Tuesday, February 28, 2012

Miri dan Brunei Pt 4

DAY 3 (2) - Brunei Darussalam


Brunei mempunyai rangkaian jalanraya yang agak baik. Dari sempadan kita boleh terus bergerak menuju ke Bandar Seri Begawan tanpa perlu melalui pekan-pekan yang kebanyakannya terletak berhampiran pantai. Jalan pintas ini bolehlah dianggap seperti lebuhraya, tapi masih ada jalan dua lorong dan sebahagiannya sedang dalam proses pembesaran.

Mercutanda pertama yang dijumpai setelah memasuki kawasan BSB ialah bangunan di bawah ini yang mungkin bangunan tertinggi di BSB. Kebanyakan bangunan di dalam bandar terutamanya yang terletak dengan masjid ketinggiannya tidak melebihi menaranya. Bangunan ini agak jauh dari pusat bandar.


Masa masuk Brunei saya tidak membawa peta atau GPS. Jadi semuanya main redah saja dan hanya berpanduakan papan tanda. Setelah berpusing-pusing akhirnya sampai juga ke pusat bandar. Lokasi pertama yang ditemui ialah Tamu Kianggeh yang terletak di tepi sungai.


Susah juga nak mencari parking di sini. Kami terus bergerak di kawasan  yang bertentangan dengan Kampung Air. Tempat parking semua penuh juga, jadi letak saja di tepi jalan. Nasiblah tak kena saman selama beberapa jam diletakkan di situ. Kami menyusuri kawasan tebing sungai hingga ke stesyen teksi air.


Ada beberapa saiz teksi air yang boleh di naiki bergantung kepada jumlah ahli rombongan. Perjalanan mengelilingi kampung air ini mengambil masa hampir sejam. Kita boleh minta untuk berhenti di sesuatu jeti tapi kami mengambil keputusan untuk terus saja. Keadaan pun bukan selesa sangat, faham-fahamlah kampung air.


Banyak rumah moden yang yang telah di bina dan keadaannya nampak selesa berbanding yang masih dalam keadaan asalnya. Stesyen minyak juga terdapat di kampung air ini.

Salah sebuah Masjid di Kampung Air

Sebahagian Istana Nurul Iman yang dapat dilihat dari Kampung Air.

Bandar Seri Begawan dIlihat dari Kampung Air.

Selesai mengelilingi Kampung Air, kami bergerak pula ke Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin iaitu salah sebuah Masjid yang tercantik di Asia. Apa yang unik tentang masjid ini ialah kubah utamanya yang diperbuat dari emas tulen. Ruang solat utamanya tidaklah begitu luas tetapi dibuat dengan sentuhan yang mewah.



Tidak jauh dari Masjid ini terdapat dua buah  Mall yang dihubungkan diantaranya melalui jalan bawah tanah. Keadaan di BSB juga tidak jauh berbeza dengan di tempat kita di mana terdapat ramai warga asing dari pelbagai negara dan mall di sini dijadikan tempat pertemuan mereka pada hujung minggu. Banyak kedai menjual souvenir di dalam mall ini, tapi kalau nak yang lebih murah boleh dibeli di kedai-kedai yang menghadap ke Kampung Air.


Kami beredar dari sini untuk ke Gadong yang terletak beberapa kilometer dari pusat bandar BSB dan seterusnya makan tengah hari sekali. Gadong merupakan sebuah kawasan komersil yang lebih happening berbanding di pusat bandar BSB. Banyak pusat membeli-belah di sini.


Kami keluar dari kawasan  Gadong pada jam hampir tiga petang untuk menuju ke Jerudong Park iaitu sebuah taman tema yang dulu perkhidmatannya adalah percuma. Jerudong terletak di jalan untuk menuju ke Miri. Nampak tamannya dijaga dengan agak baik tapi kawasan taman hiburannya telah pun ditutup. Rasa agak kecewa juga.


Oleh kerana dah berada di laluan ke Miri, kami terus ambil keputusan untuk balik ke sempadan. Malas rasanya nak mengulang ke BSB. Dalam perjalanan pulang kami mengambil jalan yang melalui pekan-pekan mulai dari pekan Seria hingga Kuala Belait. 

'Donkey' sedang mengepam minyak
Mesin pengepam minyak adalah pemandangan biasa di sini, tapi kalau nak melihatnya kenalah melalui jalan dalam yang merentasi pekan-pekan. Kalau dilihat dari segi bentuk mukabuminya macam tak percaya kat padang di sebelah rumah pun ada telaga minyak. Untung jadi rakyat Brunei.

Rumah-rumah di Kuala Belait
Di Kuala Belait kami singgah sebentar di masjidnya. Di Brunei, kebanyakan masjidnya mempunyai sistem hawa dingin berpusat dan sentiasa dibuka walaupun bukan waktu solat. Kami juga sempat singgah di pasar malam di Kuala Belait yang dibuka agak awal. Makanan yang dijual tidak jauh bezanya dengan yang terdapat di Miri. 

Jam lima petang kami keluar menuju sempadan. Agak masih awal lagi. Tapi rasanya cukuplah dulu buat kali ini. Sempadan Sarawak Brunei ditutup pada jam sepuluh malam. Jadi kalau sesiapa nak ke sana pandai-pandailah set masa supaya tak tersadai di sempadan.


Thursday, February 23, 2012

Miri dan Brunei Pt 3

DAY 3 (1) - Menyeberangi  sempadan

Seperti yang di beritahu sebelum ini, jika kita berhajat untuk masuk ke negara Brunei, minta pihak di mana kita menyewa kereta, menyediakan borang menyeberangi sempadan dan juga salinan geran kenderaan. Tujuannya supaya kita boleh bersiap terlebih dahulu dan boleh terus ke laluan imigresen. Manakala borang membawa kenderaan boleh didapati di kaunter kastam di sempadan.


Pagi ini kami bertolak agak awal menuju ke Sempadan Malaysia Brunei di Sungai Tujuh. Sungai Tujuh terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Miri. Ada dua jalan yang boleh diikuti untuk menuju  ke sini. Laluan pertama melalui pekan Lutong menuju ke Kuala Baram dan seterusnya ke Sungai Tujuh. Laluan kedua pula ialah melalui Pujut, Permyjaya dan Tudan  seterusnya ke sempadan. Laluan kedua jaraknya adalah lebih dekat.


Setelah keluar dari simpang untuk menuju ke Sungai Tujuh iaitu beberapa kilometer selepas itu kita akan berjumpa Jambatan Asean di Sungai Baram. Bayaran yang dikenakan ialah RM10. Plaza tolnya terletak di seberang sungai ini.


Tidak jauh dari sini ialah pusat pemeriksaan imigresen yang kelihatan masih baru. Pandu lalu ke arah kaunter dan serahkan pasport antarabangsa kepada pegawai bertugas. Di sini kita perlu menyerahkan salinan pas masuk ke Sarawak yang kita terima semasa di airport Miri. Oleh kerana kita sudah menyerahkan pas masuk di sini, jadi semasa balik di airport nanti kita perlu menggunakan pasport antarabangsa.


Selepas selesai urusan imigresen, pandu terus ke arah balai polis. Tak perlu berhenti di sini. Pandu seterusnya melalui jalan yang berbelok-belok sehingga ke pusat pemeriksaan imigresen Brunei. Pandu lalu dan serahkan pasport untuk di cop dengan entry visa sebagai pas lawatan sosial yang membenarkan kita tinggal di Brunei untuk tempoh maksimum sebulan.

Kompleks pemeriksaan imigresen Brunei
 
Seterusnya kita akan sampai ke pusat pemeriksaan kastam Brunei dan pandu ke kaunter. Oleh kerana kita membawa masuk kereta ke Brunei, di sini kita perlu mengisi butirannya di borang yang akan diberi. Bergerak ke kawasan menunggu selepas kaunter untuk mengisi borang. Serahkan borang untuk dicop dan teruskan perjalanan. Simpan borang dan tunjukkan di kaunter kastam semasa balik.


Beberapa kilometer kemudian kita akan melintasi jambatan Sungai Rasau dan setiap kenderaan perlu membayar sebanyak tiga ringgit Brunei di plaza tol selepas jambatan. Di sepanjang jalan menuju ke BSB, tidak ada tempat rehat dan rawat yang khusus seperti di negara kita.



Penggunaan tulisan jawi di kebanyakan papan tanda di Brunei.
bersambung...

Tuesday, February 21, 2012

Miri dan Brunei Pt 2


DAY 2

Hari ini keluar dari hotel awal sikit sebab nak pergi ke airport untuk mengambil kereta yang telah di tempah secara online. Harga yang ditawarkan adalah yang termurah berbanding beberapa syarikat lain. Untuk kereta Hyundai Matrix 1.6 auto harga yang dikenakan ialah RM115 untuk sehari.


Sampai di airport sebelum jam lapan dan pejabat Hertz masih belum dibuka lagi. Tak lama kemudian En Hafiezal sampai. Layanannya sungguh baik dengan beberapa penerangan diberikan. Jika kita bertujuan hendak pergi ke Brunei, pastikan kita beritahu lebih awal jadi pihak syarikat boleh menyediakan apa-apa yang patut. Antara keperluannya ialah salinan geran kereta yang mengandungi butir-butir yang perlu diisikan semasa di pusat pemeriksaan kastam Brunei. Begitu juga dengan borang untuk menyeberang sempadan, mintalah di sini supaya kita dapat mengisinya lebih awal.

Masa kita menerima kereta, tangki minyak sudah siap diisi penuh. Jadi pastikan semasa memulangkannya siap diisi penuh juga. Sedikit deposit dikenakan semasa kita mengambil kereta. Deposit akan ditolak sekiranya tangki tidak diisi penuh. Cajnya lebih tinggi berbanding kita mengisinya sendiri.

Destinasi pertama kami hari ini ialah Pantai Esplanade yang terletak di Luak Bay. Pantai ini terletak kira-kira 11 kilometer ke Selatan bandar Miri. Agak mudah mencari jalan masuknya kerana kedudukannya di penghujung jalan dua lorong sehala. Pada mulanya terlajak jugalah, sampai nampak sign board di bawah ini walaupun sungainya kecil je.


Hari Sabtu dan masih pagi lagi, tak ada seorang manusia pun kat sini

Sesuai untuk aktiviti mandi-manda kerana pantainya agak landai

Kami tak lama di sini kerana belum breakfast lagi dan bercadang untuk datang lagi pada sebelah petangnya untuk melihat sunset. Dalam perjalanan menuju ke bandar, sempat kami singgah di Miri Marina Park di mana letaknya Seahorse lighthouse. Cuaca hari ini sangatlah baik dengan langit yang membiru, tak seperti semasa kami sampai di Miri.



Kedudukan tempat ini agak tersorok dan jauh ke dalam. Rasanya macam tak ada sign board, jadi ikut rasa je bila nak masuk ke simpangnya kerana dah search kat google earth sebelum ke sini. Di sini pun lengang juga. Tempat-tempat macam ni biasanya orang datang pada waktu petang bukan awal pagi. Lainlah kami pelancong... kononnya.

Matahari dah mula meninggi dan keadaan agak panas. Kami keluar dari tempat ini dan terus ke bandar untuk mencari tempat sarapan yang sebenarnya sudah agak lewat. Seterusnya kami singgah di Miri Handicraft Center di Jalan Merbau untuk mencari sedikit souvenir. T shirt, FM, keychain semua ada kat sini selain barang-barang kraftangan.


Selesai membeli serba sedikit souvenir, kami bergerak ke sebuah taman yang agak besar terletak di tengah-tengah bandar Miri yang di panggil Miri City Fan Park. Taman ini berbentuk seakan-an kipas dan dari situ ia mendapat namanya.



Miri City Fan Park dan Menara Unity di bulatan berhampiran.

Sesi jalan-jalan sebelah pagi kami akhiri di Masjid Miri yang terletak berhampiran dengan taman ini untuk berehat sebentar dan menunaikan kewajipan. Malas nak balik ke hotel walaupun jaraknya tidaklah begitu jauh.


Jam tiga petang kami keluar semula ke satu lagi kawasan tarikan yang wajib dikunjungi jika Miri iaitu Canada Hill di mana terletaknya The Grand Old Lady. The Grand Old Lady ialah gelaran kepada telaga minyak yang terawal ditemui di Miri.

Sebahagian bandaraya Miri yang dapat dilihat dari atas bukit ini.





Di atas bukit ini juga terdapat sebuah Muzium Sains Petroleum yang menyediakan pelbagai bahan pameran yang berkaitan dengan industri minyak.



Dari sini kami menuju ke kawasan Seberkas untuk membeli sedikit makanan di pasar malam. Pasar malam di sini mula dibuka seawal jam lima petang dan dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Kalau nak beli kek lapis Sarawak yang terkenal tu, bolelah beli di sini kerana harga lebih  murah berbanding membelinya di kedai khasnya. Cuma designnya tak begitu menarik, tapi rasanya sama saja. Ikan terubuk masin dan bakar juga banyak dijual di sini.

Destinasi terakhir pada hari ini ialah mengulang semula ke Pantai Esplanade untuk melihat matahari terbenam. Agak ramai orang bersantai di sini bersama keluarga.






Pada sebelah malamnya kami tak kemana-mana kerana sudah membeli banyak makanan di pasar malam Seberkas pada sebelah petangnya. Lagipun agak letih kerana seharian berjalan dan sebelumnya sempat juga meronda di kompleks beli-belah Bintang Mega Mall.

Thursday, February 16, 2012

Miri dan Brunei Pt 1

DAY 1

Ada kawan bertanya, apa yang nak di cari di Miri tu... Aku sebenarnya tak kesah, yang penting dapat bercuti dan jalan-jalan. Lagipun  masa  book flight, harganya teramat murah. Kos untuk empat orang tak sampai dua ratus ringgit pergi balik. Siap boleh tempah tempat duduk lagi.

Sebenarnya kalau bercuti di Miri, kita boleh pergi ke Brunei Darussalam sekali, kerana kedudukannya yang terletak berhampiran sempadan negara berkenaan. Kira percutian dua dalam satu lah tu...

Bandar raya Miri yang terletak di bahaian Utara, Sarawak merupakan bandar pertama bukan ibu negeri yang mendapat taraf bandar raya. Miri mendapat taraf ini pada 20 Mei 2005 yang membawa gelaran "Bandaraya Peranginan". Miri merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak, dengan jumlah penduduk kira-kira 300,000 orang. Kemajuan bandar ini adalah kerana kayanya daerah ini dengan sumber asli, terutamanya petroleum.

Penerbangan berlepas tepat mengikut masa yang ditetapkan, dan kami sampai di Miri dua jam suku selepasnya, dalam keadaan hujan renyai. Proses di imigresen agak lancar. Airportnya juga masih baru dan lapang. Keadaan sudah mulai gelap walaupun baru jam 6.40 petang. Terus saja ambil teksi menuju ke hotel, kerana sewaan kereta hanya bermula keesokan harinya.

Lapangan terbang Miri adalah yang kelima tersibuk di Malaysia

Bandar Miri agak mudah diterokai kerana kedudukanya memanjang dari utara ke selatan

Malamnya kami keluar untuk makan malam walaupun masih lagi hujan. Kami singgah di satu restoran yang tidak begitu jauh dari hotel. Ingat nak cuba makan mee kolok yang popular di Sarawak, tapi dah kehabisan pulak. Nasib baik laksa Sarawak ada lagi. Laksa Sarawak menggunakan bihun sebagai bahan utamanya tidak seperti laksa di Semenanjung.

Laksa Sarawak yang sangat sedap

Kedai-kedai di bandar Miri kebanyakannya ditutup awal kecuali pusat membeli-belah dan restoran. Berhampiran hotel yang kami duduki pula tak ada apa-apa tarikan, jadi lepas makan terus saja balik ke hotel untuk membersihkan diri dan merancang perjalanan untuk keesokan harinya.
 

Bandar Miri agak lengang pada waktu malam.