
M
enyusuri sejarah kekejaman Pol Pot
Pakcik Rahim dan Makcik Zaharah. Tanpa kalian tak mungkin ku melihat keaslian ini

Angkor watt

Kedamaian Ton le Sap
Penerbangan ke ibu kota negara Kemboja, Phnom Penh selama dua jam tidak terasa. Mungkin sebab aku tidak menjangkakan apa-apa dari sana. Kosong. Di samping keletihan yang masih terasa selepas enam purnama merantau ke nagara orang. Aku seperti mahu membatalkan niat ke Kemboja, namun atas pujukan dan desakan adik-adik, aku pasrah dengan rancangan asal.
Kerana tidak meletak apa-apa jangkaan, aku tidak terkejut apabila kapal penerbangan Air Asia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh yang rupa bentuknya tak kurang seperti lapangan terbang di Kepala Batas, Alor Setar. Mungkin lapangan terbang di negeri lain di Malaysia jauh lebih besar dari itu. Lalu lintas seperti sesuka hati dan sesedap rasa. Nyata, masih belum ada sistem yang baik di sini. Kebanyakan kenderaan adalah motosikal. Seperti segerombolan kambing yang terlepas dari kandang, begitulah dapat aku gambarkan, banyaknya motosikal yang memenuhi jalanraya berbanding kenderaan lain.
Beberapa hari yang telah dijadualkan kami berjalan di sekitar bandar Phnom Penh dan Siem Reap yang terdapat beberapa destinasi tumpuan pelancong. Termasuklah merentasi Sungai Ton le Sap, mandi di Sungai Mekong, merasai cengkerik goreng buat pertama kali serta menyusuri sejarah kekejaman Pol Pot dan melihat pembinaan Angkor wat yang sangat besar. Tiada apa yang bisa menarik hatiku selain sejarah dan tamadun manusia kerana senibina lebih tertumpu kepada patung-patung yang menjelekkan (patung bermata bulat garang, bergigi taring, dll).
Selebihnya kami menghabiskan masa 10 hari di perkampungan Islam. Di sinilah segala-galanya bermula. Di sinilah baru aku merasakan. Pertama kali menjejaki bumi Kemboja, hati terus terpaut. Seperti jatuh cinta pandang pertama. Keramahan, kebaikan, kesungguhan serta harapan muslim Kemboja telah mencuri hatiku. Lalu dipegang erat dan kuat.

Di sebuah kampung di daerah Pursat
Mereka seolah-olah membawa harapan baru dalam hidupku. Mungkin agak keterlaluan untuk aku katakan begitu. Namun walaupun aku biasa melaluinya dan pasti, rasa itu tak akan kekal lama tapi sekurang-kurangnya aku masih punya harapan untuk meneruskan lagi kehidupan ke satu ruang yang lebih luas. Bukan untuk diri sendiri, malah orang lain. Begitulah pentingnya harapan dalam kehidupan seseorang.
Apa istimewanya mereka?Berhati bersih, suci. Asli. Tidak banyak pengaruh yang kotor merosakkan lahir dan batin seorang insan. Tidak sepertiku, yang terlalu banyak terdedah dengan unsur luar. Tidak asli. Plastik... Semakin hari semakin banyak kelemahan ku rasai dek kerana kemodenan, kecanggihan, keterbukaan. Sehingga aku lupa asal usul kejadianku. Betapa banyak kerosakan di muka bumi ini yang dilakukan oleh manusia-manusia berhati rakus. Lemah nya aku tak mampu berbuat apa-apa. Bagaimana hendak menolak semua ini? Kemajuan yang membebankan, meragut ketenangan jiwa, meragut rasa kasih dan simpati sesama manusia. Meragut keindahan, kehijauan alam yang damai. Apa lagi yang tinggal untuk generasi akan datang? Setelah semuanya diragut.
Betul kan... kita sekarang hidup untuk diri sendiri. Sibuk kejar harta. Sibuk kerja membayar hutang. Sibuk sana. Sibuk sini. Kehidupan seolah-olah menjerat kita. Kehidupan seolah-olah telah membentuk kita untuk jadi seperti kita hari ini. Sedangkan bukan itu tujuan kita hidup dan dijadikan di muka bumi ini. Sesak nya fikiran dan hati...
" Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." ar-Rum:41
Kerana itulah aku terlihat akan keaslian bumi Kemboja. Jauh dari kehidupanku yang semakin menyesakkan di sini. Sistem barat dan dajjal yang menyesatkan, membunuh, membebankan, menyusahkan...oh Tuhan, berikanku pedoman. Berikanku kekuatan.
Cukuplah aku simpulkan sebuah kembara yang menginsafkan. Benar.
Perjalanan pulang ke tanah air merupakan sebuah lagi pengalaman baru bagiku. Jika pergi aku menaiki pesawat, tetapi pulang aku telah menaiki keretapi pertama dari sempadan Kemboja-Thailand di Arnyaprathet ke Bangkok. Keretapi kedua dari Bangkok ke Hatyai (bermalam di dalam keretapi) dan keretapi ketiga yang terakhir dari Hatyai ke KL Sentral menaiki KTM (bermalam dalam keretapi). Pengalaman pulang merentasi Thailand selama dua hari dua malam yang menakjubkan.
Setibanya aku di KL Sentral, ketika keluar dari perut KTM, hampir hilang segala memori di bumi salji yang pada fikiranku adalah yang terindah. Begitu hebat penangan Kemboja terhadapku. Benarlah jika kita digalakkan mengembara, melihat alam dan bumi Allah yang maha luas.

Kenangan bersama pelajar Madrasah Kampung Chor Keng, wilayah Cham