Perlukah Majlis Perundingan NGO Melayu (MPP) Ditubuhkan?
PAGI tadi beberapa NGO telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk menubuhkan apa yang dinamakan Majlis Perundingan Ngo Melayu (MPP). Tempat itu dipilih untuk mengembalikan nostalgia lebih setengah abad dulu. Di mana di situlah kesatuan dan pertubuhan Melayu berhimpun untuk mengagaskan Umno bagi menentang Malay Union.
Saya juga turut menerima undangan dan pemakluman mengenai majlis berkenaan dari seorang Datuk. Bukan saja saya, Datuk berkenaan juga tidak mahu membuang masa menghadapi pertemuan pagi tadi. Alasannya ia tidak relevan dan boleh membantu Melayu dan menguatkan Islam di negara ini.
Apa yang diuar-uarkan sebanyak 50 NGO telah terlibat dalam himpunan itu. Saya kurang percaya dari mana NGO sebanyak itu dicari untuk dihimpunkan. Biasanya apa juga majlis perundingan atau majlis tindakan hendak ditubuhkan, diuar-uarkan puluh NGO yang bakal hadir. Dari manakah NGO sebanyak itu, ataupun setiap orang mewakili satu NGO?
Kalau begitu mungkin jumlah NGO itu bukan saja 50 tetapi lebih 100 NGO pun boleh disebut kalau satu NGO diwakili oleh satu atau dua orang saja. Cukup si suami dengan bini dan seorang lagi anak sebagai ahli. Mungkin begitulah bentuk keanggotaan NGO yang menghadiri himpunan itu. NGO macam ini saamalah bueh-bueh di lautan nampak hebat tetapi kosong. Makanya buatlah gagaslah berapa banyak majlis perundingan atau majlis tindakan kalau ianya tidak ada nilai dan kekuatan ia tidak memberi kesan.
Tiga buah NGO yang memainkan peranan untuk menubuhkan majlis perundingan berkenaan. NGO itu ialah Pertubuhan Peribumi Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Inilah tungguk kepada perancangan majlis berkenaan.
Tidak payah disebut siapa pemimpin kepada NGO berkenaan. Semua orang suah kenal mereka. Mereka inilah juga berperanan dalam membentuk majlis-majlis tindakan ataupun mengajur apa-apa bentuk himpunan desakan kononnya untuk membela Melayu dan mempertahankan Islam. Mereka akan berarak membawa sepanduk ke mana kononnya untuk membela Melayu dan mempertahankan Islam.
Pantang ada isu yang sensitif melibatkan Melayu mereka akan bangkit. Mereka akan bertempik, membakar gambar dan memaki hamun mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka cari potret orang Cina mereka bakar dan bersorak ramai. Tindakan seperti itu sudah tidak profesional lagi. Ia mungkin sesuai untuk tahun-tahun 60-an dan 70-an dulu. Zaman ini orang sudah cerdik dan celik. Setiap isu yang diperjuangkan akan dikaji dan diselidiki dulu apakah ia relevan atau tidak. Bukankah tindakan seumapama itu berbau rasis?
Begitu juga orang ramai sudah cukup arif dengan tindak tanduk pemimpin NGO berkenaan. Mereka hanya memperalatkan atau sanggup membayar beberapa orang lain untuk agar berkumpul. Sebab itu kalau dilihat sepanduk, kain rentang yang diangkat selaras dan seragam sahaja. Ia semacam dikeluarkan oleh satu kilang. Keseragaman itu tidak menunjukkan mereka yang menganggotai NGO itu datang dari berbagai lapisan atau kumpulan orang sebaliknya dari orang upahan yang sama.
Sebenarnya apa yang dinamakan Majlis Perundingan NGO Melayu (MPP) itu tidak perlu diwujudkan. Ia juga menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana jujurnya mereka yang mendalanginya. Tujuan mereka menubuhkan majlis berkenaan dilihat lebih untuk memperjuangkan nasib diri mereka dalam politik daripada membela bangsa dan agama.
Kita boleh tanya sejauh manakah kuatnya semangat (nasionalis) dan Islam mereka yang menjadi juara itu. Kalau tahap atau standard Melayu dan Islam yang ada kepada mereka boleh dipertikaikan macam mana mereka diharap hendak perjuangkan Melayu dan Islam? Mengharapkan itu kepada mereka samalah mengharap susuh dari ayam betina atau ilmu dari Pak Pandir.
Mungkin niat NGO itu mengadakan MPP bagus tetapi silapnya ia tidak mungkin mendapat sokongan majoriti orang Melayu di negara ini. Misalnya mereka yang sudah alergik dengan pemimpin NGO itu tidakakan ikut serta. Kalau hanya dua tiga kerat saja yang mahu bergabung ia tidak membawa apa-apa manfaat.
Ini kerana orang semua sudah kenal galagat dan telatah politik mereka. Misalnya orang Pas dan PKR tidak akan bergabung walaupun mereka juga Melayu. Malahan untuk menatap wajahnya pun sudah rasa mual dan loyor. Sekiranya Melayu ingin berperanan seperti dirancangkan itu biarlah dalang atau ketua NGO itu mereka yang ada moral, tidak cemar dan tidak ada agenda peribadi.
Berpandukan kepada sejarah saya tidak percaya kalau dalang NGO berkenaan ikhlas untuk memperjuangkan Melayu. Track record dan lantai penjara kejahatan mereka boleh diperiksa. Seperkara lagi bolehkah orang sepertinya yang tidak ada moral politik, yang bercakap macam dalam jambtan tahi boleh mempertahankan Islam. Untuk pertahankan Islam bukan saja setakat tahu pakai songkok dan kopiah tetapi mereka yang memahami dan mempraktikan syariah Islam.
Kalau bercakap tidak bohong, kalau berkawan tidak khianati kawan. Kalau orang membantu tahu berterima kasih. Dan kalau pun kebetulan ditakdirkan menjadi anjing tidaklah kena menyalak tidak tentu fasal.
Mungkin Umno perlu berfikir banyak kali untuk menerima sokongan dalang-dalang NGO seperti ini. Lagi pun rasanya Umno tidak memerlukan bantuan mereka. Walaupun wujud atau tidak PPM itu tidak menjadi soalnya lagi, kerana kebanyakan yang bergabung dalam NGO itu semuanya terdiri dari kalangan Umno, peringkat cawangan, bahagian atau bekas banduan Umno.
Ertinya kalau Umno ingin menambah nilai dan kekuatan dengan MPP ia adalah satu pengharapan yang sia-sia seperti mengharapkan air dari fotomorgana. Maksudnya kedudukan mereka tidak lebih macam melukut di hujung gantang, ada pun tak memberi laba, tiada pun tak merugikan Umno. Jenis dan tabiat melukut ingin menunjukkan dia kuat dan hebat walhal dia hanya serpihan ke seribu dari sebutir beras. Itu saja. [wm.kl. 6:00 pm 27/02/10]