Salam wbt.
Allahu Rabbi..dah masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan 1435. Sekejap sungguh masa berlalu dan kedatangan Ramadhan bakal tiba ke penghujungnya. Allah beri masa 30 hari untuk bersama bulan mulia bagi mencari diri serta redhaNya. Apakah telah aku jumpa?
Ujian datang dan pergi. Ujian Ramadhan kali ni tak kurang hebatnya. Moga inilah cara untuk lebih dekatkan diri dengan Dia, memohon dan meminta tanpa jemu dan tak putus asa. Tatkala dirasakan ujian kepada diri sendiri sudah besar, ternyata Allah menduga lebih lagi ke atas orang lain. Maka, bersyukurlah.
Dunia khususnya masyarakat beragama Islam, sangat-sangat terkesan dengan serangan Israel yang bertubi-tubi ke atas Gaza. Rakyat Palestin diperlakukan dengan kejam dan diuji hebat. Betapa besar jihad mereka mempertahankan tanah air tercinta. Ramai yang syahid menemui yang Esa. Tatkala kita berbuka puasa di dunia, mereka pula telah bergembira di syurga.
Duka masih belum hilang sepenuhnya dengan misteri kehilangan MH370, kini Malaysia diuji lagi dengan tragedi MH17. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui ya Allah. Lemahnya kami, hibanya hati mendapat khabar sebuah lagi kapal terbang milik negara terhempas di Ukraine kerana dipercayai telah ditembak oleh pihak pengganas. Meski tiada ahli keluarga serta kenalan yang terlibat, namun ia kehilangan yang amat besar dan terkesan di hati kami sebagai rakyat Malaysia.
Begitu banyak yang terjadi di dunia masa kini. Terkadang lelah walaupun hanya dalam memimpin diri sendiri untuk terus menapak mencari jalan yang diredhai. Ya Allah, beri kekuatan buat kami, tunjukkan jalan kebenaran, sinarkan hati kami dengan keimanan. Peliharalah kami dari kejahatan dan kemungkaran. Kau berikanlah kemanan buat Palestin, hancurkan rejim Zionis dan berikan kemenangan buat Islam. Kau berikan ketabahan buat keluarga serta kenalan para penumpang MH17. Jangan biar kami tersasar walau sedikit dari jalan Mu serta pimpinlah kami ke syurga Mu..Temukan kami dengan Lailatul Qadr dan ampunkanlah segala khilaf dan dosa kami. Mudah-mudahan kami tidak menjadi orang-orang yang rugi kerana tidak mengambil seluas-luas peluang yang Kau beri buat kami dalam bulan Ramadhan kali ini..
Ameen ya Rabbal 'Alamin..