Ramadan datang lagi....Bulan yang ditunggui oleh semua orang.....bulan yang penuh keberkatan, limpahan rahmat dan keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Bulan yang dibukakan pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan syaitan-syaitan dirantai. Bulan inilah yang dirindui dan dinanti-nantikan oleh hamba-hamba Allah yang hidupnya sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Pada bulan inilah umat Islam diwajibkan berpuasa sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa".
Puasa di bulan Ramadhan dan ibadat-ibadat yang dikerjakan di bulan tersebut dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan ganjaran yang amat besar, yang tidak diperolehi di bulan-bulan lain. Maka rugilah bagi mereka yang mensia-siakannya. Kerana itu bagi mereka yang mengetahui rahsia di sebalik bulan puasa itu, setentunya tidak akan melepaskan peluang merebut pahala yang dijanjikan dengan memperbanyakkan amal ibadat seperti bertedarus Al-Qur'an, memperbanyakkan amalan sedekah, mengeluarkan zakat, memperbanyakkan zikir, beristighfar, melakukan sembahyang-sembahyang sunat dan sebagainya, terutamanya sembahyang sunat terawih dan sunat witir yang amat dituntut dan afdal dilakukan secara berjemaah. Dalam mengerjakan secara berjemaah, ianya sewajarnya dikerjakan secara sederhana iaitu tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, yang penting sembahyang itu dikerjakan dengan sempurna mengikut rukun-rukun dan sunat-sunat serta syarat-syarat sah sembahyang mengikut hukum syarak.
lngatlah menggembirakan hati orang yang susah itu tidak sia-sia tetapi dijanjikan pahala yang berlipat ganda. Banyakkanlah amalan bersedekah terutamanya di bulan Ramadhan. Inilah yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahuanhu maksudnya :
"Adalah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu manusia yang paling baik (pemurah) dengan membuat kebajikan dan Baginda paling pemurah di bulan Ramadhan". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Jadikanlah kedatangan setiap Ramadhan sebagai penggerak yang membawa perubahan besar kepada diri kita sehingga menjadi seorang yang mampu melawan godaan hawa nafsu dan segala pujukkan syaitan yang hanya melalaikan dan menutup hati kita dari mengingati Allah Subhanahu Wata'ala.Dan Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang artinya :
"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu."
Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai'e dan Baihaqi
Kepada semua sahabat, teman dan saudara sesama ku, "Selamat Menyambut Ramadan " di tahun ini.....