Memanusiakan rakyat seharusnya diambil cakna oleh mereka yang masih boleh mendengar, yang terang matanya dan bersih hatinya. Dalam menentukan arah penujuan bangsa, keputusan penubuhan parti mahasiswa yang diambil oleh lapisan komuniti mahasiswa wajar dipandang dan di bincang serius. Di bincang serius bukan untuk membunuh watak , di bincang serius bukan untuk diancam dan di bincang serius bukan untuk di peleceh watak mahasiswa yang penuh idealisme, tetapi di bincang serius bagi memberikan ruang yang lebih adil dan bermakna buat memanusiakan manusia. Kerana kita percaya dan yakin inilah generasi yang bakal berdiri pada ketika terbit fajar 2020.
Kita melihat, rakyat juga melihat kewajaran hasrat mahasiswa untuk menubuhkan Parti Mahasiswa Nasional (PMN). Kata-kata ancaman untuk menggunakan AUKU adalah kata-kata orang yang angkuh dan sombong. Selagi ada pihak yang memandang sebelah mata terhadap mahasiswa, selagi itu mereka buta. Buta mata mereka, pekak telinga mereka dan cacat anggota mereka. Adakah mereka tidak reti untuk mendengar? Adakah mereka tidak reti untuk melihat? Dan adakah mereka tidak reti –reti untuk berfikir?
Jangan dipandang mahasiswa sebelah mata. Di tangan mahasiswa akan ditentukan wawasan 2020 itu. Di tangan mahasiswa akan ditentukan arah tuju bangsa kita. Jika tidak masakan yang di atas begitu sibuk memantau. Merekalah generasi yang akan membina wawasan itu. Maka jangan runtuhkan mereka dengan pendekatan yang tidak membina dan busuk. Jangan runtuhkan mereka dengan menyempitkan ruang. Jangan sempitkan mereka dengan ugutan dan ancaman. Kelak nanti rosak bangsa kita! Biarkan mereka belajar, biarkan mereka rasai sendiri awalan politik itu dalam kelompok mereka. Apa salahnya untuk mereka menerjah kepada politik luar setalah sekian lama bergelumang dengan politik kampus. AUKU yang ada ibarat gari dalam rumah sendiri. Jangan gari mahasiswa kita, bebaskan mereka, nanti mereka tahu menang kalahnya dalam pilihan raya. Di saat yang di atas sekarang memandang sebelah mata, mereka sebenarnya lupa, pada terbit fajar 2020 kelak, yang ada di atas ini akan merangkak di sana penuh dengan tidak berdaya, tetapi mahasiswa akan bisa berlari pada waktu fajar itu mencerah untuk pagi 2020. Yang tutup sebelah mata maka mereka buta dan akan terhegeh-hegeh pada fajar itu menyingsing tatkala mahasiswa berupaya untuk mendepani dan melihat zaman itu. Mahasiswa perlu didamping, ajak mereka berdamping bukan untuk membodek, tapi ajak mereka berdamping dengan berikan mereka ruang buat memanusiakan diri.
Bukankah PMN itu merupakan didikan awal! Adakah perlu dibunuh platform didikan awal dengan AUKU seperti kuku kejam itu? Adakah tidak perlu tadika untuk politik? Kalau dalam politik tidak boleh kepada tadika, tutup sahaja tadika, kemas, pasti dan taksi yang ada! Apakah takut dengan tadika?apakah takut dengan yang mahu masuk tadika? Apakah level orang yang takut ini? Adakah mereka tidak pernah pergi tadika? Apakah seksyen 15 tidak punyai kontradiksinya dengan Perlembagaan? Di tambah pula para doktorat di kampus yang tidak tahu untuk mengkhabarkan kepada bapak menteri apakah keperluan sebenar mahasiswa! Kenapa takut dengan gagasan idea penubuhan Parti Mahasiswa Nasional (PMN)? Yang takut hanya yang buat dosa. Dosa ada pada bahu mereka, dosa ada pada belakang mereka dan dosa ada di kiri kanan mereka!. Kalau banyak dosa di kiri kanan kelibat sendiripun kita gerun.Apatah lagi kelibat orang lain. Kalu tidak ada dosa dan salah, berikan ruang pada mahasiswa untuk berpolitik dipencak perdana. Jangan sesekali kita kritik kerana kita takut. Tapi kita kritiklah kerana benar. Katakan Tidak pada untuk menghalang platform pendidikan awal politik terhadap mahasiswa ini. PMN adalah platformnya.
Berikan mereka ruang. Jangan miskinkan mahasiswa dengan ruang! Adakah sudah miskin dan tidak punyai apa-apa untuk yang di atas sehingga tidak sanggup untuk memberi kepada mahasiswa ruang! Mereka bukan minta wang tetapi yang diminta ialah ruang?Adakah sudah tidak cukup luas bilik di Putrajaya untuk mentamakkan seseorang bagi tidak memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menubuhkan parti?
Jika benar PMN mengancam keselamatan negara, tangkap sahaja mereka!jangan sekadar buang universiti, masukkan mereka ke dalam ISA, sumbat mereka ke dalam! Tapi jikalau sekadar hanya tidak mahu status qou tercalar, bukalah ruang buat mahasiswa berbicara dalam platform yang lebih baik. Biarkanlah mahasiswa menubuhkan parti, biarkanlah mahasiswa bertanding dalam pilihan raya, biarlah jikalau mereka menang ada wakil mereka dalam Parlimen, tidak ada salahnya, jika mereka tidak reti-reti buat kerja, maka tahulah rakyat mahu kerjakan mereka! Maka tahulah rakyat mahu mengajar mereka maka barulah terbukti benar hujah bapak menteri yang ada sekarang.
Ini bukan gimik politik, buat teman mahasiswa, jika mahu tubuh parti pastikan agenda rakyat jadi agenda parti, jika mahu bertanding, maka jadilah calon yang dalam mimpi dan nyata memikirkan tentang soal rakyat!
Bijak bukan untuk menunjuk, berani bukan untuk bergaduh, jalannya biarkan mahasiswa menubuhkan parti dan bertanding. Buat apa mahu takut? Mahasiswa yang ada ini bakal berada pada garisan wawasan 2020 dan selepasnya. Kalau mereka terus dimiskinkan ruang, maka apa lagi yang mahu kita harapkan daripada generasi pada garisan itu. Kaya ruang mereka, kayakan minda dan jiwa mereka. Pada ketika mereka ini kaya, mereka yang lain juga akan lebih kaya dan masyarakat kita akan lebih ada penujuannya dan aturannya. Lepasan garisan 50 tahun kemerdekaan akan diisi oleh golongan mahasiswa dan anak muda yang boleh berdiri penuh iltizam dan hasrat untuk melihat bangsanya maju, makmur dan ada arahnya. Penubuhan parti mahasiswa jika dapat direalisasi akan menjadi kayu ukur iltizam dan semangat mereka untuk membentuk masyarakat. Jangan sekat ruang untuk kita sendiri mengukur iltizam mereka! Salam Perjuangan. Pemberian ruang inilah yang akan lebih memanusiakan rakyat. Ruang buat akal, jiwa, pemikiran dan akhlak mereka.
Mohd Nazree Mohd Yunus
-dipetik dari http://www.umno-reform.com/-