Selamat Tinggal Tahun 2012


Hari ini 31.12.2012 adalah hari terakhir dalam tahun ini. Pantasnya masa berlalu meninggalkan waktu dan usia. Semakin dekat dengan kedewasaan. Semakin hampir dengan kematangan. Semakin berisi dengan ilmu dan hikmah. Semakin bijak menyusun perancangan masa depan. Syukur atas segala kurniaan Tuhan yang memberikan kelapangan dan rezeki. Syukur atas segala kemudahan atas ujian dan cubaan. Syukur kerana diberikan peluang untuk kita berubah meskipun terpaksa berkorban. Anak-anak muda itu perlu terus berjuang dalam kanvas kehidupan. Anak-anak itu tidak harus putus asa dalam mendewasa - Usaha lagi terus dan terus. 

Genap setahun rumahtangga itu dibina. Masih perlu berusaha dan berdoa. Masih perlu membaiki kelemahan dan kealpaan. Masih perlu dibangunkan roh dan minda agar lebih dekat padaNya dan lebih memandang jauh ke hadapan. Hidup adalah untuk kita memilih. Memilih diantara dua atau tiga masa depan. Masa depan adalah sangat berharga. Masa adalah modal kita. Insan-insan disekeliling membentuk karakter dan peribadi kita. Anak-anak muda itu harus bangga dikelilingi mereka yang berjaya dan rajin bekerja. Kuat berusaha dan berfikir mencorak masa hadapan. Lupakan perbalahan dan persengketaan yang merugikan agama, bangsa dan negara kita. Fikir ke hadapan bagaimana ingin membina anak wargabangsa yang lebih maju. Berfikir untuk mencapai ke tahap global dan internasional. Berfikir untuk berubah secara total. 

2013 pasti menjanjikan event-event yang menarik. Yang paling menarik tidak lain dan tidak bukan Pilihanraya Umum ke-13. Kali kedua anak muda mengundi memilih pemimpin. Kali kedua anak muda itu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi yang tidak tahu apa wakil rakyatnya buat dalam kawasannya. Adakah sekadar berpolitik atau beretorik. Adakah telah termaju masyarakatku dan bangsaku. Apakah bangsaku sudah hidup mewah dan kaya raya. Apakah bangsaku masih tidur dan malas bekerja. Apakah bangsaku sebenarnya tidak punya apa-apa idea untuk maju. 

Bilakah kita akan berubah sebagai sebuah bangsa yang kuat bekerja. Bilakah kita akan berubah untuk jadi bangsa yang kuat belajar dan cintakan ilmu. Bilakah kita akan jadi bangsa untuk suka fikirkan tentang idea pembangunan dan kemajuan dan bukannya asyik bercerita tentang hal orang, memfitnah dan bergaduh tentang kuasa dan politik. Ya benar kuasa dan politik itu adalah wang. Tetapi ingatlah di sana masih ada ruang untuk kita perbaharui dan perbaiki - semangat dan daya juang kita untuk mengeluarkan generasi baru daripada kemiskinan. Anak-anak muda itu dalam derita dan sengsara. Masa depan anak-anak muda itu perlu diselamatkan. Ruang pencerahan  anak-anak muda ini hanya melalui jalan pendidikan. Pelajaran adalah kuncinya. Pelajaran adalah senjatanya. Pelajaran terbaik adalah pengalaman di luar kotak darjah dan buku. Pelajaran terbaik adalah apa yang mereka lalui dalam menempuhi ranjau sepanjang jalan. Ingatlah kata-kata Horace Mann ' Education cannot make us all leaders, but it can teach us which leader to follow ! '  

Selamat Datang 2013 ! Fight always Fight ! We are Fighters ! 

Merentas Garis Masa dan Perubahan


"If you think education is expensive, try ignorance"

Antara Dua Masa Depan


Hari ini sudah melepasi peristiwa-peristiwa penting dalam hidup ku. Hari kelahiran isteri ku yang tersayang, ulangtahun perkahwinan kami yang pertama dan seterusnya menyambut hari kelahiran ku yang ke-28. Ya memang benar masa berjalan sebegitu pantas dan ligat. Masa tidak menunggu kita. Masa tak pernah sekali menipu kita dengan keadaan dan ruang waktu. Ya, kita semakin tua dan meningkat usia. Semakin dekat menuju kematian. Semakin dekat menuju cita-cita terakhir kita. Tidak lain dan tidak bukan adalah kejayaan dan kebebasan. Impian kita adalah kematangan dalam hidup. Impian kita adalah mendewasa dan mampu menjadi orang berpengalaman. Orang yang lebih makan garam berbanding adik-adik junior yang belum bergraduasi. Walhal makan banyak garam itu berisiko untuk dapat penyakit darah tinggi. 

Selesai Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung UMNO - apakah ibrah yang kita dapat daripada kedua perhimpunan parti umat Melayu - Islam yang terbesar ini. Satu memperjuangkan Islam. Satu memperjuangkan Melayu. Satu kata nak laksanakan hukum Islam. Satu ini pun kata telah dan akan laksanakan hukum Islam. Pening. Keliru. Bosan dengan berita-berita politik di dada akhbar hari demi hari. Tidak adalah yang lebih idealis dan progresif lebih daripada itu. Anak-anak muda itu tetap perlu bekerja demi sesuap nasi. Anak-anak muda itu tetap perlu membayar hutang PTPTN. Anak-anak muda itu tetap perlu memikirkan akan gaji yang tidak mampu menampung kos hidup yang semakin menggila - kereta, rumah, bil astro, bil api dan ir, bil Celcom dan Maxis, bil Indah Water Konsortium, cukai pendapatan dan cukai pintu. Segala macam hal yang tidak ada kena mengena dengan Najib Razak, Anwar Ibrahim mahupun Abdul Hadi Awang. Hari demi hari anak-anak muda itu berharap cinta akan datang kepada mereka - kerna cinta boleh meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak-anak muda yang semakin mendewasa. 

Arakian dalam hidup ini kita mengharapkan perubahan. Apakah yang lebih penting selain daripada perubahan. Alam berubah. Manusia berubah. Mana mungkin kita duduk statik dan tidak bergerak . Mana mungkin kita terus-terus menjadi miskin dan terhina. Bangsa miskin dan terhina dek kerana korupsi dan kronisme. Bangsa miskin dan melarat kerana kurang ilmu, malas berusaha dan tidak mampu bersaing. Bangsa yang tidak bangun menentang dan melawan hawa nafsu. Bangsa yang membiarkan sahaja anak-anak mudanya berpeleseran, tidak berpelajaran dan sibuk dengan hiburan hedonisme lawak, seks dan hantu bayang di TV3. Mana mungkin kita mampu merobah segunung dan selembah cabaran mendatang yang bakal mendatangi kita. Di manakah masa depan kita. Di manakah alif ba ta kita dalam tempoh 10 - 15 tahun akan datang. Apakah yang dapat kita harapkan lagi daripada 241,740 yang diisytihar bankrap setakat April 2012 tahun ini. Apakah yang dapat kita simpulkan lagi - adakah kita Selamat atau Merana. Bahagia atau Sengsara. 

Segalanya bermula dengan diri kita. Kita yang memilih dan menentukan. Kita yang patut berimpian untuk berubah. Apakah kita takut dengan kegagalan. Apakah kita takut miskin, takut dikatakan penakut. Takut untuk menukar pemimpin, takut mengkritik, takut kepada orang yang telah banyak berjasa kepada kita. Apakah takut itu? Takut pada diri sendiri kerana tidak mahu mencuba untuk mencabar diri. Ya benar mencabar diri untuk pergi sejauh mungkin. Kenapa duduk tinggal lagi di Malaysia apabila tiada yang kita boleh harapkan untuk masa depan kita. Apa yang kita perlukan adalah jaminan masa depan yang lebih baik. Jesteru haruslah kita melangkah untuk perubahan. Terus merancang untuk kemajuan dan kejayaan. Kekayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Kenapa tidak tinggal dan bekerja di United Kingdom , Prague atau Amsterdam. Kenapa takut untuk keluar dari kepompong yang selama ini membelenggu diri kita. Anak-anak muda itu seharusnya tidak takut dikatakan gila, berani berkali-kali gagal dan berani berimpian besar. Hidup hanya sekali ! Lawan dan Cabar lah ! 

Memecah Tembok Tipikal Melayu


Adakalanya bila sesama Melayu, kita sering berpecah. Tidak tahu kenapa. Mungkin itulah budaya Melayu. Sejak dari dahulu lagi umat Melayu memang umat yang istimewa. Sentiasa ada perselisihan. Perbezaan pendapat dan pandangan itu biasa. Cuma bagaimana kita ingin bersatu atas ketidaksetujuan. Agree to disagree bak kata orang putih. Istilah orang putih ini juga perlu dikaji semula kerana yang hidup di Barat tidak semua putih. Istilah Barat ini juga perlu dikaji semula untuk menilai yang manakah Barat atau Bharat Plantation di Cameron Highlands. Pendek kata semua perlu direview dan dikaji semula - sebagaimana kita menilai semula bendera Sang Saka Bangsa mahupun lagu Negaraku yang kononnya diciplak dari Memula Moon. Bagi saya menciplak ini tiada salahnya asalkan ada justifikasi kenapa perlu tiru budaya positif orang. 

Arakaian selepas perlaksanaan AES itu kesemua pemandu jadi bersopan-santun. Adakah kerana kamera yang dipasang itu mempunyai cahaya atau flash yang begitu mempersonakan. Sehingga terlanggar Sang Garuda lalu bersepahlah tiang dan kamera di atas jalanraya. Menunggu pilihanraya entah bila sehingga naik muak mendengar perkataan pilihanraya. Apakah nasib warga berubah selepas pilihanraya. Apakah gaji naik, tol dihapuskan dan PTPTN dijadikan badan kebajikan menjaga anak pelajar di Universiti Malaya. Pro-Mama atau Pro-Papa tiada siapa peduli. Asalkan kau pandai hidup, pandai cari makan dan pandai untuk mengurus kehidupan. Anak-anak muda itu bekerja dan berjuang untuk tidak kelaparan dan kebuluran. 

Hakikatnya kita sama dan serupa. Namun kita perlu sedar bahawa tanggungjawab kita lebih banyak dari waktu yang kita ada. Menunggu pekerjaan datang tidak ke sudah. Menunggu bulan jatuh ke riba. Mengharap kepada parti politik seperti PKR dan PAS untuk membantu kita menambah per-capita income keluarga. Apa kita peduli parti politik berkempen guna bas dan treiler. Apa kita peduli parti politik ingin bela Lembu di Putrajaya. Anak-anak muda hanya mahukan jaminan pekerjaan dan pendidikan. Anak-anak muda hanya mahu memikirkan kos perkahwinan yang semakin meningkat untuk elak berhutang. Anak-anak muda itu hanya mahukan perubahan tanpa memikirkan berapa lama lagi tol akan dibayar di lebuhraya PLUS. 

Memecah tembok tipikal itu tidaklah semudah yang disangka. Perlukan komitmen dan usaha kuat. Perlukan fokus. Ilmu dan pengalaman. Berguru kepalang ajar dapat rusa berbelang kaki. Belajar dan mencabar. Pengetahuanmu tidak terjuntai seperti pisang. Belajar, berpengetahuan dan mencabar. Budaya Melayu lemah dan lembap kita tinggalkan. Pemikiran terkebelakang dengan asyik memikirkan tentang kuasa dan wang. Asyik memikirkan tentang hiburan, artis, seks dan maharaja lawak. Lawakkah bila masa depan negara kita dalam kegelapan. Lawakkah bila ekonomi kita umat Melayu terkebelakang. Lawakkah bila Bani Melayu asyik membuang anak dari flat dan rumah pangsa. Lawakkah bila kita menjadi hamba di bumi sendiri. Anak kecil main api, terbakar dirinya yang sepi. 

Bajet 2013, RM300 dan Kamera AES

Sampai masanya kita berfikir tentang halatuju kita. Kita berfikir tentang apa yang patut kita lakukan demi masa depan. Seindah manapun Bajet 2013 itu, adakah ia memberi kesan kepada perjalanan hidup kita. Adakah kita dapat hidup dalam ruang demokrasi yang aman damai. Apakah kita mampu menambahkan pendapatan kita di kala kos hidup yang terlalu tinggi. Adakah kita mampu untuk menjana pendapatan yang seiring dengan kemajuan negara. Apakah Perdana Menteri Malaysia dan isteri boleh berfikir tentang nasib warga di Bayai dan Sungai Lui. Semua itu terpulang kepada persepsi warga untuk menentukannya. Yang pasti kita perlu terus bekerja untuk hidup dan untuk makan. 

Pedulikan apa orang lain kata. Kita buat kerja kita. Kita teruskan apa yang kita percaya. Kita tetap berpegang kepada janji dan impian kita. Demi melahirkan anak-anak muda yang keluar dari kepompong politik sempit. Diperbodohkan dan dipermainkan sesuka hati para politikus yang gila dan mabuk kuasa. Apakah salah anak-anak muda itu tidak menyokong kerajaan atau pembangkang. Pedulikah mereka tentang manifesto yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Apakah anak-anak muda itu peduli berapa kali pak menteri ke luar negara. Apakah anak-anak muda di Felda Palong itu peduli berapakah nilai harga jet yang dinaiki di Sabah. 

Mereka tidak peduli. Mereka lebih peduli tentang apa yang boleh dibuat untuk cari makan. Mereka lebih peduli akan peluang pekerjaan untuk membayar balik PTPTN. Mereka lebih peduli akan padang permainan yang mereka boleh menyepak bola ala Ronaldinho sekuat hati. Persetankan isu air di Selangor, Projek Langat 2 yang tak ada kena mengena dengan mereka. Mereka lebih bimbang akan polis trafik yang kerap kali menyaman mereka kerana lampu signal tidak menyala. Atau lebih teruk lagi hanya kerana membawa getah sekerap melebihi muatan motorsikal Honda Ex-5. 

Arakaian warga terseksa sekali lagi dengan kamera perangkap laju AES. Saman RM300 bayar sekaligus. RM300 mungkin nilainya kecil bagi tycoon seperti Syed Mukhtar atau Ananda Krishnan. RM300 mungkin kecik anak pada Dato' Nazir Tun Razak. Tetapi RM300 begitu besar nilainya pada mereka yang bergaji kecil. Anak muda yang menjadi Research Assistant. Anak muda yang menjadi Penolong Pegawai. Anak muda yang menjadi pegawai PTD bergaji basic RM2300 sebulan. Apatah lagi anak muda yang belum berkahwin mengumpul wang untuk tidak menjadi anak dara tua. Apakah pak menteri daulah memahami perit rasa mereka hidup dalam negara 1Malaysia ini. 

Dalam setiap keadaan, perkara paling penting adalah perubahan. Alam berubah manusia berubah. Tiba masanya kita berfikir untuk sebuah pencerahan dan perubahan. 55 tahun telah memberi peluang untuk membina negara bangsa, agenda ekonomi warga yang gagal membawa pembangunan insaniah yang konstruktif. 55 tahun yang penuh cabaran untuk warga memilih, siapakah yang terbaik di kalangan kita. Apakah kita akan berputus asa dan terus dipijak dihina oleh kuasa Yahudi Anglo-Amerika yang terus menerus memeras tenaga warga untuk mengumpul kekayaan. Apakah kita penakut untuk berubah. Apakah kita takut untuk menghadapi sebuah kematian. Ingatlah tanpa keberanian mimpi tak bermakna. Dunia ini akhirnya akan jatuh ke tangan anak-anak muda. 

Merdeka, Raya dan Kebebasan


Hari ini, 31 Ogos 2012. Hari yang amat penting untuk warga Malaysia. Hari di mana warga merayakan kemerdekaan. Ambience hari raya masih terasa dalam bulan merdeka. Yang bagusnya adalah semua warga dapat cuti peristiwa. Dapat berehat bersama keluarga. Sambung lagi ziarah raya. Open house, jamuan raya di situ dan di sana. Itulah kelebihan tinggal di Malaysia yang terlalu banyak cuti perayaannya. Adakalanya kita beruntung dan bertuah, kerana setiap kali cuti kita dapat pulang ke kampung, menghias rumah dan bla bla bla. Apepun kemerdekaan tetap kita kenang. Sejarah PKMM jangan dilupakan. Perjuangan tetap perjuangan. Mohon maaf kereta mahal agak susah untuk pacak bendera. Habis rosak cermin kereta. Haha. 

Apa yang berlaku sekarang ini? Bosan melayan isu politik. Bosan menunggu tarikh pilihanraya. Bosan juga warga kecoh pasal Hudud. Karpal dan Ulama' PAS. Kebosanan itu sehingga ke tahap malas melayan sesuatu yang bukan realiti. Bergaduh di sana dan di sini. Sewa rumah, installment kereta, bil Unifi dan segala macam kos hidup belum terbayar lagi. Masuk pula cerita janji ditepati. Cerita bagaimana harus balas budi. Aduhai senak perutku. Apakah isu-isu ini membantu menurunkan harga rumah yang melambung tinggi. Daripada melayan Nasharudin Isa Tantawi lebih baik melayan trend yang cut lagi terkini - Oppa Gangnam Style..haha

Akhirnya anak muda itu diberi pengampunan. Bersekedudukan dengan gadis bawah umur dengan kerelaan tidaklah kesalahan berat nanang. Hatta penghakiman tersebut adalah diketepikan. Benarlah perogol terlepas tapi mangsa mendertia. Adakah ini hasil cerita Aku Masih Dara. Adakah ini kerana video seks yang berlambak di pasaran. Atau apakah ini kerana patuh kepada kawan-kawan. Realitinya ini adalah kesalahan kita semua. Kita membentuk budaya bebas seks dan pil kuda. Segala-galanya tertakluk kepada kita. 

Merdeka, Raya adalah manifestasi kemenangan. Tapi kemenangan itu beroleh setelah berjuang dan berkorban habis-habisan. Kemenangan itu adalah hasil daripada kekalahan. Hasil daripada kegagalan kita mempertahankan maruah negara kita. Persetankan artis yang melahirkan anak luar nikah itu. Apakah ia ada perkaitan dengan kemerdekaan. Merdeka itu adalah kita tidak terikut dengan budaya songsang. Merdeka itu adalah kita punyai identiti tersendiri. Bukannya mengagungkan K-Pop dan Gangnam Style. Bukan hanya tahu jadi kuli pada towkey Cina, bukan malas tak mahu berusaha. Jesteru bila lagi kita nak berubah ? 

Kita Manusia Nan Bercinta


Good ideas are common..what's uncommon are, 
people who will work hard enough to bring them about - Ashleigh Brilliant 

Shahdan, anak-anak muda itu telah dewasa. Hari demi hari kesibukan dengan tugas dan kerja. Anak muda itu perlu bekerja untuk mendewasa. Anak muda itu perlu terus berusaha untuk menyara keluarga. Hidup perlu terus. Walau apa pun cabaran. Walau apa pun dugaan. Kita bukan anak Sultan. Kita bukan anak jutawan. Kita perlu bekerja untuk menyara diri dan keluarga. Kita perlu buat perubahan dalam hidup. Berubah untuk kehidupan lebih baik. Mencabar diri untuk berbuat lebih baik. Teruskan usaha berbuat baik. 

Arakain Perempuan Nan Bercinta itupun diharamkan. Sebongkah batu di Kuala Berang. Alangkah sepinya dunia tanpa puisi. Alangkah sunyinya tanpa drama cinta. Alangkah sayunya hidup tanpa bait-bait sastera. Alangkah sedihnya tatkala melihat suka mengharam tanpa membaca. Apakah kita terlalu takut dengan budaya. Apakah novel sastera boleh mengancam jiwa. Apakah kita memiliki daya fikir untuk melihat masa depan warga. Di manakah kebebasan bersuara yang dijamin buku lembaga. Di manakah kebebasan menulis bagi Sang Pencinta. Di manakah kebebasan untuk mengungkapkan kata-kata, idea, jiwa dan rasa deria. 

Sedih melihat anak-anak muda itu ditahan polis angkara candu jawa. Sedih melihat warga diperbodohkan. Kaum kapitalis hidup kekenyangan. Kaum borjuis itu juga ketawa keriangan. Anak-anak muda itu tenggelam dalam hidup kesusahan. Kepada siapa ingin merayu dan mengadu. Siapa pula ingin menyelamatkan mereka. Hari demi hari ditangkap dan didakwa. Hari demi hari semakin sempit. Masa depan semakin gelap. Hanya mampu berdoa agar tuhan memberi pencerahan. Hanya menunggu masa untuk satu perubahan. Atau kembali bertemu Tuhan. 

Mengapa terlalu takut dengan perubahan. Kita takut kehilangan punca rezeki pemberian Tuhan. Mungkin kerana kita tidak yakin semua itu ketentuan. Mungkin kerana tidak mencuba dan terus mencuba. Yakin esok lusa kita akan berjaya juga akhirnya. Yakin kita akan menjumpai - masa dan ketika untuk di puncak jaya. Tak perlu mengamuk di pejabat menteri perdana. Bawa pedang samurai apa kejadahnya. Tiadakah cara lain untuk berjihad. Atau ini semua strategi berniat jahat. Provokasi untuk rakyat yang telah cerdik bijak. Ini zaman  twitter, ini massa Facebook. Dunia ini bukanlah susah sangat untuk dipelajari. Hanya tanya pada Ustaz Google. 

Kita dan Pemikiran


This is a court of law, young man, not a court of justice. 
- Oliver Wendell Homes, Jr (1841-1935)

Memang benar, memimpin perubahan itu tidak semudah yang kita sangka. Di sana ada cabaran. Air keruh di sungai tidak mampu untuk memperlihatkan ikan di dalam airnya. Di sana adanya kemahiran, strategi dan rangka kerja yang penuh dengan perancangan licik dan halus. Di sana ada perjalanan yang penuh duri, manusia-manusia yang tidak pernah takut menempuh onak duri. Menjawab segala persoalan dan tohmahan. Mempertahankan hak dan maruah. Mencari sebuah kehidupan yang lebih aman, baik dan bahagia. Mencari erti dan makna kehidupan yang sentiasa sibuk, berisiko, mencabar dan penuh dengan semangat keilmuan. 

Tidak ramai orang kenal peluang. Peluang datang menyamar sebagai kerja yang susah. Penuh dengan risiko, cabaran dan ujian. Sebagai anak muda kita tidak perlu takut dengan risiko. Hidup ini adalah perjuangan. Kita adalah pejuang berani mati. Anak muda itu tidak gentar dan takut. Tidak memihak dan bias. Tidak sama sekali memperjudikan prinsip keadilan yang dipegang. Tidak sama sekali tertawan dengan godaan dan nafsu syaitan. Tidak sama sekali mengatakan tidak sebelum mencuba. Tidak sama sekali jatuh dan gugur di medan juang. Tidak sama sekali menjadi manusia-manusia yang berputus asa dengan rahmat Tuhan. Walau apa pun yang berlaku, jalan tetap terus. 

Kerajaan daulah yang bergolak di Syria, anak-anak muda yang dibunuh di Rhohingya menginsafkan kita seketika. Keamanan yang dicari diuji dengan peperangan. Diuji dengan kehilangan nyawa dan jiwa. Apakah kita berhenti berfikir untuk berjuang. Mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air. Meningkatkan taraf ekonomi keluarga nusa bangsa. Memacu pertumbuhan modal insan yang berjiwa teguh dan utuh. Masa depan daulah di tangan kita. Apakah kita akan terus berada di takuk negara kelas ketiga. Apakah kita terus dilanda krisis rasuah dan pecah amanah yang begitu serius. Apakah kita akan maju sekiranya kita malas, malu dan kecewa. Orang yang kecewa tidak akan berjaya. Yang berjaya adalah mereka yang positif. Anak muda yang bangun dari kegagalan. Anak muda yang berpandangan, pengalaman itu lebih berharga daripada wang. Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Namun tiada salahnya jika kita memilki semuanya. 

Menjelang 10 tahun lagi kita akan berubah. Manusia berubah. Negara berubah. Kita takkan mampu membaca dan menilik masa depan. Kita cuma mampu bersedia. The best preparation is well preparation. Kita ingin berjaya, kaya dan bahagia dengan usaha kita. Dengan kepakaran, ilmu, kemahiran kita bangunkan nusa bangsa. Kita mahu anak-anak kita setanding dan boleh belajar di Cambridge, Harvard, NUS. Kita mahu kepakaran kita sehingga diiktiraf negara maju. Segalanya mungkin jika kita tidak malas dan tidak tidur selepas Subuh. Segalanya mungkin jika kita mendoakan kedua ibu bapa yang menjaga dan membesarkan kita. Segalanya mungkin jika kita berani berubah - tanpa keberanian mimpi tak bermakna ! 

Kembali Mencari Sabtu


'Where shall I begin, please your Majesty?' asked the White Rabbit. 
'Begin at the beginning,' the King said gravely, and go on till you come to the end: then stop.' 
Lewis Carroll (1832-98) 
Alice's Adventures In Wonderland (1865) 

Hari ini, 1.6.2012. Dalam kalender Islam sudah pertengahan Bulan Rejab. Sedar atau tidak begitu pantas masa berlalu. Jangan salahkan masa sekiranya kita tidak lagi mengecapi apa yang kita inginkan. Masa yang berlalu tak mungkin dapat diulang kembali. Usia yang meningkat tidak mungkin dapat diundur untuk kita menjadi remaja dan belia. Harapan dan impian yang tidak dapat dicapai tidak mampu untuk dibeli semahal harga WWW1 itu. Tiada tanda harga yang boleh diletakkan pada bernilainya masa. Nilaian sebenarnya adalah pada diri kita. Kita menguruskan kehidupan atau mengurus masa? Kalau kita mengurus masa  kita tidak mampu. Kita mengurus kehidupan sebenarnya bukan mengurus masa. Masa itu umur kita. 

Harapan untuk melihat Negara Malaysia yang semakin dewasa. Daulah yang adil lagi saksama. Daulah yang aman dan harmoni. Daulah yang jujur dan berdaulat. Daulah yang tidak sama sekali melihat warganya terbeban dengan kos yang maha tinggi. Daulah yang mampu menjaga kebajikan warganya. Daulah yang prihatin akan nasib rakyatnya dan anak mudanya. Hari semakin kita lihat dan renung kepada kehidupan. Apakah akhirnya sebuah impian untuk melihat kemajuan seiring pembangunan insan. Melihat undang-undang Ilahi itu ditegakkan dan dilaksanakan. Melihat kepada pendidikan yang membuat kita kembali kepada Tuhan. Melihat negara yang rakyatnya baik, berpendidikan dan mampu memacu negara ke hadapan. 

Sungguh, tugas dan tanggungjawab lebih banyak dari waktu yang kita ada. Setiap masa kita berfikir, dan membaca, apa yang berlaku di sekeliling kita. Benarkah ini terjadi dalam sebuah negara yang bangsanya mulia. Benarkah ini terjadi dalam negara yang semakin dewasa. Benarkah ini terjadi kerana semua orang cintanya agama, bangsa dan tanahairnya. Kegelapan itu hadir tatkala kita mencari sinar cahaya. Ketika kita ingin membawa harapan baru, misi baru dan visi baru - tidak ingin menjadi yang biasa-biasa tapi mesti jadi yang luar biasa. Kerja keras, usaha gigih lebih masa itulah formulanya. Kita tidak boleh hidup selesa seandainya kita malas bekerja. Kita juga tidak akan pandai sekiranya kita asyik menonton K-Pop Korea. 

Bagaimanakah nasib kita di tahun 2020 itu. 7 tahun setengah lagi rupanya untuk melihat impian Tun Mahathir agar Malaysia jadi negara maju. Mat Rempit, Mat Gian, K-Pop, Culik Rogol Bunuh Bakar aduhai itulah penghalangnya. Mampukah kita menghadapi cabaran masa depan dengan isu yang begitu berat itu. Segala-galanya dihalang dan dilarang. Semuanya haram dan haram. Bisnes haram ini sangat menguntungkan. Bisnes menghukum siapa baik dan siapa jahat juga tak kurang untungnya. Segala-galanya berkisarkan politik dan kuasa. Segala-galanya kerana kita ingin hidup selesa dan kaya raya. Bilakah masanya untuk kita kembali padaNya. Bilakah masanya untuk kita membuang kepentingan dunia. Salam Jumaat buat semua-1.6.2012 

Mencari Titik Perubahan


Perdebatan Rafizi - KJ tentang PTPTN dan Halatuju Pendidikan Negara itu menjadi turning point kepada perubahan budaya politik negara. Anak-anak muda begitu dahagakan fakta dan figura. Anak-anak muda sudah bosan dengan cerita politik hudud. Anak-anak muda sudah tidak tahan lagi dengan kos sara hidup yang terlalu tinggi. Anak-anak muda tidak terdaya dengan gaji yang begitu ciput. Akhirnya tembok politik itu dapat dirobohkan. Tiada lagi taqlid buta. Tiada lagi mental subsidi. Tiada lagi minda yang segalanya mesti diterima dan dianggap baik. Setiap sesuatu itu terbuka kepada kritikan dan penambahbaikan. Setiap sesuatu itu mesti diberi ruang untuk ditambah baik dengan ruang demokrasi sedia ada. Inilah budaya politik baru anak muda Malaysia. 

Ruang dan peluang yang ada harus dipergunakan sebaiknya. Lupakan tentang politik racism. Lupakan tentang siapa yang patut menjadi Perdana Menteri Malaysia. Lupakan siapa yang patut menawan Putrajaya dan PWTC. Tumpuan kini adalah pembangunan diri. Tumpuan kini adalah untuk membangunkan insaniah diri. Soft skills dan hard skills. Pendidikan yang paling utama. Pendidikan adalah segala-galanya. Dengan pendidikan kita mampu mengubah diri. Kita mampu membawa keluarga keluar dari zon kemiskinan. Kita mampu untuk membangun idea-idea baru yang membawa negara kita maju ke hadapan. Konsert K-pop tidak membawa kita maju ke hadapan. Konsert K-pop membawa kita mundur ke belakang. Korea maju menjual K-Pop nya, Malaysia maju menjual apa? Pop Corn? 

Kita mesti cepat berfikir dan bertindak. Cepat menguasai perubahan. Cepat membawa strategi untuk berubah. Kita mesti adapt dengan suasana dan budaya baru. Kita mesti terus berfikir dan bergerak. Membangun kuasa politik, ekonomi, sosial dan rohani. Membangun sebuah cita-cita untuk migrasi. Membangun sebuah impian untuk merubah masyarakat Felda agar lebih independent. Membangun sebuah usaha untuk bergantung di atas diri sendiri. Membina komuniti berilmu dan berjiwa besar. Membina income bukan setakat 2-3K tetapi mestilah 50-100K per-month. Mesti ada usaha berterusan. Mesti ada ketelusan> Mesti ada keberanian. Tanpa keberanian mimpi tak bermakna. Syarat menjadi peguam adalah berani. 

Hatta Majlis Peguam itupun disaman. Bagaimana ahli persatuan menyaman persatuan sendiri. Itulah pentingnya sivil litigasi. Litigasi kepentingan awam. Sangat menarik untuk difahami. Sangat menarik untuk diketahui dan diamali. Kini warga semakin cerdik dan bijak. Seramai 14,000 pengamal undang-undang semuanya bijak-bijak. Jesteru kita membuka ruang demokrasi ini untuk melihat kepada submission. Submission ini adalah hujahan pihak-pihak. Siapakah yang berhujah paling ampuh dan berkesan. Siapakah yang mempunyai good arguable case. 

Mencari Locus Standi


Dalam kehidupan itu kita mencari makna diri. Berbulan-bulan lamanya. Mungkin bertahun untuk kita mengenali diri. Siapa kita, dari mana kita dan ke mana seterusnya. Selepas melepasi halangan itu kita berasa puas. Kita berasa tidak cukup. Kita berasa kita boleh buat lebih baik lagi. Kita berasa kita mampu untuk merentas halangan tersebut. Kita berasa kita mampu bekerja 7 hari seminggu dengan 24 jam sehari. Kenapa Tuhan kurniakan kita masa yang sebegitu singkat. Kenapa kita tak diberikan masa dan waktu yang lebih daripada itu. 

Lantas kita mencari erti masa dan kehidupan. Lantas kita mula mempersoalkan adakah benar jalan yang kita pilih ini. Apakah ini yang sepatutnya kita perolehi. Adakah ini pengakhiran sebuah cerita. Adakah kita akan terus kekal sebegini tanpa pembaharuan. Tanpa kemajuan. Tanpa pembangunan. Kita mahukan perubahan. Kita sama-sama mahu bergerak ke arah yang baik. Sebarang usaha menghalang ke arah kebaikan itu perlu dibersihkan. Idea dan manusia negatif itu perlu dijauhkan. Idea dan manusia yang positif itu perlu dijadikan rakan. Kita mesti duduk di kelompok yang berjaya, positif dan maju. Kita mesti mempunyai martabat yang bagus. Kita mesti meletakkan diri kita di tempat yang betul. Tempat yang strategik. Tempat yang selamat. 

Ketahui standard kita. Ketahui ke mana yang ingin kita tujui. Knowledge alone is not power. Action is power ! Ilmu sahaja belum cukup membawa kita ke arah kuasa. Tindakan itu ialah kuasa ! 

Berjiwa Tetap

Maafkan saya. Kesibukan itu mengatasi segalanya. Hidup ini kita bermain dengan masa dan waktu. Ketika saya menulis ini sudah hampir masuk pertengahan Mac tahun 2012. Begitu pantas masa berlalu. Begitu juga pantasnya berlalu usia kita. Kita takkan mampu untuk mengulangi masa. Kita tidak boleh berpaling ke belakang melihat siapa kita dahulu. Kita mesti 'moving forward' untuk melihat siapa kita pada masa akan datang. Kita mesti proaktif melihat masa depan yang ingin depani, impian yang ingin kita kecapi. Untuk itu kita mesti bersedia untuk berkorban. 

Arakain masa yang berlalu itu mengajar kita, setiap detik itu amat berharga. Dalam keperitan dan kesusahan itu mengajar kita sesuatu- sesuatu tentang hidup. Kehidupan yang kita lihat itu sebenarnya cukup mencabar dan menguji. Benar- dalam kehidupan ini kita diuji. Adakah kita tahan ujian. Adakah kita tetap kekal tabah dengan rintangan dan halangan. Adakah kita tetap positif walaupun kita tinggal sebatang kara. Adakah kita takut dengan kemiskinan. Adakah kita takut dengan perubahan. Apakah kita takut dengan kematian. 

Sungguh dunia ini tak pernah namun Tuhan itu Maha Adil. Sekalipun manusia tidak mendengar rayuan kita namun Tuhan itu Maha Mendengar- Ya DIA mendengar rayuan kita. Oleh itu tabahlah dan percayalah bahawa adanya jalan keluar bagi sesuatu. Tiada yang perlu dikecewakan. Tiada yang perlu ditangiskan atas hidup di dunia yang terpenjara. Penjara bagi kita adalah dunia. Di situ kita mengenal sedalamnya siapa kita, dari mana kita dan ke mana seterusnya. Di situ kita memahami bahawa perubahan itu sangat indah. 

Akhirnya manusia yang berani berubah dan mengubah itu akan berjaya. Hidup jangan statik. Hidup mesti bergerak aktif dan proaktif. Kita jangan anggap dunia ini hanya untuk kita - tapi untuk semua orang. Kita mesti membina rangkaian, membangunkan diri dengan ilmu dan kemahiran, sentiasa positif dan berdaya tahan dalam menempuh cabaran. Kita jangan jadi Sabtu yang tidak mahu keluar mengubah hidup. Cabaran itu pasti ada namun kita mesti berani untuk berjaya. Kita adalah pejuang. Kita adalah ejen perubahan. Kita mesti meletakkan values atau nilai yang tinggi pada diri kita. Kita berfikir jauh lebih kreatif dari manusia. Kita tidak pernah berhenti belajar. Belajar dan terus belajar. Tanpa keberanian mimpi tak bermakna !

Kita dan Strategi

Hari ini-27 Januari genap dua bulan alam rumahtangga itu dibina. Syukur pada Ilahi kerana semuanya berjalan sungguh lancar dan tenang. Tidak sungguh jika kita menyatakan bahawa segalanya sempurna. Disitulah letaknya hikmah perkahwinan- sentiasa menampung kelemahan dan kekurangan yang ada dengan menampakkan kelebihan. Sentiasa berbaik sangka dan berfikir ke hadapan- kita ada masa depan yang lebih jauh. Kita ada matlamat jangka sederhana dan jangka masa panjang untuk dicapai. Semua itu dengan perancangan. Semua itu adalah strategi. Setiap satu bermulanya dari Tinta, bait-bait tulisan yang ku ukirkan dulu di batu sempadan. Strategi terbaik datangnya dari rahmat dan keberkatan. Jalan di lalui masih jauh.

Masa berlalu begitu pantas. Tidak menunggu walau sesaat. Kita masih disini berfikir apakah strategi terbaik untuk membangun sebuah pencerahan. Apakah kita perlu berkorban dan terkorban. Berkorban kerjaya yang kita inginkan. Korbankan masa yang sudah kita isi untuk mencapai segulung penghargaan. Korbankan segala kasih sayang yang telah diberikan oleh kedua ibu dan bapa kita sejak lahir. Korbankan sebuah cinta dan impian untuk mencapai bulan. Korbankan sebuah idealisme untuk membangun anak-anak muda di sekeliling massa kita. Korbankan semua itu semata-mata untuk nilai material wang, harta dan kekayaan.

Perjuangan. Itulah yang menjadi azam iltizam kita sejak dulu. Tidak pernah selesa. Selalu berfikir bagaimana keluar dari kepompong dogma yang pathetic lagi statik. Tiada movement. Tiada aksi. Tiada lagi semangat untuk kita sama-sama menghayun tangan menuntut kebebasan. Sama-sama membebaskan minda dan jiwa yang dikongkong. Sama-sama berintima' untuk sebuah daulah atau warga yang lebih terpelajar, ceria dan baik. Perubahan total. Merubah warga Felda bukannya semudah yang kita sangka. Kembali ke kampung halaman ibarat kita cuba mencari kehidupan itu semula. Siapakah kita, di manakah kita dan ke mana seterusnya. Apakah 28 tahun itu cukup bererti untuk membangun nusa dan bangsa. Ke manakah kita seterusnya.

Keberanian. Tanpa keberanian mimpi tak bermakna. Tanpa nafsu kita tidak berdaya bangun. Tanpa amal kita lemah gemalai. Tanpa Tuhan kita bukan siapa-siapa. Setiap satu yang kita inginkan kita lalui pahit manisnya. Kita hadapi kegetiran dan jiwa kosong@ jiwa kacau yang saban kali menusuk jiwa dan kalbu kita. Kita tetap hidup. Tanpa mati hadapi ujian hidup. Kita tetap semangat untuk melihat lepas ni apa dan bagaimana. Kita tetap teguh pendirian - yakin DIA yang menentukan. Yakin suatu hari nanti kuasa itu milik kita. Yakin suatu masa keadaan ini akan berubah-kita akan menjadi kaya, berjaya dan bahagia. Sungguh kehidupan itu penuh fana' dan kita mesti menerima hakikat, perubahan hanya boleh dilakukan oleh anak-anak muda. Mereka memiliki idea untuk memiliki dan menawan segala hikmah kebijaksaan yang ada dalam dunia. Akhirnya dunia ini tetap jatuh kepada anak-anak muda - pembela segala bangsa.- AH.

Selamat Datang Kebebasan

Kehidupan ini hanyalah sebentar sahaja. Waktu hidup hendaklah kita gunakan dengan sebaiknya. Dari kecil kita meningkat dewasa. Belajar, bekerja dan berumahtangga. Sewaktu kecil kita dibela oleh kedua ibu-bapa. Ketika dewasa kita pula berbakti kepada kedua mereka. Dunia ini bulat dan berputar. Sepertimana peredaran masa dan waktu. Begitu juga dengan bertambahnya usia dan kematangan kita. Sampai masanya untuk kita menjadi matang dan dewasa. Sampai masanya untuk kita menentukan arah tuju kita. Sampai masanya kita membuat keputusan - kita nak jadi apa sebenarnya.

Melalui saat-saat itu kita melihat apa yang berlaku di sekeliling. Malaysia dalam transisi. Tahun 2012 adalah tahun transformasi. Politik, sosial dan ekonomi. Semuanya harus ada evolusi. Semua harus ada inovasi untuk yang lebih segar dan bersih. Kita perlukan tenaga muda untuk terus memacu negara ke hadapan. Kita perlu memotivasi golongan muda untuk berimpian besar. Kita perlu memberi peluang kepada anak-anak muda untuk memimpin daulah. Kita perlu bersedia untuk pastikan masa depan negara lebih cerah di tangan anak-anak muda dewasa itu..

Malangnya bukan mudah untuk memberi kepercayaan kepada anak-anak muda itu. Bukan mudah untuk mengalihkan kuasa. Bukan mudah untuk kita mendaki ke puncak jaya. Bukan mudah untuk kita mendapat jalan pencerahan. Bukan mudah juga untuk kita lakukan perubahan total. Cabarannya cukup kental dan kuat. Ombaknya bukan sahaja ombak rindu tetapi ombak api yang sentiasa menggugat sesiapa sahaja yang cuba mencabar establishment itu. Sistem yang berkarat selama 50 tahun lebih itu harus diubah - namun ianya hanya bisa diubah oleh tangan anak-anak muda yang mula mendewasa..

Dari kecil kita sering dimomokkan dengan ketakutan. Benar sekali, drama dan cerita hantu di TV dan panggung wayang adalah agenda psiko dan doktrinisasi untuk melemahkan minda. Biarkan anak-anak muda itu takut dan lemah. Biarkan orang Melayu itu berjiwa kecil. Hantu dan toyol adalah yang paling ditakuti. Berniaga dan risiko juga perlu ditakuti. Transisi daulah juga perlu ditakuti kerana ada hantu dibelakang semua itu. Takut sini dan takut situ berlegar di sekeliling kita. Akhirnya kita menjadi senyap dan takut untuk bersuara. Akhirnya kita terus miskin, hina dan papa kedana. Akhirnya kita terus tinggal di dalam hutan dan di dalam ladang sawit. Kaunterpart lain terus kaya raya, maju dan mendominasi kuasa daulah sedunia.

Bilakah kita akan berubah. Siapakah yang akan merubah. Dimanakah kita harus bermula untuk berubah. Semua itu berlegar di sekeliling kita. Kita yang memilih untuk mencorakkan masa depan kita. Jangan salahkan daulah. Jangan salahkan aritokrat dan birokrat. Jangan salahkan Sang Penguasa. Salahkan diri kita kerana tidak belajar dan malas berusaha. Salahkan diri kita kerana berbudaya lesu dan lemau. Kita membudaya sesuatu yang tak mungkin membawa kita maju ke hadapan. Kita selesa hidup dalam lingkungan kita yang stereotaip. Kita suka membawa diri kita belakang dengan mengampu dan menunggu. Kita tidak suka kepada sesuatu yang dinamakan kebebasan. Kita tidak akan berubah, jika kita sendiri tidak berniat melakukan perubahan~