Salam~
Pejam celik, pejam celik, tanpa disedari kita semua telah melangkah ke satu tahun yang baru, 2010.
Tak pernah aku sangka tahun 2009 telah berlalu dan sesungguhnya banyak kenangan, cabaran serta perubahan yang terjadi dalam jangka masa tersebut.
Alhamdulillah, aku telah melaluinya dan akhirnya aku tiba ke satu era baru yang mana masih aku tidak tahu bagaimanakah perjalanan hidup aku selepas ini.
Apa yang pasti, aku yang harus memulakan langkahku dan tidak hanya membiarkan masa yang tidak akan pernah berhenti ini membunuh segala impian dan cita-cita.
Azam mungkin boleh diperbaharui setiap tahun, tapi sejauh mana kita akan melaksanakannya, terpulang pada kemahuan dan diri sendiri. Kadangkala, terasa teruk juga kerana asyik membawa azam yang sama tahun demi tahun tanpa berjaya melaksanakannya.
Bagaimanapun, usah merasa letih dan mudah mengalah kerana sesungguhnya kita masih diberi peluang untuk merasa nikmat hidup serta masih dipanjangkan umur untuk melalui tahun baru 2010 ini. Bererti ini adalah peluang yang harus kita rebut dan manfaatkan sepenuhnya.
Apatah lagi tahun baru kali ini jatuh pada hari mulia, Sayyidul Ayyam yakni hari Jumaat serta kita semua juga baru sahaja melangkah ke tahun baru Hijrah 1431.
Lambaian akhir buat 2009, kenangan serta memori yang pernah tercipta akan tetap mekar di hati dan menjadi panduan untuk hidup yang lebih baik di tahun yang baru.
Mengalu-alukan kedatangan 2010, moga tahun ini memberi sinar baru buat kita semua.
" Selamat Tahun Baru 2010! " =)