Showing posts with label Hukuman sebat. Show all posts
Showing posts with label Hukuman sebat. Show all posts

Friday, February 19, 2010

Menungan Menjelang Maghrib

Sebat: Antara Menerima Hukuman Allah Dan Matlamat Pelaksanaannya

TIGA orang pesalah jenayah syariah telah dihukum sebat, dua menerima enam kali sebatan dan seorang menerima empat kali sebatan. Mereka dihukum sebat kerana didapati bersalah melakukan zina sehingga melahirkan anak. Ketiga-tiga mereka telah menjalani hukuman berkenaan di penjara Kajang pada 9 Februari lepas.

Hukuman berkenaan adalah kali pertama di negara ini bagi kesalahan seumapama itu. Hukuman ke atas mereka itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Menurut laporan ketiga-tiga mereka yang berusia 18 hingga 20-an telah menerima dengan redha hukuman ke atas mereka. Mereka merasa lega dan insaf kerana sudah terlepas dari belenggu dosa. Dari hubungan dunia dan tatahukum negara ini mereka sudah bebas dan suci.

Perundangan Islam negara ini tidak lagi boleh mencela mereka kerana mereka menerima tanpa bantahan. Mereka boleh dianggap bersih dan masyarakat tidak wajar mempertikaikan kesalahan mereka lagi. Sebaliknya umat Islam negara ini dan mereka yang membesarkan perundangan Islam mengalu-alukan langkah dan penerimaan mereka. Atas kesediaan dan keikhlasan mereka sewajarnya kalau mereka diberikan hadiah dan sokongan moral.

Kalau Kartika Sari Dewi yang belum disebat atas kesalahan minum arak dipuja dan diberikan berbagai hadiah dan insentif termasuk menawarkan tikit pergi menunaikan umrah, kenapa tidak dengan ketiga mereka itu?

Bagaimana pun hukuman itu dipertikaikan oleh pihak lain yang menganggap ia sebagai satu kezaliman dan diskrimiansi ke atas wanita. Maka ada pihak yang cuba mempertikai hukuman sebat berkenaan. Pertikaian itu sudah pasti atas perasaan peri kemanusiaan dan bukannya kerana melihat kepentingan hukuman berkenaan dan filsfat kenapa ia dibenarkan dalam konteks agama.

Sebenarnya dalam konteks hukum ketiga wanita itu ia bukan didiskriminasi, kerana pasangan mereka juga turut dikenakan hukuman sama. Mereka menjalani hukuman sebat di penjara Sungai Buloh. Macam mana pihak tertentu menganggap ia satu diskriminasi dan penganiayaan kepada kaum wanita?

Kalaulah yang wanita saja disebat ia boleh dianggap diskriminasi. Begitu juga kalau kalau kebetulan pasangan wanita itu bukan Islam yang terlepas dari sebatan ia tetap juga bukan diskriminasi. Kerana kewajiban menerima hukuman Islam itu bagi orang Islam yang beriman saja.

Atas keyakinan bahawa menerima hukuman itu mereka terlepas dari dosa, menyebabkan mereka merasa puas dan redha dengan keputusan itu. Seperti mana dipetik laporan akhabar salah seorang yang menerima hukuman itu beliau kini merasakan bebas dari belenggu dosa selepas menerima hukuman berkenaan.

Katanya dia redha menerima hukuman sebat itu kerana lebih takut kepada hukuman di akhirat kelak di samping mengharap dengan keredhaan itu beliau akan diringankan menerima hukuman di akhirat. Walaupun dia sendiri tidak dapat merasai keazaban di akhirat namun atas keyakinan (iman) daripada apa yang didoktrinkan kepadanya menyebabkan pesalah beranggapan demikian.

Undanag-undang Islam berkaitan dan ada hubungan rapat dengan keimanan seseorang. Kalau seseorang itu beriman dengan Islam dan undang-undang itu menurut kaedah Islam apa yang hendak dirisaukan. Kita semua patut mengalu-alukan dan mengucap syabas kepada pesalah berkenaan kerana tidak membantah hukuman yang kenakan ke atas mereka. Atas kepercayaan Islam itu adil, Islam itu bersih, Islam itu agama penyelamat. Islam itu agama membersih apa juga yang dicerminkan Islam hendaklah diterima dengan baik. Saya percaya sikap terbuka dan redha ketiga pesalah itu kerana mereka yakin dengan Islam.

Dalam hal ini biarlah kulit mereka pedih dan sakit asalkan mereka terlepas dari azab yang menyeksakan. Hanya bagi orang yang tidak yakin dan beriman kepada hari akhirat saja merasakan hukuman itu satu kezaliman dan penganiayaan secara membabi buta.

Dalam kes-kes seperti ini, iaini mencari keredhaan, hanya mereka yang beriman saja tidak gentar dan rela menyerahkan diri untuk menerima balasan setimpal dengan diosa dan kesalahan yang dilakukan. Hukum sebat itu adalah diyakini balasan Allah atas perbuatan mereka yang terkutuk itu. Jadi kerana itu mereka redha dan rela.

Sebaliknya bagi mereka yang tidak beriman, akan merasa satu kezaliman dan tidak adil serta membebankan. Apa lagi yang berfikir dengan logik akan merasakan hukuman itu tidak adil dan satu kezaliman. Kenapa tidak, pasangan berkenaan rela melakukan zina dan rela pula menyerahkan diri kepada Jawi, kenapa lagi mereka harus disebat. Sepatutnya mereka dimaaf tanpa menyakitikan. Begitulah fikiran mereka yang kurang senang dengan pelaksanaan hukuman berkenaan.

Bagaimana pun pada saya dalam meneliti pelaksanaan hukuman itu timbul persoalan apakah ia menepati maksud dan falsafat hukuman itu sendiri yang mana antara lain bertujuan untuk memberi keinsafan. Kita tahu hukuman itu bukan saja untuk menghapuskan dosa pesalahnya tetapi ia juga untuk memberi kesedaran kepada mereka yang lain.

Sejauh manakah hukuman itu dapat dijadikan iktibar dan memberi keinsafan kepada mereka di luar sana. Bukankah hukuman sebat itu dijalankan di dalam penjara yang hanya disaksikan oleh beberapa orang kaki tangannya saja. Ini bermakna ‘kesadisan’ ‘kekejaman’ atau ‘kezaliman’ hukuman berkenaan yang diharapkan dapat menimbulkan ketakutan dan keinsafan kepada orang lain tidak tercapai.

Bukan dengan cara melaksanakan hukuman itu secara tersembunyi, mungkin atas maslahat untuk mengelakkan keaiban ia tidak dapat memberi kesan takut dan insaf kepada pihak lain. Ringkasnya kalau itu caranya tujuan hukuman sebat itu dilaksanakan tidak mencapai tujuan secara menyeluruh melainkan kepada ketiga mereka yang menghadapi dan beberapa orang yang menyaksikannya saja.

Mungkin untuk lebih afdal dan mencapai maksud di sebalik perlaksanaan hukuman berkenaan wajar kalau ia dilaksanakan di hadapan umum. Sekiranya untuk tidak mengaibkan mungkin muka si pesalah boleh ditutup. Dengan cara itu pada saya dari ukuran akalnya ia lebih mencapai natijah yang dimaksudkan di sebalik pelaksanaan hukuman berkenaan. [d'kota kl 6:15 pm 19/02/10]