Saturday, February 19, 2011

Kenapa

Kenapa setiap kali bila seseorang cakap kat kawan dia yang dia tak mandi lagi, kawan dia mesti cakap "Eee, busuknya!" walaupun dia memang tak bau busuk pun?
*****
Kenapa kita rasa geli bila seseorang tu cuci dubur dia dengan tisu sebab takde air? Kalau orang yang diajar mencuci dubur dia dengan tisu sejak kecil mesti rasa geli bila dia dapat tau yang ada orang lain cuci dubur dengan tangan & air, kan?
*****
Oh, semester ni aku berkesempatan mengambil kelas ballroom dancing (tari-menari) untuk memenuhi keperluan general education aku (aku suka sistem pendidikan universiti kat sini sebab selain kelas-kelas wajib dalam jurusan masing-masing, aku ada kebebasan untuk memilih kelas-kelas lain untuk memenuhi keperluan seperti sains sosial, kemanusiaan, sukan & rekreasi, seni dll). Kelas ni hanya 1.5 kredit dan berlangsung dua kali seminggu tetapi memang seronok ah. Setakat ni aku dah belajar tiga jenis tarian - waltz, swing & foxtrot. Waltz dan foxtrot lebih klasik dimana setiap pergerakan dan rangka tarian tu agak terkawal dan ketat. Aku lagi swing sebab tarian dia lebih "longgar" dan pergerakan dia lebih "cool." Paling best, aku dapat menari kepada irama "rock n' roll" seperti lagu "Rock Around The Clock" dendangan Bill Haley & The Comets. Aku tak sabar nak belajar salsa, tango & cha-cha nanti. Hmm, nanti aku akan paksa teman wanita aku belajar tarian-tarian ni. 
 *****
Bangsat. Boleh pulak sejuk balik. Dah turun ke takat beku pulak. Tiba-tiba, keinginan untuk melapah aiskrim & menghirup latte ais Dunkin' Donuts memuncak.

Friday, February 18, 2011

Apabila Kau Bangga Jadi Orang Kuantan

Setelah mendapat suapbalik yang memberangsangkan daripada rakan aku yang turut gemar memblog, aku ingin menaip satu lagi rencana dimana aku cuba mengeluarkan segala rintihan minda dengan rawak. Sebagai contoh, rakan aku ni rasa diri dia comel padahal tak pun. Hmm. Ada lah comel sikit tapi sebab keinginannya untuk menunjukkan kecomelan dia kat semua orang membuatkan dia tak comel. Lain kali, cuba kurangkanlah kecomelan kau tu. "Keh keh keh."
*****
Ada apa dalam nama? Okay, tengok perkataan "kerajaan." Kita semua boleh setuju bahawa kata dasarnya ialah "raja." Dalam konteks salasilah kesultanan Melayu, raja dikaitkan dengan berkuasa mutlak; barangsiapa yang "derhaka" kepada raja akan dihukum sekeras-kerasnya; buang negeri boleh, hukum bunuh pun boleh. Jadi, sesuaikah kita guna "kerajaan" dalam konteks pasca-merdeka dimana raja dan sultan ditakluk oleh perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen menjadi tunjang kepada sistem politik negara? Aku percaya tak sesuai. Jadi kita balik ke soalan pertama aku: ada apa dalam nama? Sesuatu perkataan bukan hanyalah sesuatu perkataan; sesiapa saja boleh guna perkataan tu dan mendefinisikan mengikut kehendak mereka. Dengan itu, aku rasa penggunaan "kerajaan" dalam "Kerajaan Malaysia" masih memberi ilusi bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai ciri-ciri yang berkaitan dengan sistem feudalisme yang banyak merugikan rakyat bawahan, beratus-ratus tahun dahulu (sistem sultanan-pembesar-rakyat di sini samalah dengan sistem feudalisme di Eropah pada Zaman Gelap. Sejarah Tingkatan 4, beb!). Cadangan aku? Tukar je "kerajaan" dengan "pentadbiran;" jika dibandingkan dengan Bahasa Inggeris, "pentadbiran" lebih sinonim dengan "government" berbanding dengan "kerajaan" yang lebih sinonim dengan "kingdom." Logiknya, itulah kerja ahli-ahli DUN, ahli-ahli parlimen, senator-senator dan menteri-menteri: mentadbir negara!
*****
Hari ini, suhu telah mencecah 17 Celcius & matahari pun terik. Maka, aku gembira. Nak buat macam mana, aku orang tropika. Panas bahang & hujan lebat adalah hidupku.
*****
Apabila kau bangga menjadi orang Kuantan, kau tak akan mencampak tin Milo dari kereta kau kat Jalan Beserah. Apabila kau bangga jadi orang Kuantan, kau akan mengambil inisiatif untuk tau kenapa Nasi Minyak Tanjung Api lagi best daripada nasi minyak-nasi minyak yang lain kat dunia ni. Apabila kau bangga jadi orang Kuantan, kau terus dapat bayangkan keindahan panorama Teluk Chempedak bila seseorang sebut namanya. Apabila kau bangga jadi orang Kuantan, kau tau jumlah roundabout & kopitiam yang ada kat bandar ni. Apabila kau bangga jadi orang Kuantan, kau dapat rasa ketenteraman setiap pagi bila kau bangun nak ke sekolah atau kerja. Aku bangga jadi orang Kuantan - aku menangis selama 10 minit (benda yang jarang berlaku dalam hidup dewasa aku) dalam rumah aku kat Semambu, mengenangkan memori-memori indah yang berlaku selama 7 tujuh tahun aku menetap kat sini. Sejauh mana aku pergi dalam hidup ni, aku tau yang aku akan mengakhirinya kat Kuantan.

Thursday, February 3, 2011

Hari Ini Di Ukay Perdana

Lama gila tak blog. Jadi, aku blog lah. Tapi masalahnya setiap kali aku nak blog, aku ketandusan idea. Peliknya, setiap kali sebelum aku nak tidur aku mesti memikirkan idea-idea yang menarik macam cara-cara nak memartabatkan Persatuan Bola Sepak Pahang (aku penyokong Tok Gajah, lahir kat Kuala Lumpur. Siapa je sokong KL? Semua nak mengaku orang Selangor. Ataupun Kelantan. Entah lah, sejak Kelantan menang Piala Malaysia tahun lepas, tiba-tiba semua orang nak mengaku ke-Kelantan-an mereka. Siap ada yang korek balik salasilah keluarga nak membuktikan datuk atau nenek mereka berasal dari negeri Darul Naim. Alamak, aku dah tersasar dari topik ni.), cara-cara nak menyelesaikan masalah politik negara dan macam-macam lagi isu negara yang besar lah. Nak kata benda ni "mental block" atau "writer's block" bukan jugak, cuma "timing" memang tak kena langsung. Entah lah, aku patut beli perakam suara kot. Jadi, lain kali apabila aku dapat idea sebelum membuta aku cakap je apa dalam kepala otak aku.
*****
Oh, kehidupan seorang perantau yang terpaksa mengharungi suhu di bawah takat beku setiap hari. Setiap hari kena pantau suhu. Setiap hari.
*****
Dulu aku pernah cakap aku seorang romantik. Hmm, dalam Bahasa Melayu (Malaysia?) mungkin susah orang nak paham kot sebab blog aku dulu pasal konsep "being romantic" vs "being a romantic" membawa makna berbeza. Jadi, apa yang aku nak cakap ni pasal "being a romantic." Aku suka "imagery." Aku rasa dalam Bahasa Inggeris (British? Kenapa kita panggil British "British"? Bukan patut "Britis" ke? Kalau ikut logik kenalah sebut Inggerish.) itulah perkataannya. Sebab aku bawa keluar topik ini adalah penggunaan nama tempat dalam lagu. Contohnya, Azmyl Yunor. Dia penyanyi "folk" ala Bob Dylan berasal dari Kuala Lumpur  agaknya. Beberapa lagu Bahasa Melayu yang didendangkannya dalam EP H.I.D.U.P. menggunakan "imagery" ini untuk menggambarkan satu suasana yang bagi saya agak romantik. Misalnya, dalam lagu Makan Gaji, lirik dalam rangkap pertama berbunyi "Duduk termenung kat Lebuhraya Utara Selatan; suntuk kebingungan digalak si setan; anjing kurap menyalak di celah Sungai Wang; dia bertuah, tak pernah kenal erti hutang." Pertama kali aku dengar lagu ni, aku terus suka. Penggunaan nama-nama tempat ini menimbulkan rasa keakraban kepada pendengar, penyanyi & tempat itu sendiri. Dalam minda aku boleh bayangkan seorang brader ni duduk melepak kat satu R&R (Rehat & Riadah kan?) PLUS dengan rokok di tangan dan teh tarik di tangan kiri melayan "blues" ataupun seekor anjing yang mencari apa jua sampah yang ada di lorong-lorong busuk di celah-celah pusat beli-belah terkemuka itu. Aku suka. Seperti Azmyl Yunor ni tahu apa yang setiap daripada kita pernah lalui. Itu baru romantik.
*****
Apa pasal aku tak boleh "indent" setiap perenggan ni? Bangsat.
*****
Dalam perbicaraan Skype, adik aku cukup bengang apabila aku bercakap dengan dia dalam Bahasa Inggerish loghat Amerika. Macam dia bagus sangat. Mungkin sebab aku mengambil sebahagian daripada budaya Amerika ini untuk mudah bertutur dengan mereka. Bagi aku, jangan haraplah nak bercakap dengan mereka dalam loghat Inggerish Malaysia kita. Aku sedar yang loghat kita ni laju, diadaptasi dari kelajuan kita bertutur dalam Bahasa Melayu, selain memetik loghat Britis. Loghat Amerika pula lebih perlahan dan mempunyai fonetiknya tersendiri. Tapi lain orang, lain ragam. Kalau mereka lebih selesa menggunakan loghat Inggerish Malaysia mereka, guna je lah. Tapi jangan label orang yang menggunakan loghat Amerika tu sebagai 'poyo.' Jangan jadi macam adik saya. Dia ingat dia bagus sangat.