Ini adalah posting pertama di Tahun 2013. Sebulan sudah berlalu. Hari ini hari pertama bulan Februari tahun 2013. Tiada apa yang menarik tentang tarikh. Cuma di saat genting begini semua orang nampaknya kesibukan. Daulah yang memerintah kesibukan. Oposisi yang membantah lagi kekacauan. Kekacauan minda dan jiwa. Kekacauan takut kehilangan kuasa. Kehilangan kuasa bermakna kehilangan punca-punca kekayaan. Kehilangan kuasa bermakna tiada lagi projek dan tender. Kehilangan kuasa bermakna harus kembali menjadi orang-orang biasa. Tiada lagi Datuk, Datin, Tan Sri ataupun Puan Sri. Tiada lagi escort polis. Tiada lagi tol percuma. Tiada lagi free loader. Kita tidak mahu menjadi seorang gagalist. Oleh itu hidup mesti terus.
Kita tiada pilihan selain memahami dan mengambil tahu tentang politik. Politik adalah kehidupan. Politik adalah wajah dan rupa kita. Hampir segalanya melibatkan politik. Hampir segalanya kita perlu merujuk dan melihat kepada politik. Apa yang anak-anak muda itu tahu tentang politik. Soal hidup sendiri pun tidak lepas. Soal makan, tempat tinggal dan keupayaan membeli keperluan asas sangat terbatas. Anak-anak muda semakin bosan dengan kehidupan mereka. Tiada lagi idealisme. Tiada lagi cita-cita menjadi negarawan. Tiada lagi cita-cita untuk memajukan minda dan mentaliti bangsa. Anak-anak muda suka bekerja pagi ke petang. Anak-anak muda itu tidak ambil pot tentang siapa bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7.
Sesungguhnya angka 7 itu sangat menarik. Cuma ada 7 tahun lagi untuk kita mencapai Wawasan 2020. Apakah kita mampu berbangga dengan negara yang maju dan kaya, tetapi gaji graduan dan anak-anak muda masih dibawah RM3,000 sebulan. Apakah kita berbangga memiliki syarikat minyak ternama negara tetapi rakyat negara kita masih ada lagi yang hidup dalam kemiskinan. Bosan melihat Melayu miskin dalam Bersamamu TV3. Bani Melayu asyik diasosiasikan sebagai bani miskin dan melarat. Sudah 6 orang Perdana Menteri berbangsa Melayu. Takkan tidak mampu membahagikan zakat kepada sang fakir dan miskin. Takkan mampu memberi hak mereka yang tidak mendapat peluang akses kepada kekayaan. Sistem itu mesti dirombak dan diubah. Ilmu dan pendidikan adalah kuncinya. Dalamilah ilmu nescaya kita dapat keluar daripada kemiskinan. Malulah dengan negara kecil seperti Singapura yang pandai memanipulasi sumber negaranya.
Hakikatnya terlalu banyak yang perlu dibangunkan. Terlalu banyak yang perlu diusahakan. Masa begitu terbatas kini. Sumber kewangan adalah masa kita. Kita perlu lebih agresif bertindak untuk melaksanakan dasar afirmatif tersebut. Kita perlu lebih tegas. Perlu lebih berdisiplin. Perlu lebih praktikal dan realistik dalam soal perancangan masa depan. Bertindik sendirian lebih baik daripada mempunyai anggota yang tidak mahir dan lembap. Melayu lembap ini begitu susah untuk berjaya. Kebodohan bukanlah sesuatu yang boleh diajar. Kebodohan boleh diubah kepada kepandaian apabila kita bertindak untuk perubahan. Budaya listen listen listen oleh Sharifah adalah budaya songsang yang membawa kita ke belakang. Budaya action action action adalah budaya subur yang membawa kita maju ke hadapan. Budi bahasa budaya kita. Kita tidak perlu belajar di UUM untuk jadi pandai. Kita cuma perlu sedar bahawa kita tidak punya banyak masa untuk berubah. Kita cuma perlu sedar bahawa apa yang kita lalui sekarang cuma medan latihan sebelum kita benar-benar berjaya. Hakikatnya kita perlu bersedia. Hari ini atau esok kita akan ke sana jua.
Buat anak-anak muda, jangan takut untuk berubah. Turunlah dan tunaikan hak anda sebagai warganegara untuk mengundi dalam Pilihanraya Umum Ke-13 tidak lama lagi. PRU13 adalah pendidikan politik yang paling agung dan legend untuk kita pelajari bersama. Ini bukan poyo. Di sana kita bukan sahaja melihat banyak monyet dan ungka, bahkan boleh melihat malaikat dan ruhul kudus sekaligus. Watak-watak ini tidak mungkin dapat dipadamkan dalam negara kita. Apalah guna menjadi Chief Economist atau Chief Strategist atau Chief Managing Consultant sekalipun kalau kita gagal melihat anak-anak muda yang perlukan bimbingan dan panduan untuk celik hal-ehwal dalam negara. tidak diperbodohkan berulang-ulang kali dan tetap mendapat gaji yang tidak cukup untuk mereka melawat negara Argentina.