Kosmo!, UMS berkongsi ilmu
Lebih banyak penganjuran aktiviti bersama diharap dapat digerakkan di antara akhbar Kosmo! dan UMS pada masa depan.
OPERASI di bilik berita Kosmo! menarik perhatian para pegawai Bahagian Komunikasi Korporat UMS.
KELAINAN pengisian berita dan rencana akhbar Kosmo! yang berbeza dengan akhbar-akhbar kompak tempatan yang lain mendorong sekumpulan pegawai dari Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkunjung ke pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat UMS, Norti Sirin, berkata, lawatan tidak rasmi ini diadakan bagi memberi peluang kepada para pegawainya berkongsi ilmu tentang penerbitan akhbar.
Menurutnya, lawatan ini memberi peluang kepada para pegawai dari bahagian itu memahami budaya kerja wartawan dan penulisan berita serta rencana akhbar Kosmo!
Katanya, ini kerana bahagiannya turut mempunyai seksyen untuk penulisan berita menerusi penerbitan majalah kampus, Suara Sepanggar dan penyampaian radio kampus UMS.
"Memang di Sabah, tiada akhbar Kosmo! dipasarkan. Tetapi kami tetap mahu melawat pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur kerana begitu tertarik dengan kelainan yang terdapat pada akhbar ini.
"Pengisian berita terutama bahagian rencana, bukan sahaja menarik malah dipenuhi informasi yang padat dengan cerita-cerita yang bagus,'' katanya.
Lawatan ini turut disertai Jakaria Dasan dari Seksyen Perhubungan Awam dan Penerbitan Korporat, Hayati Salleh Baihaki (Seksyen Perhubungan Pelanggan dan Pengurusan Majlis), Feria Lee (Seksyen Radio UMS), Nor Azahyati Drus (Seksyen Pentadbiran dan Kewangan) dan Salbinous Saribun (Ketua Unit Media dan Publisiti).
Selain pejabat Kosmo!, mereka turut melawat Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kementerian Pengajian Tinggi, stesen radio Hotfm dan Media Prima.
NORTI SIRIN (berdiri tiga dari kiri) bersama para pegawainya yang melawat pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Norti, pihaknya memang telah lama menjalin kerjasama dengan akhbar Kosmo! menerusi ruangan Akademi yang disiarkan pada setiap hari Selasa.
Selain itu, katanya, lawatan Pengarang Rencana Kosmo!, Rohana Man ke kampus UMS pada bulan Ogos lalu turut mengukuhkan jalinan kerjasama yang wujud.
Beliau berharap lebih banyak penganjuran aktiviti bersama dapat digerakkan di antara akhbar Kosmo! dan UMS pada masa depan.
Mengenai lawatan di lokasi lain, pihaknya melawat UPM dan UiTM kerana kedua-dua institusi itu turut mempunyai radio kampus.
"UMS juga mempunyai radio kampus dan kami dapat berkongsi banyak perkara mengenai stesen radio masing-masing. Manakala Hotfm pula merupakan radio yang semakin popular di seluruh negara,'' ujarnya.
Sementara itu, Jakaria berkata, lawatan ini akan terus mengukuhkan lagi hubungan Kosmo! dengan UMS.
"Kami menantikan cadangan aktiviti bersama akhbar Kosmo! dan UMS. Mungkin kita boleh mengadakan lawatan ke pos penyelidikan UMS di Long Pasia pada tahun hadapan,'' katanya.