Memaparkan catatan dengan label KOSA KATA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KOSA KATA. Papar semua catatan

Khamis, 29 Oktober 2009

KOSA KATA 3: PERLEPASAN & PELEPASAN







Anakku, Ahmad Shafie sempat bergambar sebelum melangkah masuk ke ruang menunggu pesawat.



Selepas balik dari sekolah jam 3.00 petang semalam, aku tidak sempat melepaskan jerih buat seketika, kerana terpaksa bersiap-siap untuk menghantar anak bujangku yang kedua ke Terminal LCC untuk urusan kerja di pelantar minyak, Miri, Sarawak. Lepas solat Asar, kami terus bergegas ke terminal kerana waktu mendaftar masuk (check in) dijadualkan jam 6.00 petang, sebelum penerbangannya ke Miri berlepas jam 7.00 malam. Tepat jam 5.45 petang kami sampai di terminal dan terus bergegas ke kaunter untuk urusan pendaftaran bersama-sama 7 orang stafnya yang lain. Sebelum itu, mereka dikehendaki mendaftarkan bagasi masing-masing sejurus melepasi alat pengimbas yang terdapat di kaunter tersebut dan kemudiannya ditimbang, serta mendapat pelepasan untuk bayaran berat muatan bagasi yang dibenarkan.
Selepas itu, aku hanya sempat menghantarnya sehingga ke muka pintu yang tercatat "Perlepasan Dalam Negeri" bagi melepaskannya masuk untuk menunggu pesawat sebelum berlepas ke Miri pada waktu yang ditetapkan. Secara kebetulan frasa "Perlepasan Dalam Negeri" menarik perhatian lensa kamera telefon bimbitku. Itulah sebahagian daripada proses pengimbuhan kata dasar "lepas" yang menerbitkan atau membentuk kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan sebagainya.

Menurut Kamus Dewan "perlepasan" dan "pelepasan" bermaksud:

* perlepasan - perihal berlepas;
* pelepasan - 1. perihal melepaskan: maka juara pun memadan ayamlah lalu dilepaskan dgn yg dipadan itu dua tiga juga, Raja Chulan tiada menang; 2. pembuangan, pemecatan; 3. Mn dubur: lubang ~; 4. perihal dikecualikan drpd sesuatu (spt membayar cukai dsb): ~ cukai pendapatan; 5. jalan keluar utk lari atau bebas drpd sesuatu: tidak mungkin Amir Hamzah, melalui karyanya, mencari ~ drpd realiti yg menekan keinginan dan kehidupannya.



Isnin, 10 Ogos 2009

KOSA KATA: KONDUSIF, KONTROVERSI & KONSISTEN

1

kondusif

sesuai, baik dsb. untuk membantu, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu

Contoh ayat: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus menyediakan suasana ekonomi yang kondusif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing.

2

kontroversi

Perselisihan /pertelingkahan pendapat dsb yang biasanya berlarutan

Contoh ayat: Kontroversi pemilihan peserta akhir Mentor 3 tentunya tidak akan mengganggu konsentrasi tiga protégé yang akan bersaing pada malam ini.

3

konsisten

Terus berpegang pada pendirian dsb yang sama, tekal; secocok, sesuai, sejajar

Contoh ayat: Tidak pernah kenal erti putus asa dan konsisten dengan prestasi terbaik merupakan resipi utama pasukan Selangor sepanjang musim ini dalam saingan Liga Malaysia.


Sumber: Dipetik daripada Program Lembar Bahasa, Siri ke-6 SMK Klebang Besar, yang diselenggarakan oleh Hj. Samat buang

Selasa, 4 Ogos 2009

KOSA KATA : INTIHA, ILTIZAM & MASLAHAT

SEGMEN KOSA KATA

1

intiha

(Arab) akhir, penghabisan, penutup

Contoh ayat: Sebagai intiha, pendidikan untuk perpaduan perlu dikaji semula supaya anak-anak Malaysia pascamerdeka memahami konsep dan peri penting perpaduan dalam kehidupan mereka.

2

iltizam

(Arab) keterlibatan secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab dan melaksanakan sesuatu, komitmen

Contoh ayat: Iltizam untuk melakukan penambahbaikan perlu ada pada setiap individu.

3

maslahat

(Arab) sesuatu yang berfaedah (berguna), usaha dsb. yang mendatangkan faedah

Contoh ayat: Penyediaan kemudahan awam perlu dijaga dengan baik untuk maslahat orang ramai yang akan menggunakannya.



Sumber: Dipetik daripada Program Lembar Bahasa Siri 4, SMK Klebang Besar, Melaka yang diselenggarakan oleh Hj. Samat Buang

Rabu, 29 Julai 2009

KOSA KATA: 3 MODUS OPERANDI


Modus operandi: (bahasa pinjaman Latin)
Maksudnya: cara (prosedur dsb.) untuk melakukan (melaksanakan) sesuatu.

(a) Dalam tempoh enam bulan yang lalu, pihak polis menerima tiga aduan tentang kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama.

(b) Kedua-dua kejadian jenayah di bandar itu memperlihatkan modus operandi yang sama.

Isnin, 27 Julai 2009

KOSA KATA : 2 - PRAKARSA


Prakarsa :

Maksudnya: daya usaha, inisiatif, ikhtiar

Contoh ayat: Impian untuk memperoleh kejayaan tanpa prakarsa adalah sia-sia belaka.


KOSA KATA: 1 - JERAYAWARA

Jerayawara (road show):
Maksudnya -persembahan, pameran, ceramah dsb yang diadakan oleh seseorang atau se­kum­pulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang ber­­kunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dsb. Contoh ayat:
(a) Persatuan itu melaksanakan program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri jerayawara yang meliputi seminar dan pa­meran.
(b) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengadakan sesi jerayawara di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menerangkan proses penjualan PPR bermula bulan depan.

Sumber: Kamus Dewan Edisi Empat