Salam wbt,
Terkejut ketika membaca status-status di FB sekembalinya ke rumah. Hati yang riang kerana menyambut cuti yang baru bermula tiba-tiba bertukar sayu dan duka.
Rasa baru semalam mendengar talk yang disampaikan oleh beliau. Kata-katanya penuh bersemangat serta senyuman terukir ikhlas di wajah melindungkan sakit yang di dalam. Sungguh, beliau seorang lelaki yang sangat tabah dan kuat dalam mengharungi dugaan daripadaNya. Meskipun sakit yang dihadapinya boleh dikatakan salah satu daripada penyakit yang agak serius, beliau tetap meneruskan hidup dengan sepenuh pergantungan kepada Allah. Malah mampu bergelar seorang doktor! MasyaAllah..
Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati dan kembali jua kepada Tuhannya. Itu janji Allah SWT yang tak mungkin dapat diubah oleh sesiapa. Baru beberapa hari lepas mendengar khabar beliau dimasukkan ke ICU, hari ini aku mendapat berita tentang pemergiannya ke rahmatullah.
Saudara Mas Afzal Masaruddin, bukan sekadar seorang doktor dan lelaki biasa, beliau juga seorang da'ie dan pemberi semangat buat anak-anak muda yang lainnya. Doa dititip buatmu, moga kau tenang di sisinya, dan ditempatkan dalam kalangan para mu'minin dan solihin. Ameen ya Rabbal 'Alamin.