Diantara kehebatan bulan ramadhan
bukan sahaja perintah untuk melaksanakan ibadah puasa, turunya al-Quran,
dirantai dan dibelengu semua syaitan, ditutup semua pintu-pintu neraka dan
dibuka semua pintu-pintu syurga bahkan lebih dari itu sebenarnya bulan Ramadhan
ini adalah satu bulan yang Allah SWT memberi ruang dan kesempatan kepada kaum
muslimin untuk menjadi sebenar-benar mukmin yang sejati yang menjunjung semua
titah perintah Allah dan RasulNya serta berusaha untuk meninggalkan semua
tegahan dan laranganNya. Ini kerana sesuai dengan perintah untuk berpuasa itu Allah
swt sebenarnya telah menunjukan jalan kepada kaum muslimin menjadi mukmin yang
benar-benar bertaqwa ;
“ wahai orang-orang yang
beriman, telah diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa sepertimana kaum sebelum
kamu semoga kamu bertaqwa” albaqarah 2:183
Bagaimana bulan Ramadhan ini
berperanan mendidik jiwa kaum muslimin untuk menjadi mukmin yang bertaqwa?
Sebenarnya Allah swt dan RasulNya telahpun menyediakan persekitaran atau
suasana yang kondusif kepada kaum muslimin untuk melipat-gandakan ibadah mereka
namun ia perlu dilakukan dengan penuh keimanan dan kesabaran.
Namun begitu kita tetap tidak
dapat mendidik diri kita tanpa kita mengetahui apakah rangsangan Taqwa yang Allah
swt maksudkan itu. Secara mudahnya taqwa itu telah dihuraikan antaranya seperti
yang disebutkan dalam kitab al-Munajjid, Muhammad bin Salih dalam bab “A’mal
al-Qulub” seperti berikut:
1. “ meletakkan penghalang dan penghadang di antaramu dan apa yang
telah diharamkan oleh Allah”
2. “ melaksanakan perintah Allah dan menghindari laranganNya”
3. “ takutkan Allah, beramal dengan wahyuNya, redha dengan yang
sedikit dan bersedia untuk hari pembalasan”
4. “melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat”
Nilai taqwa itu tidak datang
dengan sendirinya, ia perlu digilap dan diusahakan untuk mendapatkanya selaras
dengan suasana ibadah yang sedang berlangsung sekarang.
Diantara perkara-perkara yang
boleh kita tingkatkan nilai taqwa dalam diri kita seperti rangsangan yang Allah
sebutkan itu ialah;
1. Berakhlak mulia disepanjang bulan Ramadhan. Kita sangat
digalakkan supaya meningkatkan kualiti dan nilai kebaikan dalam perilaku kita
dalam bulan yang mulia ini kerana akhlak yang baik dan mulia itu adalah akhlak
Nabi yang mulia dan berteraskan kepada panduan al-Quran. Berakhlak mulia lagi
baik itu adalah cerminan bagi kaum muslim mukmin.
Sabda Nabi saw
maksudnya: “ sesungguhnya Ibnu abbas berkata, “ Nabi SAW adalah orang
yang paling baik dalam kebajikan. Dia menjadi paling baik di bulan Ramadhan
apabila Jibril dating berjumpa dengannya. Jibril a.s. sering berjumpa dengan
baginda pada setiap malam dalam bulan ramadhan sehingga akhir bulan agar Nabi
SAW membentangkan kembali bacaan al-Quran kepadanya. Apabila Jibril a.s.
berjumpa baginda, baginda akan menjadi lebih baik daripada angina yang lembut”.
HR al-Bukhari, kitab al-Saum, bab Ajwadu ma kana al-Nabi SAW yakunu fi
Ramadhan, no 1769.
2. Membaca al-Quran. Hiasilah diri dan sibukkan diri dengan amalan seharian
kita dengan membaca al-Quran al-Karim disepanjang bulan Ramadhan ini. Ambillah
kesempatan untuk bertalaqi dan meningkatkan kualiti bacaan al-Quran kita dengan
guru-guru supaya kita dapat memperbaiki mutu bacaan al-Quran kita.
Seperkara yang
lebih penting dalam menghayati isi kandungan al-Quran yang bersifat al-Syifa’ (
penawar ) dan al-Furqan ( pembeza antara yang hak dan yang batil ) serta
al-Huda ( petunjuk ) maka kita sepatutnya telah memulakan untuk menghayati
al-Quran itu dengan membaca terjemahannya dalam bahasa yang kita fahami.
Saya dengan rasa
rendah diri menyeru kepada kaum muslimin dalam Negara ini agar kita berusaha
untuk membaca terjemahan al-Quran secara konsesten dalam bulan Ramadhan ini
kerana dengan itu kita akan mudah untuk memahami isi kandungan al-Quran dan
segala pebincangan dan perbahasnya moga dengan itu akan terkesanlah sifat-sifat
al-Quran dalam diri kita.
Bagi para
pentadarus al-Quran di masjid dan surau-surau atau di mana sahaja saya suka
mencadangkan agar ambil kesempatan ini untuk kita hayati al-Quran itu dengan
cara membaca satu muka surat ayat al-Quran dengan terjemahanya sekali agar ia
terkesan kepada diri kita sendiri apabila ia dibacakan dalam kelompok tadarus
itu.
Kita tidak perlu
terburu-buru untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran semata-mata tanpa kita
memahami atau kita mengetahui isi kandungan al-Quran itu sendiri dan alangkah
baiknya jika kita membaca dengan cermat selembar demi selembar kemudian
diselangi dengan membaca terjemhanya dan akhirnya In Sha Allah kita akan
memahami isi kandunganya sesuai dengan firman Allah SWT al surah al-Baqarah
2:185
“ ( masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah ) bulan Ramadhan yang padanya
diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan ( menjelaskan ) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah”.
Bagaimana lagi
kita sebagai orang awam yang tidak mahir berbahasa Arab kecuali dengan membaca
terjemahanya dalam bahasa yang mudah kita fahami. Moga dengan itu cernalah
al-Quran dalam kehidupan kita semua kerana dari kefahaman kita membac terjemahan
al-Quran itulah yang membentuk jatidiri mukmin yang bertaqwa.
“ daripada
Abdullah bin Masud katanya, telah berkata Rasulullah SAW. “ bacalah al-Quran
untukku”. Aku berkata, “saya baca untukmu sedangkan ianya diturunkan ke
atasmu?”, sabdanya “ sesungguhnya saya ingin mendengarnya daripada orang lain”.
Abdullah berkata;” saya pun membacakan surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat ( “
maka bagaimanakah kami bawakan daripada setiap umat itu seorang saksi, dan kami
bawakan engkau sebagai saksi ke atas mereka), baginda berkata, “ berhenti!”,
aku melihat air mata dikedua-dua matanya.” HR al-Bukhari, kitab Fadail
al-Quran, bab al-Buka’ Inda Qira’at al-Quran, no 4667. Muslim dlm kitab salat
al-Musafirin wa qasriha, bab fadl Istima’ al-Quran wa Talab al-Qira’ah min
Hafizin, no 1332
3. Memberi dan menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa.
Kesempatan di bulan ramadhan ini sewajarnya kita berlumba-lumba untuk melakukan
amalan kebajikan dengan memberikan juadah kepada orang lain untuk berbuka puasa
samada melalui program-program Ihya’ Ramadhan di Masjid atau surau-surau atau
di mana sahaja tanpa menungu mereka dating meminta-minta.
Sabda Rasulullah
SAW; “ sesiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang berpuasa, dia
akan dapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangkan pahalanya
sedikit pun”. HR al-Tirmizi, kitab al-Saum, bab Ma Ja’ Fi Fadl Man
Fattar Saima, no 735 (dihukum sahih oleh al-Albani)
Penerapan nilai
Taqwa boleh didapati dengan memberi dan menyediakan makanan ini adalah kerana
lahirnya satu amalan murni serta ia menggambarkan kesucian hati dan kesanggupan
serta wujudnya nilai pengorbanan seseorang yang sudi untuk berkonsi kepada
orang lain nilai harta yang mereka miliki.
4. Sabar dengan provokasi. Nilai taqwa makin bertambah bagi
orang yang berpuasa bila mana seseorang itu sabar menghadapai provokasi dan
dapat menahan kemarahanya terhadap sesuatu perkara yang mungkin boleh
mendatangkan pergaduhan atau pertengkaran sesama mereka. Tidak dinafikan amat sukar
dan susah bagi kita untuk mengawal emosi marah bila diserang dan diprovok
dengan sesuatu perkara namun Allah menjanjikan pahala yang tidak terkira kepada
orang yang sentiasa bersabar dan boleh mngawal emosi marah mereka.
Rasulullah SAW
bersabda; “ Allah berfirman, ( setiap amalan anak Adam adalah untuk
dirinya kecuali puasa, ianya adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi
ganjarannya). Puasa adalah perisai, jika tiba hari puasa salah seorang seorang
dari kamu, janganlah dia bercakap lucah atau berjimak dan mengangkat suaranya.
Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebuat, “ saya
berpuasa”, Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di tanganNya, sesungguhnya bau mulut
orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi allah daripada kasturi, orang yang
berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, semasa dia berbuka dan akan gembira dan
semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya”.
HR Kitab al-saum. Bab hal Yaqulu Inni sa’im Idza Shautim. No 1771
5. Tinggalkan semua perkara mungkar. Ibadah puasa dan nilai
taqwa makin bertambah bila seseorang secara konsisten meninggalkan segala
bentuk maksiat dan kejahatan samada yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Rasulullah
bersabda ; “ apabila masuknya malam pertama daripada bulan ramadhan para
syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada
satu pun akan dibuka, manakala pintu-pintu syurga akan dibuka, tiada satupun
akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, “ wahai orang yang
inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kejahatan,
berhentilah!, Allah mempunyai orang-orang yang sentiuasa dibebaskan daripada
neraka pada setiap malam”. HR al-Tirmizi, kitab al-Saum, Ma Ja’ Fi Fadl
Shahr Ramadhan, no 618. ( dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan
al-Tirmizi, no 682)
6. Hindari kata-kata dan perbuatan keji. Hindarilah
kata-kata keji dan perbuatan keji ketika berpuasa kerana ia menjadi cerminan
taqwa bagi orang yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda ;
“ sesiapa
yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan keji, Allah tidak
mengendahkan amalanya meninggalkan makanan dan minuman”. HR al-Bukhari,
kitab al-saum, bab Man Lam Yada’ Qaul al-Zur wa al-‘Amal Bih Fi al-saum, no
1903
Kata-kata keji
yang dimaksudkan dalam perbahasan ini merangkumi mengumpat ( ghibah), menjadi
batu api ( namimah), menuduh keturunan ( al-Ta’n di al-Ansab, menipu ( kazab),
memfitnah dan sebagainya.
Penerapan
nilaian taqwa ini hanya akan tercerna bial seseorang yang berpuasa itu dapat
meninggalkan atau dapat mengawal lisanya daripada berkata-kata dengan perkataan
yang boleh menyakitkan hati seseorang lain atau yang boleh menimbulkan
kemarahan serta permusuhan.
Berdasarkan
kenyataan dari hadis di atas dapat kita fahamai bahawa tiada gunanya seseorang
itu berpuas jika mereka ditak dapat mengawal dirinya dari berkata-kata dengan
perkataan yang keji tersebut dan tidak dapat mengawal serta menahan dirinya
daripada perkara-perkara mungkar bahkan tiada gunanya mereka menahan diri dari
perkara yang halal jika perkara yang haram tidak dihindarinya.
Penting:
Penulis ingin menambah satu lagi cabang mungkar dan keji itu akan terhasil
dengan jari jemari kita terutamanya bila seseorang tanpa rasa bersalah menulis
atau mencoretkan sesuatu setatus atau komentar-komentar di Facebook, WhatsApp,
Tweeter, Telegram, Instagram, Blog dan lain-lain aplikasi maya hari ini dengan
penuh kebencian, mencaci-maki, mencarut, menghina, mengaibkan, merendah,
menghina dan sebagainya tanpa rasa bersalah dan tanpa sedar bahawa mereka itu
sedang berpuasa. Setelah lisan dijaga rapi dari menuturkan perkataan-perkataan
keji jari jemari juga wajib dijaga dari menjadi sumber kemungkaran moden hari
ini.
Rasulullah SAW
meningatkan orang yangb berpuasa ; “ barangsiapa yang tidak dapat
meninggalkan perkataan kotor dan mengerjakanya, serta tidak dapat meninggalkan
kebodohan, maka tidak ada perlunya bagi Allah ( memberi pahala ) sekalipun dia
telah meninggalkan makan dan minumanya ( berpuasa ) “. HR al-Bukhari.
Al-Tirmizi, abu Daud, al-Baghwai dan selain mereka.
Penting : walaupun
perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa tetapi telah ditetapkan oleh Allah
SWT bahawa ia akan menjadikan puasa seseorang itu tidak beroleh pahala.
( kitab al-Lu’lu’ wal-Marjan m/s 707 Imam Asy-syaukani.
7. Jangan berjimak di siang hari. Kelunakan melaksanakan
ibadah puasa makin terasa manisnya bila orang yang berpuasa dapat mengawal nafsunya. Kesanggupan dan
kesabaran orang yang berpuasa menegah dirinya daripada mendekati ( jimak )
pasangannya melambangkan bagaimana dia telah mendahulukan kehendak dan perintah
Allah terhadap kehendak dirinya sendiri.
Ini juga
bermaksud bahawa orang yang berpuasa itu telah memurnikan ketaqwaanya dengan
melaksanakan sebahagian daripada komponen Taqwa iaitu melaksanakan segala
perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Mari kita hayati
Sabda Nabi SAW ; “ jika tiba hari puasa salah seorang dari kamu,
janganlah dia berjimak dan jangan juga dia mengankat suaranya. Jika ada orang
yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut, “ saya berpuasa!”.
HR Kitab al-saum. Bab hal Yaqulu Inni Sa’im Idza Shautim. No 1771.
8. Menjaga lisan. Sifat orang yang berpuasa akan menuturkan
perkataan yang indah lagi baik serta bermanfaat dan melakukan amal kebajikan.
Sifat orang yang berpuasa itu sepatutnya tampil lebih mulia daripada orang yang
tidak berpuasa. Tutur bicaranya lunak, nada dan antonasi percakapanya hendaklah
dijaga agar tidak tercemar ibadah puasanya. Inilah antara lambang Taqwa dan
keimanan hasil didikan dari tarbiyyah ramadhan berdasarkan hadis berikut ;
Daripada
Abdullah bin Amr r.a. daripada Nabi SAW sabdanya, “ orang islam ialah
orang yang selamat umat islam daripada ucapan dan perbuatanya. Manakala orang
yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah
keatasnya”. HR al-Bukhari no 9.
9. Menjaga batas aurat. Menjaga batas aurat bagi orang yang
berpuasa adalah suatu perkara yang kadang-kadang dianggap remeh oleh sesetengah
pihak. Sewajarnya orang yang berpuasa terutamanya kaum wanita lebih peka dengan
suasana ini begitu juga kepada kaum lelaki namun ia lebih terfokus terhadap
kaum wanita yang sengaja tampil dikhalayak ramai dengan pelbagai dressing
pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan dan lebih malang lagi dalam keadaan
rambut mereka yang sengaja dibiarkan terdedah.
Alangkah ruginya
sehari suntuk dia berpuasa dengan menahan dirinya dari makan dan minum tetapi
auratnya dibiarkan terdedah. Lambang keunggulan wanita muslimah ialah bagi
mereka yang Berjaya menutup auratnya dari pandangan umum kecuali untuk
mahramnya sahaja.
Campakkanlah
nilai takwa dalam aurat dan pakaian kita moga kita terselamat dari fitnah api
neraka allah yang sangat dahsyat kelak.
10. Kurangkan menonton TV dan mendengar muzik. Ramadhan juga adalah
medan terbaik bagi orang yang berpuasa untuk mendisplinkan diri dari menonton
rancangan TV yang melalaikan serta menadah telinga mendengar alunan muzik-muzik
yang melalaikan walaupun lagu-lagu yang disifatkan oleh orang ramai sebagai
berbentuk “islamik”. Alterenatif terbaik bagi orang yang berpuasa tentunya
mendengar bacaan al-Quran. Jika seseorang itu sibuk dengan al-Quran pastinya
dia tidak mempunyai masa untuk tv dan muzik. Oleh itu perlulah kita ambil
perhatian terhadap peringatan dan larangan dari Rasulullah SAW seperti dalam
kenyataan hadis berikut ;
“ akan
wujud dari kalangan umatkuu orang-orang yang menghalalkan zina, sutera,arak dan
alat muzik”. HR al-Bukhari ( secara Mu’allaq bi sighah al-Jazam), kitab
al-Ashribah, bab Ma Ja’a fi Man Yastahlillu al-Khamra Wa Yusammihi Bi Ghair
Ismih.
11. Menjaga solat fardhu. Solat Fardhu lima waktu sehari
semalam adalah kewajipan kaum muslimin yang tidak terhad kepada bulan Ramadhan
sahaja sewajarnya tidak diculaskan oleh orang yang berpuasa. Mana mungkin
kewajipan ini boleh dipandang sepi dan enteng oleh orang yang berpuasa jika
mereka benar-benar taat kepada setiap perintah Allah dan RasulNya.
Apakah bernilai
ibadah puasa seseorang itu jika kewajipan ini diabaikan? Ingatlah bahawa
perkara yang akan mula-mula akan dipersoalkan di hari akhirat kelak adalah
ibadah solat berbanding ibadah-ibadah yang lain.
Sewajarnya bagi
orang yang berpuasa mereka lebih cermat dalam menunaikan ibadah puasa dan
bersegera untuk menunaikan kefardhuanya bila telah masuk maktu solat kerana itulah
sepatutnya kesan didikan tarbiyyah ramadhan kepad umat islam.
Rasulullah SAW
bersabda : “ perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat,
barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir” HR Ahmad dan para
penulis kitab sunan dari hadis Buraidah. ( al-Tirmizi berkata hadis ini adalah
hadis hasan sahih, al-Hakim dan adz-Dzahibi mensahihkanya.)
Dalam sebuah
hadis lain Nabi SAW bersabda : “ batas antara seseorang dengan kafir
adalah meninggalkan solat”. HR Muslim, Abuy Daud, al-Tirmizi dan Ibnu
Majah.
12. Banyakkan berdoa. Nilai taqwa dan ganjaran paha serta
keampunan dari Allah tidak dating dengan percuma dan bergolek begitu sahaja
tanpa ada usaha dari orang yang berpuasa selain ketaatnya melunaskan ibadah
puasa dan solat. Kita juga sangat dituntut untuk sentiasa banyak berdoa kepada
Allah SWT pada setiap masa dan ketika dalam bulan ramadhan ini.
Diantara
waktu-waktu mustajab berdoa dalam bulan Ramadhan ini ialah disaat orang berbuka
puasa itu hendak berbuka. Sabda Nabi SAW ;
“ tiga doa
yang mustajab tanpa syak, Doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan
doa orang yang sedang bermusafir”. HR al-Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu
‘Asakir.
Nilai taqwa
boleh digarap dengan memperbanyakan berdoa kpeda Allah SWT bermula dari
masuknya waktu subuh sehingga terbenamnya matahari. Hjadis ini mendidik jiwa
orang yang berpuasa agar sentiasa merendahkan diri mereka kepada Allah SWT
dengan berdoa disepanjang masa tatkala mereka berpuasa. Apabila sifat merendah
diri ini wujud dalam jiwa kaum muslimin dengan doa yang bersungguh-sungguh
dalam bulan yang mulia ini pastinya dia akan meneruskan usahanya untuk
berdoa pada bulan-bulan yang lain maka
dengan sendirinya dia telah merealisasikan intisari ibadah dalam kehidupanya
selain mereka terus tetap memelihara solat lima waktunya.
Nabi SAW
bersabda lagi ; “ Doa itu ialah ibadah”, kemudian baginda membacakan
firman Allah, ( dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaku pasti akan ku
perkenankan untukmu, sesungguhnya mereka yang sombong daripada beribadat
terhadapKu akan masuk neraka Jahannam secara hina)”. HR al-Tirmizi,
kitab al-Da’awat, bab Minhu, no 3294.
13. Mendirikan Qiam Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda; “
barangsiapa yang mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana keimanan dan
mengharapkan ganjaran pahala dari Allah, niscaya akan diampuni segala
dosa-dosanya yang telah lalu”. HR Muttafaq alaih.
Selain berpuasa
disiang hari kita sangat dituntut untuk menyibukkan diri bersama Jemaah lain di
masjid dan surau untuk menirikan solat sunat tarawikh. Dirikalah solat sunat
tersebut mengikut kemampuan dan kesanggupan walaupun dada perbezaan pendapat
tentang jumlah bilangan rakaatnya antara 8 rakaat atau 20 rakaat. Tunaikanlah
dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah SWT demi merebut janji dari
Allah Yang bersifat tidak memungkiri janji itu. Bukan masanya lagi kita hendak
berjidal dan berbahas tentang jumlah bilangan rakaat itu tetapi keutamaan kita
adah memenuhi tuntutan mendirikan solat sunat tersebut.
Dirikanlah
dengan penuh tertib dan adab yang selayaknya sebagai ibadah bersama imam kerana
Rasulullah SAW bersabda; “ Barangsiapa yang mendirikan solat malam bersama imam
sehingga selesai, akan dicatat baginya solat sepanjang malam”. HR para penulis
kitab sunan dengan sanad yang sahih.
14. Bersahur dan berbuka pada waktunya.
Para ulama telah
ijmak tentang keutamaan, keberkahan dan sunnahnya berashur. Barang siapa yang
meningglakanya dengan keyakinan amalan makan sahur itu tidak sunnah atau lebih
utama untuk ditinggalkan maka sesungguhnya keyakinan itu adalah menyalahi
amalan sunnah Nabi SAW. Kita disunnahkan untuk makan sahur walaupun sebiji
kurma dan seteguk air kerana perintah Nabi SAW : “ bersahurlah kamu
sekelian kerana dalam bersahur itu terdapat barakah” HR al-bukhari (
4/120). Muslim 1059. Al-Tirmizi, Nasai dan Ibn Majjah.
Sabda Nabi SAW
lagi ; “ Bersahurlah walaupun hanya dengan minum seteguk air”. HR
Abu Ya’la 3340. Ibnu Hibban 884 ( hadis hasan )
Sabda Nabi SAW
lagi ; “ Bersahur makannya diberkahi, janganlah meninggalkan sahur
walaupun hanya minum seteguk air kerana Allah dan \MalaikatNya berselawat
kepada orang yang bersahur”. HR Ibnu Abi Syaibah 2/8 dan Imam Ahmad
3/12.44
Begitu jugalah
halnya dalam berbuka. Bagi orang yang berpuasa adalah sangat dituntut untuk
berbuka puasa tepat pada waktunya atau sejurus masuknya waktu solat maghrib,
ini kerana Rasulullah bersabda ; “ manusia akan sentiasa berada dalam
kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa”. HR al-Bukhari dan
Muslim.
15. Menunaikan Umrah. Umrah merupakan satu amalan yang
memerlukan pengorbanan wang dan tenaga. Galakan untuk melakukan ibadah umrah
dalam bulan Ramadhan ini adah untuk mendidik kaum muslimin auntuk bersedia
melakukan pengorbanan wang dan tenaganya demi untuk mendapatkan keredhaan Allah
SWT sepanjang tahun, Rasulullah SAW
bersabda ; “ sekiranya dating ramadhan hendaklah kamu menunaikan umrah
kerana sesungguhnya umrah dalam bulan Ramadhan itu menyaingi haji”. HR
Muslim, Kitab al-Haj, Bab Fadhl al-Umrah Fi Ramadhan. 2201
16. Jangan membazir ketika berbuka dan berhari raya. Suatau
perkara yang perlu diambil perhatian oleh kaum muslimin ketika berpuasa di
bulan Ramadhan ialah menjauhkan diri dari melakukan pembaziran terutamanya
ketika menyediakan juadah berbuka puasa. Berbelanjalah dan hidangkan juadah
berbuka puasa itu sekadarnya dan bukan secara berlebih-lebihan yang akhirnya
akan mengundang pembaziran.
Begitu juga
dalam menyediakan persiapan untuk menyambut hari Raya Aidil Fitri juga kita
sangat dipandu agar tidak berlebihan dan tidak membazir, kerana sikap membazir
itu umum telah mengetahui adalah sikap dan perangai Syaitan.
17. Berittiba’ dan ikhlas dalam ibadah. Laksanakanlah ibadah
sepanjang bulan ramadhan ini sesuai dengan apa yang telah diajarkan oleh
baginda Nabi SAW agar segala ibadah kita itu layak menerima ganjaran pahala
yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan ikhlaskanlah diri kita dalam memenuhi
perintah Ramadhan ini. Harus kita memotivasikan diri kita dengan peringatan
dari Nabi SAW “ betapa ramainya orang yang berpuas, tetapi puasanya tidak
lebih dari lapar dan dahaga semata-mata” HR Imam Ahmad, hadis hasan
sahih.
Semoga ibadah Ramadhan kita pada tahun ini
lebih bermakna dan bernilai di sisi Allah SWT dengan terus berusaha
meningkatkan kualiti ibadah kita. Semoga kita keluar dari bulan Ramadhan ini
dengan kejayaan yang sebenar dan mendapat segala janji dan ganjaran yang telah
dijanjikan oleh Allah SWT. Wallahua’lam
Mohd Riza
Kamaruddin
Ajk Biro Agama
Pergerakan
Pemuda UMNO Malaysia /
Timbalan Ketua
Jabatan Syariah
TEKUN Nasional
8 Julai 2014