Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Ahad, 28 Jun 2009

Tolong Keluarkan Kami Dari Gereja Ini.

Kepada para pembaca sila fahami kenyataan dalam artikel ini yang pastinya akan membawa kepada kita pelbagai persoalan dari Fardhu Kifayah ia akan menjadi Fardhu Ain.
petikan dari blog http://www.ustazamin.com/
"Ustaz, boleh tak sampaikan sedikit kuliah dalam 10 minit pada saudara-saudara kita di sini" minta kak Liza.Mmm, eee, kita taaruf dahululah ye, Nama saya…..Inilah pertama kali dalam hidup saya, sejak bergelar ustaz, tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan.
Hari ini 23 Jun jam 12.30 tengah hari, saya bersama pesakit HIV positif. Pada hal ketika ini, penghuni semua sedang tidur, berehat setelah makan ubat. Tetapi mereka semua bangun kerana mendapat tahu seorang ustaz datang melawat mereka.
Saya tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan bukan kerana mereka pesakit HIV. Tetapi, tempat kami menyampaikan kuliah agama ini ialah di dalam sebuah gereja.
Tetapi inilah hakikatnya. Tempat perlindungan pesakit HIV bagi orang dewasa adalah di gereja. Orang bukan Islam yang menaungi mereka, dan sudah beberapa yang mati di sini.
Menurut Kak Liza, bagi pesakit HIV dewasa, tidak ada tempat perlindungan yang dibuat oleh orang Islam.
Majlis Agama Islam Selangor pernah bercadang untuk membuatnya, tetapi hingga sekarang belum menunjukkan apa-apa perkembangan.Saya malu pada diri saya saat ini.
Seolah-olah, saya diberi tahu,"apa lah kamu orang Islam ni, cakap aje pandai, saudara seIslam yang sakit pun tidak dihiraukan".Selesai taaruf, salah seorang dari mereka memberi tahu,"Imam masjid sebelah selalu datang"Hati saya menyapa:-Kenapa tidak dibuat di masjid sahaja tempat perlindugan ini, bukannya tak ada tanah…"
"Pihak MAIS ada jugalah jengok kami, tapi jarang-jarang. Dalam sebulan sekali lah."
Hati saya menyapa:-"Kena sampaikan ni, pada sahabat-sahabat dari MAIS.
Kena buat sesuatu."Saya masih kelu dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan. Tajuk apa yang saya nak sampaikan?Tajuk Ukhuwah? Tajuk berkasih sayang sesama Islam? Tajuk "semua perkara ada hikmah"? Tajuk apa? Tajuk apa yang sesuai?
"Aduhai Tuhan.. kenapa aku di sini hari ini.." rintih hati saya atau lebih tepat:-
"Kenapa sekarang baru dapat tahu, kenapa tidak peka, kenapa tidak dari dulu lagi aku datang menjenguk sahabat-sahabat seIslam di sini.."Akhirnya saya menyampaikan sedikit tazkirah, tak sampai dua minit. Saya hanya membicarakan mengenai kasih sayang Allah pada manusia.
Semakin banyak saya berkata, semakin banyak hati saya berkata:-"Ah… pandai cakap aje, apa yang kamu buat hah…"Tazkirah di akhiri dengan sedikit ucapan dari kak Liza.
Majlis berakhir dengan bersalaman. Salah seorang penghuni, dengan suara yang rendah, berkata pada saya:-"Ustaz.. terima kasih sebab datang ye.."Nak menitik air mata saya melihat mereka.
Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya,"Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"
Saya melangkah keluar dari dewan kuliah. Di sebelahnya terdapat salib. Yang masih boleh berjalan, menghantar saya hingga ke kereta.Mereka melambai ke arah kami serombongan sambil berkata:-"Nanti datang lagi ye.."Van yang kami naiki menuruni cerun kawasan gereja.
Hati saya tak putus-putus berdoa:-"Ya Allah, selamatkan iman mereka. Ya Allah, beri kami kemampuan, dalam tahun ini insyaAllah, kami akan usaha mengeluarkan mereka dari gereja ini
Ya Allah."Kami meninggalkan tempat ini. insyaAllah, selepas saya pulang dari Turki nanti minggu depan, kita akan usahakan sesuatu, bisik hati saya.
Pada saya, mewujudkan tempat perlindungan ini dah taraf fardhu ain dah, ini kerana tidak ada lagi tempat perlindungan bagi orang dewasa seperti ini yang dibuat.
Selagi ada orang Islam yang masih duduk di gereja ini, selagi itulah tanggung jawab ini tidak terlepas dari setiap bahu orang Islam.
Saya menyeru pada semua pembaca. Mari sama-sama kita usahakan. Jika ada niat, maka, insyaAllah, pasti ada jalan.InsyaAllah, saya akan mewar-warkan pada semua jika ia akan dimulakan.
InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan keluarkan mereka dari gereja ini. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan usahakan rumah penjagaan bagi orang Islam.Semoga sedikti niat ini mendapat bantuan ilahi, amin…"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-Fakir Ila RabbihiMuhamad bin AbdullahPutra Heights24 Jun 09, jam 2.15 pagi

Sabtu, 27 Jun 2009

Selamat Hari Bapa

Seorang insan yang penting perananya dan yang paling bertanggungjawab dalam menguruskan sesebuah rumahtangga adalah seorang yang bergelar suami kepada isterinya, dia juga bergelar seorang bapa kepada anak-anaknya.

Seorang bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berat dalam menentukan perjalanan isi rumahnya terutama kepada anak-anaknya. Dialah yang mencorakkan perilaku anak-anaknya. Tanggungjawabnya jugalah memberikan pendidikan serta dialah yang bertanggungjawab menyediakan perbelanjaan untuk membesarkan anak-anaknya serta menyediakan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anaknya. Dia jugalah yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi anak-anaknya dari sebarang ancaman dan fitnah serta dialah yang mencorakkan moral dan akhlak anak-anaknya.

Jika diimbau kembali kenangan tentang pengorbanan seorang yang bergelar bapa, dia diawal pagi sudah keluar pergi turun ke kebun untuk menoreh getah sehingga menjelang tengahari kemudian sebelah petangnya dia terpaksa pula membuka bengkel membaiki motorsikal demi untuk menjana ekonomi untuk perbelanjaan membesar dan mendidik saya serta adik-adik yang lain.

Bahkan sebelum itu kira-kira diakhir tahun 70 an dan diawal tahun 80an ketika mana kebun getah kami belum boleh mengeluarkan hasil maka pilihan bagi bapa ialah bekerja dengan kontraktor untuk servey hutan simpan disebuah daerah di Pahang. Dia tinggal didalam hutan dalam tempoh yang lama kadang kala 2 minggu baru boleh balik untuk menemui kami sekeluarga. Bayangkan pada ketika itu binatang buas seperti harimau, gajah, beruang dan sebaginya masih banyak berkeliaran bahkan saya masih teringat lagi sang harimau bermain-main dibawah rumah kami pada ketika itu. Begitulah jerih perihnya bapa mencari nafkah untuk menyara kami sekeluarga. Kadangkala beliau masuk ke hutan untuk mencari rotan, petai dan damar untuk dijual sebagai sumber sampingannya. Kesungai juga dia turun untuk menangkap ikan sebagai memenuhi ruang masa yang bermanfaat. Disamping itu dia juga meneroka hutan untuk membuat kebun tambahan, bermula dari menanam pisang sebagai tanaman kontan kemudian pelbagai aneka tanaman ditanam seperti durian, cempedak, rambutan, dokong, jambu madu dan sebagainya ditanam dan kini ia sudah mengeluarkan hasil.

Pada tahun 1985 kebun getah kami sudah boleh mengelurkan hasil maka bermula dari itu, kerjanya tertumupu sebagai penoreh getah. Hasil kerja kebun itulah dia menyara saya dan keluarga dan dari hasil itulah dia menyekolahkan saya dan adik-adik hingga berjaya kini.

Pada lewat tahun 90an dia mengorak langkah menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan membeli dan menjual getah scrap dari pekebun-pekebun lain. Berniagaan yang baginya sangat menguntungkan akhirnya terpaksa ditutup kerana dikhianati oleh orang yang mencemburuinya. Dia redha dan berkata kepada kami " rezeki Allah ni luas kita kena cari kerana dia tak datang sendiri, biarlah orang dengki kat kita, kita jangan dengki kat orang"...

Berkat kerja keras dan sifatnya yang berjimat dan berhemat dia dan ibu telah mampu pergi menunaikan Fardhu Haji pada tahun 2006 dan sekembalinya ke tanahair iaitu selepas 44 hari di pergi mengadap Alkhaliq untuk selama-lamanya iaitu pada 02 april 2006.
Dia kembali kerahmatullah kerana diserang sakit jantung di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh pada jam 02.34 petang 02 April 2006.

Alhamdulillah kami adik beradik semuanya ada tatkala beliau sakit 2 hari sebelum meninggal dan kami adik-beradik sempat memberikan khidmat terakhir kepadanya. Pada 1 april 2006 sejurus selepas solat Asar dan sebelumnya saya dan isteri sempat memandikan beliau, beliau rebah dan terus tidak sedarkan diri, setelah berbincang dengan adik-adik yang lain maka kami bawa dia kehospital pada jam 08.00 malam. Ayah dan adik-beradik beliau terus dihubungi dan mereka segera datang menziarahi bapa di hospital. Bagaimana kami pada ketika itu diselubungi perasaan resah dan gelisah menanti laporan doktor yang merawat beliau kami masing-masing berdoa agar ia sembuh atau jika itu adalah tempoh ajalnya maka kami bermohon agar Allah mengambil beliau dalam keadaan tenang.

Sejurus dimaklumkan oleh doktor bahawa bapa kami telah kembali ke rahmatullah maka hibalah kami namun menerima ketetapan Allah itu dengan sabar dan saya sebagai anak sulung telah meminta kerjasama teman-teman dan ahli kariah untuk segera menyempurnakan jenazahnya pada petang itu juga. Dengan kerjasama teman-teman dan orang kampung jenazahnya selamat dikebumikam menjelang Maghrib pada hari yang sama dan sebelumnya saya sendiri mengetuai untuk memandikan jenazah bapa disamping dibantu oleh adik lelaki saya Azman dan adik-beradik bapa yang lain kemudian mengkafankanya dan saya sendiri mengimamkan solat jenazah terhadapnya. Adik saya Azman bertungkus lumus dan dibantu oleh teman-teman yang lain menambus tanah semasa mengkebumikanya. Alhamdulillah menjelang Azan Maghrib segalanya telah selesai dan kini sudah 3 tahun lebih bapa meninggalkan kami sekeluarga namun wajahnya, tutur bicara dan nasihatnya masih terngiang-ngiang ditelinga kami dan saya sendiri kerap bermimpi bertemu denganya dalam pelbagai keadaan dan yang terkini saya bermimpi beliau mengajar kepada saya bagaimana hendak membaiki pump racun, saya sedar bahawa kebung peninggalanya sudah terlalu semak dan perlu diracun serta dibersihkan...durian hasil dari tanamanya juga sudah gugur.

Kepada teman-teman yang masih mempunyai ibu- bapa lakukan yang terbaik terhadap mereka, santunilah mereka dengan hormat, dampinggilah mereka selagi mereka masih ada, sayangilah mereka selagi mereka bernyawa, taatilah mereka selagi ia membawa manfaat ziarahilah mereka selagi mereka mampu bertamu, cium lah dahi mereka selagi ia mempunyai perasaan.

" Ya Allah Engkau rahmatilah bapaku, ampunilah segala dosa-dosanya, kasihanila ia sebagaimana ia mengasihani ku semasa kecil, luas dan terangilah kuburnya, tempatkanlah ia beserta dengan orang-orang salleh dan orang-orang yang mendapat keampunanMU" alfatihah..
Memoria bapa tercinta Haji Kamaruddin Bin Hj Hassan Bin Asim Bin Asri. Lahir pada 23/08/1953 kembali ke Rahmatullah pada 02/04/2006. Selamat Hari Bapa dari MRK albanjari.



Khamis, 25 Jun 2009

HADIS PALSU MENGENAI BULAN REJAB


HADIS PALSU BULAN REJAB
Oleh Mohd Shukri Hanapi, Berita Harian Online, 17 Ogos 2005: UMAT Islam ini berada dalam Rejab iaitu bulan yang ketujuh dalam kalendar Islam. Bagi sesetengah masyarakat Islam, mereka menganggap Rejab adalah bulan teristimewa kerana menyangka mempunyai banyak kelebihan. Sebenarnya tidak thabit dalam hadis sahih yang menyatakan kelebihan Rejab. Cuma bulan ini termasuk dalam salah satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya
selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Tidak dinafikan ada beberapa hadis yang sering kita dengar dalam ceramah dan penulisan mengenai kelebihan bulan ini. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar daif, palsu atau tiada sandaran.

Antara hadis yang sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah: "Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu." - Hadis ini sebenarnya bertaraf daif.

Selain itu, hadis berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga." - Taraf hadis ini juga daif.

Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku." Hadis ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.

Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadilat puasa pada Rejab.

Tanda daif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadis itu dusta atau palsu.

Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab. Oleh itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan

Namun begitu, soal kethabitan atau ketulenan sesebuah hadis perlu diambil kira. Adalah tidak wajar apa saja yang dikatakan hadis terus disebarkan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) ulama hadis terhadap kedudukannya.
Sebenarnya dengan penyebaran hadis palsu seumpama, akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama Islam terdahulu.

Rasulullah memberikan amaran terhadap orang yang berdusta atas namanya dengan ancaman yang berat. Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis Mutawatir.

Dalam riwayat lain, Nabi menyebut: "Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ancaman dalam hadis ini merangkumi segala jenis pendustaan dan pembohongan ke atas Nabi sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat atau ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Dalam menghuraikan maksud hadis ini, Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan: "Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi dan semua jenis pendustaan ke atas Baginda."

Dalam Islam, pendustaan atas nama Nabi adalah jenayah amat berat. Dimaksudkan pendustaan atas Nabi adalah menyandar sesuatu perkataan, pengakuan atau perbuatan kepada Rasulullah secara dusta. Nabi langsung tidak ada kaitan dengan perkataan, pengakuan dan perbuatan yang disandarkan kepadanya. Misalnya, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda sesuatu yang Baginda tidak pernah bersabda, berbuat atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.

Sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai hadis atau sunnah. Adapun menyandar sesuatu kepada Nabi secara dusta, bukanlah dikategorikan sebagai hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasarkan apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu' (palsu) atau al-Mukhtalaq (rekaan).

Bukan saja membuat hadis palsu itu hukumnya haram, bahkan meriwayatkannya tanpa menjelaskan kepada pendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah haram dan berdosa. Oleh itu, semua umat Islam wajib memandang berat perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasulullah yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran.

Umat Islam jangan mudah tertipu dengan dakwaan palsu yang disandarkan kepada Rasulullah, sedangkan ia tidak ada hubungan langsung dengan Baginda. Sehubungan itu, penyebaran hadis daif dan palsu mengenai kelebihan Rejab ini hendaklah dihentikan agar jangan sampai Masyarakat melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala, sedangkan dosa besar pula yang diperoleh akibat menyebar dan beramal dengan hadis palsu seperti ini.

Rabu, 24 Jun 2009

RASUL MELAYU DICARI GANJARANYA RM 10,000.00


GANJARAN RM10,000 KEPADA PEMBERI MAKLUMAT SEHINGGA TERTANGKAPNYA ABDUL KAHAR BIN AHMAD JALAL

Kepada orang awam yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Abdul Kahar bin Ahmad Jalal (500427-10-5719) akan menerima ganjaran sebanyak RM10,000 sebagai saguhati. Keputusan ini telah diputuskan semasa Mesyuarat MAIS pada 14 Mei 2009 yang lalu.

Ganjaran akan diberikan kepada mereka yang dapat memberi maklumat yang tepat dan sahih. Orang awam boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JAIS di talian berikut sekiranya mempunyai maklumat:-
1-800-88-2424
03-5519 0930
03-5519 0398

Kursus Pengurusan Jenazah

Persatuan penduduk dan kariah Surau Taman Harmoni Seri Kembangan berhasrat untuk mengadakan kursus pengurusan jenazah pada 28 June 2008 ( Ahad ) mulai jam 08.30 pagi.
Untuk maklumat dan penyertaan sila hubungi Ust Hassan ( 0193579642 ).
Insyaallah saya akan hadir menyampaikan kursus secara teori dan praktikal pengurusan jenazah.

Khamis, 18 Jun 2009

Carilah Kehidupan Yang Hakiki

Sedarilah bahawa kehidupan dunia bukanlah kehidupan hakiki dan ia diibaatkan perhenttian seorang musafir buat seketika untuk sampai ke tempat tujuannya. Justeru itu, setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat. Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya. Oleh itu, kita perlu sentiasa memuhasabah diri dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah taala bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para nabi dan rasul namun mereka mengingkarinya. Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27-30:

Maksudnya : “Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”

Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri muslim yang bijaksana ialah muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian.
Sabda Rasulullah s.a.w :
Maksudnya : “Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.

Rasulullah s.a.w telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadis baginda satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh.
Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

Hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat. Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.

Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad Fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.

Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mau pun uhkrawi kerana islam adalah ad-din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah S.W.T. telah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah S.W.T.
Baginda Rasululah S.A.W. pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh at-Termizi yang bermaksud:

“ Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”

Dan amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang soleh setelah ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah di antara ciri- ciri anak soleh yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan dalam sabdanya diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud:

“ Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia. ”

Demikianlah antara beberapa amalan soleh yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat. Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak-anak agar menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa.

Maksud Firman Allah SWT : Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa;

Khamis, 11 Jun 2009

Bercuti di Pulau Kapas 01-03 June 2009

Aksi anakku yang kecil
Ragam anak-anak..
Si kecil pun nak mandi juga...
Seronoknye mereka
Mandi bersama anak-anak
Kenangan di Pulau Kapas
Bersama keluarga di atas bot dari Pulau Kapas
Kerajaan Perpaduan!!! penjelasan panjang dari TGHH
Santainya TGHH....pertemuan singkat di kediamanya pada 3 June 2009.
Kenangan manis bersama TGHH
Kenangan bersama TGHH
Lambaian perpisahan dari TGHH