Thursday, July 16, 2009

Demo di Bentong


Coretan sekitar Demo Memasak anjuran Puspanita Daerah Bentong pada sabtu lepas. Nazifa membantu saya mengenakan uniform dan aksi saya menumis bawang untuk menyediakan sos daging Lasagne.






Antara novel-novel saya yang turut dijual di dewan tersebut. Nazratul, anak sulong, membantu mempromosikan karya bondanya. Caayaa, kak long! Ada tokoh jadi usahawan.







Gembira saya berada di Bentong (saya lahir di Ketari) dan peserta begitu bersemangat untuk belajar kedua-dua masakan Barat itu. Di situ juga saya bertemu dengan Kasma, rakan sekolah rendah yang sudah hampir 32 tahun tidak bersua muka... Dalam perjalanan balik, saya singgah di rumah mak ngah dan dijamu kerabu pucuk paku, asam pedas ikan dan daging tumis lada hitam. Hmm, sedap...!!

Wednesday, April 1, 2009

Selesai sudah...

Assignment kelmarin, 10 masakan menggunakan herba keluaran McCormick. Antaranya, basil, bay leaves, paprika, turmeric (kunyit), serbuk lada hitam, Season 'n Fry (pelbagai perisa), thyme dll.

Mudah digunakan dan aroma herba pasti memikat selera terutama untuk masakan Western. Namun eksperimen saya mencampurkan thyme ke dalam Kuih Talam Berlauk ternyata menyerlahkan keharumannya.

Supaya tahan lama, simpan botol herba di dalam peti sejuk (bahagian bawah) dan sebaik-baiknya, masukkan herba ke dalam sajian sejurus sebelum memadamkan api (supaya aroma lebih kekal).


Booklet resepi boleh diperolehi bila membeli produk keluaran McCormick. Sesi fotografi dengan Ikram Ismail berlangsung selama 4 jam.

Tuesday, March 24, 2009

Mi Segera

Mungkin ramai sudah tahu bahawa mi segera mengandungi lapisan wax (sejenis lilin) yang akan mengambil masa 4-5 hari sebelum dapat dikeluarkan daripada sistem badan. Cara terbaik untuk mengelak daripada akibat buruk wax terhadap tubuh kita adalah dengan mengubah kaedah memasaknya. Ini juga akan menghalang MSG di dalam serbuk perencah bertukar dari segi struktur molekular menjadi bahan toksik.

Begini cara terbaik:
(1) Rebus mi dalam air mendidih.
(2) Bila mi kembang, sejat atau toskan ke dalam penapis.
(3) Dalam periuk dengan air mendidih yang baru, masukkan mi dan tutup api.
(4) Masukkan pula serbuk perencah, kacau dan sajikan.

*Kaedah ini biasa dilakukan untuk mi jenis 'goreng' atau tanpa kuah. Jika hendak tambah telur dan sayur, masukkan dalam air mendidih baru, sebelum mi.

:: Ramai yang berusia 18-24 tahun mendapat penyakit pancreatitis (bengkak atau jangkitan pada pancreas) kerana terlalu kerap makan mi segera. Elakkan memakan lebih daripada 3 kali seminggu ::

Thursday, March 12, 2009

Biskut Berhias

Biskut Mentega yang dihias dengan Royal Icing pelbagai warna. Adunan biskut boleh dicampur serbuk koko untuk perisa coklat.

Manakala aising kuning dengan perisa lemon, hijau dengan pudina, biru dengan esen keladi, merah dengan strawberi.

Terpulang pada kreativiti masing-masing atau tema sesuatu majlis seperti ulangtahun, pertunangan, perkahwinan dll.

Resepi Royal Aising :
Pukul (kelajuan minima) 1 biji putih telur dan masukkan sedikit demi sedikit gula aising hingga adunan kental dan tidak mengalir bila disapu ke atas biskut.

Asingkan ke dalam mangkuk kecil dan letak sedikit warna.

Bila warna asas (base atau background) telah kering, picitkan aising hiasan di atasnya atau di sekeliling biskut.

Kepekatan atau consistency aising hiasan adalah lebih kental sedikit daripada aising base dan perlu dimasukkan ke dalam beg aising dengan nozzle atau muncung bentuk bulat.



Monday, March 9, 2009

LOF DAGING

Bahan-bahan:
500 gm daging kisar
2 camb rempah kari
1 biji telur
60 gm serbuk roti
1 cawan sos piza (dalam botol)
60 gm keju cheddar, diparut
serbuk lada hitam, garam secukupnya

Cara membuatnya:
1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk.
2. Tambah serbuk lada hitam dan sedikit garam.
3. Ratakan separuh di dalam tin lof (11x21 cm).
4. Taburkan keju dan letak baki campuran daging di atasnya.
5. Bakar pada suhu 180 C selama 40 min.
6. Ketepikan cecair yg terbit kemudian biar selama 10 min.
7. Bila sejuk, boleh dipotong untuk dibuat sandwic atau dimakan dengan salad kentang.

:: Memang sedap dibawa berkelah ::

Wednesday, February 25, 2009

Spageti Olio


Bahan-bahan
300 g spageti
1 kg udang sederhana
1 biji lemon, perah
4 s/besar hirisan pasli
1 s/teh serbuk cili (flakes)
4 ulas bawang putih, ketuk
60 ml minyak
1 tin kecil anchovy fillets (bilis jeruk)
8 ulas bawang putih, cincang
Garam
Hirisan lemon
Cara membuat:
1. Masak spageti dalam air mendidih bergaram dan berminyak hingga lembut. 2. Gaul udang, jus lemon, pasli, cili, bawang putih (ketuk), minyak dan garam. 3. Panaskan kuali atas api sederhana, masukkan campuran udang. 4. Masak 3 min atau hingga udang masak. Keluarkan udang dan bawang putih. 5. Perlahankan api, masukkan 60 ml minyak. 6. Bubuh anchovies, bawang putih dan kacau supaya anchovies hancur. 7. Toskan spageti, gaulkan dengan sos tadi. 8. Bubuh udang bergoreng dan kacau rata. Angkat dan taburkan pasli.
:: Spageti Olio menghias kulit buku Selera MMVitaoils. Sedap disajikan panas-panas. Anchovy fillets boleh dibeli di dalam tin di pasaraya besar, Cold Storage atau Hock Choon (sebelah Victoria Stn Jalan Ampang) ::

Wednesday, February 18, 2009

Tawaran Istimewa

TAWARAN ISTIMEWA!! Buku masakan 'Kuih Melayu Manis & Pedas' mengandungi 60 resepi pelbagai kuih manis (sweet) serta kuih savoury (pedas). Sangat bermanfaaat sebagai khazanah warisan masakan kerana resepi lama dan baru sesuai untuk sebarang majlis dan perayaan. Manakala buku masakan 'Hidangan Mengandungi Roti' dengan 60 resepi daripada pelbagai jenis roti serta serbuk roti (puding, sandwic, kek dll). Kedua-dua buku berharga RM39.90 (setiap satu) kini ditawarkan pada harga RM33.00 saja (setiap satu) termasuk belanja pos berdaftar/penghantaran. Buku 'Seni Menghias Kek' ini pula mengandungi 50 jenis hiasan kek lengkap dengan gambar langkah demi langkah cara membuat setiap hiasan daripada pelbagai jenis aising termasuk fondan, ganache, royal dll. Harga pasaran RM62.40. Kini boleh dipesan terus melalui e-mel pada harga RM50.00 termasuk belanja pos berdaftar/penghantaran. :: Tawaran ini terhad ::

Saturday, February 14, 2009

Demo Memasak

Minggu lepas saya dijemput oleh AJK Surau Al-Amin, Fasa 7, Taman Seri Gombak untuk mengadakan kelas masakan kepada kaum wanita. Seramai 36 orang hadir untuk kelas yang bermula jam 3.00 ptg itu. Mereka meminta saya mendemokan dua jenis masakan iaitu Chicken Pie dan Tiramisu. Pihak surau juga menyediakan laksa dan teh-O selepas kelas berakhir. Mereka berminat belajar membuat Tiramisu kerana ia agak mahal jika dibeli di kedai.

Sedang memberikan penjelasan tentang pelbagai kemusykilan yang dikemukakan oleh hadirin. Mereka berkumpul untuk mengeratkan silaturrahim di samping belajar sesuatu yang baru. Saya terharu dapat menyumbangkan sedikit masa dan tenaga serta gembira melihat keceriaan juga jalinan kemesraan di wajah mereka yang datang.

Tuesday, February 10, 2009

Telur Sotong

Pernahkah anda menikmati sepiring telur sotong goreng kunyit? Sukar untuk menceritakan kesedapannya kerana dengan setiap kali kunyahan, telur sotong akan "cair" di dalam mulut...Ia diperap terlebih dulu dengan sedikit jintan manis, jintan putih, halba dan serbuk kunyit (untuk lebih 'asli', tumbuk kunyit segar bersama garam hingga lumat). Biar selama 1 jam.

Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih cincang hingga wangi kemudian masukkan telur sotong tadi. Kacau dan tambah sedikit air. Bila telur masak, bolehlah diangkat. Memang seeeeedaaaap kalau disajikan dengan nasi, roti, capati atau naan. Tapi, ada satu masalah besar, hehe, mana nak beli telur sotong? (Lupa nak tanya kedai mamak kat Jitra ni, mana dia dapat supply...)

:: Boleh ganti dengan telur ikan tapi kesedapan tak sama ::


Wednesday, January 28, 2009

Murtabak Lapis

Bahan-bahan:
400 gm daging kisar
3 camb rempah kari
300 g bawang besar, dadu
3 ulas bawang putih + 3 biji bawang merah + 2 cm halia, kisar
3 camb minyak
250 ml air
45 kpg biskut cream crackers
300 ml susu cair + 400 ml santan (1 kelapa)
6 biji cili merah, cincang
6 tangkai daun bawang, cincang
4 biji telur, pukul
4 camb mentega
garam, serbuk lada sulah secukupnya

Cara membuat:
1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan rempah hingga wangi.
2. Masukkan daging, kacau 3 minit. Tuangkan air, kacau sekali-sekala.
3. Bila kering, masukkan bawang besar, garam dan serbuk lada sulah. Kacau hingga bawang layu kemudian angkat.
4. Alas dasar tin 25 cm dengan foil. Lengser marjerin.
5. Celup beberapa keping biskut dalam campuran susu-santan, susun di dasar tin (9 keping setiap lapisan).
6. Taburkan 1/5 daging, daun sup, cili dan telur. Ulangi hingga 5 lapisan yang sama.
7. Tuangkan baki santan-susu hingga separas biskut. Letak mentega di atasnya.
8. Bakar pada 200 C selama 45 minit atau hingga masak. Biar sejuk sebelum dipotong.

Friday, January 9, 2009

Beriani



Selain beriani, ada orang menyebutnya beriyani atau beryani. Walauapapun sebutannya, kita sering membayangkan ia sebagai hidangan nasi yang harum dan berempah. Lazimnya, Nasi Beriani dimasak bersama lauknya sekali. Daging lembu, kambing atau ayam menjadikan hidangan Nasi Beriani lengkap dan tidak memerlukan lauk-pauk yang lain. Namun begitu, ia menjadi lebih sempurna dengan pilihan acar.

Apakah yang membezakan Nasi Beriani dan Nasi Minyak? Nasi Minyak lazimnya berwarna kekuningan. Ia dimasak dengan minyak sapi, minyak, marjerin atau campuran semuanya. Adalah dikatakan bahawa nasi yang dimasak dengan marjerin akan menjadi lebih harum dan kuning. Sedangkan yang dimasak dengan minyak sapi lebih lemak tetapi agak memualkan.

Untuk rasa Nasi Minyak yang asli, gunakan minyak sapi dan minyak. Jadi, bau minyak sapi kurang ketara. Kunyit serbuk memberikan Nasi Minyak warna kuning yang asli berbanding dengan pewarna atau esen. Bahan yang mewangikannya pula adalah daun pandan. Ia berbeza dengan Nasi Beriani yang menggunakan air mawar sebagai pewangi. Air mawar boleh dibeli di dalam botol dan direnjiskan ke atas nasi setelah ia masak.

Nasi Beriani mesti menggunakan rempah beriani. Ia boleh dibeli dalam paket, berbentuk serbuk, di kebanyakan pasaraya. Manakala rempah yang dikisar atau dimesin, berbentuk pes, boleh dibeli dari penjual berbangsa India di pasar basah.

Selain rempah, bahan utama dalam masakan Nasi Beriani adalah beras Basmathi. Beras jenis ini panjang dan tidak meresap banyak air. Jadi, ia lebih berderai dan tidak melekit kecuali jika terlalu banyak air digunakan. Beras Basmathi jenis terbaik, panjang dan paling ‘lembut’ setelah ditanak tentulah yang paling mahal harganya.

Rempah tumis yang tidak boleh ditinggalkan dalam penyediaan Nasi Minyak dan Nasi Beriani adalah kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Setelah harum, dimasukkan pula campuran bahan tumis seperti bawang merah, bawang putih dan halia yang dikisar atau ditumbuk. Ketika ini, sangat penting untuk mengacau selalu. Anda juga mesti memastikan campuran bawang berubah keperangan dan hampir garing. Jika tidak, nasi menjadi kurang sedap.

Untuk memendekkan masa memasak, beras Basmathi selalunya direndam selama 2 jam. Kemudian mesti ditos dan dibiarkan di dalam penyejat. Ada dua cara untuk menanak Nasi Beriani. Pertama, didihkan air bersama rempah dulu sebelum memasukkan beras. Kedua, beras digoreng di dalam rempah hingga bersalut elok dengan minyaknya. Kemudian barulah dituangkan air.

Selain daripada air, susu cair atau susu segar juga ditambah supaya nasi menjadi lebih lemak. Namun begitu, anda tidak perlu memasukkan terlalu banyak susu kerana kadang kala nasi sukar masak atau berkerak banyak. Dadih perisa asli juga membuat Nasi Beriani lebih lembut. Ia dimasukkan bersama air dan susu.

Herba lain yang akan membangkitkan aroma nasi ini adalah daun pudina dan daun ketumbar. Ia boleh dihiris halus atau dimasukkan begitu saja ke dalam nasi. Untuk keharuman yang berbeza, boleh cuba menggunakan hirisan daun kemangi, serai atau bunga kantan.

Nasi beriani menjadi lebih istimewa dengan campuran pewarna. Apakah petuanya supaya pewarna elok dan seimbang di dalam nasi dan tidak bercampur aduk? Caranya adalah dengan memastikan air nasi betul-betul kering. Kemudian perlahankan api ke tahap minima dan tutup periuk selama 5 minit. Buka penutup, titiskan pewarna jingga, kuning atau merah. Kemudian tutup periuk semula. Biar selama 10 minit. Akhir sekali, barulah dikacau dengan hujung senduk supaya butir-butir nasi tidak hancur.

Bahan sampingan Nasi Beriani adalah kacang pis, bawang goreng, kismis, sultana, gajus atau badam. Gajus dan badam hendaklah dibakar atau digoreng dalam sedikit minyak hingga keperangan. Sementara kismis atau sultana digoreng seketika hingga nampak menggelembung. Untuk Nasi Beriani berwarna gelap, gunakan sultana yang berwarna keemasan. Sementara kismis yang hitam adalah untuk Nasi Beriani yang agak cerah.

Satu petua supaya bawang goreng kekal rangup adalah menggaulkan ia dengan sedikit garam sebaik saja dikeluarkan dari kuali. Kacang pis dinginbeku (frozen) tidak perlu dicelur, memadai ditaburkan ke dalam nasi yang sudah kering airnya. Begitu juga sekiranya menggunakan kacang pis di dalam tin. Namun begitu, pis dari tin sangat lembut jika dibandingkan dengan pis dinginbeku.

Nasi Beriani paling popular tentulah Nasi Beriani Gam dari Johor. Ia sajian tradisi yang telah dikomersialkan dan digemari ramai. Menyediakannya juga agak rumit tetapi ia memang sedap kerana lauk dagingnya dimasak bersama-sama dan dilapiskan dengan renjisan air mawar.

Nasi Beriani Ayam

30 ml minyak
40 gm minyak sapi
1 batang kulit kayu manis }
3 kuntum bunga cengkih } A
2 kuntum bunga lawang }
2 biji buah pelaga }
1 camca besar rempah beriani
¼ camca teh serbuk kunyit
6 keping kepak ayam
200-250 ml air
800 ml air } untuk nasi
100 ml susu cair }
3 helai daun pandan, dipotong 3 cm
500 gm Basmathi, direndam 2 jam
250 gm lobak merah, dihiris halus
Garam secukup rasa
Tomato (dadu), gajus, daun parsli (hiasan)

Bahan Kisar/tumbuk:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 cm halia

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak dan minyak sapi.
2. Tumis bahan A, bahan kisar, rempah beriani dan serbuk kunyit hingga wangi.
3. Bubuh kepak ayam, kacau hingga kering airnya. Tuangkan air dan tutup periuk.
4. Bila ayam masak, keluarkan. Kacau rempah tadi hingga hampir kering.
5. Masukkan air, susu cair, daun pandan dan garam.
6. Bila mendidih, bubuh beras dan lobak merah.
7. Masak hingga kering air kemudian tutup periuk.
8. Hidangkan nasi dengan ayam dan bahan hiasan.

Saturday, January 3, 2009

Resepi di MHI

PIZZA

Bahan-bahan

2 keping roti pitta

½ camca teh minyak

4 camca besar sos pizza

4 batang sosej, dihiris

½ biji tomato, dibuang empulur & dadu

30 gm sayuran campur, dicelur

40 gm keju Mozarella, diparut

½ camca teh oregano kering

Cara membuat

1. Sapukan minyak ke atas pitta.

2. Ratakan sos pizza. Susun sosej, tomato dan sayur campur.

3. Taburkan keju dan oregano.

4. Bakar pada suhu 200 C selama 10-15 minit.

BAN TELUR

Bahan-bahan

3 biji ban

2 biji telur, direbus

1 camca besar mayonis

1 camca besar sos Thousand Island

½ biji timun, dihiris

½ biji tomato, dibuang empulur & dadu

3 helai daun salad

Garam, serbuk lada sulah

Cara membuat

1. Satukan telur, mayonis, sos Thousand Island, garam dan serbuk lada sulah.

2. Campurkan dengan timun dan tomato.

3. Letak daun salad di dalam ban.

4. Sudukan inti telur ke dalamnya.

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez