan hanya diberikan kepada saudara
dan kawan-kawan. Akibatnya pinjaman yang dikeluarkan gagal dipungut. Kesannya
harapan kerajaan hendak melihat orang melayu berjaya tidak kesampaian.
Apa
puncanya? Perkara ini berlaku kerana pinjaman tidak dikeluarkan kepada mereka
yang benar-benar ingin berniaga. Biasanya orang yang berkemahiran dan berhasrat
memajukan diri diketepikan. Punca lain jika permohonan dibuat RM 30 ribu
kelulusan diberi RM 20 ribu ke bawah. Jadi bagaimana mereka hendak melaksanakan
projek itu?
Akhirnya keluar kenyataan di pihak kementerian mengatakan sekian banyak peminjam
gagal membayar balik pinjaman dan orang Melayu tidak pandai berniaga dan tak
tahu bayar hutang.
Dalam soal ini siapa yang patut disalahkan?
Jika ditanya pihak yang mengeluarkan pinjaman sudah pasti menyalahkan peminjam.
Maka akan terkeluar dari mulut mereka peminjam tidak tahu menghargai
pertolongan. Carilah mana-mana negara di dunia ini yang memberikan pinjaman
seperti ini.
Tapi persoalannya, bolehkah kesalahan ini
diletakkan seratus peratus di atas pundak peminjam? Bagaimana pula pihak yang
ditugaskan menilai sebelum kelulusan pinjaman diberikan?
Bagi Zahid yang tidak arif dalam soal memproses permohonan
pinjaman berani mengatakan sebahagian besarnya berpunca daripada kelemahan
pegawai yang diamanahkan untuk menilai sesuatu projek yang dikemukan.
Mereka gagal mengenal pasti calon yang
benar-benar layak dan inginkan pinjaman untuk berniaga. Mereka juga selalu
memberikan pinjaman kurang daripada nilai yang dipohon. Mereka juga mengamalkan
budaya pilih bulu dan bukan kebolehan.
Berdasarkan pengalaman ini Zahid bertekad tidak akan memohon sebarang pinjaman perniagaan dari pihak kerajaan. Dia berazam untuk berusaha sendiri. Jika orang lain boleh berjaya tanpa bantuan kerajaan, kenapa dia tidak boleh? Dia mesti berusaha mengenal pasti teknik dan taktik mereka sahaja.
Dia mesti mengamalkan budaya niaga bangsa Cina. Baginya tidak salah kerana baginda Rasulullah sendiri pernah bersabda, “belajarlah sampai ke negeri Cina.”
Zahid juga bertekad akan berusaha berdikit-dikit. Dia akan cuba mencari peluang dan ruang untuk memasuki bidang perniagaan yang dihajatkan. Dia yakin! Biarpun dibelit pelbagai masalah, dia tetap akan berusaha menjayakan cita-citanya. Dia juga akan berdoa dan bertawakal kepada Allah Azawajalla. Dia pasrah!
Zahid terkenangkan pertemuan dengan Tok Guru Haji Jamaludin seorang guru agama di pondok Kubang Ulu. Haji Jamaludin pernah menyarankan agar dia minta terus daripada Allah apa saja yang dihajati. Kalau boleh buat solat hajat dan persembahkanlah permohonan kepada Allah Yang Maha Esa. Jangan sekali-kali minta tolong sesama manusia.
“Usaha terus sehingga kita memperolehi apa yang dihajati. Dan kalau bersabit dengan rezeki kita boleh tambah dengan solat Dhuha, amalkanlah selalu, In Shaa Allah,” nasihat Tok Guru Haji Jamaludin.
“Allah telah berfirman dalam surah Al-Mukmin ayat 60, ‘Berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan bagimu.’ Ingat! Allah tidak pernah memungkiri janjinya,” tegas Tok Guru Haji Jamaludin.
“In Shaa Allah, akan aku lakukannya,” terpahat keazaman dihatinya. Dia berazam untuk mengikut segala nasihat yang diberikan oleh Tok Guru Haji Jamaludin. Memang menjadi kelazimannya untuk bertemu dengan Tok Guru Haji Jamaludin jika dia berhadapan dengan apa saja masalah baik dunia mahupun akhirat.
Dia tersentak daripada lamunan apabila terdengar kokokan ayam bersahutan. Dia fokuskan perhatian ke arah jam yang tergantung di dinding kamar kreatifnya. Jarum panjang tepat ke angka dua belas sementara jarum pendek berada di angka tiga.
Sejak jam sembilan malam sehingga jam tiga pagi, dia hanya mengelamun, melayan perasaannya. Dia menyuluh dan menyusuri jalan-jalan yang pernah dilalui. Dia juga melihat masa depan dengan penuh pengharapan lebih kurang 6 jam dia mengadap skrin komputer tanpa berupaya mengarap walaupun sepatah perkataan.
Dia tidak kesal menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mengelamun dan merenung untung nasib dirinya. Dia sedar sekali-sekala manusia perlu duduk dan merenung perjalanan hidup yang pernah dilalui dan mengambil iktibar daripadanya, dengan kata lain kita perlu muhasabah diri.
Manusia sesekali memang perlu duduk dan merenung akan masa depan yang hendak dituju. Dan memikirkan bagaimana hendak menterjemahkan harapan dan impian itu menjadi realiti. Justeru itu, dia tidak pernah kesal masa yang amat berharga dihabiskan dengan cara itu.
SILA LAWAT SAMA CHANNEL YOUTUBE SAYA
"SIAPA PM KE-10 KITA?"