Sunday, December 30, 2012

jawapan

kenapa kau masih 
bisa tertawa 
ketika luka memanah jiwa?
dibusurkan harapan kejam
menusuk laju ke dalam hati; tajam.

kenapa kau masih 
bisa tenang
di hujung ranting dunia tanpa sayap untuk terbang?
digetarkan sang beliung duga, 
membentes kaki sejatuh-jatuhnya.

kenapa 
tak 
kau 
simpan saja kenapamu?

itu cuma persoalan tolol yang tak perlu kau tanyakan,
asal saja kau masih percaya
dari mana datangnya cinta; adalah punca segala jawapan.



sabar ya sahabat, sentiasa percaya bahawa rancangan tuhan itu paling berbaloi untuk kau tunggu.

Friday, November 23, 2012

tatkala

tatkala
lebuhraya lagi kemacetan,
dalam kereta ke tempat kerja,
radio mengkhianat diam
menghidang manis sarapan
lagu yang pernah kita suka.

          --lalu buru buru namamu menerpa.


tapi
tatkala ini terjadi pada harimu,

apakah
namaku walau sedetik
mampir di kotak fikirmu? 



Lebuhraya Persekutuan

Monday, October 8, 2012

'rahsia 2 pria' - koleksi puisi dan cerpen


Bermula dengan pertemuan secara kebetulan setelah membaca puisi-puisi saya, Aloy Paradoks dengan berani merancang sebuah projek rahsia. Tulisan serta rasa hati oleh dua pria; Saya dan Adi Wafi digabungkan di dalam sebuah buku.

koleksi puisi dan cerpen
terbitan Selut Press

Pra-pelancaran: 08 September 2012 / Gravy Baby, Shah Alam.
Pelancaran: 22 September 2012 / Annexe Gallery, Central Market.

Buku ini memuatkan puisi-puisi lama dan baru daripada kami, serta prosa dan cerpen yang tidak pernah diterbitkan atau disiarkan di mana-mana kertas dan laman sesawang.

Rasailah rahsia dalam 108 buah puisi dan prosa, serta 12 buah cerpen yang disusun padat dalam 150 mukasurat. Rahsia tentang cinta, kerohanian dan kehidupan yang bakal membuatkan siang-siangmu berteman, malam-malammu lena berdakap senyuman.


mau saya hantar melalui pos?

1) Masukkan RM25 (termasuk kos penghantaran RM5) ke dalam akaun;

Mohammad Syukri Borhan
1142 0945 4698 (Maybank)

2) Lampirkan bukti pembayaran/resit transaksi, nama penuh, alamat dan nombor telefon. Nyatakan subjek/tajuk email RAHSIA 2 PRIA dan hantar ke

mosyukiborhan@gmail.com

*****

mau dapatkannya langsung dari tangan saya?

Aturkan saja pertemuan di mana-mana tempat sekitar Shah Alam atau lebih mudah di Gravy Baby Musicafe. Naskhah rahsia akan saya hulurkan kepada kamu.

*****

atau mau memilikinya tanpa saya sedari?

1) Pesan melalui Adi Wafi.

2) Pesan melalui Selut Press.

3) Dapatkan di kedai-kedai buku;

*****

 Kosmo! 17 September 2012

Berita Harian 18 September 2012

Sunday, September 23, 2012

latte

perempuan muda,

aku tetap
pengen membayangkanmu duduk di depanku.

sekalipun
telapakmu belum mampu lagi menyebak
rambutku yang sedang menutupi dahi,

setidak-tidaknya
hujung jarimu bisa
mengesati misai nipis pada bibir
yang terbentuk dek buih latte
yang kuhirup tadi.

Wednesday, September 12, 2012

bahasa perasaan

setiap tanyaku dibalas jua lewat puisi-puisimu
setiap bicara dulu dibaca jua bila kau rindu
setiap suaraku didamba jua bila kau pilu

memangnya bahasa perasaan itu bagaimana?

setiapkali yang kau perlu itu aku,
kau tahu caranya untuk aku ada.
dan sebaliknya,
pabila yang aku perlu itu kamu,
bagaimana pula caranya?

ajari aku bahasa perasaanmu

agar tak ku rayu pada bulan lagi
untuk melampu langkahku

agar aku handal memilih untuk pergi
atau
terus menunggu

Tuesday, September 4, 2012

kelahiran 'rahsia dua pria'

ini adalah sebuah projek rahsia yang menggabungkan dua pria.
segalanya akan terbongkar beberapa hari lagi.

Sabtu.08 Sep 2012.0300 petang
Gravy Baby! Shah Alam


untuk pra tempahan sila klik SeLUT PRESS

Friday, August 31, 2012

u

malam ini malam baru
malam kau bontoti bunga api kuning biru
malam cumbu
malam pujukrayu
malam tubuh bersatu.
nyata malammu malam busuk dan berbau.

lupakah kau malam ini masa lalu?
malam mereka dulu-dulu?
hak-hak mereka dicatu?

malam sejarah yang kau simpan dalam buku
--malam tigapuluhsatu.

Monday, August 13, 2012

cuba

dan percayalah,
malam-malam kosong ini
aku tak pernah cuba
mengingat tentangmu,
dari
pesan-pesanmu yang aku simpan
gambar-gambar yang pernah kau titipkan
hingga
lagu-lagu kegemaranmu yang sering aku putar

segalanya tentangmu
yang telah cuba aku hindarkan
ternyata
sukar dan tak bisa terpadam

jadi,

jangan cuba bohong
tentang perasaanmu padaku
kerana aku telah terlebih dahulu cuba begitu

Thursday, July 12, 2012

antologi cerpen 'sepuluh ribu'

Sepuluh keping gambar, sepuluh penulis.
Sepuluh cerpen, sepuluh ribu cerita dan rasa.

'Origami Bintang' di dalam antologi ini
adalah percubaan pertama saya menulis cerpen.
Begitu juga bagi sembilan rakan penulis lain, sama ada kali pertama menulis cerpen atau kali pertama cerpen dibukukan,
setiap daripadanya tetap punya jiwa.
Seperti yang diperkatakan oleh penyunting buku ini, Wani Ardy,
"saya percaya dengan kuasa kali pertama".

Sepuluh Ribu
antologi cerpen
diterbitkan oleh Selut Press
dilancarkan pada 24 Jun 2012 di Annexe Gallery, Central Market.


mau?

1) Masukkan RM25 (termasuk kos penghantaran RM5) ke akaun;

Mohammad Syukri Borhan
1142 0945 4698 (Maybank)

2) Sila lampirkan
bukti pembayaran/resit transaksi, nama penuh, alamat dan nombor telefon.
Dengan subjek/tajuk email SEPULUH RIBU dan hantar ke

mosyukiborhan@gmail.com

3) Atau kamu mahu dapatkannya dengan harga RM20,
langsung dari tangan saya?
Aturkan saja pertemuan di Gravy Baby Musicafe atau mana-mana tempat di sekitar Shah Alam, dan saya akan bawa buku ini kepada kamu.


"jadi jangan tunggu, ayuh miliki SEPULUH RIBU"

Sunday, July 8, 2012

2

apakata kali ini,
ketika hatiku masih dihuni namamu
ketika bahuku masih dibasahi esakmu.
kau datang padaku
perlahan-lahan.

antara dua;
katakan bahawa kau menyukai aku
atau
katakan alasan apa untuk aku tak perlu lagi menunggumu.
kau bisik ke telingaku
perlahan-lahan.

atau jika
kau punya lebih masa,
katakan saja kedua-duanya.

akanku cuba
memadam rasa ini,
perlahan-lahan
perlahan-lahan.

Thursday, May 24, 2012

tajam

bicaramu memaksa segalanya jadi resah
angin malam takkan lagi mengaku indah
balang kaca jatuh terkecai pecah
origami bintang kan rata menyepah.

lalu apakah rasanya meleraikan lipatan origami bintang,
bila
nama yang tertulis di dalamnya
lebih tajam daripada keping-keping kaca balang?


'origami bintang' - antologi cerpen Sepuluh Ribu

Tuesday, May 8, 2012

pencariMu

terlahirnya aku
dengan janji mengesakanMu.
tak mungkin tertulis di pasir pantai--dipukul hilang ombak dan badai.
tak mungkin terlakar di langit tinggi--dipudar angin dibawa pergi.

tapi
terpaku tepat di hati--sampai mati.

ketika
terus-terus menghitung senja
bergaduh-gaduh mengejar dunia
berbalah-balah dengan hidup merebut harta membeli nyawa
aku takkan pernah ragu
memikir tentangMu yg selalu ada.

disetiap lajunya bergulir waktu
disetiap hela rongga nafasku
aku kan selalu memujaMu.

jadikan aku sang pencariMu
aku mahu teguh disetiap tajamnya bicara membunuh
aku tak mahu rapuh bila berjuta yg datang melumpuh.

ketika
semakin jauh berjalan, Kau kan jatuhkan aku
untuk nanti aku bangun lalu berlari.
dan ketika
semakin jauh berlari, Kau kan jatuhkan aku lagi
untuk nanti aku bangun kembali lalu terbang tinggi.

indah
caturanMu itu--terlalu.
bak bau harum membekas hati
hingga aku takkan pernah ragu
memikir tentangMu yg selalu disisi.

jadikan aku sang pencariMu
biar disetiap tajamnya bicara membunuh
aku semakin teguh.
biar berjuta yg datang melumpuh
aku takkan bisa rapuh
aku takkan bisa rapuh.

dunia manapun yang aku kejarkan
syurga manapun yang aku mahukan
aku tetap
lari menuju Tuhan.


"terima kasih ya Allah untuk nikmatnya kehidupan"
untuk Malam Puisi Riong BH-MBSA di Laman Budaya Shah Alam, bertemakan 'adiwarna'. video tekan sini.

Monday, April 30, 2012

Malam Puisi Riong, Shah Alam

Malam Puisi Riong, Shah Alam.
"adiwarna"

terima kasih Laman Budaya Shah Alam, MBSA serta Berita Harian
kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama berkongsi pentas.


[untuk paparan lebih jelas, tekan pada gambar]

Friday, April 6, 2012

kelas pertama

indah.
perasaan indah di wajahmu
seolah sedang bawa aku terbang
tinggi,
laju,
dan jauh.

resah.
perasaan resah di jantungku
seolah memaksa degupan kencang
berlari,
laju,
dan rusuh.

harapan ini pesawat yang
sepertinya sedang bawa kita
ke landasan mendarat yang sama
ke daerah jiwa yang sama
ke arah mimpi-mimpi yang pernah kubilang padamu; percuma.

tapi kita terbang dengan kelas yang beda.

apakah kau tahu pundak ini telah sedia
menadah pilu yang bertakung dimatamu?

apakah kau tahu mata ini selalu berjaga
menyelinapi rahasia yang tersimpan pada manis senyummu?

kita saling kenal--sepertinya dekat tapi jauh.
kita sering ketemu--sepertinya berbicara tapi bisu.

lalu
perasaan itu tertunda
bagai penerbangan yang dicemburui rusuhan cuaca

hingga segalanya reda
bila aku katakan,

"aku mahu terbang dengan kelas pertama"

dan
kau ujarkan tanya padaku
"mahu ke mana?"

aku diam bagai dipaku
bila kelip-kelip papan destinasi itu, kesemuanya tertera namamu.



tentang kau dan dia yang sedang berkongsi destinasi yang sama, tapi merasa jauh dan beda lalu takut untuk menyatakan rasa hati. biar perasaan yang akhirnya bersuara sendiri.
pentas Pasar Buku BOCO 5. silakan, video di sini.

Thursday, March 22, 2012

runut bunyi

malam ini.
tak ada lelaki yang berbicara sama bulan di hujung balkoni,
tak ada puisi yang terlantun ke dinding kamar lalu tertiarap ke dasar hati,
cuma ada
runut bunyi yang sedang menari berkali-kali
dan suara Damien membawa perasaanku pergi.

"tak bisa melepaskan pandangan darimu"
"tak bisa untuk tidak memikirkanmu"

mengandaikan kau di sini
kita sama dengari.



dan aku ulang ini sampai kau dengar nanti

Monday, March 19, 2012

pada setiap tanya

seketika
membaca wajahmu
pada setiap tanya,
akankah kita mengungsi khayal ke awan menggulung nan gebu
di lataran langit nan biru?
kemudian
kau tusuk kerlingan matamu padaku
saat kita terbang menyisip tanganmu ke lenganku.

seketika
membaca matamu
pada setiap tanya,
akankah segalanya berlaku
andai kita hanya merelakan kenyataan
ketika
kau masih terus diam dan aku terus membisu.

Wednesday, February 29, 2012

balai ketibaan

riuh
mula menghuni ruang
balai ketibaan
menyaksi pusu-pusu penumpang
dengan bagasi laju dan perlahan

ada gadis yang datang
dengan muka tertempel senyuman
dengan genang mata yang penuh aman
sepertinya,
penuh tanya-tanya yang tersimpan

apakah
dibawa bersamanya rindu
setelah kasih ditinggal di negara jauh?
apakah
dibawa bersamanya pilu
setelah hatinya dipijak rapuh?

atau sama seperti aku;
pengen ke tempat asing
mengimpi sesuatu yang belum tersentuh.



tentang menyukai seseorang dan merasakan dia punya perasaan yang sama seperti kau. untuk pentas 'akar berlabuh'. video klik sini.

Thursday, February 23, 2012

AKAR berLABUH / AKAR KUKUBESI Vol.2

saya akan berpentas di acara AKAR berLABUH
Sabtu 25 Feb 2012, sekitar jam 830 malam.

bersempena acara
yang berlangsung selama 2 hari (25 dan 26 Feb 2012)

berikut adalah tentatif penuh acara serta senarai persembahan;
[untuk lebih jelas, klik pada gambar]

Friday, February 17, 2012

memo buat perawan

angkatlah cintamu
semahal hujan di Gurun Sahara
sesegar embun disubuh gelita
terus
semulia hijab tak tersingkap dosa

kan tersuluh buatmu
si 'jodoh'
yang memberi jiwanya kerana syurga

kan tercipta buatmu
si pria
yang menawar hatinya tak dilabel harga

seperti aku tanpa kau duga.

Wednesday, February 8, 2012

aneh

mintalah, 
apa saja
asalkan bukan magis.
setidak-tidaknya kau harus percaya
pertemuan antara kita nanti bukan sekadar
betul-betul sepadan.

katalah, 
apa saja
asalkan bukan magis.
setidak-tidaknya aku masih percaya
pertemuan aneh antara kita nanti cuma
betul-betul kebetulan.

ah!

Wednesday, January 18, 2012

rupa-rupanya aku yang paling kalah

matanya tersangkut pada aku.
bibirnya terkatup depan aku.

hari ini aku lihat
pemimpi kecil menjinjing luka pada nyawa yang tak punya tambahan.

pejam. rupa-rupanya aku kalah.


hari ini aku lihat
pemimpi kecil menatang nyawa pada luka yang masih kuat terlawan.

diam. rupa-rupanya aku kalah.

senyum. ketawa. airmata.


semua tentangnya yang paling gagah.
rupa-rupanya aku yang paling kalah.



Positive Shelter Home HIV AIDS
foto oleh: Zunaira Zulkifli

Wednesday, January 11, 2012

kerana

kerana cuma bulan yang tahu
membikin cahaya indah bertebar,
bintang memilih untuk diam mengerdip dengan kilau
berpijar-pijar.

kerana cuma tuhan yang tahu
mana salah mana benar,
aku memilih untuk diam dan tak hirau apa yang sedang
disebar-sebar.

Tuesday, January 3, 2012

terbengkalai

separuh jiwa tertuang 
ke dalam buku nota lama yang dituliskan tentang perasaan muda.

ada helaian yang terkoyak bila dia pergi.
ada helaian yang tersorok bawah almari.
ada helaian yang tersemat di balik pintu kamar untuk kita baca curi-curi.
cuma 
helaian aneh yang satu itu basah ditumpahi 
airmata yang gagal kau empangi.

kemudian menitis, keringlah 
saat kau gantung tinggi
tak tercapai.

lalu memudar, lunturlah
baris-baris puisiku dan perasaan hati 
yang terbengkalai.