Sunday, 16 February 2025

JJCP Eurora: Day 08 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




Dari Gardur Old Lighthouse, kami memandu ikut jalan ke Hafnir dan terus ke destinasi berikutnya, iaitu Bridge Between Continents. Perjalanan sejauh 33 km mengambil masa 45 minit dan kami tiba di lokasi kejadian jam 12.40 tengahari. Sampai je di kawasan parking, satu kejadian yang tak diingini telah berlaku. Kereta En. Khai sangkut di bahu jalan yang penuh dengan salji masa selisih dengan kereta lain. Jalan agak sempit dan kami tak tau bahawa bahu jalan tu rendah sebab ditutupi oleh salji. Snow chain pulak takde. Nak cari kayu pun susah untuk hold tayar agar bergerak naik ke atas jalan. Huhu..

Tayar sangkut di bahu jalan yang penuh dengan salji

Nasib baik kami ramai. Boleh bantu tolak kereta naik ke atas jalan walaupun agak sukar. Dalam juga tayar kereta terbenam dalam salji. Kebetulan ada 2 orang pengunjung turut membantu. Alhamdulillah, 10 minit tenaga dikerah akhirnya kereta berjaya naik ke atas jalan. Sampai di parking En. Khai tengok ada kesan calar di tepi kereta. Tak mungkin masa sangkut tadi berlanggar dengan batu atau benda lain. Saya cek pada kertas pre-inspection, rupanya calar tersebut memang dah dinyatakan masa kami ambil kereta semalam. Lega rasanya. Risau je kalau kena bayar penalti. Huhu..

Driving route: From Gardur Lighthouse to Bridge Between Continents


@ BRIDGE BETWEEN CONTINENTS

Dari kawasan parking, kami berjalan ke arah jambatan yang memisahkan antara 2 benua. Ada la beberapa orang yang jatuh sebab jalan yang amat licin. Hehe.. Bridge Between Continents adalah rekahan plat tectonic yang wujud dan memisahkan antara benua Eropah dan Amerika Utara. Jambatan yang dibina adalah sebagai simbol kepada hubungan antara kedua-dua benua. Kiranya kami dah berjaya jejakkan kaki di benua Amerika Utara. Di bawah jambatan nampak seperti laluan sungai tapi tiada air yang mengalir. Hanya tanda rekahan yang berlaku pada plat tektonik. Mungkin masa summer ada air yang mengalir kat sini.

Bridge between Europe & North America

Nampaknya ada pengunjung dah mula letak padlock kat atas jambatan. Dah banyak tempat saya jumpa orang letak padlock atas jambatan. Kononnya padlock tu sebagai love lock, simbol cinta abadi pasangan dan kuncinya akan dibuang di bawah jambatan. Di Paris, pihak perbandaran terpaksa buang dan gantikan tebing jambatan yang baru sebab terlalu banyak padlock hingga menyebabkan ianya hampir roboh. Bukan hanya membahayakan dan mencacatkan pemandangan, tapi mencemarkan sungai dengan kunci padlock tersebut. Masa trip saya ke Seoul pada 2014, saya ada juga letak satu padlock. Tapi kunci saya tak buang. Tak ingat kat mana saya simpan kunci dia. Hahah.. Yang pastinya padlock yang saya letak tu bukan atas jambatan. Rasanya kat atas N-Seoul Tower, memang ada tempat khas untuk letak padlock seperti bentuk pokok krismas. Hihi..

Kenangan dengan padlock. Hahah..

Walaupun ada cahaya matahari tapi cuaca amat sejuk. Saya yang pakai selapis longjohn dan jaket tebal pun masih rasa sejuk. Nak buka glove pun sekejap je boleh bertahan. Tengok pada weather forecast, cuaca akan makin sejuk dalam beberapa hari mendatang. Saya yang boleh dikatakan tahan sejuk pun rasa menggigil, macam mana pula yang lain. Harap diorang dah prepare pakaian yang sesuai untuk adapt cuaca yang super sejuk di sini. Itulah, kenapa ya saya suka travel masa winter. Dah la waktu siang pendek, pemandangan pun putih je. Seperti yang saya maklum sebelum ni, setahun hidup dalam cuaca khatulistiwa yang panas dan hujan, apa salahnya dalam seminggu dua layan cuaca sejuk yang pasti takkan merasa di Malaysia. Menggigil pun tetap enjoy. Hehe..

Abadikan kenangan di sini. Saujana mata memandang..

Jam 1.10 petang kami mula bergerak meninggalkan Bridge Between Continents. Kira ok lah dapat jejak kaki seminit dua di benua Amerika Utara. Hehe.. Ada 2 jam lebih je lagi sebelum cuaca mula gelap. Dari sini kami memandu sejauh 34 km untuk sampai ke destinasi berikutnya. Dalam perjalanan cuaca tidak menentu. Tiba-tiba je kabus jadi tebal dan tak nampak jalan di depan. Dalam beberapa minit pemandangan clear semula. Memang betul la seperti yang saya baca. Cuaca kat Iceland ni tak menentu. Sekejap je cuaca boleh berubah. Huhu..

Cerah, lepas tu tiba-tiba berkabus. Seminit kemudian cerah balik..


@ BLUE LAGOON

Jam 1.45 petang kami sampai di Blue Lagoon. Setengah jam pemanduan sejauh 34 km yang agak adventure dengan perubahan cuaca yang mendadak. Yang penting semua 4 kenderaan follow rapat antara satu sama lain. Saya sentiasa tengok cermin belakang, in case ada yang tertinggal jauh. Manalah tau jika kejadian tayar sangkut berlaku lagi. Sebagai satu group kita kena sentiasa alert bersama. Kawasan parking di Blue Lagoon amat besar menandakan tempat ni adalah antara tumpuan utama pelancong. Banyak juga kereta kat sini dan kami parking agak jauh dari pintu masuk.

Driving route: From Bridge Between Continents to Blue Lagoon

Siapa orang kaya yang naik helikopter tu?

Kami berjalan masuk ke dalam Blue Lagoon. Kami takde niat pun nak mandi air panas kat sini. Cuma nak tengok kawasan sekitar. Blue Lagoon adalah antara geothermal spa yang terbaik di dunia dan destinasi wajib bagi pengunjung ke Iceland. National Geographic telah menyenaraikan Blue Lagoon sebagai salah satu daripada 25 keajaiban dunia. Suhu air panas sekitar 37-40 darjah celcius dan klorin tidak diperlukan untuk membersihkan air di sini. Saya ada melihat video pengunjung mandi di sini sambil cuci muka dengan lumpur semulajadi. Bila bawa anak-anak macam sukar nak berendam kat sini. Tapi kalau saya berdua dengan wife pun mungkin tak masuk kot. Ada etika pemakaian. Kalau private pool mungkin boleh. Hihi.. Kita ambil feel je kat sini ya.

Bergambar di signboard itu wajib tanda hadir. Hahah..

Untuk masuk ke lagun utama yang besar tu kena bayar. Admission fee bermula dari RM310.00/person mengikut pakej. Boleh tahan mahal juga. Jadi kami hanya masuk ke tempat jualan barangan dan souvenir. Di bahagian luar pun boleh tengok kolam air panas, cuma tak boleh berendam la. Ada yang kena angkut dengan security nanti. Hahah.. Harga barangan yang dijual juga agak mahal. Maka kami hanya window shopping je melihat pakaian dan produk asli yang dihasilkan di sini.

Seronoknya window shopping sebab tak keluar duit. Hehe..

Habis meronda di dalam kedai, kami keluar dan jalan-jalan melihat kolam air panas yang sentiasa berasap. Agak kuat bau sulfur yang dihasilkan. Eirfan ada cubaan nak pegang air panas. Budak ni memang sukar dijangka la. Ada je benda pelik yang dia nak buat. Huhu.. Kena extra pantau dia ni. Telepas pandang nanti ada la benda tak terjangka yang dia buat. Kutip batu dan baling dalam kolam tu memang berlaku la. Apapun rezeki dia seawal umur 2 bulan dah ada pasport dan keluar negara. Sekarang dah umur 6 tahun banyak negara yang dia dah pergi. Anak-anak adalah pemberi rezeki yang tidak terhingga. Saya bersyukur dapat bawa satu family jalan-jalan melihat dunia. Moga rezeki kami sentiasa bertambah.

Kat luar pun ada kolam air panas yang besar

Jam 2.30 petang kami dah berada di kawasan parking. Cukup la lawatan kami selama 45 minit di Blue Lagoon. Satu pengalaman hidup yang takkan kami lupakan walaupun tak dapat nak berendam dalam kolam. Ada sejam lagi sebelum cuaca mula gelap. Setelah semuanya dah bersedia dalam kereta masing-masing, kami mulakan perjalanan meninggalkan Blue Lagoon. Nak singgah untuk tengok pemandangan mungkin dah tak sempat. Hanya dapat layan pemandangan dari dalam kereta je menuju ke destinasi seterusnya. Perjalanan kali ni agak jauh dan dijangka sampai nanti cuaca dah mula gelap. Moga sampai dengan selamatnya.

Cuaca dah mula senja. Sekejap je waktu siang kat sini.

Wallahu 'alam..