Bergegas pulang awal pagi ke Shah Alam daripada rumah adik di Kulai, Johor kerana menghadiri satu majlis di sana pada sebelah malamnya. Ini disebabkan sudah berjanji dengan rakan sepejabat untuk ke Legend Water Chalet , Port Dickson.
Sampai di LWC pada jam 2.00 petang dan berjumpa dengan rakan En Zack yang menguruskan chalet persendirian di situ. Senang berurusan dengannya kerana orangnya yang agak sempoi. Tepat jam 2.30 petang kami pun check in. Datang ke sini dengan rakan sepejabat dahulu, mungkin lain kali dengan keluarga pula. Lagipun datang ke sini nak mencuba-cuba memancing, kalau dengan keluarga risau pula mereka bosan. Survey dulu...
Kami menempah dua buah chalet di mana salah satunya menghadap laut sepenuhnya, sementara yang satu lagi berhadapan dengan barisan chalet yang lain di mana caj yang dikenakan adalah berlainan. Chalet ini terbahagi kepada dua kategori iaitu sama ada yang di atas air atau di blok bangunan utama di daratan. Tempat letak kenderaan bertingkat juga disediakan.
Kelebihan chalet yang menghadap laut sepenuhnya ialah dapat menikmati pandangan cantik waktu matahari hampir terbenam. Kalau nak memancing pun boleh baling umpan jauh-jauh. Tetapi misi untuk memancing ikan di sini nampaknya gagal. Seekor ikan pun tak dapat. Tak tahulah sama ada kami menggunakan umpan yang sesuai dengan ikan yang hendak dipancing atau tidak. Ikan memang banyak di sini tapi kami tak tahu apa spesisnya. Ikan jenis ini suka makan dipermukaan air dan ekornya berwarna kuning. Ada yang besar dan dianggarkan mencapai setengah kilogram.
Selain memancing kita juga boleh memerangkap ketam dari balkoni chalet ini. Kami menyewa tiga perangkap ketam dengan kos RM50. Dapat juga memerangkap beberapa ekor ketam untuk mengubat kekecewaan memancing ikan. Ketam biasanya masuk perangkap pada masa air surut atau baru nak pasang. Jika air dalam, kemungkinan untuk mendapat ketam adalah kurang. Umpan yang sesuai sekali adalah udang berbanding sotong. Umpan sebaiknya dibungkus dengan plastik yang dilubangkan supaya tidak mudah gugur bagi mengelakkan kerap mengganti umpan. Terdapat juga ketam batu yang masuk perangkap tetapi dapat dibezakan dengan fizikal kulitnya yang agak keras dan susah nak mati bila di daratan. Jika ke sini lebih baik bawa sendiri perangkap ketam kerana ianya boleh digunakan berulang kali dan harganya lebih kurang RM10 sahaja seunit yang boleh dibeli di kedai peralatan memancing.
Tempat ini sesuai dijadikan tempat percutian keluarga, cuma bawalah bekalan makanan secukupnya kerana jika kita duduk di kawasan menghadap laut ianya agak jauh dari daratan.