Friday, October 28, 2011

Zulhijjah & IdilAdha


KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).
Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :
"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

 

AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.
d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.
f)  Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut  :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan ) 


POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 ) 

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. 

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban. 
 
TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.  [2]
Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat. 

Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37) 


KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama" 

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya. 

PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]
Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]
DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim. 

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini. 

http://zaharuddin.net
 ---------- 


PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)
Bilakah hari ‘Arafah? Apa dalil bagi kelebihan puasa hari ‘Arafah?

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Friday, October 21, 2011

jom, ke program KAMU!


aurat wanita II

Larangan Bertabarruj

Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An Nur:60 iaitu Firman Allah, “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan (tabarruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [An Nur:60]

Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah, “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [Al Ahzab:33]

Dan Hadis Rasulullah  riwayat dari Bazzar dan At Termizi menjelaskan, “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya”.

Abul A’la al Maududi berkata, “Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna :

(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);

(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].

Penutup

Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat dalam hayatul khassah (kehidupan khusus) dan hayatul am (kehidupan umum) menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian.

DALIL-DALIL TENTANG AURAT WANITA


Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Taala, “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya” [An Nur:31].

Yang di maksud (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "Janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan". [Lihat Abu Bakar Al Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].

Selanjutnya, kalimah (kecuali yang (biasa) nampak darinya), ini bermaksud ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah.

Ibnu Jarir At Thobari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami' Al Bayan fi Tafsir Al Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al Qurtubi dalam kitab tafsirnya Al Jamia li Ahkam Al Qur’an, Juz XII hal. 229. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi S.A.W sedangkan Baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Quran.

Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah  kepada Asma’ binti Abu Bakar, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya” [HR Abu Dawud]

Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life)

Yang dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana wanita itu berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur dengan masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya terdiri dari dua jenis iaitu :

  • libaas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan;
  • libaas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).
Dengan dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam kehidupan umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus, taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah, “Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka melebarkan jilbabnya” [Al Ahzab:59].

Oleh sebab Al Quran berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap orang.

Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al Mu’jam Al Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats tsaubul musytamil ala al jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al mula’ah asy tamilu biha al mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).

Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar lalu dilebarkan sehingga ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada.

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah, “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [An Nur:31].

Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan 'am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan.

Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti. 

Pakaian wanita dalam Hayatul Khassah (Kehidupan Khusus/private life)

Yang dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana seseorang wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan anggota keluarganya yang lain. Adapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan peribadi, syara' tidak menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firman-Nya, “wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An Nur:31]

Atau sabda Nabi, “lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].

Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di bawah).

Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum memakainya.

**bersambung.

Apakah Izzah (kemuliaan) Masih Dimiliki Umat ?


”Jangan kamu merasa hina dan susah, kamu adalah orang-orang yang LEBIH TINGGI kalau sekiranya kamu benar-benar BERIMAN.” (Al Imran : 139)

Cermin keadaan umat masa kini adalah cermin retak, dimana hampir di setiap lapangan kehidupan, baik fizikal, kebendaan, ketenteraan, budaya, ilmu pengetahuan, dan sosio ekonomi, umat Islam tertinggal jauh dari bangsa yang kafir. Umat di hari ini kalah bukan saja di lapangan material, tetapi juga dalam lapangan mental dan spiritual. Umat Islam terinjak dan terhinakan. Demokrasi, keadilan, persamaan hak, sudah menjadi kata kosong yang terlucuti maknanya, sedangkan ia dituntut oleh umat Islam.

Lalu, apakah izzah (kemuliaan) masih dimiliki umat ? Apakah syaja'ah (keberanian) dapat dibangkitkan dalam menghadapi tekanan di sana-sini ? Atau hati kecil kita akan berkata, bahawa Allah sudah tidak mahu lagi menggembirakan orang-orang beriman.

Apakah Allah tidak suka lagi menolong kaum yang berserah diri, dan Allah sudah tidak lagi menepati janji-Nya ? Masyaallah, naudzubilah min'zalik, kalau ada sebutir zarah dalam kalbu yang berisi dugaan pasif seperti itu. Firman Allah SWT:

“Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, namun kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Ruum: 6).
Janji Allah pasti datang kalau manusia mengetahui. Apa yang mesti diketahui ? Yakni prasyarat bagi terlaksananya janji Allah!

Pra Syarat Kebangkitan
Kalau umat terdahulu digembirakan dan Allah membantu mereka, perkara itu tidak lain kerana mereka patuh, kerana semangat penghambaan telah kental dalam kalbu mereka, hati mereka telah pekat dalam warna tunggal sibghatullah. Kerana kepatuhan itulah Allah menjadikan mereka umat terbaik, umat yang tinggi berbanding dengan umat-umat yang lain.

Umat di hari ini menjadi kalah, terhina adalah kerana tidak lagi memiliki izzah, kebanggaan kepada dirinya, pada jati diri Islam yang kental. Bandingkan dengan kegagahan Rubai’ ketika menghadapi Panglima Rustum dari kerajaan Parsi, yang mewah dan mendominasi kekuasaan. Dengan lantang dan tegas Rubai’ mengajukan alternative Islam, meski dia dengan penampilan yang sederhana sementara Rustum dengan seperangkat mahkota. Rubai’ merasa bangga dengan imannya dan keimanan itulah yang mengangkat manusia pada kedudukan tinggi, hanya orang bertaqwa yang kedudukannya tinggi di mata Allah.

"Jangan kamu merasa hina dan susah, kamu adalah orang-orang yang LEBIH TINGGI kalau sekiranya kamu benar-benar BERIMAN" ( Al Imran : 139 )

"Adalah kamu (umat Islam) itu SEBAIK-BAIKNYA UMAT yang ditampilkan bagi segenap manusia, dimana kamu melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar, dan kamu BERIMAN kepada Allah." ( Al Imran : 110 )


Dengan jelas firman Allah melarang umat Islam untuk berendah diri dan merasa hina. Apapun kekalahan menimpa baik ketika saat Perang Uhud mahupun perang intelektual dan material di hari ini, umat Islam tidak boleh merasa hina dan terhinakan, kerana umat Islam LEBIH TINGGI dan merupakan SEBAIK-BAIKNYA UMAT.

" Umat islam lebih tinggi dan sebaik-baiknya umat ".

Ini adalah kenyatan dari Allah, Rabb, Khalik, dan Malik manusia, sudah pasti bukan kenyataan kosong. Allah tidak akan pernah menyalahi janji-Nya. Umat Islam akan berada pada kedudukan tinggi hanya setelah umat Islam mengabdikan dirinya kepada Allah Yang Tertinggi dan tidak pada hawa nafsu. Ertinya umat Islam saja yang mampu berjalan di bumi dengan bebas dari ikatan hawa nafsu taghut. Bukankah budak hawa nafsu sangat rendah kedudukannya ?

Hanya umat Islam saja yang melaksanakan hukum Allah di bumi, hukum yang lurus, hukum dari Al Hakim, dan menyingkirkan hukum-hukum produk manusia dan hawa nafsu. Hanya umat Islam saja yang menjadi pemimpin di bumi, khalifah yang adil dan bijaksana, yang tidak menindas minoriti ketika menjadi majoriti, yang tidak menekan si miskin ketika menjadi kaya-raya. Hanya umat Islam saja yang amar ma'ruf nahi mungkar.

Lantas, mengapa ketinggian posisi umat Islam itu tidak nampak? Mengapa keanggunan wajah Islam tidak merealiti, tidak membumi?

Jawabnya kerana prasyarat yang Allah kuatkuasakan belum terpenuhi; beriman kepada Allah. Akhir dua ayat di atas menyatakan demikian. Ini kerana hanya dengan keimanan yang murni, tauhidul aqidah, maka umat Islam baru dapat membebaskan diri dari hawa nafsu; baru dapat menegakkan hukum Al Hakim di bumi; baru dapat beramar ma'ruf nahi mungkar; baru dapat menjadi khalifah fil ardh. Hanya dengan keimanan yang tinggi sebagaimana generasi pertama, umat Islam dapat mengembalikan wajah anggunnya. Tidak ada lain hanya dengan kebanggaan iman.

Friday, October 14, 2011

ADAB BERMUSAFIR ikut Sunnah Rasulullah

Antara perbuatan/sunnah Rasulullah dalam bermusafir ni
  • Rasulullah suka musafir pada hari Khamis dan bukan Jumaat. “Rasulullah s.a.w berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.” (Riwayat Bukhari)
  • Melantik ketua jika perjalanan 3 orang atau lebih.  “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (Riwayat Bukhari)
  • Solat sunat musafir 2 rakaat sebelum bergerak. Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi s.a.w berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”
  • Membaca doa sewaktu keluar rumah, naik kenderaan. Sabda Rasulullah s.a.w, seperti diriwayatkan Tirmidzi, bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam perjalanan dan doa orang tua terhadap anaknya.”
  •  Mula pergerakan waktu malam.  “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (Riwayat Abu Daud)