Showing posts with label kopi dan pasta. Show all posts
Showing posts with label kopi dan pasta. Show all posts

Sunday, March 07, 2010

MARI BELAJAR JD PROAKTIF..(kopi dan pasta)

ERTI PROAKTIF

Inilah namanya PRO AKTIF.
Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri.
Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.
“Ana tak boleh buat apa-apa, kalau jalan jem macam ini, memang ana jadi kaki mencarut punya”, kata seorang pemandu di Kuala Lumpur. Susahlah begitu. Mungkin dia kena pindah ke Kampung Bongek, baru boleh berhenti mencarut.
“Kalau cuaca gloomy macam ini, saya memang depressed”, kata seorang pelajar di Galway, Ireland.
Emm, dia sudah tersalah memilih tempat belajar. Sepatutnya dia memilih untuk belajar di Tha’if, Arab Saudi, atau di Burkina Faso. Barulah cuaca cerah sentiasa.
Kenyataan-kenyataan seperti ini, adalah seperti meletakkan remote controller kehidupan kita di pihak lain. Kita gembira atau sedih, kita bahagia atau derita, semua ditentukan oleh orang lain.
Cuaca yang akan menentukan mood kita.
Ibu bapa yang akan menentukan saya boleh jadi ibu atau bapa yang baik.
Bursa Saham sahaja yang boleh menentukan tahap senyum dan bahagia saya.
Oh, kehidupan seperti ini adalah kehidupan reaktif. Kita tiada upaya untuk memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Kita hanya mampu memberi reaksi.
Hidup begini, adalah hidup yang rumit lagi sulit. Masakan tidak, jika ujian kehidupan menentukan kebahagiaann diri, mampukah kita mencari sebuah kehidupan yang bebas dari ujian?
Berhentilah daripada mencari unsur luar, kerana semua itu ada dalam dirimu. Mahu bahagia atau derita, pilih sendiri. Mahu menafsirkan ujian sebagai kaffarah dari Allah, peluang untuk diperbaiki dan memperbaiki, atau mahu menafsirkannya sebagai bala bencana penyebab derita lagi sengsara, atau mahu menafsirkannya dengan gaya si luncai yang ‘AKU TIDAK PEDULI’SMA, anda pilih sendiri.
Mulakanlah perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri.

MENCARI ATAU MENJADI?

“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya”, kata seorang mahasiswi.
“Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!”, tegas seorang mahasiswa.


Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?
Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?
Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita para benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.
Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?
Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!
Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.
Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.
Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.
Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.
Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.

PROAKTIF DAN BUTANG PAUSE

Orang yang proaktif, tidak mudah melatah. Dia tidak akan bertindak mengikut apa yang merangsangnya. Tidak seperti orang yang reaktif:
Marah, disambut dengan kemarahan.
Sedih, dirundung kesedihan.
Geram, diselubung kegeraman.
Hidup seperti ini susah lagi menyusahkan.
Ingatlah kita kepada cerita Stephen Covey tentang anak dan isterinya?
Ketika Covey sampai di pintu rumah, dia diterpa anak kecilnya sambil berkata, “daddy, I am a hardworking man”
Sandra, isterinya berkata, “tadi semasa saya baru balik kerja, anak kita ini sedang menaburkan bekas-bekas makanan kotor di atas lantai. Kemudian disimbahnya dengan air”
Oh, itu pengalaman kita semua. Balik kerja, penat-penat, sakit-sakit, tiba-tiba anak buat hal. Apa reaksi anda? Bagaimana reaksi Sandra?
“Saya tahan sabar. Saya tanya anak kita kenapa dia buat begitu?”, kata Sandra.
“Apa katanya?”, tanya Stephen.
“Saya nak tolong emak!”, jawab si anak.
Ya, si anak menyepahkan pinggan mangkuk dengan niat mahu MEMBANTU EMAK.
Bayangkan jika Sadra menampar si anak tadi, apakah pelajaran yang anaknya perolehi?
Hatinya akan berkata, “kalau nak tolong emak, nanti kena tampar!”
Jangan terkejut jika anak kita akhirnya membesar berat tulang, berat punggung. Kita yang mengajarnya dulu. Jika mahu menolong emak, habuannya penampar!
Apa kata Sandra?
“Oh begitu, kenapa tak basuh di sinki?”, tanya Sandra kepada anaknya.
“Tak sampai”, kata si anak kecil.
“Baiklah, lepas ini kalau kamu nak tolong emak, beritahu dahulu, ok? Emak akan ambilkan bangku dan kamu basuh di sinki, boleh?”, pujuk Sandra.
“Boleh”, jawab di anak.
“Bagus, you are a hardworking man”, puji si ibu yang proaktif.
Stephen Covey membuat kesimpulan, “dalam situasi seperti itu, prioritinya bukanlah lantai dapur yang bersih, tetapi anak yang ,mendapat pelajaran yang betul.
Bagaimana Sandra boleh menyabarkan diri untuk menjadi proaktif, tidak melatah dan bertindak melulu mengikut rangsangan? Sandra mengamalkan apa yang kita orang Islam namakan sebagai SABAR!

Sabar itu adalah butang PAUSE untuk kita berupaya berhenti sejenak dan berfikir apakah tindakan paling tepat yang kita patut buat.
Sabar bukan sentiasa menjadikan diri sebagai mangsa. Sabar adalah upaya untuk bertindak tepat kerana ada penapis yang menapis persekitaran.
Tidakkah Nabi SAW sudah mengajar kita tentang hal ini?
“Bukanlah gagah itu, pada orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang gagah itu adalah orang yang menguasai dirinya ketika marah!”
Ya, proaktif adalah simbol kegagahan seorang Mukmin semata. Ia bukan topik motivasi, ia sifat Mukmin yang mesti dibaja.

SUMBER SABAR

Bagaimana untuk sabar? Dari mana sumber sabar?

Dan bersabarlah kamu. Dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan Allah [Al-Nahl 16: 127]
Ya, sumber sabar adalah dengan Allah.
Hiduplah dalam meletakkan setiap asas perbuatan pada kesedaran diri terhadap Allah, dari situlah terbitnya sabar. Tiada proaktif tanpa Allah.

DA’IE YANG GAGAH

Sabar dari gusti dan gaduh bukan hanya untuk ibu terhadap anak, malah pendakwah!
Semua yang berlaku di sekitar kita, semuanya mengundang marah. Siapa tidak marah melihat artis celupar terhadap isteri Nabi? Siapa tidak berang dengan penghinaan orang Islam terhadap agamanya sendiri?
Semua yang berlaku di sekeliling kita, memang patut dimarah, memang patut dibalas dengan setimpal-timpal balasan!
Tetapi seorang pendakwah yang gagah bukanlah pendakwah yang kuat bergusti. Gusti hujah gusti lidah, gusti tangan gusti pemikiran. Tetapi pendakwah yang gagah adalah pendakwah yang dapat mengawal dirinya ketika marah!
Simpan kemarahan itu, dan hamburkan di atas sejadah semasa menangis di depan Tuhan. Ubatkan sakit hati itu dengan meratap di sunyi malam di hadapan Tuhan.
Namun, untuk pergi kepada mad’u, kuatkan diri dan banyakkan interaksi, bukan konfrontasi.
Mahu terus bergusti… silakan… Selamat tinggal pendakwah Islam, selamat maju jaya missionari Nasrani!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com