Wednesday, September 30, 2009

MELAWAT PPRT KG.KAWANG-KAWANG

GAMBAR : WAJAH IBU YANG DERITA. DIA HANYA MAMPU TERSENYUM MELIHAT SAYA DATANG. MASIH SETIA DENGAN RUMAH LAMANYA

GAMBAR : SAYA MASIH MEMBAYANGI KASIH SAYANG SEORANG BAPA. SEMOGA ANAK-ANAK INI DAPAT MERUBAH KEHIDUPAN KELUARGA PADA MASA AKAN DATANG


GAMBAR : RUMAH PPRT YANG TELAH SIAP DIBINA. HANYA MENUNGGU PENYAMBUNGAN BEKALAN ELEKTRIK

GAMBAR : SAYA DAN RAKAN-RAKAN SERTA KELUARGA TERBABIT MENGABADIKAN KENANGAN, SEMENTARA ITU IBU SEDANG ASYIK MEMERHATIKAN KAMI

Beberapa bulan yang lalu,saya menziarahi insan yang meninggal dunia di Kampung Kawang-Kawang. Selepas itu saya sempat bertanya,siapakah keluarga yang paling miskin di kampung tersebut. Lantas seorang rakan memberitahu tentang keluarga itu. Tanpa membuang masa,saya terus melawat keluarga itu. Rasa sebak di jiwa saya melihatnya. Dah lah ditimpa kemiskinan,isterinya mengalami gangguan tekanan akibat kemiskinan.

Saya terfikir,macamanalah mereka menyambung hari-hari mereka yang dinamakan kehidupan. Bagaimana mereka mengecapi kebahagiaan dalam keadaan rumah seumpama itu(dalam serba kekurangan).Satu lagi perkara yang menyedihkan saya,macamana lah perasaan anak-anak melihat keadaan ibu mereka seumpama itu.

Sepanjang perjalanan balik dari Kampung teersebut ke KK saya asyik memikirkan keluarga itu. Sebagai anak,saya memikirkan perasaan mereka. Apatah lagi,sejak kecil saya dah kehilangan seorang ibu. Hanya kepada bapa dan keluarga tempat saya bermanja dan menagih kasih sayang.

Mungkin saudara dan sahabat-sahabatku sekalian tidak percaya,bahawa hidup saya semakin sunyi sejak kehilangan bapa pada 4 tahun yang lalu. Mungkin itulah nasib saya,sejak kecil kehilangan ibu dan di saat-saat saya dalam perjuangan,bapa yang banyak berjasa pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Saya menyedari kasih sayang dan pengorbanan seorang bapa. Saya faham sangat. Sebab itulah saya tidak akan membiarkan mereka sunyi tanpa perhatian.

Ekoran daripada peristiwa itu, saya mengambil keluarga tersebut sebagai anak angkat saya. Syukur alhamdulillah,rumah baru telah dapat dibina. Sekurang-kurangnya dapat menyuntik semangat kepada mereka untuk terus menyambung hari-hari yang dinamakan kemanisan hidup, bukannya hari-hari membayangi derita.

Read more...

Monday, September 28, 2009

ADUN TEMPASUK BERAYA DI KAMPUNG MERABAU DAN KAWANG-KAWANG

GAMBAR : RUMAH YANG TAK BERPENGHUNI DI KG.KAWANG-KAWANG. PERJUANGAN MEMBASMI KEMISKINAN ADALAH JIHAD

GAMBAR : BERHARI RAYA SAMBIL BERBINCANG DENGAN RAKAN-RAKAN DAN MENDENGAR PERMASALAHAN DI PERINGKAT KAMPUNG

GAMBAR : BERSAMA MASYARAKAT DI KAMPUNG MERABAU BERHARI RAYA DI MASJID KAMPUNG TERSEBUT

Pada hari Sabtu lalu, saya sempat beraya dengan penduduk Kampung Merabau dan Kawang-kawang. Di samping bermaaf-maafan, saya rasa gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan lama. Hari Raya seperti ini dapat mengukuhkan perpaduan di samping merapatkan hubungan dengan rakyat. Jika tiada benteng di antara pemimpin dan rakyat, maka segala tugas dapat berjalan lancar. Bagi saya mendengar masalah rakyat amat penting,walaupun tidak dapat diselesaikan sekaligus.

Dalam perbincangan saya dengan rakan-rakan dan pemimpin kampung, saya sempat menyampaikan mesej bahawa betapa pentingnya rakyat bersatu padu untuk membasmi kemiskinan. Tiada sebarang perkara yang mustahil jika diusahakan bersungguh-sungguh,apatah lagi kerajaan sentiasa membantu rakyat yang memerlukan. Cuma saja perlu kesedaran daripada rakyat dan tidak mendengar tohmahan orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

Saya juga sempat menerangkan kepada masyarakat di kedua-dua kampung tersebut bahawa kerajaan sedang rancak merealisasikan Kota Belud sebagai Jelapang Padi di mana sekarang dalam Fasa 1. Jika telah berjalan sepenuhnya,ianya mampu meningkatkan ekonomi rakyat. Sementara itu, Projek Agropolitan bertujuan untuk membasmi kemiskinan. Saya berharap para sahabat menyokong penuh dan bersatu hati untuk menyokong kedua-dua program ini.

Read more...

ADUN TEMPASUK KUNJUNGI PEJUANG LAMA

GAMBAR : SAYA DAN MA' TO' MA' ANING DI KEDIAMANNYA DI KAMPUNG LABUAN,KOTA BELUD

Pada 26.9.2009(SABTU),saya telah mengunjungi seorang pejuang lama(orang kuat Usno/kawan karib Tun Mustapha) iaitu Hj Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ma'Aning di Kampung Labuan. Saya mengunjungi beliau kerana pertama,telah mendengar berita beliau sakit,kedua ingin berhari raya bersama beliau dan keluarga. Terima kasih kepada Cikgu Mudin yang membantu mengatur pertemuan saya dengan beliau.

Terus terang saya katakan,saya amat kagum dengan beliau Ma'Aning yang saya panggil Ma'To(Atuk). Walaupun beliau uzur tetapi beliau masih bersemangat dan senang hati dengan kehadiran saya.Beliau memberitahu saya bahawa Tun Mustapha kerap datang ke rumah setiap kali ada perjumpaan bersama rakyat apatah lagi sewaktu zaman kegemilangan Usno suatu ketika dulu. Mesyuarat cawangan pun kerap diadakan di rumah ini. Sehinggalah suatu ketika Tun Mustapha memujuk mereka untuk masuk Umno,mereka akur dengan bapa Tun kerana kenang budi sahabat(Bapa kemerdekaan).

Dalam perjumpaan itu,tiada yang mampu saya ucapkan hanyalah terimakasih kerana sanggup berjuang.Di samping itu saya mengharapkan doa restu dari mereka agar perjuangan untuk membasmi kemiskinan dapat diteruskan walaupun banyak ranjau yang perlu dilalui. Ingatlah bahawa perjuangan membasmi kemiskinan adalah JIHAD.
Terimakasih pejuang lama.Budi kalian tetap dalam ingatan. Tanpa mereka siapalah kita pada hari ini?


Read more...

Sunday, September 27, 2009

ADUN TEMPASUK MELAWAT MANGSA KEBAKARAN DI KAMPUNG TAUN GUSI DAN KAMPUNG TAMAU

GAMBAR : ADUN TEMPASUK,DATUK HJ.MUSBAH HJ JAMLI BERGEGAS KE TEMPAT KEJADIAN

GAMBAR DI ATAS : DATUK MUSBAH BERSAMA ANGGOTA RELA YANG TURUT MEMBANTU MENYELAMAT KELUARGA MANGSA KEBAKARAN DI KAMPUNG TAMAU,EN BUKARIA

GAMBAR : ADUN TEMPASUK,DATUK HJ MUSBAH SEBAIK TIBA DI TEMPAT KEJADIAN


GAMBAR : TINGGAL RANGKA ...... KEBAKARAN DUA RUMAH SERENTAK IAITU RUMAH TN HJ SERAKAL JERGAN DAN DYG IMPUN




GAMBAR : MEMBERI KATA-KATA SEMANGAT KEPADA HJ SERAKAL DAN BERHARAP KELUARGA DAPAT BERTENANG DAN BERSABAR DENGAN UJIAN ALLAH

Baru-baru ini,ADUN Tempasuk,Datuk Hj.Musbah Hj.Jamli sempat melawat mangsa kebakaran di Kampung Taun Gusi dan di Kampung Tamau. Beliau merupakan pemimpin yang paling awal mengunjungi keluarga mangsa kebakaran iaitu sempat melihat pasukan bomba berusaha bertungkus lumus memadam api.

Datuk Musbah menyatakan rasa simpatinya kepada keluarga terbabit apatah lagi musibah itu melanda keluarga di saat umat Islam sibuk mengerjakan ibadah puasa di samping persiapan menyambut Hari Raya AidilFitri. Beliau meminta keluarga agar dapat bersabar dalam menempuhi ujian Allah.

Read more...

Friday, September 25, 2009

ADUN TEMPASUK BERSAMA BELIA













Majlis Penyerahan Anak Angkat Program Jati Diri Kesukarelaan Nasional(PJKN) 2008 Di Kampung Taun Gusi Kota Belud.

Majlis Penyerahan anak angkat PJKN anjuran Majlis Belia Sabah dengan kerjasama Kelab Belia / Beliawanis Kampung Taun Gusi ( BASAG ) di Kampung Taun Gusi Kota Belud diadakan di Dewan Terbuka Kampung Taun Gusi, Kota Belud pada 21 Ogos 2008.

Majlis penyerahan anak angkat tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hj Musbah Hj Jamli. Dalam ucapan perasmiannya, Musbah memuji usaha Majlis Belia Sabah (MBS) yang berjaya mengadakan program tersebut di mana di antara lain pengisiannya ialah mendedahkan kemahiran pertanian dan penternakan.

“Selaku Pembantu Menteri yang bertanggungjawab dengan sektor ini, saya amat menyokong usaha Majlis Belia Sabah dalam mendedahkan para belia kepada sektor pertanian dan penternakan ini. Kita mahu supaya para belia dapat melibatkan diri dalam sektor ini dan seterusnya membantu kerajaan menangani krisis makanan.”, katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kampung Taun Gusi bakal dilibatkan dalam projek Jelapang Padi. Oleh itu beliau merayu penglibatan para belia dalam industri tersebut.

Dalam pada itu, Musbah mengingatkan kepada belia agar memberi peluang kepada rakan yang berpotensi untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang kerana pemimpin pelapis untuk belia pada masa akan datang amat penting.

”Jangan ikut rasmi ketam, jika rakan hendak naik ditarik. Lambat laun cara demikian akan merosakkan organisasi,” tegasnya.

Musbah turut mengongsikan cerita filem-filem 50-an yang memaparkan kisah pemimpin yang membunuh pengikut yang bijak. Selepas itu rakyat ditindas dan dimiskinkan agar tidak dapat menggantikan pemimpin yang zalim tersebut.

Sehubungan itu, Musbah menyeru kepada Pemimpin Belia khususnya Jawatankuasa Tertinggi Majlis Belia Sabah agar tidak kedekut dengan ilmu, ikhlas dalam perjuangan dan sentiasa berusaha menaikkan rakan belia menduduki barisan kepimpinan belia agar organisasi belia itu sendiri menjadi mantap cemerlang dan diyakini buat selama-lamanya.

Turut hadir ialah Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mustafa Hj Sakmud

Read more...

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my

Projek buka peluang industri pemprosesan daging dan susu

KOTA KINABALU: Projek Agropolitan Kota Belud yang bakal dilaksanakan tahun ini akan memberi tumpuan terhadap usaha pembasmian kemiskinan 4,762 rakyat miskin tegar dan relatif daerah di utara Sabah itu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli, berkata mengikut bancian, seramai 3,018 rakyat daerah itu tersenarai dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-kasih) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bakinya 1,744 di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR ) Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri.

Bagi peringkat awal, katanya, seramai 550 orang terpilih sebagai peserta projek Agropolitan Kota Belud meliputi 300 peserta projek lembu tenusu dan pedaging di Kuala Pintasan manakala 250 peserta bagi projek penanaman getah di Kampung Rosok/Surun.

“Bilangan peserta projek akan ditambah dari semasa ke semasa sehingga semua rakyat miskin di daerah itu mampu meraih pendapatan RM1,200 sebulan yang dengan sendirinya bebas daripada status berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada Berita Harian di sini, kelmarin.

Pada 19 Mei lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mengumumkan lima projek Agropolitan bernilai RM370 juta akan dilaksanakan tahun ini dan tahun depan melalui program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mensasarkan 5,500 Ketua Isi rumah Miskin Tegar (KIRMT).

Katanya, Projek Agropolitan Kota Belud di Kuala Pintasan dan Kampung Rosok/Surun memfokuskan penanaman getah dan penternakan lembu tenusu serta pedaging bernilai RM70 juta di tapak seluas 800 hektar yang akan dilaksanakan tahun ini.

Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk berkata, selain pembasmian kemiskinan, projek itu turut membuka peluang perniagaan dalam industri pemprosesan daging dan susu lembu untuk dijadikan pelbagai produk, selain fokus terhadap pembekal daging serta rumput ternakan dan pemprosesan getah yang sekali gus menjadikan Kota Belud antara daerah termaju di Sabah pada masa depan.

“Saya harap penduduk Kota Belud memberi kerjasama supaya projek itu berjalan mengikut jadual dan tidak dibatalkan. Penduduk kampung yang diberi kuasa sebagai pemegang amanah tanah rizab padang ragut itu boleh menyertai projek berkenaan sebagai pembekal rumput ternakan serta menternak lembu dan kambing berhampiran tapak Projek Agropolitan,” katanya.

Read more...

Thursday, September 24, 2009

ADUN TEMPASUK BERSAMA PENDIDIK


PERISTIWA LALU

JAMUAN HARI GURU….. Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Haji Musbah Jamli diberi penghormatan untuk merasmikan Jamuan Makan Malam Sempena Hari Guru yang telah diadakan di SMK Pekan Kota Belud II.

Dalam ucapan perasmiannya, Musbah mengharapkan agar golongan pendidik peka dengan perubahan zaman tetapi dalam masa yang sama tidak melupai sejarah perjuangan guru-guru lama yang terlibat dalam pembentukan kemerdekaan Malaysia.

Beliau berjanji akan sentiasa berganding bahu dengan para guru untuk kecemerlangan ilmu anak didik yang merupakan pelapis kepada kepimpinan akan datang

“Generasi berilmu yang dibentuk oleh guru merupakan penentu halatuju pembangunan negara pada masa akan datang. Didiklah mereka sepenuhnya dalam mengharungi perubahan zaman yang terlalu drastik, tetapi dalam masa yang sama jangan lupa beri penekanan kepada sejarah perjuangan nenek moyang kita agar mereka dapat mempertahankan keharmonian negara Malaysia tercinta ini”, katanya.

Kelihatan Musbah(dua dari kiri) memotong kek Hari Guru sambil diperhatikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud,Abdul Bahkrin Mohd Yusof(kanan) bersama pengetua dan guru besar daerah Kota Belud.

Read more...

Sunday, September 20, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI-MAAF ZAHIR DAN BATIN


DI KESEMPATAN INI SAYA DAN KELUARGA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN KEPADA SEMUA.
DI SAMPING BERMAAF-MAAFAN, SAYA BERHARAP HARI RAYA KALI INI DIRAYAKAN DALAM KEADAAN HARMONI DAN PENUH PERSEFAHAMAN. SAYA BERDOA AGAR PERPADUAN YANG SEDIA TERPUPUK DI MALAYSIA AKAN KEKAL SELAMANYA. MARILAH KITA MENGEKALKAN PERPADUAN PELBAGAI KAUM DEMI NEGARA MALAYSIA TERCINTA. MARILAH KITA MENYOKONG PENUH GAGASAN 1MALAYSIA YANG DIPERKENALKAN OLEH Y.A.B PERDANA MENTERI TERCINTA.

SAYA BERDOA MOGA KITA RAKYAT MALAYSIA SENTIASA HIDUP AMAN DAMAI. SAYA PENUH YAKIN AMALAN ZIARAH MENZIARAH SEPERTI YANG DIAMALKAN SETIAP PERAYAAN DAPAT MEMUPUK TALI SILATURRAHIM SESAMA KITA . KEPADA PARA SAHABAT YANG BALIK KAMPUNG, BERHATI-HATILAH DI JALANRAYA.

Read more...

Saturday, September 19, 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN AIDIL-FITRI







Kelmarin telah diadakan Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah merangkap ADUN Tempasuk, Datuk Hj Musbah Hj Jamli bertempat di Dewan Terbuka DUN Tempasuk di Kampung Taun Gusi,Kota Belud.

Seramai 200 orang fakir miskin tidak termasuk ibu tunggal, warga emas dan insan uzur telah menerima bantuan daripada Datuk Musbah. Majlis tersebut anjuran ADUN Tempasuk bersama Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Tempasuk berjalan dalam keadaan harmoni dan ceria yang menggambarkan ciri-ciri mengeratkan tali silaturahim di antara pemimpin dan rakyat jelata.

Sementara itu, Datuk Musbah dalam ucapannya berkata golongan fakir miskin perlu dibantu dan beliau sentiasa berusaha mengubah taraf hidup rakyat kerana perjuangan memerangi kemiskinan merupakan JIHAD. Menurut beliau amalan bantu membantu adalah digalakkan oleh Islam apatah lagi di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

"Dalam bulan Ramadhan ini,saya mempunyai jadual yang cukup ketat iaitu bersembahyang terawih di masjid-masjid di sekitar Kota Belud di samping menghadiri program-program ceramah agama. Selain beramal dan menunaikan ibadah tugas saya sebagai wakil Rakyat di daerah ini adalah untuk turun padang di samping membina hubungan serta mengenalpasti permasalahan yang berlaku untuk penambahbaikan", katanya.

Read more...

SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA(DATUK MUSBAH HAJI JAMLI)

Selamat datang ke BLOG saya. Semoga kewujudan blog saya ini akan merapatkan lagi hubungan kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum di daerah Kota Belud khususnya di kawasan ADUN Tempasuk. Blog ini saya akan guna sepenuhnya sebagai tempat memaparkan segala aktiviti saya sepanjang tahun supaya semua penduduk mendapat menafaat apabila membaca maklumat yang terpapar di dalam blog ini.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP