Monday, May 14, 2007

Sebenarnya masih terdapat ramai saki baki mukmin yang bilangan mereka cukup untuk menegakkan kebaikan yang kita ingin capai dan cita-citakan, tetapi dengan syarat mereka mengenali erti tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), merasai kecil dan hinanya dunia, menjauhkan diri dari fitnah-fitnah, sabar menghadapi mihnah dan mahir seni memimpin ummat.

Friday, March 05, 2004

KAMU PERLU MERUBAH DUNIA INI.. WALAUPUN ANDA KESEORANGAN..

Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam
mendidik individu-individunya agar setiap orang
daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi
melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun
bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar.
Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islam
pertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara seruan
pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang
bermaksud):

“Allah memberi hidayah melalui kamu seorang lelaki
lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am
(jenis unta yang paling tinggi nilainya)” [Muttafaq
‘alaih)

Semenjak saat itu, setiap individu daripada generasi
awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yang
murni dalam pemikiran mereka, begitu juga keimanan
yang mendalam dan mantap di dalam jiwa-jiwa mereka.
Sehingga ianya terserlah dalam kata-kata, tingkah laku
dan gerak diam mereka.

Setiap individu di kalangan mereka seolah-olah
membentuk sebuah umat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w
terhadap peribadi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah:

“Dia diutuskan sebagai sebuah umat”

Khalid al-Walid di medan perang mewakili sebuah umat.
Beliau bertanggungjawab melemah dan menumbangkan Rom
di tanah Arab.

‘Abdul Rahman bin ‘Auf di dalam bidang ekonomi
mewakili sebuah umat. Dialah yang berperanan
memecahkan monopoli Yahudi di Madinah yang sekian lama
sebelumnya menguasai kegiatan ekonomi Madinah.

‘Umar al-Khattab dalam soal keadilan mewakili sebuah
umat. Lorong-lorong Madinah dijelajahinya untuk
menangani permasalahan rakyat. Gabenor dan penguasa
dihimpun setiap tahun untuk dikaji siasat. Perhimpunan
haji saban tahun dijadikan tele-aduan umat.

Mus’ab bin ‘Umair pula dalam usaha da’wah mewakili
sebuah umat. Tiada satu rumah di Madinah melainkan
dimasuki sinar da’wah Islamiah dan petunjuk al-Quran.

Mu’az bin Jabal dalam soal halal haram mewakili sebuah
umat. Zaid bin Thabit dalam soal hukum hakam pusaka
mewakili sebuah umat. Banyak dan banyak lagi contoh
individu di kalangan mereka yang sedemikian.

Benarlah kata-kata mereka yang menyifatkan:

“Suara Qa’qa’ di medan perang menyamai seribu
pahlawan”.

Bukankah beliau mampu menyusun kembali tentera
muslimin yang kucar kacir, menaikkan semangat juang
mereka, mengacau bilaukan musuh, mencari titik
kelemahan mereka dan lain-lain lagi.

Setiap seorang daripada mereka hanyalah seorang
individu, tetapi dengan tekad kemahuan serta amal
kerja, dia seolah-olah sebuah umat, mengubah wajah
sejarah dengan usahanya itu. Sebagaimana yang
dikatakan:

“Amal praktik seorang lelaki di kalangan seribu lelaki
lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada
seorang lelaki”.

Mereka berusaha seolah-olah tiada sesiapa di
sekelilingnya yang turut bekerja bersamanya.
Seolah-olah dia ingin memulakan binaan Islam dengan
tangannya dan menyempurnakannya dengan tulang empat
keratnya.

Kesungguhan inilah yang didapati oleh ‘Umar al-Khattab
di kalangan tenteranya. Beliau berkata:

“Sungguh mengkagumkan aku, panglima perang yang jika
kamu melihatnya, kamu menyangkanya seorang tentera
bawahan yang patuh.
Mengkagumkan aku juga, tentera bawahan yang jika kamu
menyaksikannya, kamu menyangkanya seorang panglima
berkaliber”.

Lantaran ini, mereka telah merubah sejarah dunia,
memimpin dan membinanya dengan baik.

Tiada seorang pun di kalangan mereka yang
memperkecilkan dirinya atau apa yang dilakukannya.
Mereka amat memahami sabda Rasulullah s.a.w:

“Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat”
[Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Amal kerja dan sumbangan mereka tidak terhenti di satu
tahap, bahkan ke penghujung nafas yang terakhir.
Lihatlah Abu Ayyub al-Ansori yang mati syahid di
pinggir pagar kota Konstantinople dalam usianya 80
tahun. Pada saat kematiannya, dia tidak menghentikan
sumbangannya kepada Islam, bahkan menyampaikan kepada
muslimin sebuah hadis yang pernah didengarnya daripada
Nabi s.a.w:

“Sekiranya Kiamat berlaku sedangkan di tangan salah
seorang daripada kamu anak pokok, maka tanamkanlah ia”
[Diriwayatkan oleh Ahmad]

Nilai dan sikap ini satu fenomena biasa di dalam
masyarakat muslim pada sepanjang zaman. Setiap
individunya menjadi batu-bata kepada binaan Islam yang
agung. Mereka saling memperkukuhkan yang lain dalam
segenap bidang dan lapangan. Hasil usaha mereka yang
gigih, sesiapa yang melihat binaan Islam akan berkata:
Alangkah indahnya! Alangkah hebatnya Islam!

Dengan penuh tawadhu’ dan ikhlas, mereka tidak rela
diri mereka hidup dengan kehidupan haiwan yang
didambakan oleh mereka yang kufur kepada Allah.

“Dan orang-orang yang kafir berseronok dan makan
seperti binatang ternakan makan. Nerakalah tempat
mereka” [Muhammad: 12]

Mereka tidak akan duduk berpeluk tubuh melihat
sekeliling tanpa melakukan sesuatu. Akan tetapi mereka
mengangkat slogan Nabi s.a.w:

“Orang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu
binaan yang saling kuat menguat satu sama lain”
[Muttafaq ‘alaih]

Lantaran itu kita dapat lihat Ibnu al-Haitham, Ibnu
al-Nafis dan Ibnu Rusyd saling lengkap melengkapi
kepakaran mereka. Setiap seorang daripada mereka
saling menguatkan yang lain untuk meninggikan binaan
Islam.

Akan tetapi pada zaman yang semakin kabur ghayah,
bercampur aduknya visi hidup serta bersimpang siurnya
misi masyarakat, pada saat yang sama binaan Islam
semakin goyah dan rapuh, siapakah yang ingin mewakili
umat mengembalikan binaannya yang agung?

Siapakah yang akan mewakili umat mengembalikan manusia
kepada Tuhannya, memerdekakan mereka daripada belenggu
syahwat, hawa dan material?

Siapakah yang akan mewakili umat menyelamatkan mereka
daripada kejahilan?

Siapakah yang akan mewakili umat mempamer keindahan
kesyumulan Islam dan membongkar wajah hodoh sekular?

Siapakah yang akan mewakili umat mengembali martabat
syari’at serta menumbang kezaliman hukum manusia?

Siapakah yang akan mewakili umat menyekat ancaman
serangan Zionis dan Salibi Antarabangsa?

Siapakah yang akan mewakili umat memecah monopoli
Yahudi dan US, menyediakan barangan alternative kepada
barangan mereka?

Siapa? Siapa? Siapa?

Pastikan kita!!!

Sunday, February 08, 2004

Assalamu'alaikum....
Hanya permulaan... moga akan jadi bahan perkongsian berguna semua dalam kehidupan mereka yag sedang berjalan..